Rabu, 4 Januari 2017

11:45-49 Tafsir Surah Hud, ayat 45-49.

وَنَادَى نُوحٌ رَبَّهُ فَقَالَ رَبِّ إِنَّ ابْنِي مِنْ أَهْلِي وَإِنَّ وَعْدَكَ الْحَقُّ وَأَنْتَ أَحْكَمُ الْحَاكِمِينَ (٤٥) قَالَ يَا نُوحُ إِنَّهُ لَيْسَ مِنْ أَهْلِكَ إِنَّهُ عَمَلٌ غَيْرُ صَالِحٍ فَلا تَسْأَلْنِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنِّي أَعِظُكَ أَنْ تَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ (٤٦) قَالَ رَبِّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أَسْأَلَكَ مَا لَيْسَ لِي بِهِ عِلْمٌ وَإِلا تَغْفِرْ لِي وَتَرْحَمْنِي أَكُنْ مِنَ الْخَاسِرِينَ (٤٧) قِيلَ يَا نُوحُ اهْبِطْ بِسَلامٍ مِنَّا وَبَرَكَاتٍ عَلَيْكَ وَعَلَى أُمَمٍ مِمَّنْ مَعَكَ وَأُمَمٌ سَنُمَتِّعُهُمْ ثُمَّ يَمَسُّهُمْ مِنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ (٤٨) تِلْكَ مِنْ أَنْبَاءِ الْغَيْبِ نُوحِيهَا إِلَيْكَ مَا كُنْتَ تَعْلَمُهَا أَنْتَ وَلا قَوْمُكَ مِنْ قَبْلِ هَذَا فَاصْبِرْ إِنَّ الْعَاقِبَةَ لِلْمُتَّقِينَ (٤٩)

Nabi Nuh a.s. merasa rasa kasihan yang begitu dalam terhadap anaknya yang ditenggelamkan. Beliau meminta dengan penuh rasa berserah diri dan kejujuran tentang keadaan anaknya itu.

"45. Dan berseru Nuh Tuhannya, maka berkata, "Tuhanku, sesungguhnya anakku dari keluargaku,""

Engkau telah menjanjikan kepadaku keselamatan seluruh keluargaku.

"dan sesungguhnya janji Engkau benar. Dan Engkau paling adil para penghukum." 

JanjiMu tidak mungkin Engkau ingkari. Tetapi Engkau menenggelamkannya. Nuh a.s. menyangka bahawa janji itu mengena kepada seluruh anggota keluarganya baik yang mukmin maupun yang kafir.

"46. Dia berfirman, "Wahai Nuh! Sungguh dia bukan termasuk keluargamu,""

Anakmu itu bukanlah termasuk orang-orang yang dijanjikan keselamatannya. Bahkan dia termasuk orang-orang yang telah ditetapkan ditimpa azab. Dia termasuk mereka yang telah ditakdirkan mesti ditenggelamkan kerana kekafirannya dan menentang perintahmu sebagai Nabi Allah. Sesungguhnya Aku hanya menjanjikan kepadamu keselamatan keluargamu yang beriman saja.

Dari zahirnya, anak itu memang anak Nuh a.s. Tetapi dia bukan keluarga Nuh a.s. kerana amal dan niat (akidah)nya yang bertentangan dengan bapanya. Keluarga Nuh a.s. yang sebenar hanyalah orang-orang yang beriman dan seakidah dengan Beliau.

"sungguh ia perbuatan tidak baik," 

Anaknya itu telah melakukan suatu perbuatan yang sungguh tidak baik, dan perbuatan khianat bukanlah pada tempatnya. Permohonan Nuh a.s. agar anaknya yang kafir diselamatkan juga sungguh tidak baik. Orang kafir tidak mungkin diselamatkan.

"maka janganlah kamu mohon padaKu apa yang tidak bagi kamu dengannya ilmu." 

Engkau tidak mengetahui hakikatnya, akhirnya dan akibat baik atau buruknya.

"Sungguh Aku nasihatkan padamu agar kamu tidak menjadi termasuk orang-orang yang jahil." 

Jangan engkau seperti orang yang kurang sempurna dan terkena sifat orang-orang bodoh kerana memohon sesuatu yang tidak diketahui akibatnya. Maka Nuh a.s. menyesal dengan penyesalan yang dalam kerana sikapnya itu.

"47. Dia berkata, "Tuhanku, sungguh aku berlindung kepadamu bahawa aku tanyakan padamu apa yang tidak bagiku dengannya ilmu.""

Nuh a.s. tidak mengetahui bahawa permohonannya agar anaknya yang kafir diselamatnya adalah haram, bahkan Beliau telah melakukan perkara yang dilarang Allah iaitu firmanNya, “Dan janganlah engkau bicarakan dengan Aku tentang orang-orang yang zalim. Sesungguhnya mereka itu akan ditenggelamkan.” (Hud 11:37).

Nuh a.s. menyangka permohonannya itu boleh kerana anaknya yang kafir termasuk keluarganya. Namun setelah mendapat teguran Allah, jelaslah bahawa permohonan tersebut adalah dilarang.

"Dan jika tidak Engkau ampuni aku dan Engkau kasihani aku, agar aku tidak menjadi termasuk orang-orang yang rugi." 

Nuh a.s. memohon keampunan dan belas kasihan dari Allah s.w.t. di atas kelalaiannya. Tanpa keampunan Allah dan rahmatNya, seorang hamba menjadi orang yang rugi.

Ketika Allah bermaksud menghentikan banjir besar, Dia mengirimkan angin ke atas permukaan bumi. Maka air pun berhenti, dan semua sumber air di bumi yang berlimpah lagi besar tertutup. Semua pintu langit juga tertutup menghentikan hujannya. Maka air pun mulai berkurang, menyurut dan mengering. Sedangkan kapal Nuh a.s. telah berlabuh di atas Gunung Judi.

"48. Difirmankan, "Wahai Nuh! Turunlah dengan keselamatan dari Kami, dan keberkahan atas kamu, dan atas umat-umat dari orang-orang yang bersama kamu.""

Ucapan kesejahteraan ini ditujukan kepada Nuh a.s., orang-orang mukmin yang bersamanya, dan kepada seluruh orang mukmin dari kalangan keturunannya baik lelaki maupun perempuan sampai hari kiamat. Allah s.w.t. memberkahi mereka semua, sehingga mereka menempati berbagai penjuru bumi.

"Dan umat-umat akan Kami beri mereka kesenangan, kemudian akan menimpa mereka dari kami azab yang pedih." 

Dari keturunannya akan lahir umat-umat yang diberi kesenangan yang sementara dalam kehidupan dunia. Di akhirat mereka akan mendapat azab yang pedih dariNya. Ucapan ini ditujukan kepada setiap orang kafir lelaki dan perempuan sampai hari kiamat nanti.

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"49. Itulah di antara berita-berita ghaib Kami mewahyukannya kepadamu;"

Kisah ini adalah di antara berita-berita penting yang terjadi di masa lalu dan kamu tidak menyaksikannya. Kami ajarkan kepadamu tentangnya sebagai wahyu yang Kami turunkan kepadamu menurut apa yang sebenarnya berlaku seakan-akan kamu menyaksikannya sendiri.

"tidak kamu mengetahuinya kamu dan tidak juga kaummu sebelum ini." 

Kisah ini hanya diketahui oleh orang yang dianugerahkan kenabian dan kerasulan kepadanya. Tidaklah kamu dan tidak juga seseorang pun dari kaummu mengetahui kisah ini sebelum ini, sehingga berkatalah orang-orang yang mendustakanmu, bahawa sesungguhnya kamu telah mempelajarinya dari seseorang.

Tidak, bahkan Allah Iah yang memberitahukannya kepadamu sesuai dengan kejadian yang sebenarnya, seperti juga yang dikisahkan dalam kitab-kitab para nabi sebelum kamu.

"Maka bersabarlah, sesungguhnya kesudahan yang baik bagi orang-orang yang bertakwa." 

Bersabarlah dalam berdakwah. Bersabarlah terhadap kaummu yang mendustakanmu. Bersabarlah dalam menghadapi gangguan mereka yang menyakitkan terhadap dirimu. Bersabarlah sebagaimana Nabi Nuh a.s. bersabar.

Sesungguhnya kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa. Kami pasti akan memenangkan kamu dan meliputi kamu dengan perhatian Kami. Kami jadikan akibat yang terpuji bagimu dan bagi para pengikutmu di dunia dan di akhirat. Sama seperti apa yang telah Kami lakukan terhadap para utusan lainnya bersama orang-orang yang beriman. Telah tetap janji Kami kepada hamba-hamba Kami yang menjadi rasul. Sesungguhnya Kami pasti menolong mereka dari musuh-musuhnya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...