Khamis, 10 November 2016

19:1-11 Tafsir Surah Maryam, ayat 1-11.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

كهيعص (١) ذِكْرُ رَحْمَةِ رَبِّكَ عَبْدَهُ زَكَرِيَّا (٢) إِذْ نَادَى رَبَّهُ نِدَاءً خَفِيًّا (٣) قَالَ رَبِّ إِنِّي وَهَنَ الْعَظْمُ مِنِّى وَاشْتَعَلَ الرَّأْسُ شَيْبًا وَلَمْ أَكُنْ بِدُعَائِكَ رَبِّ شَقِيًّا (٤) وَإِنِّي خِفْتُ الْمَوَالِيَ مِنْ وَرَائِي وَكَانَتِ امْرَأَتِي عَاقِرًا فَهَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ وَلِيًّا (٥) يَرِثُنِي وَيَرِثُ مِنْ آلِ يَعْقُوبَ وَاجْعَلْهُ رَبِّ رَضِيًّا (٦) يَا زَكَرِيَّا إِنَّا نُبَشِّرُكَ بِغُلامٍ اسْمُهُ يَحْيَى لَمْ نَجْعَلْ لَهُ مِنْ قَبْلُ سَمِيًّا (٧) قَالَ رَبِّ أَنَّى يَكُونُ لِي غُلامٌ وَكَانَتِ امْرَأَتِي عَاقِرًا وَقَدْ بَلَغْتُ مِنَ الْكِبَرِ عِتِيًّا (٨) قَالَ كَذَلِكَ قَالَ رَبُّكَ هُوَ عَلَيَّ هَيِّنٌ وَقَدْ خَلَقْتُكَ مِنْ قَبْلُ وَلَمْ تَكُ شَيْئًا (٩) قَالَ رَبِّ اجْعَلْ لِي آيَةً قَالَ آيَتُكَ أَلا تُكَلِّمَ النَّاسَ ثَلاثَ لَيَالٍ سَوِيًّا (١٠) فَخَرَجَ عَلَى قَوْمِهِ مِنَ الْمِحْرَابِ فَأَوْحَى إِلَيْهِمْ أَنْ سَبِّحُوا بُكْرَةً وَعَشِيًّا (١١)

Allah s.w.t. berfirman,

"1. Kaf Ha Ya 'Ain Sad."

"2. Penjelasan rahmat Tuhanmu kepada hambaNya, Zakaria." 

Kisah ini menceritakan tentang rahmat Allah kepada salah seorang hambaNya, iaitu Nabi Zakaria a.s. agar dapat diketahui lebih jelas keadaannya, peninggalannya yang baik dan keutamaannya. Di dalam kisah ini terdapat pelajaran dan teladan. Ia mendorong kita untuk mencintai Allah s.w.t., banyak mengingatNya, mengenalNya dan merupakan sebab yang dapat menghubungkan kita kepadaNya.

Zakaria a.s. adalah seorang nabi yang besar dari kalangan nabi-nabi kaum Bani Israil. Allah s.w.t. telah memilih Zakaria menjadi rasulNya dan memberikan wahyu kepadanya, maka Beliau melaksanakannya sebagaimana rasul-rasulNya yang lain. Beliau makan dari hasil kerja tangannya sendiri sebagai tukang kayu. Beliau mengajak manusia kepada Allah, menasihati mereka di masa hidupnya hingga wafatnya.

"3. Ketika dia berdoa kepada Tuhannya doa yang lembut." 

Zakaria a.s. bangun di tengah malam, sedangkan semua muridnya telah tidur; lalu dia berbisik berdoa kepada Allah dengan suara yang lembut agar lebih sempurna, lebih utama dan lebih ikhlas. Berdoa pada waktu tengah malam lebih cepat diijabah (dikabulkan).

Sesungguhnya Allah mengetahui kalbu orang yang bertakwa dan mendengar suara yang perlahan.

"4. Dia berkata, "Ya Tuhanku, sungguh aku telah lemah tulang dariku""

Zakaria a.s. mengeluhkan kelemahan dirinya kepada Allah s.w.t. Tulang, tubuh dan tenaganya sudah tidak mempunyai kekuatan lagi.

"dan menyala-nyala kepala uban" 

Warna putih ubannya menutupi sisa rambutnya yang masih hitam. Uban merupakan tanda kelemahan dan ketuaan, utusan maut, pemandunya dan peringatan terhadapnya. Zakaria a.s. telah nampak tanda-tanda Beliau hampir wafat.

"dan tidak pernah aku menjadi dengan doa kepadamu Tuhanku kecewa.""

Aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepadaMu, Ya Tuhanku. Setiap kali aku berdoa kepadaMu, Engkau memperkenankannya. Engkau sentiasa menyambutku. KelembutanMu selalu mengalir kepadaku. IhsanMu sentiasa sampai kepadaku. Engkau tidak pernah menolak apa yang kumohonkan kepadaMu. Engkau tidak menghendaki aku kecewa dan terhalang dari dikabulkan doa.

"5. Dan sungguh aku, aku khuatir mawaliku dari belakangku dan dia isteriku seorang yang mandul," 

Mawali di sini bermaksud pewaris, pengganti atau orang yang akan mengendalikan dan melanjutkan urusan yang berkaitan dengan agama sepeninggalannya dan yang memimpin Bani Israil serta yang mengajak mereka kepada Allah.

Zakaria a.s. merasa bimbang penggantinya tidak dapat melaksanakan urusan itu dengan baik dan akan berlaku buruk terhadap manusia kerana tidak seorang pun di antara kaumnya yang dapat dipercayai dan layak memegang kedudukan imamah fid din (pemimpin dalam agama).

"maka berilah kepadaku dari sisiMu penolong." 

Maka Zakaria a.s. memohon kepada Allah agar dikurniakan seorang anak lelaki yang akan menegakkan agama Allah setelah Beliau wafat.

"6. Dia yang akan mewarisi aku dan mewarisi dari keluarga Ya'qub," 

Iaitu mewarisi ilmu, amal dan kenabian yang diturunkan sejak Nabi Ya'qub a.s. (Bani Isra'il) untuk memimpin kaumnya dengan wahyu yang diturunkan kepadanya.

"dan jadikanlah dia, Tuhanku, seorang hamba yang diridhai." 

Iaitu diridhai dan disukai di sisi Allah dan dikalangan makhlukNya kerana agama dan akhlaknya. Doa yang dipanjatkan Zakaria a.s. diperkenankan oleh Allah s.w.t. Kemudian Malaikat Jibril memanggil Zakaria a.s. yang sedang berdiri melakukan solat di dalam mihrab,

"7. Wahai Zakaria! Sungguh Kami beri kamu khabar gembira dengan seorang anak lelaki namanya Yahya," 

Allah menamainya dengan Yahya, sesuai dengan orangnya. Yahya akan membenarkan kalimat yang datang dari Allah, menjadi ikutan, menahan diri dari hawa nafsu dan seorang Nabi termasuk keturunan orang-orang soleh.

Beliau hidup secara hissiy (konkrit) dan maknawi (abstrak). Contoh maknawi adalah hidupnya hati dan ruh dengan wahyu dan ilmu, sehingga sempurnalah nikmat yang diberikan kepadanya.

"tidak Kami jadikan baginya sebelumnya nama." 

Allah s.w.t. belum pernah menamakan seseorang dengan nama Yahya dan belum pernah menciptakan orang yang serupa dengannya sebelum itu.

Zakaria a.s. merasa hairan apabila doanya dikabulkan dan mendapat berita gembira akan kelahiran seorang putera, maka kegembiraannya meledak-ledak.

"8. Dia berkata, "Tuhanku, bagaimanakah adalah aku mempunyai anak lelaki dan adalah isteriku mandul""

Lalu Beliau bertanya tentang cara yang menyebabkan Beliau beranak, sedangkan isterinya mandul dan tidak mempunyai anak sejak awal lagi.

"dan sungguh aku telah sampai usia lanjut sangat tua?" 

Dirinya juga sudah tua, kurus dan tulang-tulangnya telah lemah. Jika diumpamakan dengan pokok, 'itiyya bermaksud tua, kering dan rapuh. Tiada kemampuan lagi baginya untuk melakukan persetubuhan. Malaikat yang ditugaskan oleh Allah s.w.t. menjawab kehairanan Zakaria a.s. dari apa yang diberitakan kepadanya,

"9. Berfirman, "Demikianlah." Berfirman Tuhanmu, "Ia bagiKu mudah.""

Mewujudkan sesuatu tanpa sebab adalah hal yang sangat mudah bagiNya. Melahirkan anak dari kamu dan isterimu itu, dan bukan dari lainnya adalah mudah sekali bagi Allah.

"Dan sungguh Aku telah menciptakan kamu sebelumnya, dan tidak kamu sesuatu."

Engkau telah Aku ciptakan sebelum itu, padahal pada waktu itu engkau belum wujud sama sekali. Hal itu lebih menghairankan daripada apa yang engkau pertanyakan.

"10. Dia berkata, "Tuhanku jadikanlah bagiku ayat.""

Iaitu tanda yang menunjukkan permulaan kehamilan isterinya, agar jiwanya tenang dan hatinya dan gembira dengan apa yang Allah janjikan. Beliau tidaklah meragukan berita Allah itu, tetapi supaya ditambah lagi ilmunya dari ‘ilmul yaqin (pengetahuan yang yakin) kepada ‘ainul yaqin (penglihatan yang yakin). Maka Allah s.w.t. mengabulkan permohonannya sebagai rahmat untuknya.

"Dia berfirman, "Ayatmu bahawa tidak bercakap-cakap dengan manusia tiga malam, dalam keadaan sihat."" 

Tandanya ialah Zakaria a.s. tidak dapat bercakap-cakap dengan manusia selama tiga malam, padahal Beliau sihat. Beliau terhalang dan tidak mampu berbicara dengan manusia tiga hari tiga malam berturut-turut. Lisannya kaku bukan kerana bisu atau gangguan penyakit. Beliau hanya dapat membaca kitab, bertasbih dan zikrullah.

Hal ini menunjukkan ayat-ayat (tanda-tanda kekuasaan) Allah yang menakjubkan dan menyelisihi kebiasaan. Hati Zakaria a.s. pun tenang dan merasa gembira dengan khabar tersebut. Beliau mengikuti perintah Allah untuk bersyukur dengan beribadah dan menyebut namaNya.

"11. Maka dia keluar kepada kaumnya dari mihrab," 

Ketika itu kaumnya menunggu agar Beliau membukakan mihrabnya untuk solat di situ dengan perintahnya seperti biasanya.

"lalu dia mrmberi isyarat kepada mereka;" 

Auha di sini bermakna asyara, iaitu berisyarat. Zakaria a.s. berbicara dengan kaumnya hanya dengan berisyarat secara samar lagi cepat atau menulis di tanah kepada mereka.

"bahawa bertasbihlah pada waktu pagi dan petang." 

Bertasbih juga bermaksud bersolat. Maksudnya, Beliau meminta mereka menyokongnya dengan mengikuti apa yang diperintahkan kepadanya dalam masa-masa tiga hari itu. Bantuan tasbih mereka sebagai penyokong ungkapan rasa syukurnya kepada Allah s.w.t. atas kurnia yang diberikan kepadanya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...