بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
الم (١) ذَلِكَ الْكِتَابُ لا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ (٢) الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ (٣) وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ وَبِالآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ (٤) أُولَئِكَ عَلَى هُدًى مِنْ رَبِّهِمْ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (٥)
Allah s.w.t. berfirman,
"1. Alif Lam Mim."
"2. Inilah Al Kitab tidak ada keraguan di dalamnya"
Kitab ini tidak ada keraguan padanya. Allah s.w.t. menamakan Al Qur'an dengan Al kitab bererti "yang ditulis", sebagai isyarat bahawa Al Quran diperintahkan untuk ditulis.
Tidak ada keraguan bahawa ia berasal dari Allah s.w.t., sehingga tidak benar masih meragukannya kerana jelas sekali buktinya.
"petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa."
Petunjuk bagi mereka yang bertakwa. Orang-orang yang bertakwa mengambil manfaat darinya, menjadikannya sebagai petunjuk dan ilmu yang bermanfaat serta membuat mereka dapat beramal soleh. Mereka memperoleh dua hidayah; hidayah irsyad (ilmu/petunjuk) dan hidayah taufiq (dapat beramal).
Al Qur’an meskipun sesungguhnya petunjuk bagi semua manusia, namun hanya orang-orang yang bertakwa yang mahu mengambilnya sebagai petunjuk dan melaksanakan isinya.
Takwa adalah memelihara diri dari siksaan Allah dengan mengikuti segala perintahNya; dan menjauhi segala laranganNya; tidak cukup diertikan dengan takut saja.
Kata huda (petunjuk) pada ayat di atas adalah umum, bahawa Al Qur'an merupakan petunjuk terhadap semua maslahat di dunia dan akhirat, ia merupakan pembimbing manusia dalam masalah usul (pokok seperti keyakinan) maupun furu' (cabang), menerangkan yang hak dan menerangkan kepada mereka jalan yang dapat memberikan manfaat di dunia dan akhirat.
"3. Orang-orang yang mereka beriman kepada yang ghaib"
Mereka yang beriman kepada yang ghaib. Iman ertinya kepercayaan yang teguh yang
disertai dengan ketundukan dan penyerahan jiwa atau pengakuan di hati yang membuahkan ketundukkan di lisan (dengan iqrar) dan pada anggota badan. Tanda-tanda adanya iman ialah mengerjakan apa yang dikehendaki oleh iman itu.
disertai dengan ketundukan dan penyerahan jiwa atau pengakuan di hati yang membuahkan ketundukkan di lisan (dengan iqrar) dan pada anggota badan. Tanda-tanda adanya iman ialah mengerjakan apa yang dikehendaki oleh iman itu.
Yang ghaib ialah yang tidak dapat ditangkap oleh pancaindera. Percaya kepada yang ghaib iaitu, mengi'tikadkan adanya yang maujud yang tidak dapat ditangkap oleh pancaindera, kerana ada dalil yang menunjukkan adanya, seperti: adanya Allah, malaikat-malaikat, hari akhirat dan sebagainya.
Beriman itu kepada yang ghaib adalah kerana beriman kepada sesuatu yang disaksikan atau dirasakan panca indera tidak dapat membedakan mana muslim dan mana kafir.
Keimanan orang mukmin yang paling utama adalah beriman kepada yang ghaib. Orang mukmin beriman kepada semua yang diberitakan Allah s.w.t. dan rasulNya, baik mereka menyaksikannya atau tidak, baik mereka memahaminya atau tidak dan baik dijangkau oleh akal mereka maupun tidak.
"dan mereka mendirikan solat"
"dan mereka mendirikan solat"
Mendirikan solat. Di samping beriman kepada yang ghaib, mereka buktikan dengan mendirikan solat. Solat menurut bahasa 'Arab adalah doa, menurut istilah syara' ialah ibadat yang sudah dikenal, yang dimulai dengan takbir dan diakhiri dengan salam.
Solat merupakan pembuktian terhadap pengabdian dan kerendahan diri kepada Allah s.w.t. Mendirikan solat ialah menunaikannya dengan teratur, dengan melengkapi syarat-syarat, rukun-rukun dan adab-adabnya, baik yang zahir ataupun yang batin, seperti khusu', memperhatikan apa yang dibaca dan sebagainya. Solat yang seperti inilah yang dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.
"dan dari apa yang Kami rezekikan pada mereka mereka menginfakkan."
Dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka. Rezeki adalah segala yang dapat diambil manfaatnya. Menafkahkan sebahagian rezeki bermaksud memberikan sebahagian dari harta yang telah direzekikan oleh Allah tersebut kepada orang-orang yang disyari'atkan oleh agama memberinya, baik yang wajib maupun yang sunat.
Contoh pengeluaran yang wajib adalah zakat, menafkahi anak dan isteri, saudara mara dan hamba. Sedangkan pengeluaran yang sunat adalah semua jalan kebaikan.
Disebutkan "sebahagian rezeki" menunjukkan bahawa yang Allah perintahkan hanyalah sedikit dari harta mereka. Ia tidak akan memudaratkan dan tidak membebani mereka.
Disebutkan perkataan "rezeki" untuk mengingatkan bahawa harta yang ada pada mereka merupakan rezeki dari Allah yang mesti disyukuri dengan menyisihkan sebahagiannya untuk dikongsikan bersama saudara-saudara mereka yang tidak mampu.
Solat dan zakat sangat sering disebutkan secara bergandingan di dalam Al Qur'an, kerana solat mengandungi sikap ikhlas kepada Allah s.w.t., sedangkan zakat dan infak mengandungi sikap ihsan terhadap sesama hamba Allah s.w.t.
Oleh kerana itu, tanda kebahagiaan seorang hamba adalah dengan bersikap ikhlas kepada Allah dan berusaha memberikan manfa'at kepada makhluk.
Tanda celakanya seorang hamba adalah tidak ada sikap ikhlas kepada Allah s.w.t. dan tidak berbuat ihsan kepada sesama hamba Allah s.w.t.
"4. Dan orang-orang yang beriman dengan apa yang diturunkan kepadamu"
Dan mereka yang beriman kepada kitab yang telah diturunkan kepadamu. Mereka beriman kepada Al Qur'an, begitu juga apa yang diturunkan kepada Beliau s.a.w. berupa hikmah (As Sunnah).
"dan apa yang diturunkan sebelum kamu,"
Dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu. Mereka beriman kepada kitab-kitab yang telah diturunkan sebelum Al Quran seperti Taurat, Zabur, Injil dan Suhuf-Suhuf yang tersebut dalam Al Qur'an yang diturunkan kepada Para rasul. Allah menurunkan kitab kepada Rasul dengan memberikan wahyu kepada Jibril a.s., lalu Jibril menyampaikannya kepada Rasul.
"dan kepada akhirat mereka mereka yakin."
Serta mereka yakin akan adanya akhirat. Yakin ialah kepercayaan yang kuat dengan tidak dicampuri keraguan sedikitpun. Akhirat lawan dunia. Kehidupan akhirat ialah kehidupan sesudah mati dan sesudah dunia berakhir.
Yakin akan adanya kehidupan akhirat ialah benar-benar percaya akan adanya kehidupan sesudah mati (alam barzakh yang di dalamnya terdapat fitnah, azab dan nikmat kubur) dan sesudah dunia berakhir seperti kebangkitan manusia, pengumpulan manusia di padang mahsyar, adanya hisab (pemeriksaan amalan), mizan (penimbangan amalan), syurga dan neraka.
Di antara hikmah mengapa Allah sering menyebutkan hari akhir dalam Al Qur’an adalah kerana beriman kepada hari akhir memiliki pengaruh yang kuat dalam memperbaiki keadaan seseorang sehingga ia akan mengisi hari-harinya dengan amal soleh.
Ia akan lebih bersemangat untuk mengerjakan ketaatan itu sambil berharap akan diberikan pahala di hari akhir itu. Ia juga akan semakin takut untuk mengisi hidupnya dengan kemaksiatan dan merasa tidak tenteram dengannya.
Beriman kepada hari akhir juga membantu seseorang untuk tidak berlebihan terhadap dunia dan tidak menjadikannya sebagai tujuan hidupnya. Seorang mukmin yang kurang mendapatkan kesenangan dunia akan terhibur kerana di hadapannya ada kesenangan yang lebih baik dan lebih kekal.
"5. Mereka itulah atas petunjuk dari Tuhan mereka,"
Merekalah yang mendapat petunjuk dari Tuhan mereka. Orang-orang yang memiliki sifat-sifat yang disebutkan berjalan di atas cahaya dari Tuhan mereka dan taufiqNya.
"dan mereka itulah mereka orang-orang yang beruntung."
Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. Mereka mendapat apa-apa yang dimohonkannya kepada Allah sesudah mengusahakannya, selamat dari sesuatu yang mereka bimbangkan, mendapat syurga dan selamat dari neraka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan