Selasa, 6 Jun 2017

26:23-37 Tafsir Asy Syu’ara, ayat 23-37.

قَالَ فِرْعَوْنُ وَمَا رَبُّ الْعَالَمِينَ (٢٣) قَالَ رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا إِنْ كُنْتُمْ مُوقِنِينَ (٢٤) قَالَ لِمَنْ حَوْلَهُ أَلا تَسْتَمِعُونَ (٢٥) قَالَ رَبُّكُمْ وَرَبُّ آبَائِكُمُ الأوَّلِينَ (٢٦) قَالَ إِنَّ رَسُولَكُمُ الَّذِي أُرْسِلَ إِلَيْكُمْ لَمَجْنُونٌ (٢٧) قَالَ رَبُّ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَمَا بَيْنَهُمَا إِنْ كُنْتُمْ تَعْقِلُونَ (٢٨) قَالَ لَئِنِ اتَّخَذْتَ إِلَهًا غَيْرِي لأجْعَلَنَّكَ مِنَ الْمَسْجُونِينَ (٢٩) قَالَ أَوَلَوْ جِئْتُكَ بِشَيْءٍ مُبِينٍ (٣٠) قَالَ فَأْتِ بِهِ إِنْ كُنْتَ مِنَ الصَّادِقِينَ (٣١) فَأَلْقَى عَصَاهُ فَإِذَا هِيَ ثُعْبَانٌ مُبِينٌ (٣٢) وَنَزَعَ يَدَهُ فَإِذَا هِيَ بَيْضَاءُ لِلنَّاظِرِينَ (٣٣) قَالَ لِلْمَلإ حَوْلَهُ إِنَّ هَذَا لَسَاحِرٌ عَلِيمٌ (٣٤) يُرِيدُ أَنْ يُخْرِجَكُمْ مِنْ أَرْضِكُمْ بِسِحْرِهِ فَمَاذَا تَأْمُرُونَ (٣٥) قَالُوا أَرْجِهْ وَأَخَاهُ وَابْعَثْ فِي الْمَدَائِنِ حَاشِرِينَ (٣٦) يَأْتُوكَ بِكُلِّ سَحَّارٍ عَلِيمٍ (٣٧) 

Allah s.w.t. berfirman menceritakan kekafiran Fir'aun, kederhakaan, keingkaran, dan keterlaluannya. Fir'aun berkata kepada kaumnya, "Aku tidak mengetahui tuhan bagi kalian selain aku." 

Maka kaumnya terpengaruh dengan perkataan itu, lalu mereka patuh kepadanya. Mereka mengingkari adanya Tuhan Yang Maha Pencipta, dan meyakini bahawa tiada tuhan bagi mereka selain Fir'aun. 

Musa a.s. berkata kepadanya, "Sesungguhnya aku adalah utusan Tuhanku, Tuhan semesta alam."

"23. Berkata Fir'aun, "Siapa Tuhan semesta alam?""

Apakah atau siapakah Tuhan seluruh alam selainku yang engkau mengaku sebagai RasulNya itu? Fir’aun ingkar kepada Musa a.s. kerana zalim dan sombong, padahal ia yakin terhadap kebenaran yang diserukan Musa a.s. Fir'aun ingkar terhadap keberadaan Tuhan Yang Maha Pencipta, walaupun semua hujah dan bukti telah ditegakkan terhadap dirinya.

Tidak ada jalan bagi makhluk untuk mengetahui hakikatNya. Mereka hanya dapat mengenalNya dengan sifat-sifatNya. Maka Musa a.s. menyebut sebahagian sifatNya.

"24. Dia berkata, "Tuhan langit dan bumi, dan apa yang di antara keduanya.""

Tuhan yang menciptakan segala sesuatu itulah Tuhan kalian. Dia Pencipta kesemuanya, Yang memilikinya, Yang mengaturnya dan Yang menjadi Tuhannya, tiada sekutu bagiNya. Dia telah memberikan kepada setiap sesuatu bentuk kejadiannya, kemudian memberinya petunjuk.

Dia Pencipta segala sesuatu di alam langit dan semua yang ada padanya, seperti bintang-bintang yang tetap, yang beredar dan yang bersinar.

Dia Pencipta segala sesuatu di alam bawah bersama segala sesuatu yang ada padanya, seperti lautan, padang pasir, gunung-gunung, pepohonan, haiwan-haiwan, tumbuh tumbuhan, dan buah-buahan.

Dia Pencipta segala sesuatu yang ada di antara langit dan bumi, seperti udara dan burung-burung, juga segala sesuatu yang ada di udara. Semuanya adalah hamba Allah, tunduk, dan patuh kepadaNya.

"Jika kalian orang-orang yang yakin.""

Jika kalian mempercayaiNya, iaitu jika kalian mempunyai hati berkeyakinan dan mata yang tajam. Maka pada saat itu Fir'aun berpaling ke arah pemuka-pemuka kaumnya dan para hulubalang pembantunya yang ada di sekitarnya sambil berkata kepada mereka dengan nada sinis dan tidak percaya yang maksudnya ditujukan kepada Musa a.s., sebagai jawaban dari ucapannya.

"25. Dia berkata kepada orang-orang di sekitarnya, "Apakah tidak kalian mendengarkan?""

Fir’aun membuat orang-orang sekelilingnya hairan, iaitu apakah kalian tidak hairan dengan orang ini yang menyangka bahawa kalian mempunyai Tuhan selain aku? Maka Musa a.s. menjawab kepada mereka,

"26. Dia berkata, "Tuhan kalian dan Tuhan bapa-bapa kalian terdahulu.""

Baik kamu hairan atau tidak, sombong atau tunduk, Dia adalah Tuhan yang telah menciptakan kalian dan nenek moyang kalian yang terdahulu sebelum Fir'aun ada. Fir'aun menentang yang hak dan mengkritik orang yang membawanya.

"27. Dia berkata," Sesungguhnya rasul kalian yang diutus kepada kalian benar-benar orang gila.""

Fir'aun menuduh Musa a.s. sebagai orang gila atau tidak berakal dalam pengakuannya yang mengatakan bahawa ada tuhan lain selain Fir'aun. Itu adalah tuduhan yang keji. Ucapan Musa a.s. menyalahi pegangan mereka selama ini, iaitu bahawa mereka ada tanpa Pencipta, begitu juga langit dan bumi ada tanpa ada yang mewujudkannya. Musa a.s. berkata kepada orang-orang yang telah ditipu oleh Fir'aun dengan dakwaan palsunya.

"28. Dia berkata, "Tuhan timur dan barat, dan apa yang di antara keduanya, jika kalian mempergunakan akal.""

Tuhan yang menciptakan timur dan barat dan apa yang ada di antara keduanya itulah Tuhan kalian. Dialah yang menjadikan timur sebagai tempat terbitnya bintang-bintang, dan menjadikan barat sebagai tempat tenggelamnya bintang-bintang, baik yang tetap maupun yang beredar, sesuai dengan tatanan yang telah ditundukkan dan diatur olehNya.

Jika Fir'aun kalian dakwakan sebagai tuhan kalian sebenarnya, hendaklah dia membalikkan tatanan tersebut dengan menjadikan arah timur menjadi barat dan barat menjadi timur.

"Jika kalian mempergunakan akal" bermaksud merekalah yang sebenarnya gila kerana mengingkari keberadaan yang wajib ada, iaitu Pencipta langit dan bumi serta di antara keduanya.

Hujah telah ditegakkan terhadap Fir'aun dengan keterangan yang jelas dan rasional. Fir'aun merasa kalah, tidak mampu menjawab dan tidak mempunyai alasan lagi untuk berdebat.

Maka dia beralih menggunakan kekuasaan, kekuatan dan pengaruhnya. Dia menduga bahawa cara tersebut bermanfaat bagi dirinya dan berpengaruh langsung terhadap Musa a.s.

"29. Dia berkata, "Sungguh! Jika kamu menjadikan Tuhan selain aku, pasti aku akan menjadikan kamu termasuk orang-orang yang dipenjara.""

Fir'aun mengancam akan memenjarakan Musa a.s. Penjara Fir’aun sangat keras, iaitu berada di bawah tanah, di mana orang yang dipenjara tidak nampak dan tidak mendengar apa-apa. Maka Musa a.s. menjawab,

"30. Dia berkata, "Apakah jika aku datangkan kepadamu dengan sesuatu yang nyata?""

Adakah kamu akan memenjarakan aku walaupun aku tunjukkan kepadamu sesuatu ayat, bukti, keterangan atau mukjizat yang pasti lagi jelas atas kerasulanku? Fir'aun mencabar Musa a.s.

"31. Dia berkata, "Maka datangkanlah dengannya, jika kamu termasuk orang-orang yang benar.""

Tunjukkan sesuatu bukti atau keterangan yang nyata itu, jika kamu orang yang benar.

"32. Lalu melemparkan tongkatnya, maka tiba-tiba ia ular yang nyata." 

Musa a.s. melemparkan tongkatnya, tiba-tiba tongkat itu menjadi ular besar yang sebenarnya, nampak jelas dan terang bagi setiap orang, bukan hanya bayangan atau penyerupaan.

Ular itu kelihatan nyata sangat besar, mempunyai kaki-kaki dan mulut yang besar serta bentuknya yang sangat mengerikan.

"33. Dan menarik tangannya, maka tiba-tiba ia putih bagi orang-orang yang melihat." 

Musa a.s. menarik tangannya dari dalam bajunya. Tiba-tiba tangan itu jadi putih bersinar dan berkilauan seperti sinar rembulan bagi orang-orang yang melihatnya. Maka dengan serta merta kerana terdorong oleh sikap angkuhnya, Fir'aun mendustakan dan mengingkari hal tersebut. Dia menentang yang hak dan orang yang membawanya.

"34. Dia berkata kepada pembesar-pembesar di sekelilingnya, "Sesungguhnya ini benar-benar ahli sihir yang pandai.""

Iaitu seorang yang pakar dan mahir dalam ilmu sihir. Fir’aun mengelabui mereka kerana dia tahu lemahnya akal mereka. Dia melancarkan hasutannya kepada mereka, bahawa apa yang dikemukakan oleh Musa a.s. itu termasuk ilmu sihir, bukan mukjizat.

Dan sudah menjadi maklum oleh mereka bahawa yang membawakan hal-hal yang aneh adalah para ahli sihir. Kemudian Fir'aun menakut-nakuti dan menghasut mereka untuk menentang Musa a.s. dan mengingkarinya.

"35. Dia hendak bahawa mengusir kalian dari negeri kalian dengan sihirnya; maka apakah yang kalian anjurkan?" 

Fir’aun mengatakan bahawa tujuan Musa a.s. menunjukkan mukjizat itu adalah untuk menarik hati orang ramai agar mengikutinya, supaya para penyokong dan para pembantunya bertambah ramai, akhirnya dia akan mengalahkan mereka, lalu merampas Mesir dari tangan mereka dan mengusir mereka dari Mesir. Kemudian Fir'aun meminta cadangan tindakan yang harus diambil terhadap Musa a.s.

"36. Mereka berkata, "Tangguhkan dia dan saudaranya dan utuslah di kota-kota ini orang-orang yang mengumpulkan.""

Tangguhkanlah urusan Musa dan Harun itu sementara kamu mengutus para tentera ke seluruh kota-kota besar negerimu untuk mengumpulkan semua pakar sihir untuk menghadapi mereka berdua.

"37. Mereka akan datangkan padamu dengan semua ahli sihir yang pandai." 

Para ahli sihir itu akan mendatangkan hal yang serupa dengan apa yang didatangkannya, dan akhirnya kamulah yang menang dan mendapat sokongan. Maka Fir'aun bersetuju dengan cadangan mereka.

Padahal hal ini merupakan makar dari Allah terhadap mereka untuk menundukkan mereka dalam pertandingan tersebut. Dia memperlihatkan kepada manusia batilnya apa yang dikatakan Fir’aun yang sesat lagi menyesatkan. Allah menetapkan agar mereka mengumpulkan para ahli sihir.

Semua orang akan berkumpul di suatu lapangan untuk menyaksikannya. Kelak mukjizat-mukjizat Allah, hujah-hujah, serta bukti-buktiNya akan menang di hadapan mata semua manusia. Kebenaran akan semakin jelas dan apa yang dibawa Nabi Musa a.s. adalah benar dan bukan sihir.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...