Selasa, 2 Mei 2017

19:41-50 Tafsir Surah Maryam, ayat 41-50.

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّهُ كَانَ صِدِّيقًا نَبِيًّا (٤١) إِذْ قَالَ لأبِيهِ يَا أَبَتِ لِمَ تَعْبُدُ مَا لا يَسْمَعُ وَلا يُبْصِرُ وَلا يُغْنِي عَنْكَ شَيْئًا (٤٢) يَا أَبَتِ إِنِّي قَدْ جَاءَنِي مِنَ الْعِلْمِ مَا لَمْ يَأْتِكَ فَاتَّبِعْنِي أَهْدِكَ صِرَاطًا سَوِيًّا (٤٣) يَا أَبَتِ لا تَعْبُدِ الشَّيْطَانَ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلرَّحْمَنِ عَصِيًّا (٤٤) يَا أَبَتِ إِنِّي أَخَافُ أَنْ يَمَسَّكَ عَذَابٌ مِنَ الرَّحْمَنِ فَتَكُونَ لِلشَّيْطَانِ وَلِيًّا (٤٥) قَالَ أَرَاغِبٌ أَنْتَ عَنْ آلِهَتِي يَا إِبْرَاهِيمُ لَئِنْ لَمْ تَنْتَهِ لأرْجُمَنَّكَ وَاهْجُرْنِي مَلِيًّا (٤٦) قَالَ سَلامٌ عَلَيْكَ سَأَسْتَغْفِرُ لَكَ رَبِّي إِنَّهُ كَانَ بِي حَفِيًّا (٤٧) وَأَعْتَزِلُكُمْ وَمَا تَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَأَدْعُو رَبِّي عَسَى أَلا أَكُونَ بِدُعَاءِ رَبِّي شَقِيًّا (٤٨) فَلَمَّا اعْتَزَلَهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَهَبْنَا لَهُ إِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَكُلا جَعَلْنَا نَبِيًّا (٤٩) وَوَهَبْنَا لَهُمْ مِنْ رَحْمَتِنَا وَجَعَلْنَا لَهُمْ لِسَانَ صِدْقٍ عَلِيًّا (٥٠)

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"41. Dan ingatlah kamu dalam kitab Ibrahim. Sungguh dia adalah yang jujur seorang nabi." 

Bacakanlah atau ceritakanlah sebahagian dari kisah kekasih Ar Rahman, iaitu Ibrahim a.s. di dalam Al Qur’an ini kepada umatmu yang beriman dan yang menyembah berhala. Ibrahim a.s. merupakan nenek moyang bangsa Arab. Mereka menyangka bahawa diri mereka berada dalam agamanya.

Ibrahim a.s. adalah seorang yang sangat cepat membenarkan atau percaya semua hal yang ghaib yang datang dari Allah. Siddiq juga bererti sangat banyak kejujurannya dalam ucapan, perbuatan, keadaan dan semua yang diperintahkan untuk dibenarkan. Ilmu yang dalam sampai dan membekas di dalam hati sehingga membuahkan keyakinan serta amal soleh yang sempurna.

Ibrahim a.s. adalah nabi yang paling utama setelah Nabi Muhammad s.a.w. Allah s.w.t. memberikan kenabian kepadanya dan kitab pada keturunannya. Beliau mengajak manusia kepada Allah, bersabar terhadap gangguan dan siksaan dari orang lain dalam berdakwah.

Ibrahim a.s. berdakwah kepada orang yang terdekat maupun yang jauh. Beliau hidup bersama bapanya dan melarang bapanya, iaitu Azar, seorang penyembah patung.

"42. Ketika berkata kepada bapanya, "Wahai bapaku, mengapa kamu menyembah apa yang dia tidak mendengar, dan dia tidak melihat, dan dia tidak mencukupi darimu sedikit pun?"" 

Berhala tidak dapat mendengar, tidak dapat melihat, tidak dapat memberikan manfaat kepadamu dan tidak dapat menolak suatu mudarat pun darimu. Zatnya (diri patung itu) dan perbuatannya terdapat banyak kekurangan. Menyembah sesuatu yang memiliki kekurangan baik pada zat maupun perbuatannya adalah perbuatan yang diangggap buruk oleh akal dan syara’.

Allah lah yang wajib dan layak disembah. Dialah sebenarnya Tuhan yang memiliki kesempurnaan. Semua nikmat yang diperoleh hamba berasal dariNya. Hanya Dia saja yang dapat menghindarkan bahaya.

"43. Wahai bapaku, sungguh aku, telah datang kepadaku dari ilmu apa yang tidak datang kepadamu," 

Jika aku berasal dari sulbimu (keturunanmu) dan kamu pandang diriku lebih kecil daripadamu kerana aku adalah anakmu, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya aku telah dianugerahi ilmu dari sisi Allah yang tidak diberikan kepadamu. Kata-kata Ibrahim a.s. sangat lembut, Beliau tidak mengatakan, “Wahai bapaku! Aku mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui”.

"maka ikutlah aku, aku akan tunjuki kamu jalan yang lurus." 

Jalan yang lurus itu dapat membawamu untuk meraih cita-cita yang didambakan dan menyelamatkanmu dari hal yang menakutkan iaitu beribadah kepada Allah saja dan menaatiNya dalam semua keadaan.

"44. Wahai bapaku, janganlah kamu menyembah syaitan." 

Janganlah kamu menaatinya dengan menyembah berhala-berhala ini, kerana sesungguhnya syaitanlah yang mendorongmu untuk menyembahnya, ia suka dengan perbuatanmu dan ia menjadikan kamu memandang baik perbuatan yang buruk. Orang yang menyembah berhala atau apa saja selain Allah sama saja menyembah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.

"Sungguh syaitan ia kepada Ar Rahman derhaka." 

Sesungguhnya syaitan itu penentang lagi sombong, tidak mahu taat kepada Tuhannya Yang Maha Pengasih, Maha Pemurah lagi melimpah-limpah rahmatNya. Maka Tuhan mengusir dan menjauhkannya. Barang siapa yang mengikuti jejak langkahnya, maka sama saja telah menjadikan kawannya, dan ia akan bermaksiat kepada Allah seperti halnya syaitan. Kerana itu, janganlah kamu mengikuti syaitan, sebab akibatnya kamu menjadi seperti dia.

"45. Wahai bapaku, sungguh aku, aku takut bahawa akan menimpamu azab dari Ar Rahman," 

Aku sungguh khuatir kamu akan ditimpa azab dari Allah jika kamu tidak bertaubat dari kemusyrikan dan kederhakaanmu terhadap apa yang diperintahkan kepadamu, iaitu menyembah Allah semata dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu pun. Yang demikian disebabkan tetap terusnya ayahnya di atas kekafiran serta sikap melampaui batas.

"maka kamu menjadi bagi syaitan kawan." 

Akibatnya kamu akan menjadi teman bagi syaitan di neraka. Maka kamu tidak mempunyai pelindung dan tidak pula penolong, serta tidak penjamin selain iblis. Padahal iblis tidak dapat melakukannya, juga yang lainnya. Ketaatanmu terhadapnyalah yang mengakibatkan kamu ditimpa azab yang sangat pedih. Bapanya menjawab seruan Ibrahim a.s.,

"46. Dia berkata, "Apakah kamu benci, kamu dari tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim?""

Jika kamu tidak ingin menyembah dan tidak menyukai berhala-berhala itu, maka kamu berhentilah mencela, mencaci, menghinanya. Berhentilah dari mengajakku beribadah kepada Tuhan kamu (Allah).

"Sungguh jika tidak kamu berhenti, pasti aku akan merajam kamu," 

Jika kamu tidak mahu menghentikan dakwah kamu ini, nescaya aku akan menghukummu. Kamu akan kurajam, kulempari dengan batu atau aku caci-maki kamu dengan kata-kata yang buruk.

"dan tinggalkan aku waktu yang lama."

Maliyyan bermaksud setahun, masa yang lama, selama-lamanya atau dalam keadaan utuh dan selamat sebelum kamu ditimpa siksaan dariku. Ibrahim a.s. menjawab kepada bapanya,

"47. Dia berkata, "Salamun 'alaika,""

Semoga keselamatan dilimpahkan kepadamu. Begitulah jawaban seorang ‘ibadurrahman (hamba-hamba Ar Rahman) atau seorang mukmin terhadap ucapan orang-orang yang bodoh. Ibrahim a.s. tidak membalas dan tidak bersikap buruk terhadap bapanya, bahkan Beliau bersabar dan mengucapkan kata-kata yang mengandungi keselamatan.

Kata-kata ini juga bermaksud Beliau akan berpaling, tidak ingin bergaul dengan orang-orang jahil, tidak akan menimpakan kepada bapanya dengan perkataan dan sikap yang menyakitkan kerana Ibrahim a.s. menghormati bapanya.

"Aku akan mohon ampunan untukmu Tuhanku." 

Maka Ibrahim a.s. berjanji kepada bapanya bahawa Beliau akan memohonkan kepada Allah s.w.t. semoga Dia memberi bapanya hidayah dan mengampuni dosa-dosanya.

"Sungguh Dia kepadaku sangat baik."

Sesungguhnya Allah s.w.t. sangat sayang, memperkenankan permintaanku dan sentiasa memperhatikan urusannya. Kerana kebaikanNya, aku mendapat petunjuk untuk menyembahNya dan berikhlas kepadaNya.

Ibrahim a.s. telah menunaikan janjinya dengan memintakan ampunan buat bapanya dalam waktu yang cukup lama, bahkan sesudah ia hijrah ke negeri Syam dan membangun Masjidil Haram, dan sesudah mempunyai anak iaitu Ismail a.s. dan Ishaq a.s.

Hal ini sebelum jelas baginya, bahawa bapanya adalah musuh Allah. Setelah jelas bahawa bapanya adalah musuh Allah, maka Beliau tidak lagi memintakan ampunan untuknya serta berlepas diri darinya.

"48. Dan aku akan menyingkir dari kalian dan apa yang kalian seru dari selain Allah dan aku menyeru Tuhanku," 

Keimanan kalian tidak dapat diharapkan lagi. Aku akan menjauhi kalian, berlepas diri dari kalian dan sesembahan yang kalian sembah selain dari Allah. Aku hanya beribadah dan menyembah Tuhanku semata, tiada sekutu bagiNya.

"mudah-mudahan bahawa tidak aku dengan doa Tuhanku kecewa." 

Mudah-mudahan doaku diperkenankan dengan pasti. Mudah-mudahan aku tidak akan kecewa sebagaimana kalian kecewa ketika berdoa kepada patung-patung. Doa Nabi Ibrahim a.s. pasti diterima, kerana sesungguhnya dia adalah penghulu para nabi sesudah Nabi Muhammad s.a.w.

Meninggalkan kampung halaman, keluarga dan kaumnya adalah sesuatu yang paling berat bagi seseorang. Ibrahim a.s. meninggalkan semua itu kerana Allah.

"49. Maka tatkala dia menyingkir dari mereka dan apa yang mereka sembah dari selain Allah," 

Ibrahim a.s. pergi menuju negeri yang disucikan (muqaddas). Allah s.w.t. menggantinya dengan orang-orang yang lebih baik daripada bapa dan kaumnya.

"Kami anugerahkan kepadanya Ishaq dan Ya'qub. Dan masing-masing Kami jadikan nabi." 

Allah s.w.t. menganugerahkan kepadanya seorang putera iaitu Ishaq a.s. Daripada Ishaq a.s. lahir cucunya, Ya’qub a.s. Daripada Ya'qub a.s. lahir cicitnya, Yusuf a.s. yang juga seorang nabi. Allah jadikan bagi Ibrahim a.s. anak dan keturunannya yang kelak menjadi nabi-nabi. Hal ini dimaksudkan untuk menyenangkan hati Ibrahim a.s. semasa hidupnya.

"50. Dan Kami anugerahkan kepada mereka dari rahmat Kami" 

Allah s.w.t. anugerahkan kepada Ibrahim a.s. dan anak cucunya ilmu yang bermanfaat, amal yang soleh, dan keturunan yang banyak. Ramai di antara mereka yang menjadi nabi dan wali, serta diberikan kecukupan rezeki.

"dan Kami jadikan bagi mereka lisan jujur yang mulia." 

Kami jadikan mereka buah tutur yang baik dan mulia. Semua umat, agama dan millah menyebutkan Ibrahim a.s. dan keturunannya dengan sebutan dan pujian yang baik. Mereka adalah para pemimpin orang-orang yang berbuat ihsan.

Allah tebarkan pujian yang baik lagi tinggi di tengah-tengah manusia. Nama mereka disebut-sebut. Mereka juga dijadikan teladan dan dicintai oleh manusia. Oleh kerananya, ramai manusia yang menamai anak-anak mereka dengan nama para nabi dan rasul.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...