Khamis, 5 Januari 2017

12:102-107 Tafsir Surah Yusuf, ayat 102-107.

ذَلِكَ مِنْ أَنْبَاءِ الْغَيْبِ نُوحِيهِ إِلَيْكَ وَمَا كُنْتَ لَدَيْهِمْ إِذْ أَجْمَعُوا أَمْرَهُمْ وَهُمْ يَمْكُرُونَ (١٠٢) وَمَا أَكْثَرُ النَّاسِ وَلَوْ حَرَصْتَ بِمُؤْمِنِينَ (١٠٣) وَمَا تَسْأَلُهُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ إِنْ هُوَ إِلا ذِكْرٌ لِلْعَالَمِينَ (١٠٤) وَكَأَيِّنْ مِنْ آيَةٍ فِي السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ يَمُرُّونَ عَلَيْهَا وَهُمْ عَنْهَا مُعْرِضُونَ (١٠٥) وَمَا يُؤْمِنُ أَكْثَرُهُمْ بِاللَّهِ إِلا وَهُمْ مُشْرِكُونَ (١٠٦) أَفَأَمِنُوا أَنْ تَأْتِيَهُمْ غَاشِيَةٌ مِنْ عَذَابِ اللَّهِ أَوْ تَأْتِيَهُمُ السَّاعَةُ بَغْتَةً وَهُمْ لا يَشْعُرُونَ (١٠٧)

Setelah menceritakan kisah Nabi Yusuf a.s., Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"102. Demikian itu di antara berita-berita ghaib Kami wahyukannya kepada kamu;"

Berita ghaib bermaksud berita yang tidak disaksikan dengan mata sendiri. Kisah Yusuf a.s. adalah antara berita ghaib yang berlaku di masa lalu. Allah lah yang menceritakan kisah itu kepada Beliau s.a.w. Bukan kerana Beliau s.a.w. mempelajarinya dari seseorang. Allah s.w.t. beritahukan kepada Beliau s.a.w. kerana di dalamnya terkandung pelajaran baginya dan nasihat bagi orang-orang yang sesudahnya.

"dan tidaklah kamu pada sisi mereka, ketika mereka bersepakat perkara mereka dan mereka mengatur tipu daya." 

Padahal Nabi s.a.w. tidak berada bersama saudara-saudara Yusuf a.s. dan tidak pula menyaksikan mereka ketika mereka memutuskan rancangan tipu daya mereka untuk membunuh Yusuf a.s. dengan memasukkannya ke dasar sumur.

Allah s.w.t. bermaksud bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah rasulNya, apa yang Beliau s.a.w. bawa adalah benar dan bahawa Dia telah memberitahukan kepadanya kisah-kisah terdahulu yang mengandungi pelajaran dan keselamatan bagi agama dan kehidupan dunia mereka. Pada yang demikian itu benar-benar merupakan suatu tanda yang besar atau mukjizat.

"103. Dan tidaklah kebanyakan manusia walaupun kamu sangat menginginkan orang-orang beriman." 

Walaupun demikian, kebanyakan manusia tidak beriman. Maksud dan tujuan mereka telah rosak, sehingga nasihat orang yang memberi nasihat tidaklah bermanfaat.

"104. Dan tidak kamu meminta mereka atasnya dari upah," 

Padahal Beliau s.a.w. sama sekali tidak meminta suatu bayaran pun sebagai imbalan dari nasihat, seruan kepada kebaikan dan jalan petunjuk ini. Beliau s.a.w. melakukannya hanya semata-mata ingin mencari ridha Allah dan memberi nasihat kepada makhlukNya.

"tidaklah ia kecuali pelajaran bagi semesta alam." 

Ia tidak lain hanyalah pengajaran yang dijadikan sebagai peringatan kepada hal yang membahayakan bagi mereka, yang memberi petunjuk kepada hal yang bermanfaat bagi mereka, dan yang menyelamatkan mereka di dunia dan akhirat. Beliau s.a.w. juga telah menunjukkan penguat dan ayat-ayat yang menunjukkan kebenarannya.

"105. Dan banyak sekali ayat-ayat di langit dan bumi mereka melalui atasnya, dan mereka darinya orang-orang yang berpaling." 

Terdapat banyak tanda-tanda kekuasaan Allah dan bukti-bukti keesaanNya melalui makhluk yang diciptakan oleh Allah di langit dan di bumi. Bintang-bintang yang cemerlang sinarnya, yang tetap dan yang beredar serta gugusan bintang-bintang lainnya, semuanya itu ditundukkan oleh kekuasaan Allah.

Terdapat banyak bahagian yang berdampingan di bumi. Kebun-kebun, taman-taman, gunung-gunung yang terpancang dengan kukuhnya, laut-laut yang luas dengan ombaknya yang berdebur, serta padang pasir yang luas-luas. Terdapat banyak juga di bumi ini makhluk hidup dan benda mati, juga berbagai jenis haiwan, tumbuh-tumbuhan, dan buah-buahan yang berbeda-beda rasa, bau, warna, dan spesifikasinya.

Namun kebanyakan manusia lalai dari memikirkannya. Mahasuci Allah Yang Maha Esa, Pencipta semua makhluk, Yang Maha Menyendiri dengan sifat kekal dan abadiNya, serta Mahasumber bagi asma dan sifatNya.

"106. Dan tidak beriman kebanyakan mereka kepada Allah, kecuali dan mereka orang-orang musyrik." 

Mereka adalah orang-orang yang mengetahui bahawa Allah Pencipta dan Pemberi rezeki mereka. Tetapi mereka mempersekutukanNya dengan yang lain. Mereka menyembah dan beribadah kepada selainNya.

Kaum musyrik di masa lalu mengatakan dalam talbiyah mereka, "Labbaika, tiada sekutu bagiMu, kecuali sekutu yang menjadi milikMu; Engkau memilikinya, sedangkan dia tidak memiliki." Apabila Rasulullah s.a.w. mendengar kaum musyrik mengatakan, "Labbaika, tiada sekutu bagiMu," maka Beliau s.a.w. bersabda, "Cukup, cukup!" (Jangan diteruskan dan jangan dilebihkan dari itu).

Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman dan dosa yang paling besar. Menyembah Allah dengan selainNya atau menjadikan tandingan bagi Allah adalah syirik yang paling besar.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Allah berfirman, "Akulah yang memberikan kecukupan kepada orang-orang yang mempersekutukan(Ku) dari perbuatan musyriknya. Barang siapa yang mengerjakan suatu perbuatan yang di dalamnya ia mempersekutukan Aku dengan selainKu, nescaya Aku tinggalkan dia bersama perbuatan syiriknya.”

Hal ini juga berkenaan dengan orang munafik. Amal dan ibadahnya hanyalah kerana riya (pamer) di hadapan manusia. Hal itu bererti dia musyrik dalam amalnya. Mereka menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila Allah telah menghimpunkan orang-orang yang terdahulu dan yang terkemudian untuk menghadiri suatu hari yang tiada keraguan padanya (hari kiamat), maka berserulah (malaikat) juru penyeru mengatakan, "Barang siapa berbuat syirik dalam suatu amal yang dikerjakannya bagi Allah, maka hendaklah ia meminta pahalanya dari selain Allah. Kerana sesungguhnya Allah lah Yang memberikan kecukupan kepada orang-orang musyrik dari perbuatan syiriknya."

Masih ada satu jenis syirik lagi, iaitu syirik khafi yang kebanyakan pelakunya tidak menyedarinya. Sesungguhnya hal itu dari syaitan.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya hal yang sangat aku khuatirkan akan menimpa kalian ialah syirik kecil.” Mereka (para sahabat) bertanya, "Wahai Rasulullah, apakah syirik kecil itu?” Rasulullah s.a.w. menjawab, "Riya' (pamer). Allah s.w.t. berfirman di hari kiamat bila manusia diberi balasan amal perbuatannya, "Pergilah kalian kepada orang-orang yang dahulu kalian pamer kepada mereka ketika di dunia, lalu lihatlah, apakah kalian menjumpai balasan amal kalian di sisi mereka?""

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya ruqyah (jampi), tamimah (penangkal) dan tiwalah (pengasih) adalah perbuatan syirik."

Ucapkanlah semasa sakit, "Lenyapkanlah penyakit ini, wahai Tuhan manusia, sembuhkanlah. Engkaulah Yang menyembuhkannya, tiada kesembuhan kecuali kesembuhan dariMu, iaitu kesembuhan yang tidak meninggalkan suatu penyakit pun.”

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang kembali kerana tiyarahnya (alamat kesialannya atau menilik nasib) dari keperluannya, maka sesungguhnya dia telah syirik."

Ucapkanlah sebagai kifarat perbuatan tersebut, "Ya Allah, tiada kebaikan kecuali hanya kebaikanMu, dan tiada tiyarah kecuali hanya tiyarahMu, dan tiada Tuhan selain Engkau.”

Termasuk perbuatan syirik menggunakan pelaris.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang menggantung damimah (tangkal), maka Allah tidak akan menyempurnakan hajatnya dan barang siapa yang menggantung wada'ah (objek seperti kulit siput) maka Allah tidak akan mententeramkannya."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang memakai kalung tamimah, maka semoga Allah tidak menjadikannya sebagai penangkal sakitnya. Dan barang siapa yang memakai kalung wada'ah, semoga Allah tidak menjadikannya sebagai penjagaan dari sakitnya."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Hai manusia, peliharalah diri kalian dari perbuatan syirik ini, kerana sesungguhnya perbuatan syirik itu lebih tersembunyi daripada langkah-langkah semut."

Berdoalah agar dipelihara dari perbuatan syirik, "Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepadaMu dari perbuatan mempersekutukan Engkau dengan sesuatu yang kami ketahui, dan memohon ampun kepadaMu terhadap perbuatan syirik yang tidak kami ketahui."

Ucapkanlah di pagi hari, petang hari, dan semasa hendak tidur, "Ya Allah, Pencipta langit dan bumi, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Tuhan segala sesuatu dan Yang memilikinya, aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau, aku berlindung kepada Engkau dari kejahatan hawa nafsuku dan dari kejahatan syaitan serta kemusyrikannya. Dan agar aku tidak melakukan kejahatan atas diriku sendiri, atau aku menimpakannya kepada seorang muslim."

"107. Apakah mereka merasa aman datang kepada mereka yang meliputi dari siksa Allah, atau datang kepada mereka kiamat dengan tiba-tiba, dan mereka tidak menyedari?" 

Mereka yang melakukan perbuatan syirik itu tidak akan selamat dari azab Allah. Ia akan datang meliputi mereka. Mereka sebenarnya sudah layak menerima kiamat. Mereka tidak akan selamat darinya. Datangnya secara tiba-tiba tanpa mereka menyedari kedatangannya.

Oleh kerana itu, bertaubatlah kepada Allah. Tinggalkanlah sesuatu yang menjadi sebab datangnya siksa.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...