Ahad, 2 Oktober 2016

68:1-7 Tafsir Surah Al Qalam, ayat 1-7.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

ن وَالْقَلَمِ وَمَا يَسْطُرُونَ (١) مَا أَنْتَ بِنِعْمَةِ رَبِّكَ بِمَجْنُونٍ (٢) وَإِنَّ لَكَ لأجْرًا غَيْرَ مَمْنُونٍ (٣) وَإِنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عَظِيمٍ (٤) فَسَتُبْصِرُ وَيُبْصِرُونَ (٥) بِأَيِّكُمُ الْمَفْتُونُ (٦) إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ (٧)

Allah s.w.t. berfirman, 

"1. Nun. Demi pena"

Nun adalah satu daripada huruf-huruf hijaiyah yang mengawali surah-surah Al Qur'an, sama dengan Sad, Qaf dan sebagainya. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui maksudnya.

Al Qalam adalah pena, alat yang digunakan untuk mencatat takdir di Lauh Mahfuzh, makhluk yang mula-mula diciptakan oleh Allah dalam jarak masa lima puluh ribu tahun sebelum Dia menciptakan langit dan bumi. Al Qalam tersebut dari nur yang panjangnya sama dengan jarak perjalanan seratus tahun.

Allah berfirman, "Tulislah!" Al Qalam bertanya, "Apakah yang harus aku tulis?" Allah s.w.t. berfirman, "Tulislah takdir", iaitu segala sesuatu yang akan terjadi, yang akan ada, amal ketaatan atau amal kederhakaan, rezeki halal yang diberikan atau rezeki haram, jejak, masa tinggal di dunia, usia, ajal dan cara kematian semua makhlukNya.

Maka al Qalam mencatat semua yang akan terjadi sejak hari itu sampai hari kiamat. Kemudian al Qalam dikunci, maka ia tidak berbicara sampai hari kiamat.

Kemudian Allah menciptakan Nun, ikan yang amat besar di atas lautan air yang sangat luas. Nun menaikkan wap air. Maka terciptalah darinya langit, dan terhamparlah bumi di atas nun. Lalu nun bergetar, maka bumi pun terhampar dengan luasnya, lalu dikukuhkan dengan gunung-gunung. Dialah yang menyangga tujuh lapis bumi. Menurut pendapat yang lain, Nun adalah tinta atau lauh (lembaran) dari nur (cahaya).

Al Qalam di dunia adalah semua pena yang digunakan untuk menulis ilmu, zikir (peringatan) dan sebagainya. Allah s.w.t. bersumpah dengan menyebut al Qalam, untuk mengingatkan makhlukNya akan tanda-tanda kekuasaan Allah yang besar dan nikmat yang telah diberikanNya. Dia telah mengajarkan kepada mereka menulis. Melaluinya ilmu pengetahuan dapat diraih.

"dan apa yang mereka tulis,"

Iaitu apa yang mereka kerjakan. Para malaikat mencatat segala amal perbuatan semua hamba. Sedangkan manusia menulis natsr (tulisan bebas), nazhm (tulisan bersusun seperti syair) dan sebagainya.

Allah s.w.t. telah menempatkan Nabi Muhammad s.a.w. pada kedudukan yang paling tinggi, sedangkan musuh-musuhnya iaitu orang-orang yang bodoh dari kalangan kaumnya yang mendustakan petunjuk dan perkara hak yang jelas, yang Beliau sampaikan kepada mereka. Mereka menuduh Beliau s.a.w. sebagai orang yang gila, maka Allah s.w.t. berfirman,

"2. Tidakkah kamu dengan nikmat Tuhanmu orang gila."

Allah s.w.t. menafikan sifat gila dari Beliau s.a.w. berkat nikmat dan ihsanNya, iaitu dikaruniakan kepadanya akal yang sempurna, pandangan yang baik dan kata-kata yang tepat yang paling baik untuk ditulis. Hal ini merupakan kebahagiaan untuk Beliau s.a.w. di dunia.

"3. Dan sungguh bagi kamu pahala tidak terputus-putus." 

Kebahagiaan untuk Beliau s.a.w. di akhirat adalah bahawa untuknya pahala yang besar dan imbalan yang berlimpah yang tiada putus-putusnya. Tidak akan lenyap imbalan pahala Beliau s.a.w. menyampaikan risalah Tuhannya kepada makhluk dan kesabarannya menghadapi gangguan mereka yang menyakitkan.

"4. Dan sungguh kamu benar-benar di atas budi pekerti yang agung." 

Aisyah r.a. ditanya tentang akhlak Rasulullah s.a.w. Maka ia menjawab, "Akhlak Rasulullah s.a.w. adalah Al Qur’an." Iaitu Beliau s.a.w. pasti mengerjakan perintah dan meninggalkan larangan yang disebutkan dalam Al Qur’an.

Hal ini telah tertanam dalam diri beliau sebagai watak dan pembawaannya serta sebagai akhlak yang telah terpatri dalam tindakannya. Beliau s.a.w. memiliki akhlak yang paling sempurna dan paling agung dan paling tinggi.

Beliau s.a.w. dibekalkan oleh Allah dalam dirinya akhlak yang besar seperti sifat pemalu, lemah lembut, dermawan, berani, pemaaf, penyantun, mendoakan kebaikan kepada orang lain, suka bermusyawarat, bertawakkal dan semua akhlak yang mulia dan terpuji.

Oleh kerana itu, Beliau s.a.w. orangnya mudah, dekat dengan manusia, memenuhi undangan orang yang mengundangnya, memenuhi keperluan orang yang memerlukan, memberi orang yang meminta-minta dan tidak mengecewakannya.

Apabila para sahabatnya menginginkan suatu perkara dari Beliau, maka Beliau menyetujui mereka serta mengikuti mereka jika tidak ada larangannya, dan jika ingin melakukan suatu langkah, maka Beliau mengajak para sahabatnya bermusyawarah terhadapnya.

Beliau s.a.w. menerima orang yang berbuat ihsan dan memaafkan orang yang bersalah dan Beliau bersikap dengan sikap yang sebaik-baiknya kepada orang yang duduk dengannya.

Beliau s.a.w. tidak bermuka masam, tidak keras ucapannya, tidak membentak, tidak mengherdik, tidak menyembunyikan kegembiraannya, menjaga lisannya dari ucapan yang tidak berguna, tidak membalas orang yang bertindak kasar terhadap diri Beliau, tidak marah jika dirinya disakiti, tetapi marah dan melakukan pembalasan jika syariat Allah s.w.t. dilanggar.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya aku diutus hanyalah untuk menyempurnakan akhlak-akhlak yang baik."

"5. Maka kelak kamu akan melihat, dan mereka akan melihat." 

Di hari kiamat kelak, engkau dan orang-orang yang menentang dan mendustakanmu akan dikhabari dan mengetahui.

"6. Siapa di antara kalian yang gila?" 

Maftun bermaksud gila, terperdaya hingga menyimpang dari jalan yang benar dan sesat jauh darinya. Siapakah di antara kalian yang gila, sesat, buruk, pendusta, sombong, tergelincir, membuat fitnah dan terpedaya oleh bujukan syaitan.

"7. Sungguh Tuhanmu Dia lebih mengetahui terhadap siapa yang sesat dari jalanNya. Dan Dia lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk." 

Maka, cukuplah Allah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui siapa yang tersesat dari jalanNya dan siapa yang mendapatkan petunjuk. Dialah yang akan menghisab dan memberi balasan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...