تُرْجِي مَنْ تَشَاءُ مِنْهُنَّ وَتُؤْوِي إِلَيْكَ مَنْ تَشَاءُ وَمَنِ ابْتَغَيْتَ مِمَّنْ عَزَلْتَ فَلا جُنَاحَ عَلَيْكَ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ تَقَرَّ أَعْيُنُهُنَّ وَلا يَحْزَنَّ وَيَرْضَيْنَ بِمَا آتَيْتَهُنَّ كُلُّهُنَّ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا فِي قُلُوبِكُمْ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَلِيمًا (٥١) لا يَحِلُّ لَكَ النِّسَاءُ مِنْ بَعْدُ وَلا أَنْ تَبَدَّلَ بِهِنَّ مِنْ أَزْوَاجٍ وَلَوْ أَعْجَبَكَ حُسْنُهُنَّ إِلا مَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ وَكَانَ اللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ رَقِيبًا (٥٢)
Aisyah r.a. merasa cemburu terhadap wanita-wanita yang menyerahkan dirinya kepada Rasulullah s.a.w., iaitu dikahwini tanpa mahar. Aisyah r.a. berkata, "Apakah tidak malu seorang wanita menghibahkan dirinya?" atau, “Apa (patutkah) seorang wanita menghibahkan dirinya?”
Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya kepada Nabi Muhammad s.a.w.,
"51. Kamu menangguhkan siapa yang kamu kehendaki di antara mereka dan kamu menggauli kepada kamu siapa yang kamu kehendaki."
Allah s.w.t. memberikan keringanan dan rahmatNya kepada RasulNya s.a.w. Beliau s.a.w. boleh menerima atau menolak wanita-wanita yang menghibahkan dirinya kepada Beliau. Ada beberapa wanita yang menyerahkan dirinya kepada Nabi s.a.w. untuk dikahwini tanpa mahar. Maka ada yang dikahwini oleh Beliau iaitu Maimunah binti Al Haris. Ada sebahagian yang lainnya ditangguhkan; mereka tidak kahwin lagi sesudahnya, di antara mereka adalah Ummu Syarik.
Beliau s.a.w. tidak diwajibkan menggilir isteri-isterinya. Beliau s.a.w. boleh mendahulukan atau menangguhkan isteri yang Beliau kehendaki. Beliau s.a.w. boleh bermalam atau tidak bermalam dengan isteri yang Beliau kehendaki. Beliau boleh menggauli atau membiarkan isteri yang Beliau kehendaki.
Tidak ada dosa bagi Beliau s.a.w. bila meniadakan pembahagian giliran terhadap mereka. Jika Beliau s.a.w. menggilir, maka itu merupakan perbuatan tabaru’ (sunat dan kerelaan) dari diri Beliau.
"Dan siapa yang kamu ingini dari siapa yang kamu ceraikan, maka tidak berdosa atas kamu."
Beliau s.a.w. boleh memilih untuk menggauli kembali isteri-isteri yang telah Beliau sisihkan. Beliau s.a.w. juga boleh menerima kembali wanita yang menghibahkan dirinya kepada Beliau, yang telah Beliau tolak sebelumnya.
Allah s.w.t. menerangkan hikmah pemberian keluasan itu dan penyerahan pilihan kepada Beliau dan tindakan Beliau untuk mereka sebagai sikap tabarru’ (sunat).
"Demikian itu lebih dekat bahawa menyejukkan mata mereka, dan mereka tidak bersedih, dan mereka rela dengan apa yang kamu telah berikan pada mereka semuanya."
Apabila isteri-isteri Beliau s.a.w. telah mengetahui bahawa Allah telah menghapuskan dosa darinya dalam hal pembahagian giliran, hati mereka jadi tenang.
Walaupun tidak diwajibkan, Beliau s.a.w. sentiasa berusaha menggilir antara isteri-isterinya dalam segala sesuatu dengan kerelaannya sendiri, bukan sebagai suatu kewajiban yang dibebankan atas dirinya. Beliau s.a.w. menyedari tabiat wanita dan memperlakukan mereka dengan adil.
Isteri-isterinya merasa gembira dengan keputusannya itu, dan merasa berterima kasih kepadanya atas perlakuannya yang adil itu kepada mereka. Mereka mengetahui bahawa Beliau s.a.w. tidak akan meninggalkan dan tidak meremehkan hak yang perlu. Mereka merasa berhutang budi kepada Beliau s.a.w. kerana mahu menggilir mereka, padahal menggilir mereka bukan merupakan suatu kewajiban baginya.
Setelah diturunkan ayat ini, Rasulullah s.a.w. selalu meminta izin kepada isteri-isterinya setiap harinya untuk pindah giliran. Beliau s.a.w. berdoa, "Ya Allah, inilah perbuatanku terhadap apa yang aku miliki. Maka janganlah Engkau mencelaku terhadap apa yang Engkau miliki, sedangkan aku tidak memilikinya (hati)."
"Dan Allah mengetahui apa yang di dalam hati kalian."
Allah mengetahui kecenderungan hatimu kepada seseorang di antara isteri-isterimu. Hal ini tidak dapat kamu elakkan. Allah mengetahui bagaimana perasaanmu ketika memenuhi hak-hak yang wajib dan yang sunat, dan ketika terdesak dalam masalah hak. Oleh kerana itulah, Allah mensyariatkan kelonggaran untuk Beliau agar hati isteri-isteri Beliau tenang.
"Dan Allah Maha Mengetahui Maha Penyantun."
Allah Maha Mengetahui semua isi hati dan rahsia yang tersimpan di dalam dada. Maka Dia mensyariatkan sesuatu yang bermaslahat bagi urusanmu dan lebih memperbanyakkan pahalamu. Allah Maha Penyantun. Dia tidak segera menghukum apa yang muncul darimu.
Setelah ayat ini diturunkan, Aisyah r.a. berkata kepada Rasulullah s.a.w., “Aku tidak melihat Tuhanmu kecuali segera menuruti keinginanmu.”
Nabi s.a.w. bersabda kepada Aisyah, "Bagaimanakah menurut pendapatmu?" Siti Aisyah menjawab, "Jika hal itu diserahkan kepadaku, maka sesungguhnya aku tidak menginginkan engkau, hai Rasulullah, direbut oleh seorang wanita pun."
Rasulullah s.a.w. menyuruh isteri-isterinya membuat pilihan. Lalu mereka lebih memilih Allah, RasulNya dan pahala akhirat. Maka sebagai balasan Allah dan ridhaNya kerana sikap mereka yang baik, Allah s.w.t. berfirman,
"52. Tidak halal bagi kamu perempuan-perempuan setelah itu"
Allah s.w.t. telah menghalalkan Beliau s.a.w. mengahwini berbagai macam wanita yang telah disebutkan dalam ayat-ayat sebelumnya, iaitu wanita-wanita yang telah Beliau berikan maskahwin mereka, hamba sahaya perempuan yang Beliau miliki, anak-anak perempuan dari saudara lelaki bapanya, anak-anak perempuan dari saudara perempuan bapanya, anak-anak perempuan dari saudara lelaki ibunya, anak-anak perempuan dari saudara perempuan ibunya, wanita-wanita mukmin lagi ikut berhijrah, dan wanita-wanita yang menghibahkan dirinya kepadanya. Maka wanita-wanita selain dari yang telah disebutkan itu diharamkan bagi Beliau s.a.w.
"dan tidak bahawa kamu mengganti dengan mereka dan isteri-isteri, walaupun menarik hatimu kebaikan mereka,"
Allah s.w.t. juga melarang Nabi s.a.w. menceraikan isterinya untuk menggantikannya dengan isteri yang lain, walaupun kecantikan wanita lain itu mempesona hati Beliau s.a.w. Dengan demikian mereka aman dari ditalak, kerana Allah telah menetapkan bahawa mereka adalah isteri-isteri Beliau di dunia dan akhirat, dan Beliau dengan mereka tidak akan berpisah.
"kecuali hamba sahaya yang kamu miliki."
Beliau s.a.w. dibolehkan mengahwini hamba-hamba perempuan dan para tawanan wanita. Beliau memiliki hamba bernama Mariyah, yang darinya lahir anaknya Ibrahim, dan wafat pada saat Beliau masih hidup.
"Dan Allah atas segala sesuatu Maha Pengawas."
Dia mengawasi segala urusan, mengetahui akibatnya dan mengurusnya secara sempurna dan rapi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan