Khamis, 23 Mac 2017

11:61-68 Tafsir Surah Hud, ayat 61-68.

وَإِلَى ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ هُوَ أَنْشَأَكُمْ مِنَ الأرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا فَاسْتَغْفِرُوهُ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ إِنَّ رَبِّي قَرِيبٌ مُجِيبٌ (٦١) قَالُوا يَا صَالِحُ قَدْ كُنْتَ فِينَا مَرْجُوًّا قَبْلَ هَذَا أَتَنْهَانَا أَنْ نَعْبُدَ مَا يَعْبُدُ آبَاؤُنَا وَإِنَّنَا لَفِي شَكٍّ مِمَّا تَدْعُونَا إِلَيْهِ مُرِيبٍ (٦٢) قَالَ يَا قَوْمِ أَرَأَيْتُمْ إِنْ كُنْتُ عَلَى بَيِّنَةٍ مِنْ رَبِّي وَآتَانِي مِنْهُ رَحْمَةً فَمَنْ يَنْصُرُنِي مِنَ اللَّهِ إِنْ عَصَيْتُهُ فَمَا تَزِيدُونَنِي غَيْرَ تَخْسِيرٍ (٦٣) وَيَا قَوْمِ هَذِهِ نَاقَةُ اللَّهِ لَكُمْ آيَةً فَذَرُوهَا تَأْكُلْ فِي أَرْضِ اللَّهِ وَلا تَمَسُّوهَا بِسُوءٍ فَيَأْخُذَكُمْ عَذَابٌ قَرِيبٌ (٦٤) فَعَقَرُوهَا فَقَالَ تَمَتَّعُوا فِي دَارِكُمْ ثَلاثَةَ أَيَّامٍ ذَلِكَ وَعْدٌ غَيْرُ مَكْذُوبٍ (٦٥) فَلَمَّا جَاءَ أَمْرُنَا نَجَّيْنَا صَالِحًا وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ بِرَحْمَةٍ مِنَّا وَمِنْ خِزْيِ يَوْمِئِذٍ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ الْقَوِيُّ الْعَزِيزُ (٦٦) وَأَخَذَ الَّذِينَ ظَلَمُوا الصَّيْحَةُ فَأَصْبَحُوا فِي دِيَارِهِمْ جَاثِمِينَ (٦٧) كَأَنْ لَمْ يَغْنَوْا فِيهَا أَلا إِنَّ ثَمُودَ كَفَرُوا رَبَّهُمْ أَلا بُعْدًا لِثَمُودَ (٦٨)

Allah s.w.t. berfirman,

"61. Dan kepada Samud saudara mereka, Saleh." 

Nasab kaum Samud ialah Samud ibnu Asir ibnu Iram ibnu Sam ibnu Nuh. Dia adalah saudara lelaki Jadis ibnu Asir, demikian pula kabilah Tasm. Mereka semuanya adalah kabilah-kabilah dari kalangan bangsa Arabul Aribah sebelum Nabi Ibrahim a.s.

Kaum Samud adalah kaum pengganti yang berkuasa sesudah kaum 'Ad. Mereka tinggal di Hijr; nama sebuah daerah pegunungan yang terletak di pinggir jalan antara Madinah dan Syam (Syria). Mereka dirikan istana-istana di tanah-tanahnya yang datar dan mereka pahat gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah.

Allah s.w.t. mengutus seorang rasul kepada mereka yang juga dari kalangan mereka iaitu Nabi Saleh a.s. Lalu Beliau memerintahkan mereka agar menyembah Allah semata.

"Dia berkata, "Wahai kaumku! Sembahlah Allah, tidak ada bagi kalian satu Tuhan pun selainNya."" 

Semua utusan Allah menyerukan untuk menyembah Allah semata dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu yang tidak mampu memberi manfaat dan tidak mampu menimpakan bahaya.

"Dia menciptakan kalian dari bumi dan Dia memakmurkan kalian di dalamnya." 

Allah s.w.t. memulai penciptaan nenek moyang kalian, iaitu Adam a.s. (manusia) dari tanah. Kemudian Dia menjadikan kalian sebagai penghuni, penguasa, pembangun, penggarap manfaat, pengolah dan pemakmur dunia. Dialah Tuhan yang sentiasa melimpahkan kepada kalian nikmat-nikmatNya. Setiap nikmat adalah berasal dariNya.

"Maka mohonlah ampun kepadaNya, kemudian bertaubatlah kalian kepadaNya." 

Mohonlah ampunanNya dari perbuatan syirik dan dosa-dosa kalian yang telah lalu. Bertaubatlah kepadaNya dengan kembali menaatiNya. Janganlah kalian ulangi lagi dosa-dosa itu dalam menjalani masa depan kalian.

"Sesungguhnya Tuhanku amat dekat Maha Memperkenankan."

Al Qarib bermaksud Dia Mahadekat rahmatNya. Al Mujib bermaksud Dia memperkenankan doa hambaNya. Kedekatan Allah terbahagi dua; umum dan khusus. Umum maksudnya, bahawa Allah s.w.t. dekat dengan semua makhluk dengan ilmuNya. Dia lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.

Sedangkan kedekatan khusus adalah kedekatanNya dengan hamba-hambaNya, orang-orang yang bersujud kepadaNya, meminta kepadaNya, mendekatkan diri kepadaNya dan mencintaiNya. Kedekatan khusus ini menghendaki seseorang mendapatkan kelembutanNya, pengabulan terhadap doa mereka serta diwujudkanNya keinginan mereka. Oleh kerana itu, namaNya “Al Qarib" sering diiringi dengan namaNya “Al Mujib”.

"62. Mereka berkata, "Wahai Saleh! Sesungguhnya kamu di antara kami menjadi harapan sebelum ini," 

Saleh a.s. terkenal dengan akhlaknya yang mulia dan orang terbaik di antara kaumnya. Beliau adalah seorang yang diharapkan menjadi tokoh dan orang yang dimintai pendapatnya. Beliau di hadapan mereka seorang yang dianggap sempurna. Maka Mahabijaksana Allah yang memberikan kenabian kepada orang yang tepat. Akan tetapi, apabila Saleh a.s. menyebutkan sesuatu yang tidak sesuai dengan hawa nafsu mereka, mereka menolak dakwah Beliau. Mereka tidak lagi berharap apa-apa dari Beliau.

"apakah kamu larang kami untuk kami menyembah apa yang menyembah bapa-bapa kami?" 

Kerana keadaan kaumnya yang bodoh lagi pengingkar, mereka hairan apabila dilarang menyembah apa yang disembah oleh nenek moyang mereka dan tradisi yang biasa dilakukan oleh para pendahulu mereka.

"Dan sungguh kami benar-benar dalam keraguan dari apa yang kamu seru pada kami kepadanya orang yang ragu."

Agama yang diserukan oleh Saleh a.s. benar-benar meragukan, menggelisahkan dan merungsingkan mereka.

"63. Dia berkata, "Wahai kaumku! Bagaimana pendapat kalian jika aku di atas keterangan dari Tuhanku"" 

Iaitu bukti yang meyakinkan dan tanda yang pasti yang membenarkan apa yang aku sampaikan kepada kalian ini. Dan aku berada dalam keyakinan yang kuat terhadapnya.

"dan Dia memberi aku dariNya rahmat," 

Allah s.w.t. telah memberikanku kenabian. Dia telah memerintahkanku agar menyeru dan mengajak kalian kepada kebenaran dan menyembah Allah semata. Maka tidak sepatutnya aku mengikuti permintaan kalian.

"maka siapakah yang dapat menolongku dari siksa Allah jika aku menderhakaiNya?"

Tiada sesiapa pun yang dapat melindungiku dari azab Allah sekiranya aku meninggalkan hal tersebut.

"Maka tidak kalian menambahkan kepadaku selain kerugian." 

Perintah kalian tidak dapat memberikan manfaat dan tambahan kepadaku, tetapi hanya akan menambah kerugian yang nyata kepadaku.

Mereka ingin menyaksikan dengan mata mereka sendiri suatu tanda dari Allah (mukjizat) yang membuktikan bahawa Saleh a.s. adalah rasul Allah, iaitu seekor unta betina yang dikeluarkan dari sebuah batu besar buat mereka. Batu besar yang dinamakan Al Katibah itu memang lain dari yang lain. Ia terdapat di suatu bahagian dari daerah Al Hajar.

Saleh a.s. dan kaumnya membuat perjanjian dan ikrar bahawa mereka akan beriman dan mengikuti Beliau jika Allah mengabulkan permintaan mereka. Beliau mendirikan solatnya dan berdoa memohon kepada Allah. Batu besar itu mendadak bergerak dan terbelah. Keluarlah darinya seekor unta betina sedang bunting, persis seperti apa yang mereka minta.

Pada saat itu juga berimanlah kepada Saleh a.s. pemimpin mereka, Junda ibnu Amr bersama para pengikut setianya. Ketika orang-orang terhormat lainnya hendak beriman, mereka dihalang-halangi oleh Zu ab ibnu Amr, Hubab (pengurus berhala) dan Rabab ibnu Sa'r.

"64. Dan wahai kaumku! Inilah unta betina Allah bagi kalian sebagai tanda." 

Unta betina dari Allah itu menjadi mukjizat, hujah, bukti yang nyata dan membenarkan apa yang Saleh a.s. sampaikan kepada mereka.

"Maka biar makan di bumi Allah," 

Unta itu mempunyai giliran untuk minum dari air sumur mereka pada hari tertentu. Mereka juga mempunyai giliran untuk mendapatkan air dari sumur itu di hari lainnya yang tertentu. Pada hari minum unta itu mereka dapat minum dari air susu unta itu yang mereka perah. Mereka tidak dibebani memberinya makan.

"dan janganlah kalian mengganggunya dengan keburukan, maka akan menimpa kalian azab yang dekat." 

Jika mereka mengganggunya atau menyakitinya, maka mereka akan segera ditimpa azab yang pedih dari Allah. Unta itu melahirkan anaknya dan tinggal bebas bersama mereka. Ia sangat besar dan cantik. Apabila ia melintas, semua ternakan menjauhinya kerana ketakutan. Hal tersebut berlangsung cukup lama. Mereka semakin giat mendustakan Saleh a.s. Maka mereka bertekad membunuh unta betina itu dengan tujuan mendapatkan bahagian airnya setiap hari.

Unaizah binti Ganam (Ummu Usman) dan Sadaqah binti Muhayya sangat sengit memusuhi Saleh a.s. Unaizah menawarkan anak perempuannya kepada Qaddar ibnu Salif jika dia berjaya membunuh unta betina itu. Sedangkan Sadaqah menawarkan dirinya kepada Hubab. Tetapi Hubab menolaknya. Kemudian Sadaqah menawarkan kepada Musadda' ibnu Muharrij.

Qaddar dan Musadda' membujuk tujuh orang lagi, sehingga mereka semuanya berjumlah sembilan orang. Mereka semua merupakan para pemimpin kaumnya masing-masing. Mereka berkeliling menemui semua kaumnya termasuklah kaum wanita dan kanak-kanak untuk mendapat persetujuan untuk membunuh unta betina itu. Akhirnya mereka mendapat sokongan dari semua kabilah Samud yang kafir dan setuju dilakukannya perbuatan tersebut.

Maka mereka berangkat dan mengintai unta itu semasa unta itu keluar dari tempat air. Qaddar memasang perangkap yang dipancangkan pada sebuah batu besar di jalan yang biasa dilaluinya, sedangkan Musadda' juga memasang perangkap pada bahagian lainnya.

Ketika unta betina itu melintasi perangkap Musadda', ia membidikkan anak panahnya dan mengenai bahagian betisnya. Lalu Unaizah memerintahkan anak perempuannya yang paling cantik membukakan penutup wajahnya di hadapan Qaddar dan teman-temannya.

Dengan serta merta Qaddar menebaskan pedangnya ke bahagian belakang teracaknya, maka unta betina itu terjungkal ke tanah, mengeluarkan rintihan sekali rintih, memperingatkan kepada anaknya agar melarikan diri.

"65. Maka mereka menusuknya," 

Qaddar menusuk bahagian tenggorokannya dan langsung menyembelihnya. Sedangkan anak unta betina itu lari menuju sebuah bukit yang kukuh dan menaiki sebuah batu besar yang ada padanya. Anak unta betina itu mencari-cari ibunya. Menurut suatu pendapat, anak unta itu merintih sebanyak tiga kali, lalu ia masuk ke dalam batu besar itu dan lenyap dari pandangan mata. Menurut pendapat yang lain, mereka dapat mengejarnya dan menyembelihnya seperti nasib yang dialami induknya.

Pembunuhan unta tersebut terjadi pada hari Rabu. Ia adalah suatu pelanggaran terhadap larangan Saleh a.s. Berita pembunuhan itu telah sampai kepada Saleh a.s. Maka Beliau mendatangi mereka di saat mereka sedang berkumpul. Mereka mencabar Saleh a.s. agar mendatangkan azab kepada mereka jika Beliau benar-benar utusan Allah. Apabila Saleh a.s. melihat keadaan unta betina itu, Beliau menangis.

"lalu berkata, "Bersukarialah dalam rumah kalian tiga hari. Inilah janji yang tidak didustakan.""

Allah s.w.t. menjatuhkan kepada mereka hukuman iaitu membatasi hidup mereka hanya sampai tiga hari saja lagi. Saleh a.s. menyindir mereka dengan menyuruh mereka bersuka ria sepuasnya selama tiga hari itu.

Pada petang itu, kesembilan orang lelaki itu merancang suatu makar dan bertekad akan membunuh Saleh a.s. bersama keluarganya secara mengejut pada malam itu. Tetapi apabila mereka datang, Allah s.w.t. mengirimkan batu-batuan yang membendung mereka sampai kepada Saleh a.s.

Pada pagi hari Khamis (pertama) wajah mereka berubah warnanya menjadi kuning. Pada hari Jumaat (kedua) wajah mereka berubah menjadi merah. Pada hari Sabtu (ketiga) wajah mereka berubah menjadi hitam. Semuanya seperti yang dijanjikan oleh Saleh a.s. kepada mereka.

Dan pada pagi hari Ahad, matahari terbit dengan cerahnya, sedangkan mereka dalam keadaan kaku dan duduk seraya memandang kepada azab Allah dan siksaNya yang menimpa mereka. Mereka tidak mengetahui apakah yang harus mereka lakukan dan tidak mengerti bagaimana azab itu akan datang menimpa mereka.

"66. Maka tatkala telah datang keputusan Kami, Kami selamatkan Saleh dan orang-orang yang beriman bersamanya dengan rahmat dari Kami dan dari kehinaan pada hari itu." 

Ketika keputusanNya datang, dengan rahmatNya Dia selamatkan Saleh a.s. bersama orang-orang yang beriman bersamanya dari kehinaan di hari itu. Ada yang mengatakan bahawa jumlah mereka empat ribu orang.

"Sesungguhnya Tuhanmu, Dia Mahakuat Mahaperkasa." 

Dengan kekuatan dan keperkasaanNya, Dia membinasakan umat-umat yang zalim dan menyelamatkan rasul bersama para pengikutnya.

"67. Lalu menimpa atas orang-orang yang zalim teriakan, maka jadilah dalam rumah mereka mati bergelimpangan." 

Datanglah suatu pekikan dari langit dan gempa yang dahsyat dari bahagian bawah mereka. Bunyinya memutuskan jantung dan membinasakan semua manusia di kolong langit ini dari kalangan mereka. Saat itu juga semua roh mereka tercabut dalam masa yang sama. Matilah mereka dalam keadaan berlutut dan bergelimpangan di dalam rumahnya. Tiada seorang pun yang luput dari azab itu, baik anak kecil, orang dewasa, lelaki, maupun perempuan.

"68. Seolah-olah belum mereka berdiam di dalamnya." 

Demikian cepatnya mereka dibinasakan oleh guntur itu, seakan-akan mereka belum pernah bersenang-senang di sana dan menempatinya walaupun sehari. Kenikmatan berpisah dari mereka dan mereka ditimpa azab yang kekal dan tiada putusnya. Allah s.w.t. menyamaratakan mereka dengan tanah.

"Ketahuilah, sesungguhnya kaum Samud mereka mengingkari Tuhan mereka. Ingatlah, kebinasaan bagi Samud." 

Mereka mengingkari Allah setelah datang kepada mereka bukti yang nyata. Sesungguhnya kemusnahanlah akhirnya bagi kaum Samud. Tidak ada seorang pun yang tersisa dari keturunan kaum Samud kecuali Nabi Saleh a.s. bersama orang-orang yang mengikutinya. Alangkah celaka dan hinanya mereka.

Maka Saleh a.s. meninggalkan mereka seraya mengecam dan mencemuh mereka, "Hai kaumku, sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada kalian amanat Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada kalian, tetapi kalian tidak menyukai orang-orang yang memberi nasihat.”

Walaupun mereka telah menjadi bangkai, mereka lebih mendengar daripada orang yang masih hidup, tetapi mereka tidak dapat menjawab. Menurut sebahagian ahli tafsir, setiap nabi yang umatnya dibinasakan, nabinya pergi dari tempat kaumnya, lalu bermukim di tanah suci Mekah.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...