وَنُوحًا إِذْ نَادَى مِنْ قَبْلُ فَاسْتَجَبْنَا لَهُ فَنَجَّيْنَاهُ وَأَهْلَهُ مِنَ الْكَرْبِ الْعَظِيمِ (٧٦) وَنَصَرْنَاهُ مِنَ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمَ سَوْءٍ فَأَغْرَقْنَاهُمْ أَجْمَعِينَ (٧٧)
Allah s.w.t. berfirman,
"76. Dan Nuh, ketika berdoa sebelumnya."
Ingatlah kisah tentang Nuh a.s. dan keadaannya yang sungguh terpuji. Kisahnya berlaku sebelum Ibrahim a.s. dan Lut a.s. Beliau berdakwah di tengah-tengah mereka mengajak beribadah kepada Allah dan melarang berbuat syirik selama 950 tahun. Beliau berdakwah secara sembunyi-sembunyi dan terang-terangan, di malam dan siang hari.
Namun kaumnya telah mendustakannya. Mereka juga sentiasa menimpakan gangguan yang menyakitkan kepada Nuh a.s., dan saling mewasiatkan kepada generasi pelanjut mereka, generasi demi generasi untuk bersikap menentang Nuh a.s. Hanya sedikit saja yang beriman bersamanya.
Beliau melihat bahawa nasihat dan peringatan tidak bermanfaat bagi mereka, maka dia mengadu kepada Tuhannya, "Bahawasanya aku ini adalah orang yang dikalahkan. Oleh sebab itu, tolonglah."
Maka Nuh a.s. memohon kepadaNya untuk kebinasaan kaumnya, "Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorang pun di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi. Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu, dan mereka tidak akan melahirkan selain anak yang berbuat maksiat lagi sangat kafir."
"Maka Kami memperkenankan baginya, lalu Kami selamatkan dia dan keluarganya dari bencana yang besar."
Maka Allah s.w.t. mengabulkan doa Nuh a.s. Allah menyelamatkan Beliau dan para pengikut yang beriman kepadanya dalam kapal besar yang dibinanya. Allah menyelamatkan mereka dari kesengsaraan, pendustaan, gangguan dan penenggelaman kaumnya. Allah menjadikan keturunan merekalah yang tetap hidup.
"77. Dan Kami telah menolongnya dari kaum yang mendustakan ayat-ayat Kami. Sungguh mereka adalah kaum buruk, maka Kami tenggelamkan mereka semuanya."
Allah s.w.t. selamatkan Nuh a.s. dan menolongnya dengan membebaskannya dari kaum yang telah mendustakan tanda-tanda kekuasaanNya. Mereka tidak percaya bahawa hanya Allah saja tuhan yang layak disembah. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang jahat. Maka Allah membinasakan mereka secara menyeluruh, sehingga tiada seorang manusia pun dari kalangan mereka yang hidup di bumi ini, seperti yang didoakan oleh nabi mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan