Jumaat, 11 November 2016

21:36-41 Tafsir Surah Al Anbiya, ayat 36-41.

وَإِذَا رَآكَ الَّذِينَ كَفَرُوا إِنْ يَتَّخِذُونَكَ إِلا هُزُوًا أَهَذَا الَّذِي يَذْكُرُ آلِهَتَكُمْ وَهُمْ بِذِكْرِ الرَّحْمَنِ هُمْ كَافِرُونَ (٣٦) خُلِقَ الإنْسَانُ مِنْ عَجَلٍ سَأُرِيكُمْ آيَاتِي فَلا تَسْتَعْجِلُونِ (٣٧) وَيَقُولُونَ مَتَى هَذَا الْوَعْدُ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (٣٨) لَوْ يَعْلَمُ الَّذِينَ كَفَرُوا حِينَ لا يَكُفُّونَ عَنْ وُجُوهِهِمُ النَّارَ وَلا عَنْ ظُهُورِهِمْ وَلا هُمْ يُنْصَرُونَ (٣٩) بَلْ تَأْتِيهِمْ بَغْتَةً فَتَبْهَتُهُمْ فَلا يَسْتَطِيعُونَ رَدَّهَا وَلا هُمْ يُنْظَرُونَ (٤٠) وَلَقَدِ اسْتُهْزِئَ بِرُسُلٍ مِنْ قَبْلِكَ فَحَاقَ بِالَّذِينَ سَخِرُوا مِنْهُمْ مَا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ (٤١) 

Orang-orang kafir Quraisy, seperti Abu Jahal dan lain-lainnya sangat kerasnya kekafirannya. Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"36. Dan apabila melihat kamu orang-orang yang kafir, tidaklah mereka membuat kamu melainkan olok-olok." 

Apabila mereka nampak Nabi Muhammad s.a.w., mereka memperolok-olok, mengejek dan merendahkannya dengan berkata,

"Inikah orang yang menyebut tuhan-tuhan kalian?" 

Mereka menuduh Nabi s.a.w. mencela, mencaci maki berhala-berhala mereka dan membodoh-bodohkan orang-orang terkemuka mereka.

"Mereka dengan menyebut Ar Rahman mereka orang-orang yang kafir." 

Padahal mereka orang yang ingkar jika disebut Ar Rahman. Rasulullah s.a.w. adalah manusia yang paling sempurna dan paling utama. Merekalah yang sebenarnya makhluk yang paling hina kerana mempunyai semua akhlak tercela. Mereka ingkar dari mengingat Allah Yang Maha Pemurah. Mereka berkata, “Kami tidak mengenal Ar Rahman.”

"37. Telah diciptakan manusia dari sifat tergesa-gesa." 

Manusia telah dijadikan bertabiat atau bersifat tergesa-gesa dalam segala urusannya. Allah s.w.t. menciptakan Adam setelah Dia menciptakan segala sesuatu, iaitu di penghujung siang hari Dia menciptakan semua makhluk lainnya. Setelah roh menghidupkan kedua matanya, lisannya, dan kepalanya, tetapi roh masih belum sampai ke anggota bahagian bawahnya, Adam berkata, "Ya Tuhanku, segerakanlah penciptaanku sebelum matahari tenggelam."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya adalah hari Jumaat; pada hari itu Adam diciptakan, dan pada hari yang sama Adam dimasukkan ke dalam syurga, dan pada hari itu juga Adam diturunkan dari syurga (ke bumi), dan pada hari itu pula kiamat akan terjadi. Di dalam hari Jumaat terdapat suatu saat yang tidak sekali-kali seseorang hamba yang beriman menjumpainya dalam keadaan solat (Rasulullah s.a.w. mengatakan demikian seraya menggenggamkan jari jemarinya mengisyaratkan bahawa waktu itu cuma sebentar) lalu ia meminta suatu kebaikan kepada Allah, melainkan Allah memberinya apa yang dimintanya itu."

Waktu ijabah itu ialah di penghujung siang hari Jumaat. Pada waktu itulah Allah menciptakan Adam.

"Akan Aku perlihatkan pada kalian ayat-ayatKu." 

Allah s.w.t. menunda bukan bererti membiarkan, akan tetapi telah menetapkan waktu yang ditentukan. Dia telah memberikan masa tangguh kepada orang yang berbuat aniaya. Dia akan menunjukkan tanda-tanda azabNya, iaitu pembalasan, hukum dan kekuasaanNya kepada orang yang kafir dan derhaka terhadapNya.

"Maka janganlah kalian memintaKu menyegerakan." 

Orang-orang mukmin meminta kepada Allah agar disegerakan azab kepada orang-orang kafir, dan orang-orang kafir juga meminta agar azab itu disegerakan kepada mereka.

"38. Dan mereka berkata, "Bilakah ini janji, jika kalian orang-orang yang benar?""

Kaum musyrik mengucapkan kata-kata ini kerana tertipu dan belum tertimpa azab. Mereka meminta agar azab atau hari kiamat didatangkan dengan segera kepada diri mereka kerana tidak percaya bahawa adanya azab tersebut. Mereka mengingkarinya, mendustakannya dan menganggapnya mustahil.

"39. Seandainya mengetahui orang-orang yang kafir pada waktu yang mereka tidak dapat menahan dari wajah-wajah mereka api neraka dan tidak pula dari punggung-punggung mereka, dan mereka tidak mendapat pertolongan." 

Seandainya mereka meyakini bahawa mereka tidak mampu menolak azab yang akan meliputi mereka dari semua arah, dan tiada sesiapa pun yang akan menolong atau melindung mereka, tentulah mereka tidak akan meminta agar azab disegerakan.

"40. Bahkan ia akan datang kepada mereka dengan tiba-tiba, lalu ia membingungkan mereka; maka mereka tidak mampu menolaknya dan mereka tidak diberi penangguhan." 

Allah memberikan masa tangguh, kemudian bila telah tiba saatnya, siksaan atau azab itu pasti akan datang kepada mereka dengan mendadak. Mereka akan terkejut, panik dan tidak tahu apa yang harus dilakukan. Mereka tidak mampu mengelakkan diri dan selamat dari azabNya. Azab itu tiada ditangguhkan barang sedikit waktu pun dari mereka untuk bertaubat.

Allah s.w.t. berfirman menghiburkan hati Nabi Muhammad s.a.w. yang sedang menghadapi gangguan yang menyakitkan dari kaum musyrik yang mengejek dan mendustakannya.

"41. Dan sungguh, telah diperolok-olok dengan rasul-rasul sebelummu, maka mengepung orang-orang yang mengejek di antara mereka apa yang mereka dengannya mereka memperolok-olok." 

Rasul-rasul sebelum Beliau s.a.w. juga telah diperolok-olokkan dan didustakan, tetapi mereka sabar terhadap pendustaan dan penganiayaan yang dilakukan terhadap mereka. Kemudian datanglah pertolongan Allah kepada mereka, iaitu azab dan siksaan yang dahulunya orang kafir anggap mustahil akan terjadi. Begitu juga yang menimpa orang-orang yang mencemuh Beliau s.a.w. Allah s.w.t. memperlihatkan mereka diazab, disiksa dan dibunuh di Badar.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...