Jumaat, 13 Januari 2017

25:68-70 Tafsir Surah Al Furqan, ayat 68-70.

وَالَّذِينَ لا يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا آخَرَ وَلا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلا بِالْحَقِّ وَلا يَزْنُونَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ يَلْقَ أَثَامًا (٦٨) يُضَاعَفْ لَهُ الْعَذَابُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَيَخْلُدْ فِيهِ مُهَانًا (٦٩) إِلا مَنْ تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلا صَالِحًا فَأُولَئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا (٧٠)

Rasulullah s.a.w. ditanya, "Dosa apakah yang paling besar?" Beliau s.a.w. menjawab, "Bila kamu menjadikan tandingan-tandingan bagi Allah, padahal Dia telah menciptakanmu." Lalu ditanya lagi, "Kemudian apa lagi?" Rasulullah s.a.w. bersabda, "Bila kamu membunuh anakmu kerana takut dia ikut makan bersamamu." Ditanya lagi, "Kemudian apa lagi?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Bila kamu berzina dengan isteri jiranmu."

Sejumlah orang dari kalangan orang-orang musyrik yang banyak membunuh dan banyak berzina datang menghadap kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan berkata, "Sesungguhnya agama yang engkau katakan dan engkau seru itu benar-benar baik. Sekiranya saja engkau beritakan kepada kami bahawa apa yang telah kami lakukan ada kifarat (penebus)nya."

Lalu Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"68. Dan orang-orang yang tidak menyembah bersama Allah Tuhan yang lain" 

Mereka beribadah hanya kepadaNya dengan ikhlas. Perbuatan syirik adalah dosa yang paling besar kerana ia merosakkan agama.

"dan tidak membunuh seseorang yang Allah haramkan" 

Orang yang haram dibunuh ialah jiwa seorang muslim dan orang kafir yang mengikat perjanjian. Perbuatan membunuh adalah dosa besar kerana ia merosakkan badan.

"kecuali dengan hak" 

Orang yang halal dibunuh ialah seseorang yang telah membunuh orang lain, pezina yang muhshan dan orang kafir yang halal dibunuh (seperti kafir harbi).

"dan mereka tidak berzina;"

Mereka menjaga kemaluan mereka kecuali kepada isteri-isteri mereka dan hamba sahaya mereka. Perbuatan zina adalah dosa besar kerana ia merosakkan kehormatan. Sesungguhnya perbuatan zina itu permulaannya adalah takut, sedangkan akhirnya adalah penyesalan.

"dan barang siapa yang berbuat demikian, dia mendapat dosa." 

Asaman bermaksud pembalasan dosanya. Asam adalah nama lembah di neraka Jahanam. Barang siapa yang terus menerus melakukan salah satu di antara perbuatan-perbuatan buruk itu, nescaya dia akan mendapat pembalasan dosanya di neraka Jahanam.

"69. Akan dilipatgandakan untuknya azab pada hari kiamat dan dia kekal di dalamnya, terhina." 

Siksaan yang pedih itu diulang-ulang terhadapnya dan diperkeras. Mereka tetap tinggal di dalamnya dalam keadaan terhina lagi rendah.

Ketika turun ayat yang ada dalam surah Al Furqan, orang-orang musyrik Mekah berkata, “Kami telah membunuh jiwa yang diharamkan Allah dan kami telah menyembah selain Allah serta mengerjakan perbuatan-perbuatan keji.”

Maka Allah menurunkan ayat,

"70. Kecuali orang yang bertaubat" 

Pembalasan dari perbuatannya yang buruk-buruk adalah seperti yang telah disebutkan di atas. Kecuali orang-orang yang bertaubat kepada Allah s.w.t. sewaktu masih hidup di dunianya dari semua perbuatan dosanya. Mereka berhenti melakukannya pada saat itu juga, menyesali perbuatan itu, meninggalkan maksiat dan berniat bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya lagi.

"dan beriman dan mengerjakan amal soleh," 

Mereka beriman kepada Allah dengan iman yang sahih. Mereka mengerjakan ketaatan iaitu amal yang diperintahkan syari’ (Allah dan RasulNya) dengan ikhlas kerana Allah. Maka Allah akan menerima taubatnya.

"maka mereka itulah Allah akan mengganti kejahatan-kejahatan mereka dengan kebaikan." 

Amal mereka yang buruk diganti dengan amal yang baik. Sebelum berimannya, mereka selalu mengerjakan amal-amal keburukan. Kemudian Allah menjadikan mereka benci terhadap amal-amal keburukan. Hal ini bererti bahawa Allah mengganti keburukan mereka dengan kebaikan.

Allah mengubah mereka dari melakukan amal buruk kepada melakukan amal soleh, dari kafir kepada muslim, dari menyembah berhala kepada menyembah Ar Rahman, dari syirik kepada ikhlas, dari memerangi kaum muslimin kepada memerangi kaum musyrik, dari berbuat zina kepada menikah dan dari menikahi wanita musyrikah menjadi menikahi wanita mukminah.

Keburukan yang telah berlalu itu berubah dengan sendirinya menjadi amal-amal kebaikan berkat taubat nasuha yang bersih, kembali kepada Allah dan ketaatan menjadi kebaikan. Apabila ia teringat akan dosa-dosa yang telah silam, hatinya merasa menyesal dan mengucapkan istirja' serta istigfar.

Maka dosanya berganti dengan sendirinya menjadi amal ketaatan. Kelak di hari kiamat sekalipun dosa-dosanya itu dijumpai tertulis di dalam buku catatan amalnya, sesungguhnya hal itu tidak membahayakannya kerana telah diganti menjadi amal-amal kebaikan.

"Dan Allah Maha Pengampun Maha Penyayang." 

Dia Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat. Dia maha Penyayang kepada hamba-hambaNya. Dia mengajak mereka bertaubat setelah mereka menghadapkan kepadaNya dosa-dosa besar, lalu Dia memberi mereka taufik untuk bertaubat dan menerima taubat itu.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...