Jumaat, 14 April 2017

59:21-24 Tafsir Surah Al Hasyr, ayat 21-24.

لَوْ أَنْزَلْنَا هَذَا الْقُرْآنَ عَلَى جَبَلٍ لَرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُتَصَدِّعًا مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَتِلْكَ الأمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ (٢١) هُوَ اللَّهُ الَّذِي لا إِلَهَ إِلا هُوَ عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ (٢٢) هُوَ اللَّهُ الَّذِي لا إِلَهَ إِلا هُوَ الْمَلِكُ الْقُدُّوسُ السَّلامُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُ سُبْحَانَ اللَّهِ عَمَّا يُشْرِكُونَ (٢٣) هُوَ اللَّهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ لَهُ الأسْمَاءُ الْحُسْنَى يُسَبِّحُ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (٢٤)

Allah s.w.t. berfirman,

"21. Sekiranya Kami turunkan ini Al Qur'an di atas gunung, pasti kamu melihatnya tunduk terbelah kerana takut kepada Allah." 

Gunung-gunung adalah benda mati. Sifatnya keras dan perkasa. Seandainya diturunkan Al Qur'an kepadanya untuk dipikulnya, ia mendengar Kalamullah, merenungkan makna yang terkandung di dalamnya dan memahaminya, nescaya tunduklah ia dan terpecah belahlah ia kerana beratnya Al Qur'an dan kerana takut kepada Allah.

Begitulah keagungan dan tingginya kedudukan Al Qur'an. Sudah selayaknya hati menjadi lunak, khusyu' dan taat semasa mendengarnya. Di dalamnya terkandung janji yang benar dan ancaman yang pasti.

"Dan itulah perumpamaan Kami membuatnya bagi manusia agar mereka berfikir." 

Maka bagaimanakah dengan kalian (manusia), bila hati kamu tidak lunak dan tunduk serta bergetar kerana takut kepada Allah. Padahal kamu telah mendengar dan memahami dari Allah akan perkaranya dan telah kamu fahami KitabNya.

"22. Dialah Allah, Yang tidak ada Tuhan selain Dia." 

Hanya Allah s.w.t. saja Tuhan dan hanya Dia saja yang berhak disembah kerana kesempurnaanNya, ihsanNya yang merata dan pengaturanNya yang menyeluruh. Oleh kerana itu, segala sesembahan selainNya adalah batil. Mereka tidak berhak disembah kerana keadaannya yang fakir, lemah dan memiliki banyak kekurangan serta tidak berkuasa apa-apa terhadap dirinya maupun selainnya.

"Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata," 

Dia Mengetahui secara menyeluruh semua makhluk yang tidak dapat disaksikan dan yang dapat disaksikan dengan nyata oleh manusia. Tiada sesuatu pun yang tersembunyi bagiNya di bumi dan di langit, baik yang besar maupun yang kecil, dan baik yang dimuliakan maupun yang hina, hingga semut-semut kecil di dalam kegelapan.

"Dia Yang Maha Pemurah Maha Penyayang." 

Dialah Ar Rahman. Allah Maha Pemurah atau Pengasih. RahmatNya luas meliputi segala sesuatu lagi mencakup semua makhluk. Dia adalah Yang Maha Pemurah di dunia dan akhirat. Kurnia dan rahmatNya merata mengena kepada segala sesuatu dan lebih baik daripada apa yang manusia kumpulkan.

Dialah Ar Rahim. Allah Maha Penyayang dan Maha Mengasihani di dunia dan akhirat. Dia telah menetapkan atas diriNya kasih sayang.

"23. Dialah Allah, Yang tidak ada Tuhan selain Dia. Maha Raja, Yang Mahasuci," 

Dialah Allah Yang tiada Tuhan yang berhak disembah selain Dia.

Dialah Al Malik, Raja Yang Menguasai segala sesuatu di sekelian alam. Dia mengatur segala sesuatu tanpa ada yang menghalangiNya dan juga tanpa ada yang menyaingiNya.

Dialah Al Quddus. Dia Mahasuci dari segala yang tidak layak bagiNya. Dia Yang Memberkati. Para malaikat yang mulia menyucikanNya.

"Yang Mahasejahtera, Yang Menjaga Keamanan, Pemelihara Keselamatan," 

Dialah As Salam. Dia Mahasejahtera dari segala bentuk cela, aib dan kekurangan, kerana kesempurnaan zat, sifat, dan perbuatanNya. Dia diagungkan dan dimuliakan.

Dialah Al Mu'min. Dia mengurniakan keamanan. MakhlukNya merasa aman dari mendapat perlakuan aniaya olehNya. Dia Mahahak (benar). Dia membenarkan para rasulNya dengan ayat, mukjizat, hujjah dan bukti. Hamba-hambaNya yang beriman membenarkan keimanan mereka kepadaNya.

Dialah Al Muhaimin. Dia mengawasi, mengawal, memelihara, menyaksikan segala sesuatu dan semua amal perbuatan setiap makhlukNya.

"Yang Mahaperkasa, Yang Mahakuasa, Yang Memiliki segala kebesaran." 

Dialah Al 'Aziz. Dia Mahaperkasa. Dia memenangi dan mengalahkan segala sesuatu, tidak dapat dikalahkan, bahkan Dia menundukkan segala sesuatu dan segala sesuatu tunduk kepadaNya.

Dialah Al Jabbar. Dia menundukkan semua makhlukNya, memperbaiki urusan-urusan makhlukNya, menutupi hati orang yang sedih, mengkayakan orang yang fakir dan mengatur mereka sesuai dengan apa yang menjadi kemaslahatan bagi mereka menurut apa yang dikehendakiNya. Tidak ada yang layak bersifat kuasa selain Dia.

Dialah Al Mutakabbir. Dia memiliki dan melengkapi segala kebesaran dan keagunganNya. Dia Maha Agung dan bersih dari segala aib, keburukan, kekurangan dan kezaliman. Tidak ada yang layak bersifat agung selain Dia kerana keagunganNya.

Tiada sesuatu pun yang dapat mencapai ZatNya kerana keperkasaan, keagungan, kekuasaan, dan kebesaranNya.

"Mahasuci Allah dari apa yang mereka sekutukan." 

Mahasuci Dia dari segala sifat yang diberikan orang-orang musyrik (yang mempersekutukanNya) untukNya.

"24. Dialah Allah, Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa," 

Dialah Al Khaliq. Menciptakan ertinya merancang, menyatakan apa yang telah dirancangkan, menetapkan ke alam wujud dan alam nyata. Hanya Dia yang mampu menyatakan rancanganNya.

Dialah Al Bari'. Dia mengadakan dari tiada kepada ada.

Dialah Al Musawwir. Dia Membentuk rupa dan tubuh makhlukNya dan melaksanakan apa yang ingin dinyatakanNya menurut gambaran dan bentuk yang dikehendakiNya.

Apabila Dia menghendaki sesuatu, Dia hanya mengatakan kepadanya, "Jadilah kamu," maka jadilah dia sesuai dengan gambaran yang dikehendaki dan rupa yang dipilihNya.

Nama-nama ini berkaitan dengan menciptakan, mengatur dan menentukan, dimana semua itu hanya Allah s.w.t. yang melakukan tanpa ada sekutu.

"BagiNya Asma Ul Husna."

Dialah Yang mempunyai nama-nama indah, mulia dan terbaik yang banyak sekali. Tidak ada yang dapat menjumlahkannya selain Allah s.w.t. Semua namaNya adalah indah, sifat-sifat yang paling sempurna, tinggi dan agung, tidak ada kekurangan dari berbagai sisi. Di antara indahnya adalah bahawa Allah s.w.t. menyukainya, menyukai orang yang menyukainya dan menyukai orang-orang yang berdoa dan meminta dengan nama-nama itu. Di antara nama-nama itu ada sembilan puluh sembilan yang paling utama.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah mempunyai sembilan puluh sembilan nama, atau seratus kurang satu. Barang siapa yang menghitung-hitungnya, nescaya masuk syurga; Dia Witir dan menyukai yang witir."

"Bertasbih kepadaNya apa yang di langit dan di bumi." 

Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya sentiasa memerlukanNya, bertasbih dengan memujiNya, meminta dipenuhi keperluannya, lalu Dia memberikan apa yang mereka minta itu dengan kurnia, kemurahan, kehendak, rahmat dan hikmahNya.

"Dan Dia Mahaperkasa Mahabijaksana." 

Dialah Al 'Aziz. Dialah yang tiada bandingNya. ZatNya tidak dapat dicapai. Apa yang dikehendakiNya pasti terjadi dan hal itu tidak terjadi kecuali kerana hikmah dan maslahat.

Dialah Al Hakim. Dia Mahabijaksana dalam syariat dan ketetapanNya.

Selesai tafsir surah Al Hasyr dengan pertolongan Allah dan taufiqNya, wal hamdulillahi Rabbil ‘alamin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...