Selasa, 16 Mei 2017

81:1-14 Tafsir Surah At Takwir, ayat 1-14.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

إِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ (١) وَإِذَا النُّجُومُ انْكَدَرَتْ (٢) وَإِذَا الْجِبَالُ سُيِّرَتْ (٣) وَإِذَا الْعِشَارُ عُطِّلَتْ (٤) وَإِذَا الْوُحُوشُ حُشِرَتْ (٥) وَإِذَا الْبِحَارُ سُجِّرَتْ (٦) وَإِذَا النُّفُوسُ زُوِّجَتْ (٧) وَإِذَا الْمَوْءُودَةُ سُئِلَتْ (٨) بِأَيِّ ذَنْبٍ قُتِلَتْ (٩) وَإِذَا الصُّحُفُ نُشِرَتْ (١٠) وَإِذَا السَّمَاءُ كُشِطَتْ (١١) وَإِذَا الْجَحِيمُ سُعِّرَتْ (١٢) وَإِذَا الْجَنَّةُ أُزْلِفَتْ (١٣) عَلِمَتْ نَفْسٌ مَا أَحْضَرَتْ (١٤)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan keadaan yang berlaku pada hari kiamat.

"1. Apabila matahari digulung." 

Kuwwirat ertinya dilemparkan, dijatuhkan dan dijungkirkan. Ketika itu manusia sedang sibuk dengan urusannya masing-masing. Matahari dan bulan kelak dihimpunkan, digabungkan, dilipat, digulung, dilemparkan dan dijatuhkan ke bumi, ke laut atau ke dalam neraka Jahanam. Maka lenyaplah cahayanya, lalu Allah mengirimkan angin dabur dan membakarnya dengan api.

"2. Dan apabila bintang-bintang berjatuhan." 

Asal kata inkadarat adalah inkidar yang ertinya berjatuhan. Ketika mereka dalam keadaan demikian, tiba-tiba bintang-bintang berubah dan jatuh berserakan ke bumi atau ke dalam neraka Jahanam bersama-sama dengan semua yang disembah selain Allah.

"3. Dan apabila gunung-gunung dihancurkan." 

Ketika mereka dalam keadaan demikian, tiba-tiba gunung-gunung runtuh ke permukaan bumi yang datar, lalu bergerak dan menimbulkan gempa yang hebat dan terjadilah huru-hara. Gunung-gunung lenyap dari tempatnya masing-masing dan meledak sehingga bumi bekas tempat berpijaknya menjadi rata dan datar. Maka jin merasa kaget dan berdatangan kepada manusia, begitu pula sebaliknya manusia berdatangan kepada jin kerana kaget.

"4. Dan apabila unta-unta bunting ditinggalkan." 

Al 'isyar ialah unta-unta betina pilihan yang sedang hamil dalam masa sepuluh bulan; bentuk tunggalnya disebut 'usyara. Dan unta ini masih tetap disebut demikian sampai melahirkan anaknya. Unta merupakan harta paling berharga milik orang Arab ketika itu. Unta-unta yang bunting ditinggalkan, tidak dipedulikan, tidak terurus, dibiarkan dan diabaikan oleh para pemiliknya kerana mereka panik menyaksikan huru-hara hari kiamat itu.

Begitu juga harta lainnya yang paling mereka sukai akan mereka tinggalkan ketika terjadi hari Kiamat. Manusia cukup disibukkan oleh urusannya sendiri hingga melupakannya dan tidak lagi memelihara dan memanfaatkannya lagi.

"5. Dan apabila binatang-binatang buas dikumpulkan." 

Husyirat ertinya dihimpunkan. Hasyr ertinya mematikannya. Perintah Allah telah datang kepadanya. Semua jenis haiwan, haiwan-haiwan ternakan, burung-burung dan haiwan-haiwan liar sebahagian darinya bercampur baur dengan yang lainnya menjadi satu kerana terkejut dengan peristiwa itu. Kemudian mereka dihimpunkan kepada Allah setelah mereka dibangkitkan untuk melakukan qisas satu sama lain.

Allah memutuskan terhadapnya menurut apa yang dikehendakiNya. DihimpunkanNya haiwan-haiwan maksudnya semuanya dimatikan. Kemudian mereka menjadi tanah. Jin dan manusia tidak dimatikan kerana kedua jenis makhluk ini akan dimintai pertanggungjawabannya kelak di hari kiamat. Hal ini untuk memperlihatkan kepada manusia keadilan Allah s.w.t.

"6. Dan apabila lautan dipanaskan." 

Allah mengirimkan angin dabur ke laut. Maka laut yang di dalam tanahnya ada api menjadi mendidih kerananya. Sujjirat bermaksud laut dibuka, diubah, diledakkan, diluapkan, airnya menjadi surut, lalu lenyap, dikeringkan, menjadi kering, hingga tiada setitis air pun yang tinggal padanya dan dinyalakan menjadi api yang besar yang menyala-nyala dengan hebatnya.

Jin berkata kepada manusia, "Biarlah kami yang akan menyiasat untuk kalian." Jin berangkat menuju laut, tiba-tiba lautan telah berubah menjadi api yang menyala-nyala. Ketika mereka sedang dalam keadaan demikian, tiba-tiba bumi retak dengan keretakan yang menembus sampai tujuh lapis bumi dan juga sampai ke langit yang ketujuh di bahagian atasnya. Dan ketika mereka sedang dalam keadaan demikian, tiba-tiba datanglah angin menimpa mereka dan mematikan mereka semuanya.

"7. Dan apabila ruh-ruh dipertemukan."

Roh-roh dipertemukan dengan tubuhnya masing-masing. Dihimpunkanlah segala sesuatu dengan yang sejenisnya. Manusia menjadi tiga golongan. Alangkah mulianya golongan kanan. Orang yang baik, soleh atau mukmin dikumpulkan bersama orang-orang yang seamalan dengannya di dalam syurga. Orang-orang mukmin dikahwinkan dengan bidadari-bidadari dan wanita yang sepadan amalannya dengannya. Mereka dimasukkan ke dalam syurga berkat amalannya.

Alangkah sengsaranya golongan kiri. Orang yang buruk, jahat, kafir atau zalim dikumpulkan bersama teman sejawat mereka di dalam neraka, sesuai dengan amalnya masing-masing. Mereka dikahwinkan dengan syaitan-syaitan dan wanita yang seamalan dengannya dari kalangan ahli neraka. Dan orang-orang yang paling dahulu beriman, merekalah yang paling dulu masuk syurga.

"8. Dan apabila bayi perempuan dikubur hidup-hidup ditanya." 

Al mau’udah dan su’ilat ertinya bayi-bayi yang sewaktu masa Jahiliah dikubur hidup-hidup oleh ibu bapa mereka kerana malu mempunyai anak perempuan atau kerana takut jatuh miskin. Sa'alat bermaksud bertanya dengan memakai bentuk aktif dan menuntut balas kematiannya.

"9. Kerana apa dosa dia dibunuh?" 

Bayi-bayi itu tidak berdosa. Maka kelak di hari kiamat bayi-bayi itu ditanya, atas dosa apakah mereka dibunuh. Apabila orang yang teraniaya ditanya, maka hukuman yang dikenakan terhadap pelaku aniaya adalah berat. Demikian adalah ancaman dan celaan keras kepada orang yang menguburnya hidup-hidup. Terkecuali jika orang yang menguburnya menemui masa Islam lalu masuk Islam, maka Allah memaafkan perbuatannya.

"10. Dan apabila lembaran-lembaran dibuka." 

Apabila catatan-catatan amal perbuatan manusia dibentangkan dan dibahagikan kepada para pelakunya. Maka setiap orang diberi catatan amal perbuatannya dari sebelah kanannya atau sebelah kirinya menurut amal perbuatan masing-masing.

"11. Dan apabila langit dilenyapkan." 

Langit dibuka, terbelah mengeluarkan kabut putih, digulung seperti lembaran-lembaran kertas digulung, disingkapkan, disingkirkan, ditarik lalu lenyap dari tempatnya. Diturunkanlah malaikat bergelombang-gelombang.

"12. Dan apabila neraka dinyalakan." 

Apabila neraka Jahim dipanaskan dan dinyalakan. Sesungguhnya yang membuat neraka Jahim menyala tiada lain kerana murka Allah terhadap dosa-dosa Bani Adam.

"13. Dan apabila syurga didekatkan." 

Syurga didekatkan kepada para calon penghuninya atau orang-orang yang akan memasukinya, iaitu orang-orang yang bertakwa.

"14. Mengetahui jiwa apa yang dia kerjakan." 

Inilah jawaban atau subjek dari semua qasam (sumpah) yang telah disebutkan di atas, iaitu apabila semua peristiwa tersebut terjadi, maka saat itulah tiap-tiap diri mengetahui baik atau buruknya apa yang telah dikerjakannya, dan apa yang dilalaikannya kerana semuanya telah ditampilkan di hadapannya. Ada yang ingin andainya antara dia dengan hari itu ada masa yang jauh.

Peristiwa-peristiwa pada hari Kiamat yang Allah s.w.t. sebutkan ini termasuk peristiwa yang mencemaskan hati, menegangkannya dan membuat anggota badan merinding ketakutan. Demikian juga mendorong orang-orang yang berakal untuk mempersiapkan diri menghadapi hari itu serta mencegah mereka dari melakukan sesuatu yang mendatangkan celaan.

Sebahagian kaum salaf berkata, “Barang siapa yang ingin memperhatikan hari Kiamat seakan-akan ia melihatnya secara langsung, maka tadabburilah surah Izasy syamsu kuwwirat (At Takwir).”

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...