Jumaat, 13 Januari 2017

28:10-13 Tafsir Surah Al Qasas, ayat 10-13.

وَأَصْبَحَ فُؤَادُ أُمِّ مُوسَى فَارِغًا إِنْ كَادَتْ لَتُبْدِي بِهِ لَوْلا أَنْ رَبَطْنَا عَلَى قَلْبِهَا لِتَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ (١٠) وَقَالَتْ لأخْتِهِ قُصِّيهِ فَبَصُرَتْ بِهِ عَنْ جُنُبٍ وَهُمْ لا يَشْعُرُونَ (١١) وَحَرَّمْنَا عَلَيْهِ الْمَرَاضِعَ مِنْ قَبْلُ فَقَالَتْ هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى أَهْلِ بَيْتٍ يَكْفُلُونَهُ لَكُمْ وَهُمْ لَهُ نَاصِحُونَ (١٢) فَرَدَدْنَاهُ إِلَى أُمِّهِ كَيْ تَقَرَّ عَيْنُهَا وَلا تَحْزَنَ وَلِتَعْلَمَ أَنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لا يَعْلَمُونَ (١٣)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan perihal ibu Musa a.s. ketika anaknya hanyut di Sungai Nil.

"10. Dan menjadi hati ibu Musa kosong." 

Hatinya menjadi kosong dan lupa kepada semua perkara duniawi. Dia hanya ingat kepada Musa a.s. saja, bayinya yang tersayang. Maka timbullah penyesalan dan kesedihan di hati ibunya kerana bimbangkan keselamatan Musa a.s.

"Sungguh, hampir-hampir dia menyatakan dengannya," 

Oleh kerana kerinduannya yang sangat dan kesedihan serta kekecewaannya yang mendalam, ibu Musa a.s. hampir-hampir membuka rahsia bahawa anaknya telah hilang. Ia hampir mahu menjerit meminta tolong kepada orang ramai untuk mengambil anaknya itu kembali.

"jika tidak bahawa Kami teguhkan atas hatinya, supaya dia termasuk orang-orang yang beriman." 

Allah s.w.t. teguhkan hatinya dan menjadikannya termasuk orang-orang yang percaya kepada janji Allah. Jika diketahui bahawa bayi itu adalah anaknya, iaitu bayi dari Bani Israil, pasti Fir'aun akan membunuh Musa a.s.

Seorang hamba apabila mendapat musibah, lalu ia bersabar, maka imannya akan bertambah. Jika musibah dihadapi dengan sikap keluh kesah terus menerus, maka menunjukkan kelemahan imannya.

"11. Dan dia berkata kepada saudara perempuannya, "Ikutilah dia.""

Ibu Musa memerintahkan kakak Musa mengikuti adiknya yang sedang dihanyutkan oleh arus sungai Nil supaya dia mengetahui keadaannya dan mendapatkan beritanya. Maka kakak Musa berangkat untuk menunaikan tugas itu.

"Maka dia melihat dengannya dari jauh, dan mereka tidak menyedari." 

Kakaknya melihat Musa a.s. dari jauh dengan pemandangan seakan-akan seseorang yang tidak tahu-menahu tentangnya. Mereka tidak menyedari bahawa dia adalah kakak Musa a.s. yang sedang sedang mengawasinya.

Musa a.s. tinggal di istana Fir'aun. Beliau disayangi oleh isteri Fir'aun dan dibebaskan dari kekejaman Fir'aun oleh isterinya. Musa a.s. ditawarkan kepada wanita-wanita tukang menyusu yang ada di dalam istana.

"12. Dan Kami cegah atasnya perempuan-perempuan yang menyusukan sebelumnya;" 

Allah s.w.t. mencegah Musa a.s. secara naluri dari menerima air susu seorang pun dari mereka. Demikian itu kerana kemuliaan Musa a.s. di sisi Allah. Allah s.w.t. memeliharanya dari menyusui kepada selain susu ibunya.

Maka keluarga Raja Fir'aun keluar menuju ke pasar dengan harapan akan menjumpai seorang wanita yang layak untuk menyusuinya. Kakak Musa melihat keluarga Fir'aun kebingungan mencari seorang wanita yang air susunya mahu diterima oleh bayi yang mereka bawa.

Ketika kakak Musa melihatnya, dia langsung mengenalinya, tetapi tidak menampakkan identiti dirinya. Mereka juga tidak menyedari bahawa sebenarnya dia adalah kakak bayi tersebut.

"maka dia berkata, "Apakah aku tunjukkan kepada kalian atas keluarga rumah yang mereka akan memeliharanya untuk kalian dan mereka kepadanya berlaku jujur?" 

Iaitu keluarga yang akan memelihara Musa a.s. dan dapat berlaku jujur, tulus ikhlas atau baik padanya. Maka mereka menangkapnya kerana merasa curiga terhadapnya. Mereka bertanya, "Apakah yang menyebabkan kamu mengetahui bahawa keluarga itu pasti akan berlaku baik dan sangat sayang kepadanya?” 

Kakak Musa menjawab, "Kerana mereka menginginkan agar raja gembira, juga mengharapkan imbalan jasa darinya." Berkat alasannya itu kakak Musa a.s. dilepaskan, selamatlah dia dari mereka, lalu mereka pergi bersama ke rumahnya. 

Apabila sampai di rumahnya mereka masuk dengan membawa Musa a.s. kepada ibunya. Musa a.s. langsung menyusu dari ibunya. Mereka tidak menyedari bahawa itu adalah ibu Musa a.s.

Hal tersebut membuat mereka lega dan gembira. Mereka mengirimkan seseorang untuk memberitahukan berita gembira itu kepada Asiyah isteri Fir’aun. Lalu isteri Fir'aun memanggil ibu Musa a.s. untuk menghadap kepadanya.

Setelah ibu Musa a.s. sampai di istana isteri Fir'aun, maka ia dilayan dengan baik dan dihormati serta diberinya hadiah yang berlimpah, sedangkan isteri Fir'aun tidak mengetahui bahawa dia adalah ibu bayi itu yang sebenarnya.

Isteri Fir'aun meminta ibu Musa tinggal di istana sambil menyusui bayi itu, tetapi ibu Musa menolak dengan alasan bahawa dia mempunyai suami dan ramai anak, ia tidak mampu tinggal di istana meninggalkan mereka.

Tetapi jika isteri Fir'aun setuju, ia mahu menyusuinya di rumahnya sendiri. Akhirnya isteri Fir'aun menyetujui usulnya dan memberinya perbelanjaan, pakaian, hubungan yang akrab, perlakuan yang baik dan hadiah yang berlimpah.

"13. Maka Kami mengembalikannya kepada ibunya, supaya dia sejuk mata hatinya dan tidak bersedih hati," 

Jarak antara keadaan yang sulit dan keadaan yang menggembirakannya hanyalah lebih kurang sehari semalam. Ibu Musa pulang ke rumahnya dengan membawa anaknya dengan hati yang puas lagi disukai. Allah s.w.t. telah menggantikan rasa takutnya dengan rasa aman, memberinya kemuliaan dan kedudukan serta rezeki yang mengalir secara berlimpah.

Di dalam sebuah hadis disebutkan, "Perumpamaan orang yang beramal kerana mengharapkan ridha Allah dalam amal kebaikannya adalah seperti ibu Musa; ia menyusui anaknya dan menerima upahnya."

"dan agar dia mengetahui bahawa janji Allah benar," 

Allah telah berjanji bahawa Dia akan mengembalikan Musa a.s. kepadanya dan akan menjadikannya sebagai seorang rasul. Maka sejak saat itu terpenuhilah apa yang diharapkannya dengan kembalinya Musa a.s. ke dalam pangkuannya, dengan keyakinan bahawa Musa a.s. kelak akan menjadi seorang rasul. Dengan demikian, maka dalam mendidik Musa a.s. ia memperlakukannya sesuai dengan apa yang layak baginya.

Musa a.s. tinggal kembali bersama ibunya sampai masa menyusu selesai, dan ibunya mendapat upah kerana menyusui Musa a.s. setiap hari satu dinar, dan ia mengambilnya, kerana ia adalah harta kafir harbiy, lalu ibunya membawa ke hadapan Fir’aun dan membesarlah Musa a.s. di sisinya, ia menaiki kenderaan kerajaan, memakai pakaian mereka, dan sebagainya.

"akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui." 

Kebanyakan manusia tidak mengetahui tentang hikmah-hikmah Allah yang terkandung di dalam semua perbuatanNya dan akibat-akibatnya yang terpuji, baik di dunia maupun di akhirat. 

Biasanya mereka apabila melihat sebabnya tidak jelas, maka iman mereka pun goyang kerana pengetahuan mereka yang tidak sempurna, padahal Allah s.w.t. mengadakan ujian yang berat dan rintangan yang besar sebelum perkara-perkara yang mengagumkan dan mulia.

Adakalanya kita menyukai suatu urusan, padahal akibatnya amat buruk. Adakalanya kita tidak sukakan suatu urusan, padahal akibatnya terpuji dan amat baik. Mahasuci Allah Yang di tangan (kekuasaan)Nyalah keputusan terakhir. 

Segala sesuatu yang dikehendakiNya pasti terjadi, dan segala sesuatu yang tidak dikehendakiNya pasti tidak akan terjadi. Dialah Allah yang menjadikan bagi orang yang bertakwa kepadaNya jalan kemudahan sesudah mengalami kesusahan, dan jalan keluar sesudah kesempitan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...