Ahad, 21 Mei 2017

5:5 Tafsir Surah Al Maidah, ayat 5.

الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَهُمْ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكُمْ إِذَا آتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ وَلا مُتَّخِذِي أَخْدَانٍ وَمَنْ يَكْفُرْ بِالإيمَانِ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ (٥)

Allah s.w.t. berfirman,

"5. Pada hari ini dihalalkan bagi kalian yang baik-baik. Dan makanan orang-orang yang diberi Al Kitab halal bagi kalian,"

Makanan sembelihan Yahudi dan Nasrani itu halal bagi kalian. Hal itu kerana Ahli Kitab masih menyandarkan diri kepada nabi dan kitab. Para rasul semuanya sepakat haramnya menyembelih untuk selain Allah, kerana yang demikian adalah syirik. Mereka beragama dengan meyakini haramnya menyembelih kepada selain Allah. Mereka menyebut nama Allah atas sembelihan mereka, juga atas korban-korbannya, bahkan mereka menganggap hal ini sebagai sesuatu yang ritual.

Makanan sembelihan selain Ahli Kitab dari kalangan pemeluk agama lainnya tidak halal bagi kalian. Mereka tidak menyebut nama Allah atas sembelihan mereka. Bahkan mereka juga biasa memakan bangkai, daging yang biasa mereka makan tidak bergantung sama sekali kepada hasil sembelihan.

"dan makanan kalian halal bagi mereka." 

Makanan dari hasil sembelihan kalian juga halal bagi mereka. Kalian diperbolehkan memberi mereka makan dari hasil sembelihan kalian, sebagaimana kalian boleh memakan hasil sembelihan mereka.

"Dan wanita-wanita muhsanat dari wanita-wanita mukminat," 

Muhsanat bermaksud wanita-wanita yang merdeka dan menjaga kehormatannya dari perbuatan zina. Kalian dihalalkan mengahwini wanita-wanita merdeka yang memelihara kehormatannya dari kalangan wanita-wanita yang beriman. Kalian tidak boleh mengahwini wanita-wanita hamba belian, wanita pezina, yang tidak menjaga diri dari zina dan yang musyrik sampai jelas keadaannya sudah bertaubat.

"dan wanita-wanita muhsanat dari orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kalian," 

Wanita ahli Kitab yang muhsanah adalah wanita-wanita kitabiyah, israiliyat, yang memelihara kehormatannya dari perbuatan zina, yang bukan musyrik, yang tidak mengatakan bahawa Tuhannya adalah Isa, yang zimmi, bukan yang harbi, yang beriman kepada Allah dan hari kemudian.

"apabila kalian berikan kepada mereka maskahwin untuk menikahinya," 

Sebagaimana mereka menjaga kehormatannya, maka berikanlah kepada mereka maskahwinnya dengan senang hati. Jika wanita itu tidak cerdas, maka suami menyerahkan mahar kepada walinya.

Disandarkannya mahar kepada wanita itu terdapat dalil bahawa wanita yang memiliki semua maharnya, dan tidak ada hak bagi seorang pun terhadapnya, kecuali jika si wanita memberikan dengan kerelaan kepada suaminya, walinya atau lainnya.

Seorang lelaki apabila menikahi seorang wanita, lalu wanita itu berbuat zina sebelum digaulinya, maka keduanya wajib dipisahkan. Pihak wanita diwajibkan mengembalikan maskahwin yang telah diberikan oleh pihak lelaki kepadanya.

"bukan untuk berzina dan tidak menjadikannya gundik-gundik." 

Musafihina ertinya tidak dengan maksud berzina, iaitu lelaki pezina yang tidak pernah berhenti melakukan maksiat dan tidak pernah menolak terhadap wanita yang datang kepadanya.

Sebagaimana disyaratkan ihsan, iaitu menjaga diri dari perbuatan zina pada pihak wanita, hal yang sama disyaratkan juga pada pihak lelaki, iaitu hendaknya pihak lelaki juga menjaga kehormatannya dari perbuatan zina.

Kalian bermaksud menikahinya, tidak bermaksud berzina dan tidak menjadikannya gundik-gundik, perempuan piaraan atau perempuan simpanan, iaitu para kekasih hidup bagaikan suami isteri tanpa ikatan nikah, di mana kalian melakukan zina bersamanya secara bersembunyi.

"Dan barang siapa yang ingkar dengan keimanan, maka sungguh terhapus amalnya dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi."

Barang siapa yang kafir atau tidak menerima hukum-hukum Islam sesudah dia beriman, maka sia-sialah amalannya. Jika dia meninggal dunia di atas kekafiran, di hari akhirat dia termasuk orang-orang merugi.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...