Selasa, 21 Mac 2017

9:124-127 Tafsir Surah At Taubah, ayat 124-127.

وَإِذَا مَا أُنْزِلَتْ سُورَةٌ فَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ أَيُّكُمْ زَادَتْهُ هَذِهِ إِيمَانًا فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا فَزَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَهُمْ يَسْتَبْشِرُونَ (١٢٤) وَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَتْهُمْ رِجْسًا إِلَى رِجْسِهِمْ وَمَاتُوا وَهُمْ كَافِرُونَ (١٢٥) أَوَلا يَرَوْنَ أَنَّهُمْ يُفْتَنُونَ فِي كُلِّ عَامٍ مَرَّةً أَوْ مَرَّتَيْنِ ثُمَّ لا يَتُوبُونَ وَلا هُمْ يَذَّكَّرُونَ (١٢٦) وَإِذَا مَا أُنْزِلَتْ سُورَةٌ نَظَرَ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ هَلْ يَرَاكُمْ مِنْ أَحَدٍ ثُمَّ انْصَرَفُوا صَرَفَ اللَّهُ قُلُوبَهُمْ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لا يَفْقَهُونَ (١٢٧)

Allah s.w.t. menerangkan tentang keadaan orang-orang munafik dan keadaan orang-orang mukmin ketika turun ayat Al Qur’an.

"124. Dan apabila diturunkan suatu surah," 

Apabila diturunkan suatu surah yang berisi perintah, larangan, berita tentang diri Allah, tentang perkara-perkara ghaib atau dorongan untuk berjihad.

"maka di antara mereka orang yang berkata,"

Di antara orang-orang munafik itu ada yang berkata kepada kawan-kawannya sambil mengolok-olok dan mempersenda.

"Siapa di antara kalian menambahnya ini dalam keimanannya?" 

Maka Allah s.w.t. berfirman,

"Maka adapun orang-orang yang beriman, maka menambah pada diri mereka keimanan dan mereka merasa gembira." 

Baik dengan mengetahuinya, memahaminya, meyakininya, mengamalkannya, berkeinginan mengerjakan kebaikan, dan menahan diri dari mengerjakan keburukan. Lapangnya dada mereka terhadap ayat-ayat Allah, hatinya tenteram dan segera tunduk. Al Qur’an itu adalah petunjuk dan penawar bagi mereka.

Iman itu dapat bertambah dan dapat berkurang. Ia bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan kemaksiatan.

"125. Dan adapun orang-orang yang dalam hati mereka ada penyakit," 

Di dalam hati mereka ada penyakin batin seperti kekafiran, kemunafikan, keragu-raguan dan sebagainya

"maka menambah didalam dirinya kotor pada kekotoran mereka," 

Hati mereka telah dicap. Surah yang dibacakan itu hanya akan menambahkan penyakit kekafiran, kemunafikan, kebimbangan dan keraguan disamping penyakitnya itu yang telah ada pada mereka. Pada telinga mereka ada sumbatan, sedangkan Al Qur’an itu adalah suatu kegelapan bagi mereka. Mereka itu seperti orang-orang yang dipanggil dari tempat yang jauh.

"dan mereka mati dan mereka orang-orang yang kafir." 

Demikianlah kesimpulan dari kecelakaan yang menimpa diri mereka, bahawa apa yang sebenarnya dapat memberikan petunjuk kepada hati, sebaliknya bagi mereka menjadi penyebab kesesatan dan kehancuran diri mereka. Demikian itu merupakan hukuman bagi mereka, kerana mereka kafir kepada ayat-ayat Allah dan menderhakai RasulNya, maka Allah tanamkan kemunafikan di hati mereka sampai mereka bertemu denganNya. Mereka umpama orang yang sedang sakit, dihidangkan makanan apa pun akan terasa pahit olehnya, dirinya hanyalah semakin lemah dan kurus.

Allah s.w.t. berfirman mencela mereka kerana terus menerus di atas kekafiran dan kemunafikan.

"126. Tidakkah mereka perhatikan bahawasanya mereka sedang diuji dalam setiap tahun sekali atau dua kali,"

Mereka tidak memikirkan bahawa mereka telah diuji dengan musibah-musibah yang menimpa mereka. Setiap tahunnya ada suatu kedustaan atau dua kedustaan yang membuat ramai orang sesat kerananya. Maka terbukalah rahsia tipu daya mereka, pengkhianatan mereka dan sifat mereka menyalahi janji. Mereka diuji dengan kemarau panjang, kelaparan dan berbagai penyakit. Mereka juga diuji dengan perintah-perintah untuk menguji mereka, seperti perintah untuk berperang sekali atau dua kali dalam setiap tahunnya.

Urusan mereka tiadalah bertambah melainkan hanya makin keras (parah), dan tiadalah manusia makin bertambah melainkan hanya kekikirannya (kebakhilannya). Tiada suatu tahun pun yang dilalui melainkan tahun berikutnya lebih parah daripada sebelumnya.

"kemudian mereka tidak bertaubat dan mereka tidak mengambil pelajaran?" 

Dengan berlakunya musibah-musibah itu mereka tidak juga mahu bertaubat dari kemunafikannya dan dosa-dosa mereka yang terdahulu. Mereka tidak pula mengambil pelajaran untuk menghadapi masa mendatang. Mereka tidak juga mengerjakan hal yang bermanfaat bagi mereka dan meninggalkan hal yang membahayakan mereka.

"127. Dan apabila apa yang diturunkan surah, memandang sebahagian mereka kepada sebahagian yang lain." 

Kaum munafik sangat bimbang jika turun surah yang mendedahkan apa yang disembunyikan dalam hati mereka. Apabila diturunkan suatu surah kepada Rasulullah s.a.w., Beliau akan membacakannya kepada orang ramai agar mereka mengimaninya dan mengamalkan isinya.

Maka orang-orang munafik saling berpandangan dengan bertekad kuat untuk tidak mengamalkannya. Mereka menunggu saat-saat tidak terlihat oleh kaum mukmin dan mereka berkata,

"Adakah melihat kalian dari seseorang?" 

Mereka memastikan kalau ada di antara kaum mukmin yang nampak jika mereka berundur dari majlis Nabi s.a.w. atau majlis ilmu itu.

"Kemudian mereka berpaling." 

Mereka pun dengan sembunyi-sembunyi memisahkan diri meninggalkan majlis itu. Sebenarnya mereka berpaling dari kebenaran dan peringatan Allah, lalu menuju ke arah kebatilan. Mereka lari meninggalkannya seperti keldai liar yang lari kerana terkejut. Demikianlah keadaan mereka di dunia, labil dalam menghadapi perkara yang hak, tidak mahu menerimanya, dan tidak mahu faham tentangnya.

"Allah memalingkan hati-hati mereka kerana sesungguhnya mereka kaum tidak mengerti." 

Mereka sebenarnya kaum yang tidak faham tentang Allah dan perintahNya, tetapi mereka tidak berusaha untuk memahaminya serta tidak pula menghendakinya. Bahkan mereka sibuk dengan yang lain dan lari darinya. Kerana sikap mereka begitu, maka Allah memalingkan hati mereka dari iman dan petunjuk.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...