Rabu, 31 Mei 2017

19:51-57 Tafsir Surah Maryam, ayat 51-57.

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ مُوسَى إِنَّهُ كَانَ مُخْلَصًا وَكَانَ رَسُولا نَبِيًّا (٥١)وَنَادَيْنَاهُ مِنْ جَانِبِ الطُّورِ الأيْمَنِ وَقَرَّبْنَاهُ نَجِيًّا (٥٢) وَوَهَبْنَا لَهُ مِنْ رَحْمَتِنَا أَخَاهُ هَارُونَ نَبِيًّا (٥٣) وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِسْمَاعِيلَ إِنَّهُ كَانَ صَادِقَ الْوَعْدِ وَكَانَ رَسُولا نَبِيًّا (٥٤) وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُ بِالصَّلاةِ وَالزَّكَاةِ وَكَانَ عِنْدَ رَبِّهِ مَرْضِيًّا (٥٥) وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِدْرِيسَ إِنَّهُ كَانَ صِدِّيقًا نَبِيًّا (٥٦) وَرَفَعْنَاهُ مَكَانًا عَلِيًّا (٥٧)

Allah s.w.t. berfirman memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w.,

"51. Dan ingatlah dalam Al Kitab Musa." 

Ceritakanlah kepada mereka kisah Musa a.s. di dalam Al Qur’an ini dengan menunjukkan kemuliaannya, mengenalkan kedudukannya dan akhlaknya yang mulia. Allah s.w.t. memuji Musa a.s.

"Sungguh dia adalah orang yang ikhlas" 

Sebahagian ulama membacanya mukhlasan, ertinya orang yang dipilih Allah di antara sekian makhlukNya. Allah s.w.t. telah memilih Musa a.s. lebih dari manusia yang lain dizamannya. Beliau telah diajak berbicara langsung oleh Allah s.w.t.

Sebahagian ulama membacanya mukhlisan, berasal dari kata ikhlas, iaitu ikhlas dalam beribadah kepada Allah. Orang yang ikhlas kepada Allah beramal kerana Allah. Dia tidak suka manusia memujinya.

"dan dia seorang rasul seorang nabi." 

Adalah dia seorang rasul lagi nabi. Allah s.w.t. menghimpunkan dua sifat bagi Musa a.s. Beliau termasuk salah seorang rasul yang besar dan termasuk salah seorang dari lima orang rasul ulul 'azmi, iaitu Nuh a.s., Ibrahim a.s., Musa a.s., Isa a.s. dan Muhammad s.a.w.

Rasul adalah seorang yang mendapat wahyu dan dikirim kepada orang-orang yang menyimpang atau orang-orang kafir. Rasul mengajak manusia kepada syari’at baru yang dibawanya. Ada rasul memiliki kitab dan ada yang tidak. Seorang rasul sudah tentu nabi, sedangkan seorang nabi belum tentu rasul.

Nabi adalah seorang yang mendapat wahyu dan dikirim kepada orang-orang yang sudah beriman. Dia mengajak kepada syari’at sebelumnya, menghidupkannya dan menggunakan hukum dengan syari’at sebelumnya. Ada nabi yang menerima kitab dan ada yang tidak.

Ketika Musa a.s. sedang dalam perjalanan pulang ke Mesir, Beliau nampak suatu nyalaan api di  di semenanjung Sinai. Maka Beliau pergi mencarinya.

"52. Dan Kami telah memanggilnya dari pinggir gunung Tur sebelah kanan" 

Allah s.w.t. telah menyerunya dari tepi lembah, dari arah sebelah kanan, dari sebelah barat Gunung Tursina.

"dan Kami telah dekatkan dia munajat." 

Musa a.s. didekatkan kepadaNya hingga Beliau dapat mendengar guratan suara qalam yang sedang menulis kitab Taurat. Lalu Beliau diajak bicara secara langsung oleh Allah. Maka Musa a.s. bermunajat kepadaNya. Beliau diselamatkan kerana berkat kejujurannya.

Allah berfirman, "Hai Musa, apabila Aku ciptakan buatmu hati yang bersyukur, lisan yang selalu berzikir menyebutKu dan isteri yang membantumu dalam kebaikan, bererti Aku tidak menyimpan sesuatu kebaikan pun darimu. Kerana barang siapa yang Aku sembunyikan hal tersebut darinya, bererti Aku tidak membukakan suatu kebaikan pun baginya."

Allah s.w.t. memerintahkan Musa a.s. pergi bertemu Fir'aun, mengajaknya beriman dan melepaskan Bani Israil dari perhambaannya. Musa a.s. bimbang Fir'aun dan kaumnya akan mendustakannya. Beliau juga takut mereka akan membunuhnya kerana Beliau pernah membunuh seorang Qibti tanpa sengaja.

"53. Dan Kami telah mengurniakan kepadanya dari rahmat Kami, saudaranya Harun seorang nabi." 

Musa a.s. meminta agar saudaranya, Harun a.s. diutus bersamanya sebagai pembantunya untuk membenarkan perkataannya. Harun a.s. lebih tua dan lebih petah lidahnya daripada Musa a.s. Beliau rela memberikan kenabiannya kepada saudaranya itu.

Tidak ada seorang pun yang memberikan syafaat di dunia buat seseorang dengan syafaat yang lebih besar daripada syafaat Musa a.s. buat Harun a.s. Allah s.w.t. memperkenankan permintaan dan syafaatnya buat saudaranya. Maka Allah s.w.t. menjadikan Harun a.s. seorang nabi.

Allah s.w.t. berfirman memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w.,

"54. Dan ingatlah di dalam Kitab Ismail." 

Ceritakanlah kepada mereka kisah Ismail a.s. yang tersebut di dalam Al Qur’an. Dari Ismail a.s. lahir bangsa Arab. Allah s.w.t. memuji Ismail a.s.

"Sungguh dia adalah orang yang benar janji," 

Ismail a.s. sentiasa menepati janji dengan Allah s.w.t. Apabila Beliau berjanji atau menetapkan suatu nazar akan mengerjakan suatu ibadah kepada Allah sesuatu hal, Beliau pasti menunaikannya dan melaksanakannya dengan sempurna.

Ismail a.s. juga sentiasa menepati janji dengan manusia. Ismail a.s. pernah berjanji akan bertemu dengan seseorang lelaki di suatu tempat. Maka Ismail a.s. datang ke tempat itu, sedangkan lelaki yang berjanji dengannya tadi lupa kepada janji Ismail. Maka Ismail a.s. tetap berada di tempat itu dan menginap hingga keesokan harinya. Maka pada keesokan harinya lelaki itu datang dan berkata kepadanya, "Tidakkah kamu tinggalkan tempat ini?" Ismail a.s. menjawab, "Tidak." Lelaki itu berkata, "Sesungguhnya saya lupa kepada janjimu." Ismail a.s. berkata, "Saya tidak akan meninggalkan tempat ini sebelum kamu datang kepadaku."

Ketika Ismail a.s. berjanji sedia untuk disembelih, Beliau berkata kepada bapanya, Ibrahim a.s., "Insya Allah kamu akan mendapatkanku termasuk orang-orang yang sabar." Ismail a.s. membenarkan apa yang diucapkannya, memenuhi janjinya dan mempersilakan bapanya menyembelihnya. Kemudian Allah s.w.t. tebus dengan kambing sebagai ganti Ismail a.s.

"dan dia seorang rasul seorang nabi." 

Ismail a.s. adalah seorang rasul dan nabi. Beliau diutus kepada suku Jurhum. Ayat ini menunjukkan keutamaan kemuliaan yang dimiliki oleh Ismail a.s. melebihi saudaranya Ishaq a.s., kerana Ishaq a.s. hanya diberi sifat sebagai seorang nabi saja, sedangkan Ismail a.s. disifati sebagai nabi dan rasul.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah telah memilih Ismail dari anak Ibrahim (Sebagai orang pilihanNya)."

"55. Dan dia menyuruh ahlinya untuk solat dan zakat;" 

"Ahl" di ayat ini bermaksud keluarganya atau umatnya. Ismail a.s. menyuruh keluarga atau umatnya untuk sentiasa mendirikan solat dan menunaikan zakat. Pada solat terdapat ikhlas kepada Allah, dan pada zakat terdapat sikap ihsan kepada makhluk. Beliau menyempurnakan diri dan orang lain, terutama sekali keluarganya yang lebih berhak disempurnakan sebelum yang lain.

"dan dia di sisi Tuhannya seorang yang diridhai." 

Ismail a.s. adalah orang yang sabar dalam menjalankan ketaatan kepada Allah dan juga memerintahkan kepada keluarganya untuk mengerjakan ketaatan kepada Allah. Beliau diridhai di sisi Allah s.w.t. kerana Beliau melakukan perbuatan-perbuatan yang diridhaiNya dan berusaha mencari keridhaanNya.

Allah s.w.t. berfirman memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w.,

"56. Dan ingatlah di dalam Kitab Idris." 

Ceritakanlah kepada mereka kisah Idris a.s. yang tersebut di dalam Al Qur’an sambil memuliakannya dan menyifatinya dengan sifat yang sempurna. Allah s.w.t. memuji Idris a.s.

"Sungguh dia adalah sangat benar, seorang nabi." 

Idris a.s. seorang yang sangat mencintai kebenaran, sangat benar tutur katanya dan sangat benar imannya. Orang yang siddiq bererti dalam dirinya terdapat sikap membenarkan secara sempurna, ilmu, keyakinan, dan amal yang soleh. Beliau adalah seorang nabi.

Idris a.s. adalah seorang tukang jahit. Setiap kali Beliau menusukkan jarumnya, Beliau menyebut Subhanallah (Mahasuci Allah). Setiap harinya tiada seorang pun di muka bumi saat itu yang beramal lebih baik dan lebih utama daripadanya.

"57. Dan Kami telah mengangkatnya tempat yang tinggi." 

Tempat atau martabat yang tinggi bermaksud Allah s.w.t. mengangkat Idris a.s. dalam keadaan belum meninggal sebagaimana Isa a.s. diangkat, Beliau diangkat ke syurga atau Beliau diangkat ke langit ke empat. Ketika isra’ mi’raj Rasulullah s.a.w. bertemu dengan Idris a.s. di langit ke empat.

Semoga salawat dan salam Allah terlimpahkan kepada semua rasul dan semua nabi.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...