Isnin, 21 November 2016

68:17-33 Tafsir Surah Al Qalam, ayat 17-33.

إِنَّا بَلَوْنَاهُمْ كَمَا بَلَوْنَا أَصْحَابَ الْجَنَّةِ إِذْ أَقْسَمُوا لَيَصْرِمُنَّهَا مُصْبِحِينَ (١٧) وَلا يَسْتَثْنُونَ (١٨) فَطَافَ عَلَيْهَا طَائِفٌ مِنْ رَبِّكَ وَهُمْ نَائِمُونَ (١٩) فَأَصْبَحَتْ كَالصَّرِيمِ (٢٠) فَتَنَادَوْا مُصْبِحِينَ      (٢١) أَنِ اغْدُوا عَلَى حَرْثِكُمْ إِنْ كُنْتُمْ صَارِمِينَ (٢٢) فَانْطَلَقُوا وَهُمْ يَتَخَافَتُونَ (٢٣) أَنْ لا يَدْخُلَنَّهَا الْيَوْمَ عَلَيْكُمْ مِسْكِينٌ (٢٤) وَغَدَوْا عَلَى حَرْدٍ قَادِرِينَ (٢٥) فَلَمَّا رَأَوْهَا قَالُوا إِنَّا لَضَالُّونَ (٢٦) بَلْ نَحْنُ مَحْرُومُونَ (٢٧) قَالَ أَوْسَطُهُمْ أَلَمْ أَقُلْ لَكُمْ لَوْلا تُسَبِّحُونَ (٢٨) قَالُوا سُبْحَانَ رَبِّنَا إِنَّا كُنَّا ظَالِمِينَ (٢٩) فَأَقْبَلَ بَعْضُهُمْ عَلَى بَعْضٍ يَتَلاوَمُونَ (٣٠) قَالُوا يَا وَيْلَنَا إِنَّا كُنَّا طَاغِينَ (٣١) عَسَى رَبُّنَا أَنْ يُبْدِلَنَا خَيْرًا مِنْهَا إِنَّا إِلَى رَبِّنَا رَاغِبُونَ (٣٢) كَذَلِكَ الْعَذَابُ وَلَعَذَابُ الآخِرَةِ أَكْبَرُ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ (٣٣)

Allah s.w.t. telah menganugerahkan kepada kaum kafir Quraisy rahmat dan nikmatNya dengan memberi harta dan anak sesuai yang Allah kehendaki, memanjangkan umur mereka dan memberikan kesukaan mereka yang lainnya. Semua itu bukan kerana kemuliaan mereka. Bahkan Allah s.w.t. memberi tangguh mereka sebagai istidraj (penangguhan azab) dari arah yang tidak mereka sedari.

Kemudian Allah s.w.t. telah menganugerahkan kepada mereka rahmat dan nikmatNya yang lebih besar dan tak terperikan besarnya, iaitu dengan diutusNya Nabi Muhammad s.a.w. kepada mereka. Tetapi mereka membalas semuanya itu dengan mendustakannya, menolaknya dan memeranginya. Sebenarnya mereka telah tertipu dengan kenikmatan yang dikecapi mereka.

Maka Allah s.w.t. berfirman kepada Rasulullah s.a.w. dengan sebuah perumpamaan.

"17. Sungguh Kami telah uji mereka sebagaimana Kami uji pemilik kebun," 

Allah s.w.t. telah menguji kaum musyrik Mekah sebagaimana Dia telah menguji para pemilik kebun-kebun yang hijau, subur lagi banyak buah-buahannya. Nenek moyang mereka telah mewariskan kebun itu kepada mereka, dan mereka adalah dari golongan Ahli Kitab.

Di masa lalu nenek moyang mereka mempunyai perjalanan hidup yang baik dalam menguruskan kebunnya. Dari hasilnya mereka mengembalikan sebahagiannya untuk pengurusan kebun itu sendiri sesuai dengan keperluannya, dan sebahagian yang lainnya mereka simpan buat makan setahun anak-anak mereka, sedangkan selebihnya mereka sedekahkan.

Ketika bapa mereka meninggal dunia, lalu kebun itu diwarisi oleh anak-anaknya. Maka berkatalah anak-anaknya, "Sesungguhnya bapa kita dahulu bodoh, kerana dia telah membelanjakan sebahagian dari hasil kebun ini untuk kaum fakir miskin. Maka seandainya kita hentikan pembelanjaan itu, nescaya akan bertambah melimpahlah hasil yang kita peroleh nanti."

Sampailah masa buah-buahannya telah matang. Sudah tiba saat untuk memetiknya. Mereka telah berniat jahat dengan tidak menyedekahkan sedikit pun untuk orang-orang miskin. Mereka menyangka bahawa tidak ada yang dapat menghalangi mereka untuk mengambil semuanya.

"ketika mereka bersumpah sungguh mereka akan memetiknya di pagi hari." 

Mereka telah bersumpah di antara sesamanya, bahawa mereka benar-benar akan memetik buahnya di awal pagi agar tiada seorang fakir pun mengetahuinya dan tiada seorang pun yang meminta-mintanya.

"18. Tetapi mereka menyisihkan." 

Di dalam sumpah mereka tidak disebutkan kata pengecualian, iaitu pengembalian kepada kehendak Allah, iaitu kalimat "Insya Allah." Kerana itulah maka Allah tidak memperkenankan sumpah mereka. Mereka tidak mengetahui bahawa Allah s.w.t. mengintai mereka dan bahawa kebun mereka akan ditimpa bencana.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jauhilah olehmu perbuatan-perbuatan maksiat, kerana sesungguhnya seseorang hamba melakukan perbuatan dosa, lalu ia benar-benar dihalangi dari rezeki yang telah disediakan untuknya sebab perbuatan dosanya itu."

"19. Maka mengepung atasnya kepungan dari Tuhanmu dan mereka tidur." 

Mereka telah dihalangi dari kebaikan yang dihasilkan dari kebun mereka disebabkan dosa mereka. Kebun mereka ditimpa oleh wabah dan bencana dari langit di waktu malamnya.

"20. Maka jadilah ia seperti sudah dipotong." 

Terbakarlah kebun itu, tinggallah arang-arang dan abunya. Kosong dan rata ke tanah seperti sawah yang telah dituai. Yang tinggal hanyalah dedaunan dan hampasnya yang kering kontang. Hitam legam warnanya seperti malam yang gelap gelita.

"21. Maka mereka saling panggil di pagi hari." 

Ketika fajar telah menyingsing, sebahagian dari mereka memanggil sebahagian yang lainnya untuk pergi menuai hasil kebun mereka.

"22. Bahawa pergilah pagi-pagi ke kebun jika kalian memetik." 

Jika kalian hendak memetik buahnya, waktu pagilah waktu yang terbaik. Pohon yang ditanam oleh mereka adalah buah anggur.

"23. Maka mereka pergi dan mereka saling berbisik." 

Mereka saling berbisik-bisikan agar tidak terdengar oleh seorang pun. Mereka bimbang jika ada yang akan memberitahukan kepada orang-orang miskin.

Allah Maha Mengetahui semua rahsia dan apa yang dibisikkan sesama mereka. Dia menjelaskan apa yang dibisikkan mereka melalui firmanNya,

"24. Bahawa jangan memasukinya hari ini atas kalian orang miskin." 

Mereka bertekad untuk melaksanakan niatnya. Mereka bersepakat supaya tidak akan membenarkan seorang miskin pun masuk ke dalam kebun mereka. Begitulah kebakhilan mereka.

"25. Dan mereka pergi pagi-pagi untuk mencegah orang-orang yang mampu."

Maka pergilah mereka ke kebun mereka dengan langkah yang tegap, cepat, penuh keyakinan, kesungguhan dan disertai dengan rasa marah. Mereka tidak mahu orang-orang miskin mengetahui bahawa hari itu mereka menuai hasilnya. Padahal mereka mampu menolong orang-orang miskin itu.

Mereka menyangka bahawa mereka mampu untuk menuai hasil kebunnya dan berkuasa penuh terhadapnya.

"26. Maka tatkala mereka melihatnya, mereka berkata, "Sungguh, kami orang-orang yang sesat.""

Mereka hairan melihat kebun itu dan menyangka bahawa mereka telah tersalah jalan atau tersalah kebun. Kemudian mereka menyedari dan merasa yakin bahawa mereka tidak sesat. Kebun yang binasa itu memang kebun mereka sendiri.

"27. Bahkan kita dihalangi." 

Mereka dihalangi dari mendapat hasilnya. Tiada sesuatu pun yang dapat diambil manfaatnya dari kebun itu. Allah melenyapkan dari tangan mereka semua modal, keuntungan dan sedekah yang biasanya dikeluarkan. Tiada sesuatu pun yang tinggal bagi mereka. Mereka pun menyedari bahawa hal itu adalah hukuman.

"28. Berkata pertengahan di antara mereka," 

Ada seorang yang paling baik fikirannya, bijaksana dan paling baik di antara mereka.

"Tidakkah aku katakan bagi kalian, mengapa kalian tidak bertasbih?"

Sucikanlah Allah s.w.t. dari segala yang tidak layak bagiNya. Kekuasaanmu terhadap apa yang kamu miliki tidaklah mutlak. Sebutlah ‘insya Allah’ supaya kehendak kamu mengikuti kehendak Allah. Bersyukurlah kepadaNya atas nikmat yang telah Dia limpahkan dan Dia berikan kepada kalian. Janganlah meniatkan sesuatu yang bertentangan dengan perintah Allah seperti meniatkan tidak akan memberikannya kepada fakir miskin.

Mereka insaf dan bertaubat kepada Allah. Maka barulah mereka menunaikan ketaatan di saat tiada gunanya lagi upaya mereka, kini mereka menyesali perbuatan mereka di saat nasi telah menjadi bubur.

"29. Mereka berkata, "Mahasuci Tuhan kami, sungguh kami, kami orang-orang yang zalim.""

Kezaliman mereka adalah menghalangi hak orang-orang fakir. Mereka ingin menutupi kekurangan mereka, tetapi setelah azab telah menimpa kebun mereka. Namun mereka tetap berharap tasbih mereka ini dan pengakuan kezaliman mereka dapat memberikan manfaat bagi mereka untuk meringankan dosa dan sebagai taubat mereka. Mereka menyesal dengan penyesalan yang dalam.

"30. Maka berhadapan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain saling mencela." 

Mereka saling mencela sesama sendiri atas sikap berkeras mendesak supaya tidak memberi kaum fakir miskin dari hasil tuaian mereka. Maka sebahagian dari mereka menjawab dengan mengakui kesalahan dan dosa mereka sendiri.

"31. Mereka berkata, "Aduh celaka kami! Sungguh kami, kami melampaui batas.""

Kita benar-benar telah berbuat kesalahan, berbuat aniaya, dan melampaui batas terhadap hak Allah dan hak hamba-hambaNya. Kerana itu kita tertimpa musibah ini.

"32. Mudah-mudahan Tuhan kami bahawa mengganti lebih baik darinya, sungguh kami kepada Tuhan kami mengharap." 

Mereka menginginkan agar dengan kesedaran dan taubat mereka itu, mereka diberi ganti dengan kebun yang lebih baik di dunia ini. Mereka juga mengharapkan pahala dari Allah di negeri akhirat.

Zahirnya bahawa Allah s.w.t. mengganti mereka di dunia dengan yang lebih baiknya darinya. Barang siapa yang berdoa dengan benar kepada Allah, berharap dengan sungguh-sungguh kepadaNya, maka Allah akan memenuhi permohonannya.

"33. Demikianlah azab." 

Seperti itulah azab di dunia bagi orang yang menentang dan menyelisihi perintah Allah, bersikap kikir terhadap apa yang anugerahkan Allah kepadanya, menghalangi hak kaum fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan bantuannya, bersikap melampaui batas dan menukar nikmat Allah dengan kekafiran terhadapNya.

"Dan sungguh, azab akhirat lebih besar jika mereka mengetahui." 

Jika mereka mengetahui bahawa azab akhirat jauh lebih berat daripada itu, tentu mereka akan menghindari segala sebab yang mendatangkan azab dan siksaan. Demikianlah tipu daya Allah s.w.t.

Setelah berlaku penaklukan Mekah, berbondong-bondong penduduk Mekah masuk Islam.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...