Rabu, 7 Jun 2017

28:33-35 Tafsir Surah Al Qasas, ayat 33-35.

قَالَ رَبِّ إِنِّي قَتَلْتُ مِنْهُمْ نَفْسًا فَأَخَافُ أَنْ يَقْتُلُونِ (٣٣) وَأَخِي هَارُونُ هُوَ أَفْصَحُ مِنِّي لِسَانًا فَأَرْسِلْهُ مَعِيَ رِدْءًا يُصَدِّقُنِي إِنِّي أَخَافُ أَنْ يُكَذِّبُونِ (٣٤) قَالَ سَنَشُدُّ عَضُدَكَ بِأَخِيكَ وَنَجْعَلُ لَكُمَا سُلْطَانًا فَلا يَصِلُونَ إِلَيْكُمَا بِآيَاتِنَا أَنْتُمَا وَمَنِ اتَّبَعَكُمَا الْغَالِبُونَ (٣٥)

Allah s.w.t. berfirman memerintahkan Musa a.s. berangkat menemui Fir'aun. Maka Beliau meminta uzur, dan meminta bantuanNya dalam tugas yang dipikulnya sambil menyebutkan penghalangnya agar Allah menghilangkan apa yang dia bimbangkan.

"33. Dia berkata, "Tuhanku, sungguh aku telah membunuh di antara mereka seorang, maka aku takut bahawa mereka akan membunuhku.""

Musa a.s. telah membunuh seorang Qibti tanpa sengaja. Beliau keluar dari negeri Mesir kerana melarikan diri dari kejaran Fir'aun dan takut terhadap pembalasannya. Maka Musa a.s. takut Fir'aun dan kaumnya akan membunuhnya jika mereka melihat dirinya.

Selain merasa takut kepada Fir'aun, Musa a.s. juga merasa dirinya kurang lancar berbicara menghadapi Fir'aun. Demikian itu kerana semasa kecilnya Beliau disuruh memilih antara bara api dan buah kurma. Lalu ia memungut bara api dan memakannya sehingga lisannya terbakar dan tidak dapat bertutur kata dengan fasih.

"34. Dan saudaraku Harun, dia lebih fasih dariku lisan," 

Musa a.s. menyebutkan kepada Allah s.w.t. keadaan abangnya Harun a.s. yang lebih fasih lidahnya.

"maka utuslah dia bersamaku pembantu dan membenarkan aku, sungguh aku takut bahawa mereka mendustakanku." 

Angkatlah Harun juga sebagai nabi, utuslah dia bersamaku sebagai wakil, pembantuku untuk membenarkanku, memperkuatkan tugasku, menyokong perkataanku dan menjelaskan kepada mereka apa yang aku sampaikan dariMu. 

Dengan itu dia meringankan tugas berat yang telah Engkau serahkan kepadaku, iaitu kenabian dan menyampaikan risalah kepada Fir'aun dan kaumnya. Fir'aun itu raja yang sombong, sewenang-wenang, lagi pengingkar kebenaran. Sesungguhnya aku khuatir Fir'aun dan kaumnya tidak akan mempercayaiku. 

Berita dari dua orang itu lebih mendalam kesahannya dalam jiwa daripada berita yang disampaikan hanya oleh satu orang. Sesungguhnya saudaraku memahami diriku apa yang tidak dapat mereka fahami.

Tatkala Musa a.s. mengajukan permintaannya itu, maka Allah s.w.t. menganugerahkan kepadanya sebahagian rahmatNya dengan memperkenankan permintaannya.

"35. Dia berfirman, "Kami akan menguatkan lengan kamu dengan saudaramu,""

Kami akan menguatkanmu dengan saudaramu. Kami akan menguatkan urusanmu dan membantumu dengan saudaramu seperti yang kamu minta buatnya, iaitu menjadikan Harun seorang nabi.

"dan Kami jadikan kepada kalian berdua kekuasaan," 

Kami berikan kepada kamu berdua kekuasaan yang besar, iaitu kemampuan berdakwah dengan hujah dan bukti yang mengalahkan, kewibawaan dari Allah sehingga menjadi terhormat di hadapan musuhmu, pemeliharaan dari gangguan manusia, seperti memiliki bala tentera yang besar dan perlengkapan yang kuat.

"maka mereka tidak sampai kepada kalian berdua;" 

Mereka tidak dapat mencapai kamu berdua. Tiada jalan bagi mereka untuk menyakiti atau menjalankan tipu daya ke atas kamu berdua bila kamu berdua menyampaikan ayat-ayat (mukjizat-mukjizat) Allah. Ayat-ayat itu menunjukkan kebenaran dan membuat orang yang melihatnya merasa takjub.

Orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah tidak merasa takut kepada seorang pun kecuali kepada Allah. Cukuplah Kami sebagai Penolong, Pembantu, Penyokong dan Pembuat perhitungan. Berangkatlah kamu berdua dengan membawa ayat-ayat Kami.

"dengan ayat-ayat Kami, kalian berdua dan orang yang mengikuti kalian berdua orang-orang yang menang." 

Allah s.w.t. berjanji kepada Musa a.s. dan Harun a.s. di waktu itu bahawa mereka berdua dan para pengikutnya pasti akan menang berkat ayat-ayat (mukjizat-mukjizat)Nya. Pertolongan dan akibat yang terpuji hanyalah bagi mereka berdua dan orang-orang yang mengikuti mereka di dunia dan akhirat. Sesungguhnya Allah Mahakuat lagi Mahaperkasa.

Hati Musa a.s. sentiasa dicekam oleh rasa takut terhadap Fir'aun. Dan apabila Beliau melihat Fir'aun, Beliau berdoa,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَدْرَأُ بِكَ فِي نَحْرِهِ، وَأُعَوِّذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ

"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pertolongan kepadaMu dalam menghadapinya dan aku memohon perlindungan kepadaMu dari kejahatannya."

Maka Allah s.w.t. mencabut dari hati Musa a.s. rasa takut yang mencekamnya dan mengalihkannya ke dalam hati Fir'aun. Sejak saat itu apabila Fir'aun melihat Musa a.s., dia merasa takut terhadap Musa a.s.

Musa a.s. dan Harun a.s. hanya berdua, pulang ke kampung halamannya. Mereka tidak takut berhadapan dengan Fira’un yang kejam dan memiliki banyak pasukan. Keadaan pun berubah sehingga akhirnya sempurnalah janji Allah. Mereka berdua bersama pengikutnya mendapat kemenangan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...