Isnin, 16 Januari 2017

36:71-76 Tafsir Surah Yasin, ayat 71-76.

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا خَلَقْنَا لَهُمْ مِمَّا عَمِلَتْ أَيْدِينَا أَنْعَامًا فَهُمْ لَهَا مَالِكُونَ (٧١) وَذَلَّلْنَاهَا لَهُمْ فَمِنْهَا رَكُوبُهُمْ وَمِنْهَا يَأْكُلُونَ (٧٢) وَلَهُمْ فِيهَا مَنَافِعُ وَمَشَارِبُ أَفَلا يَشْكُرُونَ (٧٣) وَاتَّخَذُوا مِنْ دُونِ اللَّهِ آلِهَةً لَعَلَّهُمْ يُنْصَرُونَ (٧٤) لا يَسْتَطِيعُونَ نَصْرَهُمْ وَهُمْ لَهُمْ جُنْدٌ مُحْضَرُونَ (٧٥) فَلا يَحْزُنْكَ قَوْلُهُمْ إِنَّا نَعْلَمُ مَا يُسِرُّونَ وَمَا يُعْلِنُونَ (٧٦)

Allah s.w.t. berfirman menyebutkan nikmat yang telah Dia limpahkan kepada manusia.

"71. Dan apakah tidak mereka melihat bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka dari apa yang mengerjakan tangan-tangan Kami binatang ternak," 

Allah s.w.t. telah menciptakan untuk mereka sebahagian dari makhluk yang telah Dia ciptakan dengan kekuasaanNya sendiri, iaitu haiwan-haiwan ternak seperti unta, lembu, kambing dan sebagainya, tanpa ada yang membantu.

"lalu mereka padanya memiliki?" 

Allah s.w.t. menjadikan mereka menakluk, memiliki dan menguasai haiwan-haiwan ternakan itu.

"72. Dan Kami menundukkannya bagi mereka;" 

Allah s.w.t. menjadikan haiwan-haiwan ternakan itu walaupun banyak menjadi tunduk, jinak, tidak liar dan sentiasa taat mengikuti apa yang mereka kehendaki. Dia juga menjadikan berbagai manfaat dari haiwan-haiwan ternakan itu untuk mereka.

"maka sebahagiannya tunggangan mereka" 

Sebahagiannya digunakan sebagai pengangkutan membawa mereka, beban berat milik mereka dan perlengkapan mereka. Ada juga yang digunakan untuk bekerja dalam pertanian.

"dan darinya mereka makan." 

Jika mereka menghendaki, mereka boleh saja menyembelihnya, lalu memakan dagingnya.

"73. Dan bagi mereka di dalamnya manfaat dan minuman." 

Mereka dapat memanfaatkan kulit dan bulunya sebagai pakaian menghangatkan badan, peralatan rumah tangga, perhiasan dan kegunaan lain. Air susunya boleh diminum. Air kencingnya boleh dijadikan ubat. Semua itu sebagai kesenangan sampai waktu yang ditentukan.

"Maka apakah mereka tidak bersyukur."

Setelah mereka dilimpahkan berbagai nikmat dari Allah s.w.t., mereka tidak bersyukur kepadaNya. Mereka tidak mengesakan Tuhan Yang Menciptakan dan menundukkan semua itu. Mereka tidak beriman dan beribadah hanya kepadaNya. Mereka hanya bersenang-senang saja tanpa mengambil pelajaran daripadanya. Bahkan mereka mempersekutukanNya dengan yang lain.

"74. Dan mereka menjadikan dari selain Allah tuhan agar mereka, mereka mendapat pertolongan." 

Kaum musyrik menjadikan sesembahan mereka sebagai sekutu bagi Allah. Mereka menyangka bahawa dengan berbuat demikian tandingan-tandingan tersebut dapat membantu mereka, menghindarkan mereka dari azab Allah, memberi mereka rezeki dan mendekatkan diri mereka kepada Allah.

"75. Mereka tidak mampu menolong mereka;"

Berhala-berhala itu tidak dapat menolong mereka. Orang-orang musyrik semasa di dunia mereka marah demi berhala-berhala sesembahan mereka. Padahal sesembahan mereka yang selain Allah itu tidak dapat menolong penyembahnya, tidak dapat mendatangkan suatu kebaikan pun bagi mereka dan tidak dapat pula menolak suatu keburukan pun dari mereka. 

Bahkan berhala-berhala itu lebih lemah, lebih hina, lebih rendah, dan lebih kecil. Ia tak mampu untuk membela walaupun terhadap dirinya sendiri. Berhala-berhala itu adalah patung-patung belaka, benda mati, tidak dapat mendengar dan tidak dapat berfikir.

"dan mereka untuk mereka bala tentera disiapkan." 

Padahal berhala-berhala itu menjadi tentera yang disediakan untuk menjaga mereka. Di hari penghisaban amal perbuatan, Allah akan menghimpunkan semua berhala itu kelak di hari kiamat.

Semuanya dihadirkan semasa dilakukan penghisaban terhadap para penyembahnya. Hal tersebut dimaksudkan untuk memberatkan lagi kesedihan mereka dan merupakan bukti yang lebih tepat menunjukkan kesalahan mereka yang menyembahnya.

Berhala-berhala itu dan para penyembahnya akan sama-sama dimasukkan ke dalam neraka. Di dalam neraka itu antara penyembah dengan sesembahan yang disembahnya akan saling berlepas diri.

Sepatutnya mereka berlepas diri sewaktu di dunia dari menyembahnya, dan hanya menyembah Allah saja. Di TanganNyalah segala kekuasaan. Dialah yang berkuasa memberikan manfaat dan menimpakan madarat, yang berkuasa memberi dan menahan.

"76. Maka janganlah membuatmu bersedih perkataan mereka." 

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w. agar Beliau tidak berduka cita kerana ucapan mereka yang mendustakan bahawa Beliau adalah seorang rasul, celaan terhadap apa yang Beliau bawa dan kekafiran mereka kepada Allah.

"Sesungguhnya Kami mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka nyatakan." 

Allah s.w.t. mengetahui semua yang ada pada diri mereka, dan kelak Dia akan membalas mereka dengan balasan yang setimpal. Tiada sesuatu pun dari perbuatan mereka, baik yang besar maupun yang kecil, luput dariNya. Bahkan semua amal perbuatan mereka yang dahulu dan yang terkemudian ditampakkan dihadapan mereka.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...