Isnin, 29 Mei 2017

17:53-55 Tafsir Surah Al Isra, ayat 53-55.

وَقُلْ لِعِبَادِي يَقُولُوا الَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْزَغُ بَيْنَهُمْ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلإنْسَانِ عَدُوًّا مُبِينًا (٥٣) رَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِكُمْ إِنْ يَشَأْ يَرْحَمْكُمْ أَوْ إِنْ يَشَأْ يُعَذِّبْكُمْ وَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ وَكِيلا (٥٤) وَرَبُّكَ أَعْلَمُ بِمَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَلَقَدْ فَضَّلْنَا بَعْضَ النَّبِيِّينَ عَلَى بَعْضٍ وَآتَيْنَا دَاوُدَ زَبُورًا (٥٥) 

Allah s.w.t. berfirman memerintahkan kepada hamba dan RasulNya, Nabi Muhammad s.a.w.,

"53. Dan katakanlah kepada hamba-hambaKu, mereka mengucapkan yang ia lebih baik." 

Perintahkanlah kepada orang-orang beriman, hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang terbaik, yang benar dan kalimat yang menyenangkan semasa mereka dalam khutbah dan dalam pembicaraannya.

Perkataan yang lebih baik di sini mencakup semua perkataan yang mendekatkan diri kepada Allah seperti membaca Al Qur’an, zikrullah, menyampaikan ilmu, beramar ma’ruf dan bernahi munkar, dan ucapan yang lembut kepada manusia, termasuklah terhadap orang-orang kafir.

Apabila kita dihadapkan dua perkara yang baik, maka kita diperintahkan mengutamakan yang lebih baik di antara keduanya jika tidak mampu menggabung keduanya. Perkataan yang lebih baik mengajak kepada akhlak yang mulia dan amal yang soleh. Orang yang mampu menguasai lisannya, maka dia mampu menguasai semua urusannya.

Jika mereka tidak melakukan hal ini, tentulah syaitan akan menimbulkan permusuhan di antara mereka dengan membakar emosi mereka, sehingga terjadilah pertengkaran dan peperangan serta keburukan.

"Sesungguhnya syaitan menimbulkan perselisihan di antara mereka." 

Syaitan berusaha merosakkan agama dan dunia mereka. Jalan keluarnya adalah dengan tidak menaati ucapan-ucapan tidak baik yang disodorkannya dan mengucapkan kata-kata yang lembut antara sesama kita agar syaitan tidak mampu menimbulkan perselisihan di antara kita, kerana dia adalah musuh kita yang hakiki yang layak untuk diperangi, di mana dia tidak mengajak selain ke neraka.

Demikian juga hendaknya seseorang berusaha melawan hawa nafsunya yang memerintahkan kepada keburukan (nafsu ammarah bis suu’), di mana melalui nafsu itu syaitan masuk, iaitu dengan cara menaati perintah Tuhan kita dan menjauhi laranganNya.

"Sesungguhnya syaitan adalah bagi manusia musuh yang nyata." 

Syaitan adalah musuh Adam dan keturunannya sejak syaitan menolak bersujud kepada Adam dan menampakkan permusuhannya terhadap Adam. Orang muslim adalah saudara orang muslim. Ia tidak boleh berbuat aniaya terhadapnya dan tidak boleh menghinanya. Takwa itu ada di hati. Dua orang yang saling menyukai kerana Allah akan terpisah hanyalah disebabkan oleh bicara buruk salah seorangnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jangan sekali-kali seseorang di antara kalian mengacungkan senjatanya terhadap saudaranya, kerana sesungguhnya seseorang di antara kalian tidak akan mengetahui bila syaitan menghayunkan lengannya, sehingga terjerumuslah dia ke dalam lubang neraka."

"54. Tuhan kalian lebih mengetahui tentang kalian." 

Allah s.w.t. lebih mengetahui tentang kalian daripada diri kalian sendiri. Dia lebih mengetahui siapa di antara kalian yang berhak mendapat hidayah dan siapa yang tidak berhak mendapatkannya. Oleh kerana itu, Dia hanya menginginkan yang baik bagi kita dan hanya memerintahkan yang bermaslahat bagi kita.

"Jika Dia menghendaki, Dia merahmati kalian," 

Maka Dia memberi kalian taufik untuk taat kepadaNya dan menjadikan kalian bertaubat, kembali dan beriman kepadaNya.

"atau jika Dia kehendaki, Dia mengazab kalian." 

Maka Dia membiarkan kalian tersesat dan mati dalam keadaan kafir.

"Dan tidaklah Kami utus atas mereka penjaga." 

Kami tidak mengutusmu wahai Muhammad kepada mereka sebagai penjaga mereka yang memaksa mereka untuk beriman. Kamu hanyalah penyampai dan pembimbing ke jalan yang lurus. Ayat ini diturunkan sebelum ada perintah untuk memerangi mereka.

Sesungguhnya Kami mengutusmu wahai Muhammad hanyalah sebagai pemberi peringatan kepada manusia. Maka barang siapa yang taat kepadamu, dia akan masuk syurga; dan barang siapa yang derhaka kepadamu akan masuk neraka.

"55. Dan Tuhanmu lebih mengetahui dengan siapa yang di langit dan bumi." 

Allah lebih mengetahui tingkatan ketaatan dan kederhakaan semua makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dia memberikan masing-masingnya sesuai yang dikehendaki hikmahNya, Dia melebihkan sebahagiannya di atas sebahagian yang lain, baik secara hissiy (nampak) maupun maknawi (tidak nampak).

"Dan sungguh Kami telah melebihkan sebahagian nabi-nabi atas sebahagian yang lain," 

Allah s.w.t. mengkhususkan sebahagian nabi-nabi itu dengan keutamaan di atas sebahagian yang lain, baik dalam hal sifat yang terpuji, akhlak yang diridhai, amal yang soleh, banyak pengikut, turunnya kitab-kitab atas sebahagian mereka yang mengandungi hukum-hukum syar’i dan ‘aqidah yang benar, seperti keutamaan Nabi Musa a.s. dengan diajak bicara oleh Allah, Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Muhammad s.a.w. dijadikan sebagai kekasihNya, serta diisrakanNya Nabi Muhammad s.a.w.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Janganlah kalian saling mengutamakan di antara nabi-nabi." Iaitu saling mengutamakan yang berlandaskan hanya kerana kesukaan dan kefanatikan, bukan berdasarkan dalil. Apabila ada dalil yang menunjukkan kepada sesuatu keutamaan, maka wajib diikuti.

Para rasul itu lebih utama daripada para nabi, dan bahawa ulul 'azmi dari kalangan para rasul adalah yang paling utama di antara mereka. Mereka yang termasuk ke dalam golongan ulul 'azmi ada lima orang, iaitu Nabi Muhammad s.a.w., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. dan Nabi Nuh a.s.

"dan Kami berikan Daud Zabur." 

Allah s.w.t. menurunkan kepada Nabi Daud a.s. kitab Zabur. Hal ini mengisyaratkan tentang keutamaan dan kemuliaan yang dimilikinya.

Nabi s.a.w. bersabda, "Bacaan Al Kitab dimudahkan bagi Nabi Daud, tersebutlah bahawa bila dia memerintahkan (kepada pelayannya) agar haiwan kenderaannya dipersiapkan, lalu diberi pelana, maka tersebutlah bahawa ia telah menyelesaikan bacaan Al Kitabnya sebelum haiwan kenderaannya itu sedia dikenderai."

Allah s.w.t. telah melebihkan sebahagian nabi di atas sebahagian yang lain dan telah memberikan kitab-kitab kepada sebahagian mereka. Maka tidak sepatutnya orang-orang yang mendustakan Rasulullah s.a.w. mengingkari kurnia kenabian yang diberikan oleh Allah s.w.t. dan kitab yang diturunkanNya kepada Beliau s.a.w.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...