Selasa, 3 Januari 2017

9:120-121 Tafsir Surah At Taubah, ayat 120-121.

مَا كَانَ لأهْلِ الْمَدِينَةِ وَمَنْ حَوْلَهُمْ مِنَ الأعْرَابِ أَنْ يَتَخَلَّفُوا عَنْ رَسُولِ اللَّهِ وَلا يَرْغَبُوا بِأَنْفُسِهِمْ عَنْ نَفْسِهِ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ لا يُصِيبُهُمْ ظَمَأٌ وَلا نَصَبٌ وَلا مَخْمَصَةٌ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلا يَطَئُونَ مَوْطِئًا يَغِيظُ الْكُفَّارَ وَلا يَنَالُونَ مِنْ عَدُوٍّ نَيْلا إِلا كُتِبَ لَهُمْ بِهِ عَمَلٌ صَالِحٌ إِنَّ اللَّهَ لا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ (١٢٠) وَلا يُنْفِقُونَ نَفَقَةً صَغِيرَةً وَلا كَبِيرَةً وَلا يَقْطَعُونَ وَادِيًا إِلا كُتِبَ لَهُمْ لِيَجْزِيَهُمُ اللَّهُ أَحْسَنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (١٢١)

Allah s.w.t. berfirman,

"120. Tidaklah ada bagi penduduk Madinah dan orang yang di sekitar mereka dari orang-orang Arab Badui mereka, tidak ikut berperang bersama Rasulullah" 

Allah s.w.t. mencela penduduk Madinah dan orang-orang Arab Badui yang tinggal sekitar Madinah yang tidak ikut bersama Rasulullah s.a.w. dalam Perang Tabuk.

"dan mereka lebih mencintai pada diri mereka dari dirinya." 

Mereka juga dicela kerana lebih mementingkan diri mereka sendiri daripada membantu perjuangan Rasulullah s.a.w. dengan alasan masyaqqat yang akan dialaminya.

"Demikian itu kerana sesungguhnya mereka tidak menimpa mereka kehausan, dan tidak kepayahan dan tidak juga kelaparan di jalan Allah," 

Maka sesungguhnya pahala mereka dikurangi dari diri mereka kerana mereka keberatan untuk ditimpa kehausan, keletihan, kepayahan dan kelaparan kerana Allah.

"dan mereka tidak menginjak suatu tempat menimbulkan amarah orang-orang kafir," 

Mereka keberatan untuk memasuki atau menguasai daerah orang-orang kafir dan membuat hati musuh mereka gentar kerana Allah.

"dan mereka tidak mendapat dari musuh bahaya," 

Mereka keberatan untuk membunuh, memenangi, menawan, mengambil harta rampasan perang dari musuh.

"kecuali ditulis bagi mereka dengannya amal yang soleh." 

Pengorbanan atau bersusah payah kerana Allah itu akan ditulis sebagai suatu amal kebajikan kerana yang demikian merupakan atsar (bekas) dari amal mereka dan berkat amal perbuatan mereka yang pada kenyataannya di luar kemampuan mereka. Tetapi dari perbuatan mereka itu timbul amal-amal soleh dan pahala yang berlimpah.

"Sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik."

Bahkan Allah akan membalasnya.

"121. Dan mereka tidak menginfakkan suatu infak yang kecil dan tidak juga yang besar" 

Perbelanjaan harta dalam perang di jalan Allah baik yang sedikit atau pun yang banyak.

"dan mereka tidak melintasi suatu lembah," 

Perjalanan jihad atau menuju medan pertempuran melawan musuh. Semakin jauh mereka dari keluarganya ke medan jihad, semakin dekat mereka kepada Allah.

"kecuali ditulis bagi mereka," 

Perbelanjaan dan perjalanan mereka dituliskan bagi mereka sebagai amal soleh atau amal kebajikan.

"agar Allah membalas mereka lebih baik apa yang telah mereka kerjakan." 

Dalam ayat-ayat di atas terdapat dorongan dan membuat rindu jiwa untuk pergi berjihad di jalan Allah dan mencari pahala terhadap kesulitan yang mereka rasakan, dan bahawa hal itu meninggikan darjat mereka.

Para sahabat mempunyai bahagian yang sangat besar dari apa yang disebutkan oleh ayat yang mulia ini. Demikian itu kerana dalam perang Tabuk mereka telah membelanjakan pembelanjaan yang besar dan harta yang sangat banyak.

Para hartawan kaum muslimin setelah mendengar panggilan Nabi s.a.w. supaya mendermakan harta benda untuk keperluan tersebut, dengan segera mereka datang menghadap dan menyampaikan sumbangan harta kekayaan mereka kepada Beliau. Antaranya ialah Abu Bakar As Siddiq, ‘Usman bin ‘Affan, ‘Abdur Rahman bin ‘Auf, ‘Abbas bin ‘Abdul Muththalib, Thalhah, ‘Ashim bin ‘Adiy dan beberapa wanita yang mempunyai kekayaan.

Abu Bakar r.a. datang untuk menyerahkan semua sisa dari hartanya yang telah dikorbankan untuk keperluan Islam, yang ketika itu hanya tinggal empat ribu dirham. Ketika Nabi s.a.w. menerima sumbangan wang sebanyak itu, Beliau bertanya kepadanya, "Apakah engkau masih meninggalkan sesuatu untuk keluargamu?" Abu Bakar menjawab, "Saya meninggalkan untuk mereka itu Allah dan RasulNya."

Kemudian ‘Umar bin Khattab datang dengan membawa separuh dari harta bendanya, lalu menyerahkan kepada Nabi s.a.w. Ketika menerima sumbangan itu Nabi s.a.w. bertanya kepadanya, "Apakah engkau masih meninggalkan sesuatu untuk keluargamu?" Umar menjawab, "Separuh yang kedua (separuhnya lagi)."

‘Usman bin ‘Affan r.a. datang menghadap kepada Nabi s.a.w. untuk menyerahkan hartanya sebanyak seribu dinar. Ketika Nabi s.a.w. menerima sumbangan yang begitu besar itu beliau mendoakan kepada Allah, "Ya Allah, ridhailah diri ‘Usman, sesungguhnya aku pun ridha kepadanya."

Usman r.a. juga menyumbangkan tiga ratus unta beserta perlengkapannya dan lima puluh kuda. Rasulullah s.a.w. bersabda berulang kali, “Tidaklah membahayakan kepada Usman apa yang diperbuat sesudah ini."

Kemudian ‘Abdur Rahman bin ‘Auf datang menyerahkan wang sejumlah seratus uqiyah (1 uqiyah = 40 dirham), ‘Abbas datang untuk menyerahkan harta bendanya yang banyak. Demikian pula Thalhah, ‘Ashim bin ‘Adiy datang menghadap beliau untuk menyerahkan tujuh puluh wasaq kurma (1 wasaq = 60 sha’, 1 sha’ + 3 lt). Kemudian orang-orang perempuan yang ada kemampuan, mereka datang kepada Nabi s.a.w. menyerahkan perhiasan-perhiasan mereka. Dan demikianlah seterusnya, segenap orang yang ada kemampuan memberikan sumbangan, baik lelaki maupun perempuan. Adapun orang-orang yang tidak mampu menyumbangkan harta bendanya, mereka bersedia untuk menyumbangkan tenaganya.

Kemudian ada tujuh orang sahabat datang menghadap kepada Nabi s.a.w. sambil mengemukakan keinginannya untuk membaktikan jiwa raganya, mereka memohon kepada beliau agar mereka diberi alat dan kenderaan untuk ikut serta berangkat bersama angkatan perang muslimin. Mereka itu ialah Salim bin Umair, Ulbah bin Zaid, ‘Abdur Rahman bin Ka’ab, ‘Amr bin Humam, ‘Abdullah bin Mughaffal, Haramiy bin ‘Abdullah dan ‘Irbadl bin Sariyah. Kerana semangat mereka sangat kuat untuk berangkat, sedangkan mereka tidak mempunyai kenderaan, lalu Beliau bersabda, "Aku tidak mendapatkan kenderaan untuk membawa kalian."

Mereka lalu menangis, kerana menyesal dan sedih tidak dapat turut membaktikan jiwa raganya untuk berperang bersama Rasulullah s.a.w, kerana kekurangan perbekalan dan alat perlengkapan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...