Rabu, 17 Mei 2017

2:26-27 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 26-27.

إِنَّ اللَّهَ لا يَسْتَحْيِي أَنْ يَضْرِبَ مَثَلا مَا بَعُوضَةً فَمَا فَوْقَهَا فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا فَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ وَأَمَّا الَّذِينَ كَفَرُوا فَيَقُولُونَ مَاذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهَذَا مَثَلا يُضِلُّ بِهِ كَثِيرًا وَيَهْدِي بِهِ كَثِيرًا وَمَا يُضِلُّ بِهِ إِلا الْفَاسِقِينَ (٢٦)الَّذِينَ يَنْقُضُونَ عَهْدَ اللَّهِ مِنْ بَعْدِ مِيثَاقِهِ وَيَقْطَعُونَ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ أَنْ يُوصَلَ وَيُفْسِدُونَ فِي الأرْضِ أُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ (٢٧)

Allah s.w.t. telah membuat perumpaan bagi orang-orang munafik, bahawa mereka itu adalah seperti orang yang menyalakan api dan seperti orang-orang yang ditimpa hujan lebat. Mereka berkata bahawa Allah Maha Tinggi lagi Mahaagung untuk membuat perumpamaan-perumpamaan ini.

Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"26. Sesungguhnya Allah tidak malu bahawa Dia membuat perumpamaan apa yang nyamuk, bahkan apa saja yang lebih rendah darinya." 

Sesungguhnya Allah tiada segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah dari itu. Allah s.w.t. tidak merasa malu, tidak segan dan tidak takut membuat perumpamaan apa saja, baik perumpamaan yang kecil ataupun yang besar untuk menyebutkan perkara yang hak.

Dia tidak pernah menganggap remeh sesuatu pun untuk dijadikan sebagai perumpamaan, walaupun sesuatu itu hina lagi kecil seperti nyamuk. Dia tidak malu menciptakan dan membuat perumpamaan dengan makhluk yang kecil itu.

Dia membuat perumpamaan nyamuk untuk menggambarkan dunia. Nyamuk tetap hidup selagi dalam keadaan lapar; tetapi bila telah gemuk kekenyangan, maka ia mati. Begitu juga kaum yang diumpamakan dengan perumpamaan ini.

Mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka. Allah pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka. Apabila mereka kekenyangan kerana berlimpah ruah dengan harta duniawi, maka pada saat itulah Allah mengazab mereka.

Allah s.w.t. telah membuat perumpamaan dengan labah-labah. Orang-orang yang mengambil pelindung-pelindung selain Allah adalah seperti labah-labah yang membuat rumah. Rumah yang paling lemah ialah sarang labah-labah.

Allah s.w.t. telah membuat perumpamaan dengan lalat. Segala yang mereka seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalat pun, walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Yang menyembah dan yang disembah adalah sama-sama amat lemah.

Allah s.w.t. membuat banyak perumpamaan sebagai ujian untuk membedakan siapa yang mukmin dan siapa yang kafir.

"Adapun orang-orang yang beriman, maka mereka mengetahui sesungguhnya itu kebenaran dari Tuhan mereka,"

Orang-orang yang beriman yakin bahawa perumpamaan itu benar dari Tuhan mereka. Apabila orang-orang beriman mendengar perumpamaan dari Allah, mereka mensyukurinya, menerimanya dan tidak ragu-ragu. Mereka mengetahui dengan yakin hikmah Allah s.w.t. membuat perumpamaan dengan makhlukNya yang kecil maupun yang besar.

Mereka mengetahui bahawa perumpamaan tersebut adalah perkara hak yang datang dari sisi Allah, Kalamullah Yang Maha Pemurah, ada hikmah disebaliknya dan bukan main-main. Hanya orang-orang yang berilmu saja yang memahaminya.

"dan adapun orang-orang yang kafir, maka mereka mengatakan, "Apa maksud Allah dengan ini perumpamaan?""

Tetapi mereka yang kafir berkata, "Apakah maksud Allah dengan perumpamaan ini?'' Apabila orang-orang kafir mendengar perumpamaan dari Allah, mereka akan membantah dan mengolok-olok. Demikian itu kerana mereka tidak dapat memahami perumpamaan itu.

"Dia menyesatkan dengannya banyak," 

Dengan perumpamaan itu ramai orang yang disesatkan Allah. Dengan perumpamaan itu ramai yang makin bertambah kesesatannya di samping kesesatan mereka yang telah ada. Demikian itu kerana mereka tidak mahu memahami petunjuk-petunjuk Allah.

Mereka mendustakan, memperolok-olokkan, mengingkari apa yang mereka ketahui sebagai perkara yang hak dan yakin. Mereka mendustakan dan tidak mahu percaya kepada perumpamaan yang telah dibuat oleh Allah untuk menggambarkan keadaan mereka sendiri.

"dan memberi petunjuk dengannya banyak." 

Dengan perumpamaan itu ramai orang yang diberiNya petunjuk. Dengan perumpamaan itu juga ramai yang makin bertambah ilmu, iman dan petunjuk kepada mereka di samping petunjuk yang telah ada pada diri mereka.

Demikian itu kerana mereka percaya kepada apa yang mereka ketahui sebagai perkara yang hak dan yakin. Apa yang dibuat oleh Allah sebagai perumpamaan sesuai dengan kenyataan dan mereka mengakui kebenarannya.

"Dan tidak Dia menyesatkan dengannya melainkan orang-orang fasik." 

Tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang-orang yang fasik. Fasik adalah kafir, derhaka, membangkang dan tidak mahu taat. Pada mulanya mereka fasik, kemudian Allah menyesatkan mereka di samping kefasikannya. Mereka adalah ahli kemunafikan dan orang kafir. Kefasikan orang kafir lebih kuat dan lebih parah. Mereka mengetahui adanya Allah, tetapi mereka mengingkariNya. Sifat-sifat orang kafir adalah,

"27. Orang-orang yang melanggar perjanjian Allah setelah meneguhkannya," 

Orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh. Semasa Allah s.w.t. mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka, Dia telah memancangkan hujah di dalam akal yang menunjukkan ajaran tauhid.

Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka bahawa Allah adalah Tuhan mereka. Lalu mereka mengakuinya dan mereka menjadi saksi. Dia telah memerintahkan, mewasiatkan dan mengikatkan hal itu sebagai janji.

Mereka telah berjanji untuk mentauhidkan Allah, taat kepada perintahNya, beribadah kepadaNya dan tidak berbuat derhaka dengan mengerjakan hal-hal yang telah dilarangNya sebagai amanah yang dibebankan kepada mereka ketika langit, bumi dan gunung enggan memikulnya kerana khuatir tidak dapat melaksanakannya.

Semua itu disebutkan di dalam kitab-kitabNya, juga disampaikan kepada mereka melalui lisan Rasul-rasulNya agar mereka mahu memenuhi amanah itu. Allah mengambil janji terhadap diri mereka dari kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka. Tetapi orang-orang fasik tidak memenuhinya dan tidak mengamalkannya.

Perlanggaran janji yang dilakukan oleh mereka ialah mereka tidak mahu mengakui hal-hal yang telah jelas kebenarannya di mata mereka melalui dalil-dalilnya, dan mereka mendustakan para rasul serta kitab-kitab, padahal mereka mengetahui bahawa apa yang diturunkan kepada para rasul itu adalah perkara yang hak.

"dan mereka memutuskan apa yang Allah perintahkan dengannya untuk disambung," 

Dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah untuk menghubungkannya. Allah s.w.t. telah memerintahkan supaya menghubungkan, menyampaikan dan memenuhi hak-hak kepada Allah, rasulNya, orang tua, kerabat dan orang lain.

Hak kepada Allah adalah seperti dengan beriman, beribadah kepadaNya dan mengerjakan semua hal yang diperintahkan olehNya. Hak kepada rasulNya adalah seperti dengan beriman kepadanya, mencintainya, membelanya dan memenuhi hak-haknya. Hak kepada orang tua, kerabat dan orang lain adalah silaturahim dan hubungan kekerabatan. Tetapi mereka memutuskan dan meninggalkannya.

"dan mereka membuat kerosakan di muka bumi." 

Kerosakan bermaksud kufur, mengiakan kekufuran, beramal dengan maksiat, meninggalkan perintah, mengerjakan larangan, keluar dari keadaan istiqamah, keluar dari kebaikan, menghuru-harakan, merancang pencerobohan, peperangan, fitnah-fitnah, munafik, mendedahkan rahsia-rahsia orang Islam dan sebagainya.

"Mereka itu, mereka orang-orang yang rugi." 

Mereka itulah orang-orang yang rugi di akhirat, mendapat kutukan dan bagi mereka tempat kediaman yang buruk (Jahannam). Bagi selain pemeluk Islam, merugi bermaksud kekufuran. Sedangkan bagi pemeluk Islam, merugi bermaksud dosa.

Mereka mengurangi bahagian keuntungan mereka dari rahmat Allah kerana perbuatan maksiat mereka. Orang munafik dan orang kafir mendapat kerugian kerana terhalang dari mendapat rahmat Allah yang diciptakanNya buat hamba-hambaNya di hari kiamat, padahal saat itu yang paling mereka perlukan adalah rahmat Allah s.w.t.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...