Rabu, 5 Oktober 2016

2:153-157 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 153-157.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ (١٥٣) وَلا تَقُولُوا لِمَنْ يُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتٌ بَلْ أَحْيَاءٌ وَلَكِنْ لا تَشْعُرُونَ (١٥٤) وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الأمْوَالِ وَالأنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ  (١٥٥) الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ (١٥٦) أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ (١٥٧)

Allah s.w.t. berfirman, 

"153. Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah kalian pertolongan dengan sabar dan solat."

Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolong kalian. Allah s.w.t. menjelaskan hikmah menjadikan sabar dan solat sebagai penolong serta pembimbing. Sesungguhnya seorang hamba itu adakalanya berada dalam cobaan urusan agama dan dunianya, lalu ia menanggungnya dan meminta pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat.

Sabar ertinya menahan diri terhadap hal-hal yang tidak disukai. Ia terbahagi menjadi tiga bahagian: Pertama, sabar dalam menjalankan atau mengerjakan ketaatan, amal-amal taqarrub, perintah dan hal-hal yang disukai oleh Allah, walaupun berat terasa oleh jiwa dan raga. Kedua, sabar dalam menjauhi dan meninggalkan dosa-dosa, larangan, hal-hal yang diharamkan dan dibenci oleh Allah, walaupun bertentangan dengan kehendak hawa nafsu sendiri. Ketiga, sabar dalam menghadapi musibah dan cobaan yang menimpa dengan tidak keluh kesah.

Sabar itu merupakan pengakuan seorang hamba kepada Allah atas apa yang menimpanya, dan ia jalani hal ini dengan penuh ketabahan kerana mengharapkan pahala yang ada di sisiNya. Sabar merupakan pertolongan yang paling besar dalam menghadapi segala perkara. Barang siapa yang demikian keadaannya, maka dia termasuk orang-orang yang sabar, iaitu mereka yang beroleh keselamatan. Insha'Allah.

Di dalam sebuah hadis disebutkan, "Mengagumkan perihal orang mukmin itu. Tidak sekali-kali Allah menetapkan suatu ketetapan baginya, melainkan hal itu baik belaka baginya. Jika dia mendapat kesenangan, maka bersyukurlah dia yang hal ini adalah lebih baik baginya; dan jika tertimpa kesengsaraan, maka bersabarlah dia yang hal ini adalah lebih baik baginya."

Semasa manusia dihimpunkan, dicukupkan pahala orang-orang yang bersabar. Mereka akan diperintahkan masuk ke syurga sebelum ada hisab (tanpa hisab).

Sedangkan solat diperintahkan juga agar dijadikan sebagai penolong kerana solat adalah tiang agama dan cahaya kaum mukmin, ia merupakan jalan penghubung antara seorang hamba dengan Tuhannya.

Jika solat sesorang hamba sempurna, menggabungkan yang wajib dengan yang sunat, melaksanakannya dengan khusyu' dan merasakan sedang berdiri di hadapan Tuhannya sebagaimana berdirinya seorang hamba yang menjadi pelayan dengan memperhatikan adab yang baik, memperhatikan apa yang dia baca dan dia lakukan, maka sudah pasti solat tersebut menjadi penolong terbesar dalam semua masalah. Solat tersebut akan mencegahnya dari perbuatan keji dan munkar, dan solat seperti inilah yang dapat membantu mengatasi berbagai masalah.

Oleh itu, cara terbaik untuk mengharungi segala macam cobaan ialah dengan sikap sabar dan banyak solat. Sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.

Rasulullah s.a.w. apabila mendapat suatu cobaan, maka Beliau mengerjakan solat.

"Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar." 

Allah s.w.t. bersama mereka yang memiliki akhlak dan sifat sabar dengan memberikan pertolongan dan taufiqNya, sehingga masalah-masalah sukar dan berat menjadi ringan.

Suatu contoh permasalahan yang patut dihadapi dengan sabar, iaitu jihad fii sabilillah.

"154. Dan janganlah kalian mengatakan bagi siapa yang terbunuh di jalan Allah, mereka mati. Tetapi mereka hidup, akan tetapi kalian tidak menyedari." 

Janganlah kalian mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah, mati. Bahkan mereka hidup, tetapi kalian tidak menyedarinya.

Jihad merupakan ketaatan badan yang paling utama dan paling berat bagi jiwa kerana membawa kepada kematian, padahal orang-orang mencintai dunia dan melakukan apa saja agar dapat terus hidup. Hal yang dicintai tidaklah ditinggalkan oleh orang-orang yang berakal selain untuk memperoleh hal yang lebih dicintai lagi.

Maka Allah s.w.t. memberitahukan bahawa orang yang berperang di jalan Allah agar kalimat Allah menjadi tinggi dan agar agamaNya menjadi tegak, pada hakikatnya dia tidak kehilangan kehidupan yang dicintainya itu, bahkan dia memperoleh kehidupan yang lebih besar dan lebih sempurna dari apa yang kita sangkakan.

Para syuhada mendapat kehidupan terbaik, kenikmatan yang luar biasa dan mendapat rezeki di sisi Allah di alam barzakhnya. Mereka mendapat rezeki bagi badan berupa makanan dan minuman yang sedap, mendapat rezeki bagi ruh berupa kegembiraan, hilangnya rasa takut dan kesedihan. Mereka bergembira kerana kurnia yang diberikanNya dan tidak lagi khuatir dan bersedih.

Ruh mereka berada di dalam perut burung-burung hijau, di mana burung-burung itu mendatangi sungai-sungai syurga dan memakan buah-buahannya, kemudian pulang hinggap ke lampu-lampu yang bergantung di bawah 'Arsy.

Allah menanyakan keinginan mereka. Mereka menginginkan supaya Dia mengembalikan mereka ke di dunia agar dapat berperang lagi di jalanNya hingga mereka terbunuh lagi beberapa kali kerana membelaNya, kerana mereka telah melihat dan merasakan pahala dari mati syahid yang tak terperikan itu. Namun Allah telah memastikan bahawa mereka tidak dapat kembali lagi ke dunia sesudah mereka mati.

Ayat ini menunjukkan adanya nikmat kubur dan terdapat anjuran untuk berjihad fii sabilillah dan bersabar dengannya. Jika sekiranya orang-orang mengetahui balasan yang diperoleh para syuhada, tentu tidak akan ada seorang pun yang meninggalkannya.

"155. Dan sungguh Kami akan menguji kalian" 

Allah s.w.t. pasti menimpakan cobaan untuk melatih dan menguji hamba-hambaNya, agar jelas kelihatan siapa yang jujur hatinya, siapa yang dusta, siapa yang berjihad, siapa yang sabar dan siapa yang keluh kesah.

Hikmah Allah menghendaki untuk memisahkan siapa orang yang baik dan siapa orang yang buruk. Bukan untuk menyingkirkan keimanan yang ada pada diri orang mukmin dan bukan untuk mengeluarkan mereka dari agama, kerana Allah tidak akan menyia-nyiakan iman mereka.

Demikianlah sunnatullah yang berlaku pada hamba-hambaNya. Jika kesenangan sentiasa didapatkan oleh mereka yang beriman dan tidak diuji tentu akan terjadi percampuran antara yang benar-benar beriman dengan yang tidak. Adakalanya Allah mengujinya dengan kesenangan dan adakalanya mengujinya dengan kesengsaraan.

"dengan sesuatu" 

Iaitu sedikit, tidak banyak atau sebahagian waktu. Jika banyak atau seluruh hidupnya adalah ketakutan atau sentiasa lapar, tentu manusia akan binasa. Ujian bertujuan untuk menyaring, bukan untuk membinasakan.

"dari ketakutan" 

Seperti ada ancaman dari musuh.

"dan kelaparan, dan kekurangan dari harta-harta" 

Kelaparan dan kekurangan harta, seperti sulitnya mencari rezeki atau hilangnya rezeki itu kerana ada musibah dari langit, hilang, dirampas oleh orang-orang zalim dan sebagainya.

"dan jiwa-jiwa" 

Kekurangan jiwa seperti meninggalnya atau ditimpa penyakit orang yang dicintainya baik itu anaknya, saudara mara, teman-teman, kekasih-kekasih dan sebagainya.

"dan buah-buahan." 

Kekurangan buah-buahan seperti hasil pertaniannya berkurangan atau musnah akibat banjir, terbakar, dimakan haiwan perosak dan sebagainya.

Ujian-ujian seperti yang disebutkan di atas pasti terjadi kerana diberitakan oleh Allah yang Maha Mengetahui. Apabila berlaku cobaan itu, ada yang menghadapinya dengan berkeluh kesah dan ada yang bersabar.

"Dan berilah khabar gembira orang-orang yang sabar." 

Berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Barang siapa yang tidak sabar dan berkeluh kesah, maka azabNya akan menimpanya. Mereka akan mendapatkan dua musibah, iaitu hilangnya apa yang dicintai dan tidak mendapat pahala yang besar, bahkan mereka mendapat kerugian, imannya melemah, kesabaran, ridha dan rasa syukurnya hilang dan musibah tersebut terasa semakin berat.

Barang siapa yang bersabar dan tidak berkeluh kesah, mereka akan mendapat pahala lebih besar daripada musibah yang menimpanya serta syurgaNya. Maka mereka akan merasakan musibah tersebut menjadi ringan, bahkan nikmat baginya, kerana musibah itu merupakan cara untuk memperoleh hal yang lebih baik dan bermanfa'at. Mereka itu adalah,

"156. Orang-orang yang apabila menimpa mereka sebuah musibah," 

Musibah adalah semua yang membuat hati, badan atau kedua-duanya terasa sakit atau pedih. Manakala tertimpa musibah, mereka menghibur dirinya, menenangkan dan menghilangkan kesedihan mereka dengan mengucapkan suatu kalimat istirja iaitu,

"mereka berkata, "Sungguh Kami milik Allah,"

Ucapan ini menanamkan di dalam hati suatu pengakuan bahawa kita adalah hamba-hambaNya, milikNya, di bawah pengaturanNya, tindakanNya dan kehendakNya. Kita tidak memiliki apa-apa terhadap jiwa dan harta sedikit pun.

Apabila Dia menimpakan ujian, maka sesungguhnya itu merupakan tindakan yang berasal dari Yang Maha Penyayang kepada milikNya. Oleh kerana itu, sikap yang harus dilakukan adalah ridha, bersyukur kerana diatur olehNya kepada hal yang lebih baik bagi dirinya walaupun ia tidak menyedari.

"dan sungguh kami kepadaNya akan kembali."

Ucapan ini menanamkan di dalam hati suatu pengakuan bahawa kita pasti akan kembali kepadaNya di hari kiamat nanti, lalu masing-masing akan diberi balasan sesuai amalnya. Jika kita bersabar dan mengharap pahala dari Allah s.w.t., maka kita akan mendapatkan pahala secara penuh di sisiNya. Dia tidak akan menyia-nyiakan pahala di sisiNya sediki pun.

Memahami bahawa kita adalah milik Allah dan akan kembali kepadaNya merupakan sebab terkuat untuk memiliki kesabaran.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tidak sekali-kali seorang muslim tertimpa suatu musibah, lalu ia membaca istirja' ketika musibah menimpanya, kemudian mengucapkan, "Ya Allah, berilah daku pahala dalam musibahku ini, dan gantikanlah buatku yang lebih baik daripadanya," melainkan diberlakukan kepadanya apa yang dimintanya itu.

Nabi s.a.w. telah bersabda, "Tidak sekali-kali seorang lelaki atau perempuan muslim tertimpa suatu musibah, lalu ia mengingatnya, sekalipun waktunya telah berlalu, kemudian ingatannya itu menggerakkannya untuk membaca istirja', melainkan Allah memperbarui untuknya saat itu dan memberikan kepadanya pahala yang sama dengan pahala ketika di hari ia tertimpa musibah."

"157. Mereka itu kepada mereka ampunan dari Tuhan mereka" 

Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dari Tuhannya. Mereka dilimpahkan pahala, pujian, kebaikan dan aman dari siksa Allah.

"dan rahmat." 

Serta rahmatNya. Di antara rahmatNya kepada mereka adalah dengan memberikan taufiq untuk bersabar, di mana dengannya mereka memperoleh pahala yang sempurna.

"Dan mereka itulah mereka orang-orang yang mendapat petunjuk." 

Mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. Mereka diberi petunjuk kepada yang hak (benar), bahawa mereka milik Allah, akan kembali kepadaNya dan mereka bersabar kerana Allah. Mereka diberikan pahala tambahannya. Mereka mempersiapkan jiwa agar bersedia menghadapi musibah dengan bersabar walaupun belum berlaku.

Barangsiapa yang tidak bersabar, maka dia akan mendapat sebaliknya iaitu celaan dari Allah, hukuman, kesesatan dan kerugian. Sungguh sangat berbeda dua golongan tersebut, sungguh ringan beban orang yang bersabar dan sungguh berat beban orang yang berkeluh kesah.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...