Isnin, 22 Mei 2017

6:7-11 Tafsir Surah Al An’am, ayat 7-11.

وَلَوْ نَزَّلْنَا عَلَيْكَ كِتَابًا فِي قِرْطَاسٍ فَلَمَسُوهُ بِأَيْدِيهِمْ لَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا إِنْ هَذَا إِلا سِحْرٌ مُبِينٌ (٧) وَقَالُوا لَوْلا أُنْزِلَ عَلَيْهِ مَلَكٌ وَلَوْ أَنْزَلْنَا مَلَكًا لَقُضِيَ الأمْرُ ثُمَّ لا يُنْظَرُونَ (٨) وَلَوْ جَعَلْنَاهُ مَلَكًا لَجَعَلْنَاهُ رَجُلا وَلَلَبَسْنَا عَلَيْهِمْ مَا يَلْبِسُونَ (٩) وَلَقَدِ اسْتُهْزِئَ بِرُسُلٍ مِنْ قَبْلِكَ فَحَاقَ بِالَّذِينَ سَخِرُوا مِنْهُمْ مَا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ (١٠) قُلْ سِيرُوا فِي الأرْضِ ثُمَّ انْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ (١١)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. perihal sikap kaum musyrik yang ingkar, sombong, menolak, menentang dan mencabar perkara yang hak.

"7. Dan jika Kami turunkan atas kamu tulisan di atas kertas," 

Kalau Allah s.w.t. turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Al Qur'an dalam bentuk sebuah kitab yang bertulis di atas kertas, menampakkkan kepada mereka turunnya kitab itu dengan mata mereka sendiri sebagaimana yang mereka usulkan,

"lalu mereka menyentuhnya dengan tangan-tangan mereka," 

Memegangnya dengan tangan sendiri lebih menghilangkan keraguan daripada hanya melihat.

"tentulah berkata orang-orang yang kafir, "Tidaklah ini kecuali sihir yang nyata.""

Tentu mereka mengatakan bahawa mereka telah disihir. Kalau pun Allah menurunkan bukti kepada mereka, mereka tetap juga mengingkarinya.

"8. Dan mereka berkata, "Mengapa tidak diturunkan atasnya seorang malaikat?""

Mereka mengusulkan supaya diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. malaikat sebagai pemberi peringatan bersamanya, untuk menerangkan dan menguatkan bahawa Muhammad s.a.w. itu seorang Nabi. Maka Allah s.w.t. menjawab melalui firmanNya,

"Dan kalau Kami turunkan seorang malaikat, tentu diputuskan perkara, kemudian mereka tidak diberi tangguh." 

Kalau Allah s.w.t. turunkan kepadanya malaikat sebagaimana yang mereka usulkan, lalu mereka tidak juga beriman, tentu selesailah urusan itu kerana mereka tidak akan diberi tempoh sedikit pun. Mereka akan diazab dibinasakan semuanya oleh Allah saat itu juga.

Allah s.w.t. mengutuskan rasulNya dari kalangan manusia supaya membawa bukti yang nyata dan supaya mereka diberi tangguh. Sesungguhnya hal itu lebih baik dan lebih bermanfaat bagi mereka.

"9. Dan kalau Kami menjadikannya seorang malaikat, tentu Kami jadikan dia seorang lelaki" 

Kerana rahmat Allah s.w.t. kepada manusia, Dia mengutus seorang rasul dari kalangan manusia juga. Kalau malaikat dikirimkan kepada manusia sebagai rasul, pastilah Allah jadikan dia wujud sebagai sebagai seorang lelaki juga agar mereka dapat berkomunikasi dengannya dan mengambil manfaat darinya.

Sesungguhnya mereka tidak akan dapat melihat malaikat dalam bentuk asalnya kerana malaikat diciptakan dari nur (cahaya).

"dan tentu Kami membuat ragu-ragu atas mereka apa yang mereka ragu-ragukan." 

Apabila Allah s.w.t. jadikan malaikat itu sebagai rasul dalam bentuk manusia, nescaya perkaranya akan meragukan mereka, sebagaimana mereka pun ragu terhadap diri mereka sendiri dalam menerima rasul manusia dan sebagaimana mereka sengaja meragukan kebenaran Nabi Muhammad s.a.w. Tentu mereka akan berkata, "Ini bukan malaikat, tetapi hanya manusia seperti kami juga."

"10. Dan sungguh telah diperolok-olok beberapa rasul sebelum kamu, maka turunlah pada orang-orang yang mencemuh di antara mereka apa yang mereka sebelumnya dengannya memperolok-olok." 

Dalam ayat ini terdapat hiburan bagi Nabi s.a.w. dalam menghadapi reaksi kaumnya yang mendustakannya. Beberapa umat terdahulu juga telah memperolok-olokkan rasul mereka. Maka mereka ditimpa azab sebagai balasannya. Perkara yang sama juga akan berlaku kepada orang-orang yang mencemuhkan Beliau s.a.w.

Ayat ini juga mengandung janji bagi Beliau s.a.w. dan bagi orang-orang yang beriman kepadanya, bahawa akan diperoleh kemenangan akibat yang baik di dunia dan akhirat.

"11. Katakanlah, "Berjalanlah kalian di bumi, kemudian perhatikanlah kalian bagaimana adalah kesudahan orang-orang yang mendustakan.""

Jika kalian masih meragukannya, maka jelajahilah bumi. Jadikanlah perjalanan itu perjalanan yang menggabung antara hati dengan badan. Dengannya kalian dapat mengambil pelajaran. Berfikirlah kalian dan lihatlah apa yang telah ditimpakan oleh Allah terhadap generasi-generasi terdahulu yang mendustakan rasul-rasulNya dan mengingkarinya.

Sebahagian bangunan mereka yang dibinasakan masih tersisa dan dapat diambil pelajaran. Mereka telah ditimpa oleh azab, pembalasan, dan siksaan di dunia. Azab pedih di hari kemudian juga sedang menunggu mereka. Perhatikanlah juga bagaimana Allah s.w.t. telah selamatkan rasul-rasulNya bersama hamba-hambaNya yang mukmin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...