Selasa, 22 November 2016

79:15-26 Tafsir Surah An Nazi’at, ayat 15-26.

هَلْ أتَاكَ حَدِيثُ مُوسَى (١٥) إِذْ نَادَاهُ رَبُّهُ بِالْوَادِي الْمُقَدَّسِ طُوًى (١٦) اذْهَبْ إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى (١٧) فَقُلْ هَلْ لَكَ إِلَى أَنْ تَزَكَّى (١٨) وَأَهْدِيَكَ إِلَى رَبِّكَ فَتَخْشَى (١٩) فَأَرَاهُ الآيَةَ الْكُبْرَى (٢٠) فَكَذَّبَ وَعَصَى (٢١) ثُمَّ أَدْبَرَ يَسْعَى (٢٢) فَحَشَرَ فَنَادَى (٢٣) فَقَالَ أَنَا رَبُّكُمُ الأعْلَى (٢٤) فَأَخَذَهُ اللَّهُ نَكَالَ الآخِرَةِ وَالأولَى (٢٥) إِنَّ فِي ذَلِكَ لَعِبْرَةً لِمَنْ يَخْشَى (٢٦)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan kepada RasulNya, Nabi Muhammad s.a.w.

"15. Apakah sampai padamu cerita Musa?" 

Sudahkah sampai kepadamu kisah Musa? Allah s.w.t. telah memberikan risalah kenabian dan wahyuNya kepada rasulNya Musa a.s.

"16. Ketika memanggil Tuhannya di lembah yang suci Lembah Tuwa;" 

Allah s.w.t. memanggil Musa a.s. dan berbicara kepadanya dengan melalui seruan, serta . Tuwa adalah nama lembah. Lalu Allah s.w.t. berfirman kepadanya,

"17. Pergilah kepada Fir'aun! Sungguh dia melampaui batas." 

Laranglah dia dari bersikap melampaui batas, kemusyrikan, kekafiran, kederhakaan, bertindak sewenang-wenang, jahat, dan zalim dengan kata-kata yang lembut dan ucapan yang halus agar dia sedar atau merasa takut.

"18. Maka katakanlah, "Apakah bagi kamu untuk membersihkan?""

Maksudnya, katakanlah kepadanya bahawa mahukah engkau kuajak untuk menempuh jalan yang akan membawamu untuk dapat menyucikan diri dari syirik, kekafiran dan kesesatan dengan menggantinya dengan iman, berserah diri, taat kepada Allah, beramal soleh dan bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah.

"19. Dan aku tunjukkan kamu kepada Tuhanmu" 

Aku tunjukkan kepadamu jalan kepadaNya, cara menyembah Tuhanmu, aku terangkan tempat terletak keridhaanNya dan tempat terletak kemurkaanNya.

"agar kamu takut?" 

Hatimu yang keras, jahat dan jauh dari kebaikan akan menjadi tunduk patuh kepadaNya dan khusyuk. Musa a.s. menyeru dengan hujah (bukti) yang kuat dan dalil yang jelas yang membuktikan kebenaran apa yang disampaikannya, bahawa itu adalah dari sisi Allah.

"20. Lalu dia perlihatkan padanya mukjizat yang besar." 

Allah s.w.t. mengukuhkannya dengan mukjizat-mukjizat yang besar. Musa a.s. menampakkan kepada Fir'aun tangannya yang bercahaya dan tongkat yang berubah menjadi ular. Tetapi dengan adanya semua bukti itu Fir'aun tetap pada kekafiran dan tindakan sewenang-wenangnya.

"21. Maka dia mendustakan dan menderhakai."

Batin Fir'aun tidak mahu menerima kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa a.s. dan zahirnya menderhakai Allah s.w.t. dengan tidak mahu mengamalkan ketaatan yang diperintahkan kepadanya. Padahal dia mengetahui bahawa apa yang disampaikan oleh Musa a.s. kepadanya adalah perkara yang hak (benar).

Tetapi hal ini tidak menunjukkan bahawa dia beriman kepada Musa a.s. Pengetahuan itu merupakan pekerjaan hati, sedangkan iman itu adalah pengamalannya, iaitu patuh kepada perkara yang hak dan taat kepadanya.

"22. Kemudian dia berpaling berusaha." 

Fir'aun berpaling dari perkara yang hak dan tidak mahu beriman. Dia berusaha menentang dan memerangi yang hak dengan kebatilan. Dia mengumpulkan para ahli sihir untuk menentang mukjizat yang jelas yang disampaikan oleh Musa a.s.

"23. Maka dia kumpulkan, lalu dia berseru." 

Fir'aun mengumpulkan pembesar-pembesarnya, lalu berseru memanggil kaumnya untuk berkumpul kepadanya.

"24. Maka dia berkata, "Aku Fir'aun, Tuhan kalian yang paling tinggi.""

Maksudnya, tidak ada tuhan di atasku. Kalimat ini dikatakan oleh Fir'aun setelah selang empat puluh tahun. Dia mengatakan, "Aku tidak mengetahui adanya tuhan bagi kalian selain dari aku sendiri." Lalu kaumnya menaatinya dan mengakui kebatilannya itu kerana pengaruhnya.

"25. Lalu Allah menyiksanya dengan siksaan di akhirat dan di dunia." 

Allah Mahaperkasa lagi Mahakuasa mengazabnya. Di dunia Fir'aun dan penyokongnya diazab dengan ditenggelamkan ke dalam laut. Di akhirat mereka diazab di neraka dan mereka tidak akan di tolong. Laknat itu seburuk-buruk pemberian yang diberikan.

Setiap orang yang sombong, mendustakan, membangkang, derhaka, menentang Allah dan rasulNya, maka Allah akan menghukumnya di dunia dan akhirat. Begitu juga akibat yang akan dialami oleh orang-orang yang menentang Nabi Muhammad s.a.w. dan mendustakan apa yang telah Beliau sampaikan.

"26. Sungguh, pada yang demikian terdapat pelajaran bagi orang yang takut." 

Orang yang takut kepada Allah akan mengambil manfaat dari ayat-ayat dan pelajaran-pelajaran yang disampaikan. Akan tetapi, orang yang telah hilang rasa takut kepada Allah dari hatinya, maka ia tetap tidak akan beriman dan terus membangkang walaupun didatangkan setiap ayat kepadanya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...