Rabu, 5 Oktober 2016

2:260 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 260.

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ أَرِنِي كَيْفَ تُحْيِ الْمَوْتَى قَالَ أَوَلَمْ تُؤْمِنْ قَالَ بَلَى وَلَكِنْ لِيَطْمَئِنَّ قَلْبِي قَالَ فَخُذْ أَرْبَعَةً مِنَ الطَّيْرِ فَصُرْهُنَّ إِلَيْكَ ثُمَّ اجْعَلْ عَلَى كُلِّ جَبَلٍ مِنْهُنَّ جُزْءًا ثُمَّ ادْعُهُنَّ يَأْتِينَكَ سَعْيًا وَاعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (٢٦٠)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan tentang kekasihNya, iaitu Nabi Ibrahim a.s.

"260. Dan ketika berkata Ibrahim, "Tuhanku, perlihatkan kepadaku bagaimana Engkau hidupkan yang mati.""

Ketika Ibrahim a.s. berkata, "Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang mati." Ibrahim a.s. pernah meminta kepada Allah s.w.t. agar diperlihatkan secara langsung bagaimana Dia menghidupkan orang-orang yang telah mati.

"Dia berfirman, "Apakah belum kamu beriman?""

Allah berfirman, "Belum percayakah kamu?" Maksudnya, "Apakah kamu belum percaya bahawa Aku dapat menghidupkan yang mati?"

"Dia berkata, "Ya, akan tetapi agar menjadi tenteram hatiku.""

Ibrahim a.s. menjawab, "Aku percaya, akan tetapi agar hatiku tenang." Sebenarnya Ibrahim a.s. sudah yakin dengan apa yang diberitakan Allah s.w.t., akan tetapi dia ingin agar pengetahuannya yang berdasarkan keyakinan itu meningkat kepada pengetahuan yang bersifat 'ainul yaqin dengan menyaksikan hal tersebut dengan matanya sendiri, dan Allah Maha Mengetahui keimanan yang ada pada diri Ibrahim a.s. sangat dalam.

"Dia berfirman, "Maka ambillah empat dari burung, lalu cincanglah mereka kepadamu,""

Allah berfirman, "Kalau begitu ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah olehmu." Ibrahim a.s. menangkap empat ekor burung. Dua daripada empat burung-burung tersebut adalah burung merak dan ayam jantan. Dua jenis burung lagi mungkin garnuq (garuda), merpati, angsa, anak burung unta atau gagak. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui tentang empat jenis burung itu.

Beliau mengikat burung-burung itu, menyembelihnya, mencabut bulu-bulunya dan memotong-motongnya. Bahagian-bahagian dari burung-burung yang dipotong-potong itu digaulkan.

"kemudian jadikanlah atas tiap-tiap bukit dari padanya bahagian," 

Iaitu letakkan di atas masing-masing bukit satu bahagian. Kemudian campuran burung-burung itu dibahagi-bahagi menjadi beberapa bahagian dan diletakkan tiap-tiap bahagian dari burung-burung itu pada empat atau tujuh buah bukit yang berada dekat dengan Nabi Ibrahim a.s. Sedangkan kepala keempat burung itu dipegang oleh Nabi Ibrahim a.s. pada tangannya.

"kemudian pangillah mereka, mereka akan mendatangimu segera." 

Maka Ibrahim a.s. memanggil burung-burung itu seperti apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. Kelihatanlah bulu burung-burung tersebut beterbangan ke arah bulu-bulunya, darah beterbangan ke arah darahnya, dan daging beterbangan ke arah dagingnya; masing-masing bahagian dari masing-masing burung bersatu dengan bahagian lainnya, hingga masing-masing burung bangkit tanpa kepala.

Ibrahim a.s. berlari kepada mereka agar lebih jelas dilihat olehnya. Lalu masing-masing burung datang mengambil kepalanya yang ada di tangan Nabi Ibrahim a.s. Apabila Nabi Ibrahim menghulurkan kepala yang bukan miliknya, burung itu menolak; dan jika Ibrahim menghulurkan kepala yang menjadi miliknya, maka menyatulah kepala itu dengan tubuhnya berkat kekuasaan Allah s.w.t.

"Dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha Perkasa Maha Bijaksana." 

Allah Maha Perkasa. Dia memiliki kekuatan yang besar untuk menundukkan semua makhluk, dan tiada sesuatu pun yang dapat mengalahkanNya dan menghalang-halangiNya. Semua yang dikehendakiNya pasti terjadi tanpa ada yang mencegahNya. Dia Maha Bijaksana dalam firman, tindakan, syari'at, kekuasaan dan taqdirNya. Dia tidaklah bertindak main-main atau kosong dari hikmah.

Dalam ayat ini terdapat dalil hissiy (inderawi) yang menunjukkan Allah mampu menghidupkan orang yang telah mati dan memberikan balasan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...