Khamis, 13 April 2017

53:33-41 Tafsir Surah An Najm, ayat 33-41.

أَفَرَأَيْتَ الَّذِي تَوَلَّى (٣٣) وَأَعْطَى قَلِيلا وَأَكْدَى (٣٤) أَعِنْدَهُ عِلْمُ الْغَيْبِ فَهُوَ يَرَى (٣٥) أَمْ لَمْ يُنَبَّأْ بِمَا فِي صُحُفِ مُوسَى (٣٦) وَإِبْرَاهِيمَ الَّذِي وَفَّى (٣٧) أَلا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى (٣٨) وَأَنْ لَيْسَ لِلإنْسَانِ إِلا مَا سَعَى (٣٩) وَأَنَّ سَعْيَهُ سَوْفَ يُرَى (٤٠) ثُمَّ يُجْزَاهُ الْجَزَاءَ الأوْفَى (٤١)

Allah s.w.t. berfirman,

"33. Maka apakah kamu memperhatikan orang yang berpaling?"

Lihatlah buruknya keadaan orang yang diperintahkan mentauhidkan Allah, menaatiNya, beribadah kepadaNya, membenarkan Rasul dan Al Qur'an, tetapi dia berpaling dari kebenaran kerana dihasut.

"34. Dan dia memberi sedikit dan dia menahan." 

Dia taat sebentar, kemudian berhenti dan meninggalkannya. Setelah dia memberi sedikit pemberian dari apa yang dijanjikannya, dia menggenggamkan tangannya, tidak mahu berinfak, memutuskan kebajikannya dan tidak mahu memberi lagi kerana menurut hawa nafsunya.

Dia melapangkan dirinya untuk sesuatu yang sedikit, namun keadaannya tidak terus demikian, bahkan setelahnya ia akan bakhil kembali. Kebaikan tidak menjadi tabiatnya, bahkan tabiatnya berpaling dari ketaatan, tidak tetap di atas perkara ma’ruf. Namun dia mentazkiyah (menganggap bersih) dirinya dan menempatkan dirinya pada tempat yang Allah tidak tempatkan padanya.

"35. Apakah di sisinya ilmu yang ghaib, maka dia melihat?" 

Adakah orang yang menggenggamkan tangannya tidak mahu berbuat kebajikan itu telah nampak sendiri dan mengetahui tentang perkara ghaib yang memberitahunya bahawa kelak apa yang ada di tangannya bakal habis dan bahawa ada orang lain yang akan memikul azab yang ditanggungnya pada hari akhirat?

Dia tidak memiliki sebarang pengetahuan terhadap yang ghaib. Namun dia berani bersikap buruk, mengada-adakan terhadap Allah dan mentazkiyah dirinya. Pada kenyataannya tidaklah demikian. Berita-berita yang qath’i yang termasuk perkara ghaib yang diberitahukan kepada Nabi s.a.w. tidak seperti yang dinyatakannya.

Hal ini menunjukkan kebatilannya. Sesungguhnya dia menggenggamkan tangannya dari bersedekah, berbuat kebajikan, memberikan santunan (derma) dan bersilaturahim hanyalah semata-mata kerana kekikiran dirinya. Sesungguhnya apa saja yang dinafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda memerintahkan kepada Bilal r.a. yang menjadi bendaharanya, "Belanjakanlah, hai Bilal, janganlah kamu takut kehabisan demi kerana Tuhan Yang mempunyai 'Arasy."

"36. Ataukah tidak diberitahu dengan apa yang dalam lembaran-lembaran Musa?" 

Adakah dia belum diberitahu tentang kandungan kitab suci yang diturunkan kepada Musa a.s.?

"37. Dan Ibrahim yang dia sempurnakan?" 

Adakah dia belum diberitahu tentang kandungan lembaran-lembaran Ibrahim a.s.? Beliau sentiasa menunaikan segala yang diperintahkan kepadanya dan meninggalkan semua larangan serta menyampaikan risalah dengan sempurnanya.

Dalam Kitab-kitab yang telah Allah s.w.t. wahyukan kepada Ibrahim a.s. dan Musa a.s. itu ditegaskan,

"38. Bahawa tidak akan memikul dosa orang yang berdosa dosa orang lain." 

Setiap diri yang berbuat aniaya terhadap dirinya sendiri kerana melakukan kekufuran atau suatu dosa, maka sesungguhnya yang menanggung dosanya adalah dirinya sendiri, tiada seorang pun yang dapat menggantikannya sebagai penanggungnya sedikit pun, walaupun yang dipanggilnya itu kaum kerabatnya.

"39. Dan bahawa tidak bagi manusia kecuali apa yang dia usahakan." 

Setiap orang yang beramal, maka untuknya amalnya itu baik atau buruk, dia tidak mendapatkan amal dan usaha orang lain sedikit pun serta tidak akan memikul dosa orang lain. Seseorang itu hanya memperoleh pahala dari apa yang diusahakan oleh dirinya sendiri.

Namun, ada beberapa amal yang diusahakan oleh orang lain, dihadiahkan dan bermanfaat bagi si mati. Antaranya adalah doa orang muslim untuknya, penunaian terhadap nazarnya yang belum sempat dikerjakannya, sedekah atas nama si mati, doa anak soleh untuk orang tuanya,

Ada beberapa amalan dan kebaikan sewaktu hidup yang masih akan sampai kepada seorang mukmin setelah wafatnya. Antaranya adalah sedekah jariyah yang mengalir (seperti waqaf), ilmu bermanfaat yang disebarkannya (menyeru kepada jalan petunjuk), anak soleh yang ditinggalkanya, mushaf Al Qur'an yang diwariskannya, peninggalannya yang baik (sumur, sungai, rumah untuk musafir, tempat ibadah pohon dan sebagainya) dan menjaga sempadan negeri dari serangan musuh (Ribath), tanaman yang ditanamnya, menguruskan jenazah, mencontohkan sunnah Rasulullah s.a.w. dan sebagainya.

"40. Dan bahawasanya usahanya kelak diperlihatkan." 

Pada hari kiamat kelak, Allah, RasulNya dan orang-orang mukmin akan melihatnya amal perbuatan kalian. Dikembalikan kalian kepada Allah Yang mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata. Lalu diberitakan dan ditunjukkanNya kepada kalian apa yang telah kamu kerjakan.

"41. Kemudian diberi balasan kepadanya balasan yang sempurna." 

Dia akan dan membalaskan usaha kalian dengan pembalasan yang penuh, sempurna, terbaik, ihsan dan adil. Jika baik, maka balasannya baik; dan jika buruk, balasannya buruk, sedangkan yang bercampur maka disesuaikan dengan keadaannya.

Semuanya akan merasa puas dan Allah berhak mendapatkan segala puji terhadapnya, sehingga penghuni neraka masuk ke neraka sedangkan hati mereka penuh dengan pujian terhadap Tuhan mereka serta mengakui kebijaksanaanNya dan mereka marah kepada diri mereka sendiri, dan bahawa merekalah yang membuat diri mereka masuk ke tempat yang buruk itu.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...