Selasa, 24 Januari 2017

68:44-52 Tafsir Surah Al Qalam, ayat 44-52

فَذَرْنِي وَمَنْ يُكَذِّبُ بِهَذَا الْحَدِيثِ سَنَسْتَدْرِجُهُمْ مِنْ حَيْثُ لا يَعْلَمُونَ (٤٤) وَأُمْلِي لَهُمْ إِنَّ كَيْدِي مَتِينٌ (٤٥) أَمْ تَسْأَلُهُمْ أَجْرًا فَهُمْ مِنْ مَغْرَمٍ مُثْقَلُونَ (٤٦) أَمْ عِنْدَهُمُ الْغَيْبُ فَهُمْ يَكْتُبُونَ (٤٧) فَاصْبِرْ لِحُكْمِ رَبِّكَ وَلا تَكُنْ كَصَاحِبِ الْحُوتِ إِذْ نَادَى وَهُوَ مَكْظُومٌ (٤٨) لَوْلا أَنْ تَدَارَكَهُ نِعْمَةٌ مِنْ رَبِّهِ لَنُبِذَ بِالْعَرَاءِ وَهُوَ مَذْمُومٌ (٤٩) فَاجْتَبَاهُ رَبُّهُ فَجَعَلَهُ مِنَ الصَّالِحِينَ (٥٠) وَإِنْ يَكَادُ الَّذِينَ كَفَرُوا لَيُزْلِقُونَكَ بِأَبْصَارِهِمْ لَمَّا سَمِعُوا الذِّكْرَ وَيَقُولُونَ إِنَّهُ لَمَجْنُونٌ (٥١) وَمَا هُوَ إِلا ذِكْرٌ لِلْعَالَمِينَ (٥٢)

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"44. Maka biarkan Kami dan orang yang mendustakan dengan ini perkataan." 

Serahkanlah kepadaKu orang-orang yang mendustakan perkataan ini. Balasan terhadap orang-orang yang mendustakan Al Qur'an itu adalah urusanKu. Kamu tidak perlu meminta disegerakan. Biarkanlah Aku dengan mereka. Aku lebih mengetahui bagaimana memperlakukannya.

Kami akan bukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka. Kami akan menambahkan rezeki, harta dan anak mereka. Kami akan memberikan kepada mereka segala apa yang mereka inginkan. Kami biarkan mereka dalam kesesatannya.

"Kelak kami akan menarik mereka beransur-ansur dari arah tidak mereka ketahui." 

Akan Kami hukum mereka beransur-ansur dari arah yang tidak mereka ketahui. Mereka akan tertipu dan tetap terus di atas hal yang membahayakan mereka. Nanti Kami akan menarik mereka dengan beransur-ansur kepada kebinasaan. Sedangkan mereka tidak merasakannya.

Bahkan mereka menyangka bahawa Kami memberikan penghormatan dan kebaikan kepada mereka. Sebenarnya mereka tidak sedar bahawa kenyataannya adalah penghinaan terhadap mereka.

"45. Dan aku beri waktu bagi mereka." 

Aku tangguhkan hukuman bagi mereka. Apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Aku akhirkan mereka dengan azab. Aku siksa mereka dengan sekonyong-konyong. Ketika itu mereka terdiam berputus asa. Yang demikian itu termasuk tipu dayaKu terhadap mereka.

"Sesungguhnya tipu dayaku teguh." 

Sungguh, rancanganKu amat teguh. Tipu dayaKu terhadap orang yang menentang perintahKu, mendustakan rasul-rasulKu, dan berani menderhaka terhadapKu adalah amat besar.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah s.w.t. benar-benar memberi tangguh kepada orang yang zalim; hingga manakala Dia mengazabnya, maka ia tidak dapat luput dari siksaNya." Kemudian Nabi s.a.w. membaca firmanNya, "Dan begitulah azab Tuhanmu, apabila Dia mengazab penduduk negeri-negeri yang berbuat zalim. Sesungguhnya azabNya itu adalah sangat pedih lagi keras." (Hud: 102)

"46. Atau kamu minta mereka upah, lalu mereka dari hutang dibebani?" 

Engkau menyampaikan risalah dan menyeru mereka menyembah Allah tanpa meminta upah yang menyebabkan mereka berhutang kepadamu. Bahkan engkau hanya mengharapkan pahala di sisi Allah. Tetapi merekalah yang mendustakan apa yang engkau sampaikan kepada mereka disebabkan kebodohan, kekufuran, dan keingkaran mereka.

"47. Atau di sisi mereka yang ghaib, lalu mereka menuliskannya?" 

Mereka tidak menuliskan apa yang mereka tahu tentang hal yang ghaib, dimana mereka menemukan di sana bahawa mereka berada di atas yang hak dan bahawa mereka akan mendapatkan pahala di sisi Allah. Ini adalah perkara yang tidak sesuai kenyataan. Bahkan keadaan mereka adalah keadaan orang yang keras kepala dan zalim.

"48. Maka bersabarlah terhadap ketetapan Tuhanmu," 

Bersabarlah terhadap ketetapan qadariNya dengan menyikapinya dengan sabar, tidak keluh kesah dan marah-marah. Bersabarlah dalam menghadapi gangguan kaummu terhadap dirimu dan sikap mereka yang mendustakanmu. Bersedialah menerima apa yang muncul dari mereka. Teruskanlah mendakwahi mereka.

Bersabarlah terhadap ketetapan syar’iNya dengan menerima dan tunduk dengan sempurna. Sesungguhnya Allah akan menetapkan kemenangan bagimu atas mereka dan menjadikan bagimu dan orang-orang yang mengikutimu kesudahan yang baik di dunia dan akhirat.

"dan janganlah kamu menjadi seperti yang tinggal ikan" 

Janganlah kamu seperti orang yang berada dalam ikan. Janganlah kamu bosan, terburu-buru dan tidak sabar terhadap sikap kaummu seperti Zun Nun atau Yunus ibnu Mata (Matius). Dia pergi meninggalkan kaumnya dalam keadaan marah. Kemudian Yunus a.s. menaiki kapal.

Semasa berlayar mereka dilanda badai dan hampir tenggelam, maka mereka melakukan undian untuk melempar penumpangnya agar kapal tidak tenggelam. Undian jatuh menimpa Yunus a.s. Maka Yunus a.s. akur dengan kehendak Allah dan melempar dirinya ke laut.

"ketika dia berdoa dan dia sedang bersedih hati." 

Ketika dia berdoa dalam keadaan sedih. Makzum bermaksud dalam keadaan duka cita dan kesusahan. 

Seekor ikan paus menelan Yunus a.s., lalu membawanya di kedalaman lautan yang gelap gelita. Di dalam kegelapan dan kesedihan itu Beliau terus menerus selama empat puluh hari berseru, “Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Mahasuci Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang zalim.”

Berkat amalannya dan ingatannya kepada Allah dalam apa saja keadaannya, maka Allah s.w.t. memperkenankan doanya dan menyelamatkannya dari kedukaan. Lalu Allah memerintahkan kepada ikan itu untuk mengeluarkannya. Maka ikan paus itu memuntahkan Yunus a.s. ke pantai dalam keadaan lemah, lalu Allah s.w.t. menumbuhkan pohon sejenis labu sebagai pemulihnya dan tempatnya bernanung.

"49. Kalau tidak bahawa mendapatkannya nikmat dari Tuhannya, tentu dia dicampakkan pada tanah tandus dan dia tercela." 

Dia mencampakkan Yunus a.s. ke daratan dalam keadaan terpuji dan keadaannya menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Jika tiadalah nikmat dan rahmat Allah s.w.t. ke atas Yunus a.s., nescaya perut ikan itulah tempat tinggalnya sampai hari kebangkitan atau dia dicampakkan ke tanah tandus dalam keadaan tercela. Begitulah Allah s.w.t. menyelamatkan orang-orang yang beriman.

"50. Lalu memilihnya Tuhannya, maka dia menjadikannya termasuk orang yang soleh." 

Allah s.w.t. memilihnya dan membersihkannya dari kekeruhan. Allah juga menjadikannya orang yang baik amal, ucapannya, niatnya dan keadaannya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tidak layak bagi seseorang mengatakan bahawa aku lebih baik daripada Yunus ibnu Mata."

Dengan adanya kisah ini, maka Nabi Muhammad s.a.w. melaksanakan perintah Allah dan bersabar terhadap ketetapanNya dengan kesabaran yang belum pernah dilakukan oleh seorang pun. Maka Allah s.w.t. memberikan akibat yang terpuji untuk Beliau s.a.w.

Musuh-musuh Beliau s.a.w. hanya mendapat kesedihan dan kekecewaan. Kedengkian dan kebencian mereka terhadap Rasulullah s.a.w. begitu mendalam.

"51. Dan sungguh, hampir-hampir orang-orang yang kafir akan menggelincirkan kamu dengan pandangan mereka," 

Menurut kebiasaan yang terjadi di tanah Arab, seseorang dapat membinasakan binatang atau manusia dengan menujukan pandangannya yang tajam. Penyakit 'ain itu dan pengaruhnya ada, tetapi dengan izin Allah s.w.t. Kekuatan pandangan mata itu pada masa sekarang dikenal dengan hypnotisme.

Hal ini hendak dilakukan juga kepada Nabi Muhammad s.a.w. Penyakit 'ain itu benar-benar hampir menembus dirinya. Inilah gangguan perbuatan yang mampu mereka lakukan. Tetapi Allah s.w.t. menjaga, memelihara, menolong dan menghindari Beliau s.a.w. dari bahaya itu.

"tatkala mereka mendengar peringatan dan mereka berkata, "Sungguh dia benar-benar orang gila.""

Mereka memandang rendah dan hina kepada Nabi Muhammad s.a.w. Mereka melancarkan gangguan lisan (ucapan) terhadap Beliau s.a.w. untuk menyakitinya. Maka mereka telah mengatakan kata-kata yang banyak terhadap Beliau s.a.w. seperti yang diilhamkan oleh hati mereka.

Mereka menyebut Beliau s.a.w. sebagai ‘orang gila’, sebagai ‘penyair,’ sebagai ‘dukun’, sebagai pesihir, dan sebagainya. Semua gangguan itu hanyalah kerana Beliau s.a.w. telah mendatangkan Al Qur'an.

"52. Dan tidak ia kecuali peringatan bagi seluruh alam." 

Al Quran itu tidak lain adalah peringatan bagi seluruh alam. Dengan Al Qur’an, seluruh umat menyedari hal yang bermaslahat bagi mereka baik pada agama mereka maupun dunia mereka.

Demikianlah akhir dari tafsir surah Al Qalam, segala puji dan kurnia adalah milik Allah semata.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...