Jumaat, 16 Disember 2016

33:49-50 Tafsir Surah Al Ahzab, ayat 49-50.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نَكَحْتُمُ الْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِنْ قَبْلِ أَنْ تَمَسُّوهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا فَمَتِّعُوهُنَّ وَسَرِّحُوهُنَّ سَرَاحًا جَمِيلا (٤٩) يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَحْلَلْنَا لَكَ أَزْوَاجَكَ اللاتِي آتَيْتَ أُجُورَهُنَّ وَمَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ مِمَّا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَيْكَ وَبَنَاتِ عَمِّكَ وَبَنَاتِ عَمَّاتِكَ وَبَنَاتِ خَالِكَ وَبَنَاتِ خَالاتِكَ اللاتِي هَاجَرْنَ مَعَكَ وَامْرَأَةً مُؤْمِنَةً إِنْ وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلنَّبِيِّ إِنْ أَرَادَ النَّبِيُّ أَنْ يَسْتَنْكِحَهَا خَالِصَةً لَكَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ قَدْ عَلِمْنَا مَا فَرَضْنَا عَلَيْهِمْ فِي أَزْوَاجِهِمْ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ لِكَيْلا يَكُونَ عَلَيْكَ حَرَجٌ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا (٥٠)

Allah s.w.t. berfirman menerangkan tentang penceraian yang berlaku sebelum suami dan isteri bercampur.

"49. Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kalian menikahi perempuan yang beriman," 

Nikah bermaksud apabila akad nikah telah dilakukan. Wanita kitabiyah juga termasuk dalam hukum wanita mukmin ini.

"kemudian kalian menceraikan mereka sebelum bahawa kalian menyentuh mereka," 

Talak hanyalah terjadi setelah menikah, jika seseorang menalak sebelum menikahinya atau menggantungkan talaknya jika menikahinya, maka tidaklah jatuh dan tidak sah. 

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tidak ada talak sebelum nikah."

Suami boleh menalak isterinya sebelum dicampuri. Dicampuri (masis) bermaksud dukhul (didatangi) dan khalwat (berduaan).

"maka tidaklah bagi kalian atas mereka dari iddah kalian menghitungnya." 

Seorang wanita yang diceraikan sebelum didatangi dan sebelum duduk berduaan, maka tidak ada iddah baginya. Wanita tersebut boleh pergi dan langsung menikah lagi secepatnya dengan siapa pun yang disukainya. Ia tidak perlu melakukan iddahnya selama empat bulan sepuluh hari.

Iddah yang dijalani isteri adalah hak suami. Barang siapa yang mendatangi isterinya, baik ia menjima’i atau tidak, apabila ia telah berduaan dengannya, maka wajib bagi isteri jika ditalak menjalani masa iddah. Jika suami menalaknya setelah dicampuri, maka ia punya hak yang harus dijalani isteri iaitu masa iddah. Wanita yang ditinggal mati oleh suaminya, wajib menjalani waktu iddahnya walaupun suaminya belum menggaulinya.

"Maka berilah mereka mut'ah" 

Mut'ah di sini bermaksud pemberian untuk menyenangkan hati isteri yang diceraikan sebelum dicampuri. Jika si suami belum menentukan mahar atau maskahwinnya, mut'ah diberikan menurut kemampuan suami, menurut yang patut. Jika si suami sudah menentukan mahar, separuh dari mahar diberikan dan tak perlu diberi mut’ah lagi. 

"dan ceraikan mereka penceraian yang baik."

Sepatutnya orang yang menceraikan isterinya, berpisah dengan cara yang baik dan terpuji, tanpa keburukan, madharrat, pertengkaran, cela-mencela, caci-maki, saling menuntut dan seumpamanya.

Rasulullah s.a.w. pernah mengahwini Umaimah binti Syurahbil, tetapi ketika beliau masuk ke kamarnya dan mengulurkan tangannya kepadanya, kelihatan Umaimah tidak suka. Maka Rasulullah s.a.w. keluar dan memerintahkan Abu Usaid untuk mengemaskan barang-barang Umaimah, lalu beliau memberinya sepasang pakaian sebagai mut'ahnya.

Jika Nabi s.a.w. telah menyebutkan mahar kepada Umaimah, maka bagi Umaimah separuh dari mahar tersebut sebagai pemutusannya. Dan jika beliau s.a.w. masih belum menentukan maharnya, maka Umaimah hanya mendapatkan mut'ah yang sesuai dengan kemampuan beliau saat itu. Itulah yang dinamakan melepaskan dengan cara yang sebaik-baiknya.

"50. Wahai Nabi! Sesungguhnya Kami, Kami telah menghalalkan untukmu isteri-isterimu yang kamu telah berikan maskahwin mereka," 

Ujur bererti upah. Maksudnya ialah maskahwin atau mahar. Allah s.w.t. telah menghalalkan bagi Nabi s.a.w. dan kaum mukmin isteri-isteri yang telah diberikan maskahwinnya.

Nabi s.a.w. memberikan mahar atau maskawin kepada setiap isterinya sepuluh setengah uqiyah yang harganya ditaksir lebih kurang lima ratus dirham. Kecuali Ummu Habibah binti Abu Sufyan. Maharnya dibayar oleh Raja An Najasyi sebanyak empat ratus dinar. Kecuali juga Siti Safiyyah binti Huyayyin. Nabi s.a.w. telah memilihnya di antara para tawanan wanita Khaibar. Kemudian Beliau s.a.w. memerdekakannya, dan menjadikan pemerdekaannya sebagai maskahwinnya. Begitu juga Siti Juwairiyah binti Haris Al Mustaliqiyah dari Bani Mustaliq. Nabi s.a.w. telah melunasi pendahuluan Kitabahnya kepada Sabit ibnu Qais ibnu Syammas, lalu beliau s.a.w. menikahinya.

"hamba sahaya yang engkau miliki, dari apa yang Allah beri atasmu," 

Dan hamba sahaya yang engkau miliki, termasuk apa yang engkau peroleh dalam peperangan yang dikurniakan Allah untukmu. 

Allah s.w.t. telah menghalalkan bagi Nabi s.a.w. dan kaum mukmin mempergundikkan wanita-wanita yang didapati dari tawanan perang. Nabi s.a.w. telah memiliki Safiyyah dan Juwairiyah, lalu memerdekakan keduanya dan mengahwini keduanya. 

Beliau s.a.w. juga memiliki Raihanah binti Syam'un An Nadriyyah serta Mariyah Al Qibtiyyah yang menghasilkan seorang putera darinya bernama Sayyid Ibrahim. Mereka berdua diambil dari hamba sahaya, lalu dijadikan isteri.

"dan anak-anak perempuan saudara lelaki bapamu, dan anak-anak perempuan saudara perempuan bapamu, dan anak-anak perempuan saudara lelaki ibumu dan anak-anak perempuan saudara perempuan ibumu" 

Allah s.w.t. telah menghalalkan bagi Nabi s.a.w. dan kaum mukmin menikahi sepupu. Kerabat selain sepupu tidak halal dinikahi. Ini merupakan hukum yang adil dan pertengahan di antara yang ringan dan yang berlebihan.

Orang-orang Nasrani tidak mahu mengahwini wanita kecuali apabila antara lelaki dan wanita berkenaan terdapat jarak pemisah tujuh datuk atau lebih. Sedangkan orang-orang Yahudi mahu mengahwini puteri saudaranya dan puteri saudarinya.

Lalu datanglah syariat Islam yang sempurna lagi suci merobohkan sikap berlebihan orang-orang Nasrani, lalu membolehkan mengahwini sepupu. 

Kemudian Islam mengharamkan sikap meremehkan orang-orang Yahudi yang membolehkan mengahwini anak saudara, kerana hal ini merupakan perbuatan yang sangat keji, memalukan, buruk lagi menjijikkan. 

"yang hijrah bersamamu,"

Ini merupakan batasan untuk halalnya mereka itu bagi Rasulullah s.a.w. saja sebagaimana hal itu merupakan pendapat yang benar di antara dua pendapat dalam menafsirkan ayat ini.

Abu Razin dan Qatadah berkata, “Maksudnya adalah berhijrah bersama Beliau ke Madinah.” Namun dalam sebuah riwayat dari Qatadah tentang “(Wanita) yang turut hijrah bersamamu” iaitu wanita yang masuk Islam.

Menurut Imam Al Baghawiy, “Selanjutnya syarat hijrah untuk halalnya mereka itu dihapuskan.” Namun tidak disebutkan yang menghapuskannya.

Al Mawardi menyebutkan dua pendapat dalam masalah ini: pertama, hijrah merupakan syarat halalnya wanita bagi Beliau s.a.w. secara mutlak. Kedua, hijrah merupakan syarat halalnya kerabat yang disebutkan dalam ayat itu, bukan wanita asing.

"dan perempuan beriman jika dia menyerahkan dirinya kepada Nabi jika menghendaki nabi bahawa dia akan menikahinya," 

Dan perempuan mukmin yang menyerahkan dirinya kepada Nabi kalau Nabi mahu menikahinya. Allah telah menghalalkan bagi Nabi s.a.w. saja wanita mukmin yang menyerahkan dirinya kepada Beliau untuk dikahwini tanpa mahar, wali dan saksi, jika Beliau menyukainya. 

"pengkhususan bagi kamu, bukan untuk orang-orang mukmin." 

Sebagai kekhususan bagimu, bukan untuk semua orang mukmin. Nikah dengan lafaz hibah (memberikan diri) tanpa adanya saksi, wali dan mahar adalah khusus untuk Beliau s.a.w. saja. 

Adapun bagi kaum mukmin, maka tidak halal bagi mereka menikahi wanita yang menghibahkan dirinya kepada mereka, sebelum si lelaki itu memberikan sesuatu kepadanya sebagai maskahwinnya.

Ramai wanita yang menyerahkan dirinya kepada Nabi s.a.w. Namun Nabi s.a.w. hanya menerima seorang di antara mereka, iaitu Maimunah binti Al Haris. Abbas bin Abdul Muthalib meminta kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk menikahi Maimunah. Nabi s.a.w. pun menerima tawaran tersebut. Dan akhirnya Nabi Muhammad s.a.w. menikah dengan Maimunah.

"Sungguh Kami telah mengetahui apa yang Kami fardhukan atas mereka terhadap isteri-isteri mereka," 

Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada mereka tentang isteri-isteri mereka, iaitu berkaitan dengan pembatasan bagi semua kaum muslim yang hanya diperbolehkan mengahwini empat orang wanita merdeka dan berapa orang wanita pun yang mereka kehendaki dari kalangan hamba-hamba perempuan, juga berkaitan dengan persyaratan adanya wali, dua orang saksi, mahar dan ijab qabul bagi mereka.

Tetapi Allah s.w.t. memberikan rukhsah (kemurahan) bagi Beliau s.a.w. dalam hal ini, untuk itu Dia tidak mewajibkan atas Beliau sesuatu pun dari batasan-batasan dan ikatan-ikatan tersebut.

"hamba sahaya yang mereka miliki," 

Dan hamba sahaya yang mereka miliki baik dengan membeli maupun dengan cara pemilikan lainnya. Namun dengan syarat hamba tersebut yang halal bagi pemiliknya, seperti wanita Ahli Kitab, bukan wanita Majusi atau penyembah berhala.

Sebelum dicampuri wajib istibra’ (kosong rahimnya baik dengan melahirkan jika hamil, atau sekali haidh jika tidak hamil). Hamba yang dimiliki itu tidak ada batasnya (tidak dibatasi sampai empat), di mana dia termasuk yang boleh ditawan dan diperangi, bukan yang tidak boleh ditawan atau mempunyai perjanjian dengan kaum muslimin.

"supaya tidak menjadi atasmu kesempitan. Dan Allah Maha Pengampun Maha Penyayang."

Ini merupakan tambahan perhatian Allah s.w.t. kepada Rasulullah s.a.w. Dia Maha Pengampun terhadap sesuatu yang sulit dihindari. Dia Maha Penyayang dengan memberikan keluasan dalam hal itu.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...