Ahad, 13 November 2016

23:51-61 Tafsir Surah Al Mu’minun, ayat 51-61.

يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ (٥١) وَإِنَّ هَذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاتَّقُونِ (٥٢) فَتَقَطَّعُوا أَمْرَهُمْ بَيْنَهُمْ زُبُرًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ (٥٣) فَذَرْهُمْ فِي غَمْرَتِهِمْ حَتَّى حِينٍ (٥٤) أَيَحْسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُمْ بِهِ مِنْ مَالٍ وَبَنِينَ (٥٥) نُسَارِعُ لَهُمْ فِي الْخَيْرَاتِ بَل لا يَشْعُرُونَ (٥٦) إِنَّ الَّذِينَ هُمْ مِنْ خَشْيَةِ رَبِّهِمْ مُشْفِقُونَ (٥٧) وَالَّذِينَ هُمْ بِآيَاتِ رَبِّهِمْ يُؤْمِنُونَ (٥٨) وَالَّذِينَ هُمْ بِرَبِّهِمْ لا يُشْرِكُونَ (٥٩) وَالَّذِينَ يُؤْتُونَ مَا آتَوْا وَقُلُوبُهُمْ وَجِلَةٌ أَنَّهُمْ إِلَى رَبِّهِمْ رَاجِعُونَ (٦٠) أُولَئِكَ يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَهُمْ لَهَا سَابِقُونَ (٦١)

Allah s.w.t. telah memerintahkan kepada semua hamba-hambaNya yang menjadi rasul.

"51. Wahai rasul-rasul! Makanlah kalian dari yang baik-baik," 

Iaitu rezeki yang baik lagi halal dan datang dari sumber yang baik lagi halal. Para rasul semuanya telah membolehkan makanan yang baik-baik dan mengharamkan makanan yang buruk. Allah hanya mahu menerima yang baik-baik (halal). Dia memerintahkan kepada orang-orang yang beriman seperti apa yang Dia perintahkan kepada para rasulNya. Perkara yang halal itu membantu mengerjakan amal soleh.

"dan kerjakanlah yang soleh." 

Bersyukurlah kepada Allah dengan beramal soleh, yang wajib maupun yang sunat. Dengan amalan soleh, hati dan badan menjadi baik di dunia dan di akhirat. Maka para rasul semuanya mengerjakannya dengan sebaik-baiknya dengan ucapan, perbuatan, sebagai pembuktian dari diri dan dalam bernasihat, walaupun berbeda-beda syariatnya, namun semua itu adalah amal soleh dan tetap sesuai di setiap zaman.

"Sungguh, Aku dengan apa yang kalian kerjakan Maha Mengetahui." 

Allah Maha Mengetahui setiap amalan dan perbuatan yang dilakukan. Dia akan memberikan balasan terhadapnya secara sempurna.

"52. Dan sungguh, ini umat kalian, umat yang satu," 

Sungguh, inilah agama kamu semua, agama yang satu. Agama para nabi sejak Adam a.s. adalah agama yang satu, agama yang sama, iaitu agama tauhid atau Islam, yang menyeru untuk menyembah Allah semata, tiada sekutu bagiNya. Kamu semua harus berada di atasnya.

"dan Aku Tuhan kalian, maka bertakwalah kepadaKu." 

Laksanakan perintahNya dan menjauhi laranganNya. Allah s.w.t. juga memerintahkan kaum mumkin seperti yang diperintahkanNya kepada para rasul, kerana mereka mengikuti dan berjalan di belakang para rasul. Oleh kerana itu, bagi mereka yang mengaku mengikuti para nabi harus melakukan demikian, akan tetapi orang-orang yang zalim menderhaka.

"53. Maka mereka terpecah belah urusan mereka di antara mereka golongan." 

Umat para nabi yang diutus itu terpecah belah dalam urusan agama mereka kepada beberapa golongan, seperti yang telah berlaku pada orang Yahudi, Nasrani, dan lain-lain.

"Tiap-tiap golongan dengan apa yang di sisi mereka, mereka gembira." 

Masing-masing mereka bangga dengan pengetahuan dan agamanya. Mereka menyangka bahawa merekalah yang benar sedangkan selainnya salah. Mereka merasa bangga dengan kesesatannya kerana mereka menyangka bahawa diri mereka berada dalam petunjuk.

Padahal yang benar di antara mereka adalah yang tetap di atas agama para rasul, iaitu Islam dan mengikuti jejak mereka, iaitu memakan yang baik-baik dan beramal soleh, selainnya adalah batil.

"54. Maka biarkan mereka dalam kesesatan mereka" 

Biarkanlah dan beri tangguhlah mereka dengan kesesatan, penyimpangan dan kebodohan mereka.

"hingga suatu waktu." 

Iaitu ajal mereka atau azab datang menimpa mereka.

Nasihat tidak bermanfaat, larangan tidak berguna kepada orang yang sudah merasa benar. Bahkan mereka mengajak orang lain mengikutinya.

"55. Apakah mereka mengira bahawa hanyalah Kami memberikan mereka dengannya dari harta dan anak-anak," 

"56. Kami menyegerakan kepada mereka dalam kebaikan?" 

Allah memberikan kelebihan kepada mereka dengan harta benda dan anak-anak. Dengan itu mereka menyangka bahawa mereka adalah orang-orang yang baik, utama, berbahagia, didekatkan denganNya, dimuliakanNya, diberi penghormatan di sisiNya, mendapat kebaikan di dunia dan akhirat. Maka mereka bersikap buruk dan merasa tidak akan diazab oleh Allah.

"Bahkan mereka tidak sedar." 

Sebenarnya tidak seperti apa yang mereka sangka. Mereka telah keliru dan kelak akan kecewalah mereka dengan harapannya itu. Mereka terpedaya dengan tipu daya dari Allah. Dia sengaja menuruti semua kemahuan mereka sebagai istidraj (persiapan untuk diazab dan pembinasaan beransur-ansur).

Diberikan nikmat kepada mereka agar bertambah-tambah dosa mereka. Ia hanya penangguhan dariNya terhadap mereka. Hukuman akan disempurnakan untuk mereka pada hari kiamat. Mereka adalah orang-orang munafik.

"57. Sesungguhnya orang-orang yang mereka kerana takut Tuhan mereka, mereka berhati-hati." 

Orang mukmin sentiasa berhati-hati, mengerjakan perbuatan ihsan dan perbuatan soleh. Mereka sentiasa dicekam oleh rasa bimbang dan takut akan tertimpa tipu daya, kemurkaan dan azab Allah.

Mereka takut tidak tersisa lagi kebaikan bagi mereka jika Allah meletakan keadilanNya kepada mereka. Mereka menyangka bahawa mereka masih belum memenuhi hak Allah Ta’ala, mereka juga takut kehilangan iman.

Mereka kenal Tuhan mereka. KeberhakanNya dimuliakan dan diagungkan serta takut kepadaNya, maka yang demikian membuat mereka menahan diri dari dosa dan meremehkan kewajiban.

"58. Dan orang-orang yang mereka kepada ayat-ayat Tuhan mereka beriman." 

Apabila ayat-ayat itu dibacakan kepada mereka, maka keimanan mereka bertambah, mereka pun memikirkan dan mentadabburi ayat-ayatNya, sehingga jelaslah bagi mereka makna-makna Al Qur’an, keagungannya, kesesuaiannya dan tidak ada yang bertentangan.

Begitu juga ajakannya untuk mengenal Allah, takut dan berharap kepadaNya serta keadaan tentang pembalasan. Dari sana muncul bagi mereka rincian keimanan yang tidak mungkin diungkapkan oleh lisan.

Di samping itu, mereka juga mentafakkuri ayat-ayat (tanda-tanda) Allah yang ada di alam semesta, baik yang bersifat alami maupun yang bersifat hukum syar'i.

Mereka yakin bahawa apa yang terjadi pada dirinya adalah takdir dan keputusan Allah dan syariat yang telah ditetapkanNya.

Jika syariat Allah itu berupa perintah, bererti subjeknya disukai dan diridaiNya. Dan jika berupa larangan, bererti subjeknya dibenci dan ditolakNya. Dan jika kebaikan, bererti subjeknya adalah perkara yang hak.

"59. Dan orang-orang yang mereka kepada Tuhan mereka, mereka tidak menyekutukan." 

Mereka tidak melakukan baik syirik besar, seperti menyembah selain Allah, maupun syirik kecil seperti riya’ dan sebagainya. Bahkan mereka ikhlas dalam ibadahnya kerana Allah, baik dalam perkataan, perbuatan dan semua keadaan mereka.

"60. Dan orang-orang yang memberikan apa yang mereka berikan dan hati mereka takut, sungguh mereka kepada Tuhan mereka, mereka kembali." 

Mereka mengerjakan amal soleh seperti sedekah, solat, puasa, zakat, haji dan lainnya dengan hati yang bimbang tidak akan diterima oleh Allah dan tidak menyelamatkan mereka. Mereka tahu bahawa mereka akan kembali kepada Allah untuk dihisab.

"61. Mereka itu, mereka bersegera dalam kebaikan, dan mereka kepadanya mereka berlumba."

Perhatian mereka tertuju kepada sesuatu yang mendekatkan diri mereka kepada Allah, dan keinginan mereka tertuju kepada sesuatu yang menyelamatkan mereka dari azabNya.

Oleh kerana itu, semua kebaikan yang mereka dengar dan ada kesempatan bagi mereka melakukannya, maka mereka segera melakukannya.

Mereka melihat wali-wali Allah dan orang-orang pilihanNya di hadapan mereka, di mana mereka bersegera kepada kebaikan dan berlumba-lumba untuk mendekatkan diri kepada Allah, maka mereka pun ikut berlumba-lumba. Maka mereka semuanya menang.

Orang-orang yang mempunyai sifat-sifat yang disebutkan dalam ayat 57, 58, 59, dan 60 itu adalah orang yang bersegera mendapatkan kebaikan-kebaikan, dan kebaikan-kebaikan itu akan diberikan kepada mereka dengan segera sejak di dunia ini.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...