Sabtu, 10 September 2016

58:12-13 Tafsir Surah Al Mujadilah, ayat 12-13.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نَاجَيْتُمُ الرَّسُولَ فَقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيْ نَجْوَاكُمْ صَدَقَةً ذَلِكَ خَيْرٌ لَكُمْ وَأَطْهَرُ فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (١٢) أَأَشْفَقْتُمْ أَنْ تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيْ نَجْوَاكُمْ صَدَقَاتٍ فَإِذْ لَمْ تَفْعَلُوا وَتَابَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ فَأَقِيمُوا الصَّلاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَاللَّهُ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ (١٣)

Kaum muslim banyak bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang berbagai masalah sehingga hal tersebut menghujani dan memberatkannya. Maka Allah berkehendak untuk memberikan keringanan kepada NabiNya s.a.w. dan menghentikan mereka dengan menurunkan ayat,

"12. Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kalian berbicara dengan Rasul, maka dahulukan sebelum pembicaraan rahsia kalian sedekah." 

Barang siapa yang hendak melakukan pembicaraan khusus dengan Rasulullah s.a.w., hendaklah dia terlebih dahulu mengeluarkan sedekah kepada orang miskin. Ia adalah untuk membersihkan dan menyucikan dirinya serta mempersiapkan diri agar menjadi orang yang layak untuk mendapat perhatian khusus. Juga sebagai pemberian adab dan pengajaran untuk mereka dan untuk memuliakan Rasulullah s.a.w.

"Demikian itu lebih baik bagi kalian dan lebih bersih." 

Memuliakan Rasulullah s.a.w. lebih baik bagi orang-orang mukmin, lebih memperbanyak kebaikan dan pahala mereka serta lebih menyucikan mereka dari noda dosa yang di antaranya adalah meninggalkan sikap menghormati Rasulullah s.a.w. dan beradab terhadap Beliau dengan banyak melakukan pembicaraan yang tidak ada manfaatnya.

Perintah bersedekah sebelum melakukan pembicaraan dengan Nabi s.a.w. merupakan mizan (timbangan) bagi orang yang menginginkan kebaikan dan ilmu, sehingga ia pun mahu bersedekah.

Tetapi bagi orang yang tidak memiliki keinginan kepada kebaikan yang maksudnya adalah semata-mata banyak berbicara dengan Beliau s.a.w., maka kerana ada perintah bersedekah itu, ia pun menahan diri dari berbicara yang tidak ada faedahnya yang memberatkan Beliau s.a.w.

Apabila seseorang dari mereka mempunyai suatu keperluan dengan Nabi s.a.w., maka dia masih belum dapat menunaikannya sebelum mengeluarkan sedekah. Hal ini dirasakan memberatkan mereka, maka Allah menurunkan kemurahan sesudah itu melalui firmanNya,

"Maka jika tidak kalian mendapati," 

Iaitu orang yang tidak mampu bersedekah kerana kemiskinan. Mereka berat untuk mengeluarkan sedekah untuk setiap kali pembicaraan.

"maka sungguh, Allah Maha Pengampun Maha Penyayang."

Allah s.w.t. memudahkan dan tidak memberatkan mereka bahkan memaafkan, memakluminya dan membolehkan baginya berbincang-bincang tanpa mengeluarkan sedekah terlebih dahulu dimana ia tidak sanggup mengeluarkannya. Mereka tidak akan dihukum. Perintah ini hanyalah bagi orang yang mampu bersedekah sahaja.

Setelah turunnya ayat ini, kaum muslim menjadi takut dan menahan diri untuk tidak banyak bertanya. Hanya Ali ibnu Abu Talib r.a. yang mengamalkannya. Dia menyedekahkan satu dinar, lalu mengadakan pembicaraan khusus dengan Nabi s.a.w. Ali r.a. menanyakan kepada Nabi s.a.w. tentang sepuluh perkara, setelah itu diturunkanlah ayat rukhsah.

Nabi s.a.w. bertanya kepada Ali r.a., "Bagaimanakah pendapatmu dengan satu dinar?" Ali menjawab, "Mereka tidak akan mampu." Nabi s.a.w. bersabda, "Kalau setengah dinar?" Ali menjawab, "Mereka tidak akan mampu." Nabi s.a.w. bersabda, "Jadi, berapakah menurutmu?" Ali menjawab, "Emas seberat biji sawi." Nabi s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya kamu benar-benar kikir."

Ayat ini dimansukhkan oleh firman selanjutnya tidak lama selepas itu pada siang hari yang sama.

"13. Apakah kalian takut bahawa kalian mendahulukan sebelum pembicaraan rahsia kalian sedekah?"

Apakah kamu takut menjadi miskin jika hukum ini diwajibkan, iaitu mengeluarkan sedekah sebelum mengadakan pembicaraan khusus dengan Rasul?

"Maka ketika tidak kalian kerjakan dan Allah menerima taubat atas kalian," 

Allah s.w.t. memberi keringanan, keluasan dan tidak menyempitkan mereka. Tidak mudah bagi mereka untuk mengeluarkan sedekah setiap kali hendak berbicara dengan Rasulullah s.a.w. Kerana itu, Allah s.w.t. membatasinya dengan memaafkan hal itu untuk mereka.

"maka dirikanlah solat," 

Dengan rukun dan syaratnya serta memperhatikan semua batasannya.

"dan tunaikanlah zakat" 

Kepada para mustahiknya. Solat dan zakat merupakan induk ibadah badan dan harta, barang siapa yang mengerjakan keduanya sesuai cara yang disyariatkan, maka ia telah memenuhi hak Allah dan hak hamba-hambaNya.

"dan taatlah kepada Allah dan RasulNya!" 

Dengan melaksanakan perintah keduanya, menjauhi larangan, membenarkan berita dan berada dalam batasan Allah s.w.t.

"Dan Allah Maha Mengetahui dengan apa yang kalian kerjakan."

Allah Mahateliti apa yang kalian kerjakan. Dia mengetahui setiap amal yang kamu kerjakan lalu Dia akan membalas kamu sesuai ilmuNya terhadap apa yang ada di hatimu. Maka dimansukhlah kewajiban hal tersebut atas mereka dengan turunnya ayat ini. Namun memuliakan dan menghormati Nabi Muhammad s.a.w. tidaklah dimansukh (dihapus).

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...