Rabu, 12 April 2017

47:1-6 Tafsir Surah Muhammad, Ayat 1-6.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

الَّذِينَ كَفَرُوا وَصَدُّوا عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ أَضَلَّ أَعْمَالَهُمْ (١) وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَآمَنُوا بِمَا نُزِّلَ عَلَى مُحَمَّدٍ وَهُوَ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ كَفَّرَ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَأَصْلَحَ بَالَهُمْ (٢) ذَلِكَ بِأَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا اتَّبَعُوا الْبَاطِلَ وَأَنَّ الَّذِينَ آمَنُوا اتَّبَعُوا الْحَقَّ مِنْ رَبِّهِمْ كَذَلِكَ يَضْرِبُ اللَّهُ لِلنَّاسِ أَمْثَالَهُمْ (٣) فَإِذا لَقِيتُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا فَضَرْبَ الرِّقَابِ حَتَّى إِذَا أَثْخَنْتُمُوهُمْ فَشُدُّوا الْوَثَاقَ فَإِمَّا مَنًّا بَعْدُ وَإِمَّا فِدَاءً حَتَّى تَضَعَ الْحَرْبُ أَوْزَارَهَا ذَلِكَ وَلَوْ يَشَاءُ اللَّهُ لانْتَصَرَ مِنْهُمْ وَلَكِنْ لِيَبْلُوَ بَعْضَكُمْ بِبَعْضٍ وَالَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَلَنْ يُضِلَّ أَعْمَالَهُمْ (٤) سَيَهْدِيهِمْ وَيُصْلِحُ بَالَهُمْ (٥) وَيُدْخِلُهُمُ الْجَنَّةَ عَرَّفَهَا لَهُمْ (٦)

Allah s.w.t. berfirman,

"1. Orang-orang yang kafir dan mereka menghalang-halangi dari jalan Allah," 

Orang-orang yang kafir kepada Allah dan ayat-ayatNya, iaitu tokoh-tokoh kekafiran dan pemimpin kesesatan. Mereka diri mereka sendiri dan orang lain dari beriman kepada Allah, seruan para rasul dan pengikutnya.

"Dia hapus segala amal mereka." 

Semua amal mereka tidak mendapat bimbingan dari Allah, tidak dihargai dan tidak mendapat pahala. Allah akan menghapuskan amal yang mereka harapkan pahalanya seperti memberi makan orang lain, menyambung tali silaturrahim dan sebagainya. Mereka tidak akan melihat imbalan atau pahalanya di akhirat. Semuanya lenyap bagaikan debu yang berterbangan. Namun mereka diberi balasan di dunia kerana kurniaNya.

Amal itu termasuklah rancangan jahat mereka terhadap kebenaran dan para wali Allah. Dia akan menjadikan rancangan jahat tersebut kembali kepada mereka sehingga maksud mereka gagal.

"2. Dan orang-orang yang beriman dan beramal soleh" 

Orang-orang yang hati dan jiwanya beriman kepada Allah, semua anggota tubuh mereka tunduk patuh kepada syariat-syariat Allah, mengerjakan hak-hak Allah dan hak-hak hamba, baik yang wajib maupun yang sunat. Mereka beriman zahir dan batinnya.

"dan beriman kepada apa yang diturunkan kepada Muhammad, dan ia kebenaran dari Tuhan mereka," 

Mereka juga beriman kepada Al Qur'an, mengamalkan apa yang diperintahkan dan dilarang di dalammnya. Itulah kebenaran dari Allah s.w.t.

"Dia menghapus dari mereka kesalahan-kesalahan mereka, dan Dia memperbaiki keadaan mereka." 

Allah s.w.t. menghapuskan kesalahan-kesalahan mereka yang besar maupun yang kecil. Maka mereka akan selamat dari azab di dunia dan di akhirat. Balahum bermaksud urusan mereka dan keadaan mereka. Dia memperbaiki agama, dunia, hati dan amal mereka. Dia juga akan memperbaiki pahala mereka dengan mengembangkannya dan membersihkannya serta memperbaiki semua keadaan mereka.

"3. Demikian itu kerana orang-orang yang kafir mengikuti yang batil" 

Penyia-nyiaan dan penghapusan amal bagi orang-orang kafir itu adalah kerana mereka lebih memilih kesesatan dan kebatilan daripada mengikuti kebenaran. Semua tujuan mereka tidak dimaksudkan mencari keridhaan Allah s.w.t., seperti menyembah patung dan berhala, dan amal untuk membela yang batil.

"dan sesungguhnya orang-orang yang beriman mengikuti kebenaran dari Tuhan mereka." 

Penghapusan kesalahan dan perbaikan keadaan orang-orang mukmin itu adalah kerana mereka mengikuti kebenaran, keyakinan, dan apa saja yang dikandung dalam Al Qur’an. Allah s.w.t. mengurus mereka dengan nikmat-nikmatNya, mengatur mereka dengan kelembutanNya, Dia mendidik mereka dengan kebenaran, lalu mereka mengikutinya sehingga semua perkara mereka menjadi baik.

"Demikianlah Allah membuat bagi manusia perumpamaan mereka." 

Allah s.w.t. menerangkan sifat-sifat orang-orang yang baik dan orang-orang yang buruk, akibat dari amal perbuatan dan tempat kembali mereka di hari kemudian. Maka kalian dapat mengenali dan membedakannya.

Allah s.w.t. memberikan petunjuk kepada orang-orang mukmin tentang apa yang harus mereka pegang dalam peperangan, sesuatu yang menjadi maslahat bagi mereka dan dapat memenangkan mereka terhadap musuh-musuhNya.

"4. Maka apabila kalian bertemu orang-orang yang kafir, maka pukullah batang leher." 

Dengan yang demikian, apabila kamu berjuang menentang orang-orang kafir di medan peperangan jihad, maka pancunglah lehernya atau bunuhlah mereka.

"Hingga apabila kalian mengalahkan mereka, maka ikatlah ikatan." 

Apabila kamu dapat mengalahkan, melumpuhkan dan membunuh kebanyakan dari mereka, kamu melihat bahawa menawan mereka yang masih hidup itu lebih baik, maka jadikanlah mereka sebagai tawanan perang. Ikatlah mereka dengan kukuh. Apabila mereka telah ditawan, maka kaum muslim dapat menjadi tenang dari kejahatan mereka.

"Maka boleh kalian membebaskan setelahnya dan boleh tebusan" 

Kemudian sesudah perang usai, kamu boleh memilih untuk menentukan nasib mereka. Jika kamu suka, kamu boleh membebaskan mereka tanpa harta dan tanpa tebusan. Kamu juga boleh menahan mereka sehingga mereka membeli diri mereka, dibeli oleh kawan-kawan mereka, mengganti dengan seorang muslim yang ditawan atau lain-lain persyaratan terhadap mereka.

Ayat ini diturunkan sesudah Perang Badar. Allah s.w.t. menegur sikap kaum mukmin yang lebih suka memperbanyakkan tawanan supaya mendapat tebusan yang banyak dari mereka dan mempersedikitkan hukuman mati. Mereka menghendaki harta duniawi. Sedangkan Allah menghendaki pahala akhirat untuk mereka.

"hingga meletakkan perang, perang selesai." 

Iaitu sampai perang berhenti. Bertindaklah demikian terhadap golongan kafir yang menceroboh sehinggalah berakhir peperangan jihad itu, lenyap sebab-sebab yang menimbulkannya, sampai mereka bertaubat kepada Allah, meninggalkan perbuatan-perbuatan dosa mereka, mengerjakan ketaatan kepada Allah, masuk ke dalam agamaNya atau masuk ke dalam perjanjian.

Bertindaklah demikian sampai tiada lagi kemusyrikan, tiada lagi fitnah dan supaya agama itu semata-mata untuk Allah. Oleh kerana itu, apabila dalam sebahagian waktu tidak ada peperangan kerana suatu sebab, maka tidak ada pembunuhan dan penawanan.

Namun, peperangan akan sentiasa datang. Allah s.w.t. terus-menerus menyesatkan hati banyak kaum dan memberi mereka rezeki. Maka akan tetap ada segolongan dari umat Muhammad s.a.w. yang sentiasa berjuang mempertahankan perkara yang hak hingga Isa putera Maryam a.s. diturunkan, orang terakhir dari mereka memerangi Dajjal dan hingga datanglah perintah Allah, iaitu hari kiamat.

"Demikian itu, dan jika Allah menghendaki, nescaya Dia membinasakan mereka," 

Demikianlah yang diperintahkan kepada kamu untuk melakukannya. Sekiranya Allah menghendaki, tentulah Dia sendiri boleh membinasakan orang-orang kafir itu dengan hukuman dan pembalasan dari sisiNya, sehingga kamu tidak perlu bersusah payah bergadai nyawa memerangi mereka. Dia Mahakuasa atas segala sesuatu, Dia berkuasa agar orang-orang kafir tidak dapat menang di satu medan pertempuran pun.

"akan tetapi Dia hendak menguji sebahagian kalian dengan sebahagian yang lain." 

Allah s.w.t. perintahkan kamu berjihad dan memerangi golongan yang kufur ingkar yang mencerobohi kamu untuk menguji kesabaran kamu, agar tegak pasar jihad, agar nyata baik buruknya hal ikhwal kamu, agar jelas keadaan hamba yang benar dari yang dusta, agar beriman orang yang beriman di atas basirah (ilmu), bukan iman atas dasar ikut-ikutan, kerana hal itu adalah iman yang lemah, dimana hampir saja tidak kekal pada seseorang saat menghadapi ujian dan cobaan.

DiujiNya orang-orang mukmin dengan orang-orang kafir, digilirkannya kemenangan di antara mereka, dan menangnya sebahagian mereka atas sebahagian yang lain. Peperangan itu memakan korban yang banyak dan ramai kaum mukmin yang gugur di dalamnya.

"Dan orang-orang yang dibunuh di jalan Allah, maka tidak akan Dia hilangkan amal mereka."

Orang-orang yang telah berjuang serta mati syahid kerana meninggikan kalimahNya dan mempertahankan agamanya, maka Allah tidak sekali kali akan menghapuskan atau membatalkan amal-amal mereka. Dia akan menerima, menumbuhkan, memperbanyakkan, mengembangkan dan melipatgandakannya untuk mereka serta memperlihatkan hasil amal mereka di dunia dan akhirat. Bagi mereka pahala yang besar. Di antara mereka ada yang pahala amalnya terus mengalir kepadanya selama dalam alam kuburnya.

Orang yang mati syahid mendapat ampunan pada permulaan titisan darahnya, diselamatkan dari azab kubur, diselamatkan dari kegemparan yang dahsyat pada hari kiamat, dapat melihat kedudukannya kelak di dalam syurga, dipakaikan pada kepalanya mahkota keagungan yang dihiasi dengan intan dan yaqut, sebutir permata yaqut yang ada di mahkotanya lebih baik daripada dunia dan seisinya, akan dikahwinkan dengan tujuh puluh bidadari yang bermata jeli, dikahwinkan dengan dua orang wanita (penghuni bumi yang masuk syurga), dihiasi dengan keimanan yang menyelimuti dirinya dan dapat memberi syafaat kepada tujuh puluh orang dari kalangan keluarganya. Diampuni bagi seorang yang mati syahid segala sesuatunya kecuali masalah hutang.

"5. Dia akan memberi mereka petunjuk dan memperbaiki keadaan mereka." 

Allah s.w.t. akan memimpin dan membimbing mereka yang berjuang ke jalan mendapat sebaik-baik balasan dan menempuh jalan ke syurga yang penuh kenikmatan. Dia akan memperbaiki keadaan, urusan dan pahala mereka sehingga menjadi baik, berguna dan sempurna di dunia dan di akhirat.

"6. Dan Dia masukkan mereka ke dalam syurga dan Dia memperkenalkannya kepada mereka." 

Allah s.w.t. telah memperkenalkan dan menerangkan tentang syurga kepada mereka, membuat mereka rindu kepadanya, membimbing mereka kepadanya, mendorong mereka kepadanya, menyebutkan segala amal yang dapat menyampaikan mereka kepadanya dan memberi mereka taufiq untuk mengerjakan apa yang diperintahkanNya.

Apabila mereka telah masuk ke dalam syurga, mereka diperkenalkan kepada segala sesuatu yang diberikan oleh Allah untuknya. Mereka lebih mengenali rumahnya di syurga berbanding rumahnya di dunia dahulu. Mereka tidak akan keliru atau salah masuk, seakan-akan mereka adalah penghuninya sejak mereka diciptakan. Maka masuklah mereka menemui isteri-isterinya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...