Selasa, 25 April 2017

7:150-154 Tafsir Surah Al A’raf, ayat 150-154.

وَلَمَّا رَجَعَ مُوسَى إِلَى قَوْمِهِ غَضْبَانَ أَسِفًا قَالَ بِئْسَمَا خَلَفْتُمُونِي مِنْ بَعْدِي أَعَجِلْتُمْ أَمْرَ رَبِّكُمْ وَأَلْقَى الألْوَاحَ وَأَخَذَ بِرَأْسِ أَخِيهِ يَجُرُّهُ إِلَيْهِ قَالَ ابْنَ أُمَّ إِنَّ الْقَوْمَ اسْتَضْعَفُونِي وَكَادُوا يَقْتُلُونَنِي فَلا تُشْمِتْ بِيَ الأعْدَاءَ وَلا تَجْعَلْنِي مَعَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ (١٥٠) قَالَ رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلأخِي وَأَدْخِلْنَا فِي رَحْمَتِكَ وَأَنْتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ (١٥١) إِنَّ الَّذِينَ اتَّخَذُوا الْعِجْلَ سَيَنَالُهُمْ غَضَبٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَذِلَّةٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَكَذَلِكَ نَجْزِي الْمُفْتَرِينَ (١٥٢) وَالَّذِينَ عَمِلُوا السَّيِّئَاتِ ثُمَّ تَابُوا مِنْ بَعْدِهَا وَآمَنُوا إِنَّ رَبَّكَ مِنْ بَعْدِهَا لَغَفُورٌ رَحِيمٌ (١٥٣) وَلَمَّا سَكَتَ عَنْ مُوسَى الْغَضَبُ أَخَذَ الألْوَاحَ وَفِي نُسْخَتِهَا هُدًى وَرَحْمَةٌ لِلَّذِينَ هُمْ لِرَبِّهِمْ يَرْهَبُونَ (١٥٤)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan kejadian ketika Musa a.s. kembali kepada kaumnya setelah bermunajat kepadaNya. Allah s.w.t. memberi tahu kepadanya bahawa kaumnya terpedaya sesudah pemergannya. Beliau tergesa-gesa kembali bersama lauh-lauh Taurat kepada mereka lebih cepat daripada waktu sebenar yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.

"150. Dan ketika kembali Musa kepada kaumnya, dalam keadaan marah sedih hati dia berkata, "Alangkah buruknya kalian saat menggantiku setelahku!""

Alangkah buruknya perbuatan yang kalian kerjakan selama pemergianku! Al asaf bermaksud sangat marah. Seburuk-buruk perbuatan adalah apa yang telah mereka lakukan, iaitu mereka menyembah patung anak lembu setelah Musa a.s. pergi meninggalkan mereka.

"Apakah kalian hendak mendahului perintah Tuhan kalian?"

Apakah kalian tidak sabar menanti kepulanganku setelah bermunajat dengan Allah sehingga kamu membuat patung untuk disembah sebagaimana menyembah Allah?”

"Dan dia melemparkan lauh-lauh dan dia memegang kepala saudaranya dia menariknya kepadanya." 

Setelah Musa a.s. melihat mereka dan menyaksikan sendiri perbuatan mereka, Beliau melemparkan lauh-lauh (lembaran-lembaran) Taurat yang dipegangnya. Maka pecah berkecailah lauh-lauh itu. Beliau menarik rambut dan janggut Harun a.s. ke arahnya.

Kemarahannya itu ditimbulkan oleh rasa cemburunya kerana Allah dan kebenciannya terhadap perbuatan tersebut kerana Allah. Musa a.s. bersikap demikian kerana merasa khuatir kalau saudaranya itu lalai dalam melarang mereka.

Musa a.s. berkata, "Wahai Harun! Apa yang menghalangi kamu ketika kamu melihat mereka telah sesat, kamu tidak mengikuti aku? Apakah kamu telah menderhakai perintahku?"

Harun a.s. menjawab, "Hai anak ibuku, janganlah kamu pegang janggutku dan jangan kepalaku; sesungguhnya aku khuatir bahawa kamu akan berkata, "Kamu telah memecah belah antara Bani Israil dan kamu tidak memelihara amanatku.""

"Dia berkata, "Wahai anak ibuku! Sesungguhnya kaum mereka menjadikan aku lemah dan hampir-hampir mereka membunuhku.""

Harun a.s. menyebutnya dengan panggilan 'anak ibuku' supaya lebih menyentuh hati Musa a.s., kerana sesungguhnya Musa a.s. adalah adik kandung Harun a.s. Beliau telah berkata kepada mereka sebelumnya, “Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu hanya diberi cobaan dengan anak lembu itu dan sesungguhnya Tuhanmu ialah Yang Maha Pemurah, maka ikutilah aku dan taatilah perintahku.” Mereka mengganggapnya lemah dan hampir-hampir membunuh Harun a.s. Sesungguhnya Beliau tidak meremehkan dalam memimpin.

"Maka janganlah kamu jadikan gembira kepadaku musuh-musuh dan janganlah kamu jadikan aku beserta kaum yang zalim." 

Janganlah kamu menjadikan musuh-musuh bersorak gembira melihat kemalanganku ini. Janganlah engkau masukkan aku ke dalam golongan mereka. Jangan pula engkau anggap aku salah seorang dari mereka sehingga engkau bermu’amalah denganku seperti bermu’amalah dengan orang zalim. Mereka ingin sekali melihat aku disalahkan.

Setelah terbukti bagi Musa a.s. bahawa saudaranya Harun a.s. tidak terlibat dengan mereka dan dirinya bersih dari perbuatan kaumnya, Beliau merasa menyesal kerana tergesa-gesa menarik kepala saudaranya sebelum mengetahui bahawa Harun a.s. tidak salah, kerana menyangka Harun a.s. kurang memperhatikan.

"151. Dia berkata, "Tuhanku, ampunilah aku dan saudaraku, dan masukkanlah kami dalam rahmatMu, dan Engkau Maha Penyayang dari semua penyayang."" 

RahmatNya merupakan benteng yang paling kukuh yang melindungi dari semua keburukan. Dia Maha Penyayang di antara para penyayang. Dia lebih menyayangi hamba-hambaNya dari ibu dan bapa menyayangi anaknya, bahkan melebihi sayangnya seseorang kepada dirinya sendiri.

"152. Sesungguhnya orang-orang yang menjadikan anak lembu, kelak akan menimpa mereka kemurkaan dari Tuhan mereka dan kehinaan dalam kehidupan dunia." 

Mereka telah meremehkan perintahNya. Mereka yang menjadikan patung anak lembu sebagai sembahannya ditimpa kemurkaan dari Allah s.w.t., ditimpa kehinaan dan kenistaan dalam kehidupan di dunia. Dia tidak menerima taubat mereka dan tidak ridha kepada mereka kecuali mereka satu sama lain saling bunuh-membunuh. Kemudian Allah menerima taubat mereka.

"Dan demikianlah Kami memberi balasan orang-orang yang membuat kebohongan." 

Pembalasan Allah s.w.t. ini pasti akan menimpa sesiapa saja yang membuat-buat kebohongan terhadap Allah atau perkara bid'ah, kerana sesungguhnya kehinaan bid'ah dan kenistaan melanggar petunjuk berhubungan langsung dengan hatinya dan ditanggung di atas kedua bahunya. Kehinaan itu akan terus menimpanya sampai hari kiamat.

"153. Dan orang-orang yang mengerjakan kejahatan-kejahatan, kemudian mereka bertaubat setelahnya dan beriman, sesungguhnya Tuhanmu setelahnya sungguh Maha Pengampun Maha Penyayang." 

Mengerjakan kejahatan bermaksud melakukan kekufuran, kemusyrikan, kemunafikan, perpecahan dan apa saja dosa. Kemudian mereka bertaubat dengan menyesali apa yang telah berlalu. Mereka berhenti melakukannya dan berniat bersunguh-sungguh untuk tidak mengulanginya. Kemudian mereka beriman kepada Allah dan kepada apa saja yang wajib diimani. Iman itu tidaklah sempurna kecuali dengan amalan hati dan anggota badan yang merupakan hasil dari keimanan.

Sesungguhnya Allah s.w.t. menerima taubat hamba-hambaNya yang disertai dengan iman, Dia Maha Pengampun terhadap semua kejahatan, walaupun sepenuh bumi. Dia Maha Penyayang dengan menerima taubatnya, memberinya taufik untuk mengerjakan kebaikan, serta menerimanya.

"154. Dan setelah reda dari Musa amarah, dia mengambil lauh-lauh dan dalam tulisannya ada petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang mereka kepada Tuhan mereka takut." 

Sesudah kemarahan Musa a.s. terhadap kaumnya telah reda dan menjadi tenang kembali, Beliau mengumpulkan kembali lauh-lauh Taurat yang dilemparkannya itu. Musa a.s. menjumpai padanya tertulis petunjuk dan rahmat untuk orang-orang yang takut, tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t.

Adapun orang-orang yang tidak takut kepada Allah s.w.t., maka hal itu hanya akan menambahkan sikap bongkak dan menjauh, dan kepadanya hujjah Allah tegak.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...