Ahad, 14 Mei 2017

69:19-24 Tafsir Surah Al Haqqah, ayat 19-24.

فَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ فَيَقُولُ هَاؤُمُ اقْرَءُوا كِتَابِيَهْ (١٩) إِنِّي ظَنَنْتُ أَنِّي مُلاقٍ حِسَابِيَهْ (٢٠) فَهُوَ فِي عِيشَةٍ رَاضِيَةٍ (٢١) فِي جَنَّةٍ عَالِيَةٍ (٢٢) قُطُوفُهَا دَانِيَةٌ (٢٣) كُلُوا وَاشْرَبُوا هَنِيئًا بِمَا أَسْلَفْتُمْ فِي الأيَّامِ الْخَالِيَةِ (٢٤)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan keadaan orang-orang yang berbahagia di hari kiamat,

"19. Maka adapun orang yang diberikan kitabnya di sebelah kanannya," 

Sesungguhnya Allah menghentikan hambaNya di hari kiamat. Orang mukmin diberikan kitab catatan amalnya dari sebelah kanannya dengan ditutupi oleh Allah untuk memisahkan antara mereka dengan yang lain dan meninggikan mereka.

Allah s.w.t. mendekatkan hambaNya, lalu Dia menampakkan kepadanya keburukan-keburukannya yang tertulis di bahagian luar catatan amal perbuatannya, lalu Allah berfirman kepadanya, "Engkau tentu mengetahui ini." Apabila dia membaca amal-amal kebaikannya, maka roman wajahnya berseri. Apabila dia melalui suatu amal keburukan, berubahlah roman wajahnya. Si hamba mengakui semua dosanya dan menjawab, "Ya, wahai Tuhanku." Si hamba merasa bahawa dirinya akan binasa.

Allah s.w.t. berfirman, "Sesungguhnya Aku telah menutupinya terhadapmu ketika di dunia. Aku tidak akan mempermalukanmu dengannya. Pada hari ini Aku memaafkannya bagimu. Sekarang Aku telah mengampunimu." Kemudian diberikan buku catatan amal kebaikannya dari sebelah kanannya. Lalu ia mengulangi bacaan kitab catatan amalnya, dia melihat catatan keburukannya telah diganti dengan kebaikan. Mereka merasa gembira dan senang. Setiap orang yang dijumpainya akan dipanggil,

"maka dia berkata, "Marilah, bacalah kitabku ini.""

Dia mengatakan demikian kerana mengetahui bahawa apa yang terdapat di dalamnya hanyalah kebaikan belaka, sebab dia termasuk orang-orang yang keburukannya telah diganti oleh Allah dengan kebaikan.

"20. Sungguh aku, aku yakin bahawa aku menemui perhitungan." 

Sesungguhnya aku yakin, bahawa sesungguhnya aku akan menemui hisab terhadap diriku. Aku yakin diriku telah selamat dari hal yang mempermalukan diriku. Ketika di dunia dahulu, aku juga telah meyakini bahawa hari ini pasti akan terjadi. 

Aku akan menemui Tuhanku dan menerima hisab terhadap diriku yang menyebabkan aku memperoleh keadaan ini. Ini adalah kerana nikmat Allah kepadaku dengan mengurniakan keimanan kepadaku kepada kebangkitan dan hisab, sehingga aku mempersiapkan diri dengan mengerjakan amal yang boleh aku lakukan.

"21. Maka dia dalam kehidupan yang diredhai." 

Lafaz radiyah bermakna mardiyyah, iaitu diridhai. Di dalamnya terdapat semua yang menyenangkan dan menyejukkan pandangan serta memuaskan mereka sehingga mereka tidak mahu memilih lagi yang lain.

"22. Dalam syurga yang tinggi." 

Binaannya tinggi-tinggi, bidadarinya cantik-cantik, tempat-tempat tinggal yang penuh dengan kenikmatan dan kebahagiaan yang abadi. Syurga itu terdiri dari seratus tingkatan. Jarak di antara satu tingkatan ke tingkatan yang lainnya sama dengan jarak antara langit dan bumi.

Ahli syurga akan saling berkunjung di antara sesamanya. Para penghuni darjat yang tertinggi dapat turun ke tempat para penghuni darjat yang di bawahnya, lalu mengucapkan salam penghormatan kepada mereka dan mereka menjawab salam penghormatannya. Tetapi para penghuni darjat yang di bawah tidak mampu naik ke tempat para penghuni darjat yang tertinggi disebabkan kurangnya amal perbuatan mereka.

"23. Buah-buahannya dekat." 

Orang mukmin diberi izin melintas di Sirat dan semua orang yang masuk syurga akan membawa jawaz (paspot), iaitu "Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ini adalah surat izin dari Allah masuk dari Allah Yang Mahaperkasa lagi Mahabijaksana buat si Fulan bin Fulan. Masukkanlah dia ke dalam syurga yang tinggi, yang buah-buahannya dekat!"

Dikatakan demikian kepada mereka sebagai anugerah buat mereka dan kebaikan serta kebajikan dari Tuhan mereka. Buah-buahannya dekat mudah dipetik oleh orang yang berdiri, duduk dan walaupun dia berada di atas tempat tidurnya dalam keadaan berbaring.

"24. Makanlah dan minumlah dengan penuh kepuasan dengan apa yang kalian lalui pada hari-hari telah lalu." 

Makan dan minumlah dengan sedap disebabkan amal yang telah kamu kerjakan pada hari-hari yang telah lalu seperti solat, zakat, puasa, haji, berbuat ihsan kepada manusia, zikrullah dan kembali kepadaNya. 

Oleh kerana itu, amal soleh Allah jadikan sebagai sebab seseorang masuk syurga, sebagai bahan kenikmatannya dan sumber kebahagiaannya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Beramallah, luruslah dan dekatkanlah diri kalian (kepada Allah), dan ketahuilah bahawa seseorang dari kalian tidak akan dapat dimasukkan ke dalam syurga oleh amal perbuatannya." Mereka bertanya, "Termasuk juga engkau, ya Rasulullah." Rasulullah s.a.w. menjawab, "Dan tidak juga aku, kecuali bila Allah melimpahkan kepadaku rahmat dan kurnia dariNya."

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...