Rabu, 30 Ogos 2017

17:59-60 Tafsir Surah Al Isra, ayat 59-60.

وَمَا مَنَعَنَا أَنْ نُرْسِلَ بِالآيَاتِ إِلا أَنْ كَذَّبَ بِهَا الأوَّلُونَ وَآتَيْنَا ثَمُودَ النَّاقَةَ مُبْصِرَةً فَظَلَمُوا بِهَا وَمَا نُرْسِلُ بِالآيَاتِ إِلا تَخْوِيفًا (٥٩) وَإِذْ قُلْنَا لَكَ إِنَّ رَبَّكَ أَحَاطَ بِالنَّاسِ وَمَا جَعَلْنَا الرُّؤْيَا الَّتِي أَرَيْنَاكَ إِلا فِتْنَةً لِلنَّاسِ وَالشَّجَرَةَ الْمَلْعُونَةَ فِي الْقُرْآنِ وَنُخَوِّفُهُمْ فَمَا يَزِيدُهُمْ إِلا طُغْيَانًا كَبِيرًا (٦٠)

Penduduk Mekah meminta Nabi Muhammad s.a.w. melenyapkan gunung-gunung yang ada di sekitar mereka dan mengalirkan sungai-sungai di buminya supaya mereka dapat bercucuk tanam buat makan mereka.

Mereka juga meminta Beliau s.a.w. menjadikan bukit Safa menjadi emas buat mereka, supaya mereka dapat memahatnya dan dapat memberikan kecukupan kepada mereka tanpa perlu melakukan perjalanan musim dingin dan musim panas.

Demikian itu adalah sebagai bukti bahawa Beliau s.a.w. adalah seorang nabi. Maka mereka akan beriman kepada Beliau s.a.w. Maka Nabi s.a.w. berdoa kepada Allah s.w.t. Ketika mereka masih berada di sekeliling Nabi s.a.w., tiba-tiba turunlah wahyu. Nabi s.a.w. diberi pilihan.

Jika Beliau s.a.w. menghendaki agar Allah s.w.t. melakukannya, Dia pasti akan memenuhi permintaan mereka. Tetapi jika sesudah itu mereka tidak beriman, maka azabNya akan turun menimpa mereka sebagaimana orang-orang sebelum mereka dibinasakan. Tidak ada tawar-menawar lagi sesudah turunnya tanda-tanda kekuasaanNya (mukjizat).

Dan jika Beliau s.a.w. menginginkan Allah s.w.t. menangguhkan kaumnya, membukakan bagi mereka semua pintu taubat dan rahmat, maka akan Dia lakukan. Maka mereka berkesempatan memilih untuk masuk ke dalam pintu rahmat dengan beriman. Atau mereka memilih untuk kehilangan pintu rahmat, dan akhirnya tiada seorang pun dari mereka yang beriman.

Maka Nabi s.a.w. memilih pintu taubat dan rahmat. Beliau berdoa memohon kepada Allah s.w.t. agar mereka diberi masa tangguh. Setelah wahyu selesai, Nabi s.a.w. menyampaikan kepada mereka apa yang diwahyukan kepadanya. Kemudian Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"59. Dan tidak mencegah Kami untuk Kami mengirimkan ayat-ayat" 

Tidak ada yang menghalangi Allah s.w.t. untuk mendatangkan dan mengirimkan tanda-tanda kebesaran dan kekuasaanNya seperti yang diminta oleh kaum Quraisy. Hal itu adalah mudah bagiNya.

"melainkan bahawa mendustakan dengannya orang-orang terdahulu." 

Tanda-tanda kekuasaanNya itu telah didustakan oleh orang-orang dahulu sesudah mereka memintanya. Maka diberlakukanlah sunnahNya atas mereka dan orang-orang yang seperti mereka. Apabila mereka mendustakannya sesudah dikirimkan, maka tiada masa tangguh lagi bagi mereka, dan azab langsung turun menimpa mereka.

Allah s.w.t. tidak menurunkan tanda-tanda kekuasaanNya yang diminta kaum Quraisy kerana jika ia diturunkan, pasti mereka akan mendustakannya. Mereka pasti akan dibinasakan seperti umat-umat terdahulu, sedangkan Allah tidak hendak membinasakan kaum Quraisy untuk menyempurnakan urusan Nabi Muhammad s.a.w.

"Dan Kami datangkan Samud unta betina secara nyata," 

Kaum Nabi Saleh a.s. telah meminta seekor unta betina yang keluar dari batu besar sebagai suatu tanda kekuasaan Allah (mukjizat). Maka Saleh a.s. berdoa kepada Allah s.w.t. memohon suatu mukjizat, lalu Allah mengeluarkan seekor unta betina buat mereka dari batu besar itu sesuai dengan apa yang mereka minta. Mukjizat itu menunjukkan akan keesaan Tuhan yang menciptakannya dan membenarkan rasulNya yang doanya diperkenankan.

"maka mereka berbuat zalim dengannya." 

Mereka berbuat zalim terhadap unta betina itu, melarang hari minumnya dan menyembelihnya. Mereka ingkar kepada Tuhan yang menciptakannya dan mendustakan RasulNya. Allah berfirman, "Bersukarialah kamu sekelian di rumah kalian selama tiga hari, itu adalah janji yang tidak dapat didustakan."

Maka Allah s.w.t. membinasakan mereka sehabis-habisnya sebagai pembalasan dariNya terhadap mereka. Dia mengazab mereka dengan azab Tuhan Yang Mahaperkasa lagi Mahakuasa.

"Dan tidak Kami mengirimkan ayat-ayat melainkan menakut-nakuti."

Allah s.w.t. mengirimkan tanda-tanda kekuasaan yang dikehendakiNya seperti gempa bumi, gerhana bulan, gerhana matahari dan sebagainya. Demikian itu adalah untuk menakut-nakutkan manusia, agar mereka dapat mengambil pelajaran, mengambil peringatan, berhenti dari sikap buruknya, berhenti dari membuat bid'ah dan kembali kepadaNya.

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"60. Dan ketika Kami berfirman kepadamu, "Sesungguhnya Tuhanmu meliputi manusia.""

Sampaikanlah risalah yang diturunkan Tuhanmu kepada umat manusia. Jangan takut kepada seorang pun. Sesungguhnya ilmu dan kekuasaanNya meliputi seluruh manusia. Mereka semua berada di dalam genggaman kekuasaanNya serta tunduk di bawah keperkasaan dan kekuatanNya. Dia yang menjaga dan memelihara kamu dari gangguan manusia. Maka orang yang berakal akan berhenti dari mengerjakan laranganNya.

"Dan tidak Kami jadikan mimpi yang Kami perlihatkan padamu, kecuali ujian bagi manusia" 

Ar Ru'ya dalam ayat ini bermaksud mimpi, iaitu mimpi tentang perang Badar yang dialami Rasulullah s.a.w. sebelum perang Badar itu terjadi. Namun kebanyakan mufassir menafsirkan kata Ar Ru'ya tersebut dengan penglihatan, iaitu penglihatan yang diperlihatkan kepada Rasulullah s.a.w. semasa peristiwa Isra dan mi'raj.

Peristiwa itu menjadi ujian atau cobaan buat manusia. Ketika diberitahukan peristiwa isra' dan mi'raj, hati dan akal mereka sukar untuk menerimanya. Sebahagian orang semakin kuat mendustakan Beliau s.a.w. Sebahagian orang yang telah beriman kembali murtad. Namun, sebahagian orang lainnya semakin kukuh iman dan keyakinannya.

"dan pohon yang terkutuk dalam Al Qur’an." 

Pohon yang dimaksudkan ialah pohon zaqqum yang tumbuh di dasar neraka Jahanam. Rasulullah s.a.w. menceritakan kepada mereka bahawa beliau telah melihat syurga, neraka dan pohon kayu zaqqum. Allah menjadikannya sebagai cobaan bagi mereka.

Dengan spontan mereka mengingkarinya, mendustakannya dan berkata, “Bukankah api itu membakar pohon, mengapa ia menumbuhkannya?” Abu Jahal pula mengatakan bahawa zaqqum adalah makanan campuran kurma dan zubdah.

Tidak disebutkan secara tegas dalam Al Qur’an dan As Sunnah peristiwa-peristiwa besar yang terjadi di akhir-akhir zaman ini lebih tepat dan lebih baik, kerana peristiwa yang tidak disaksikan manusia ada yang sebanding.

Terkadang akal mereka tidak menerimanya jika langsung diberitahukan sebelum terjadinya. Hal itu menyebabkan keraguan di hati sebahagian kaum mukmin, menghalangi dan menjauhkan yang bukan muslim masuk Islam. Bahkan Allah menyebutkannya dengan lafaz-lafaz yang umum mengena kepada segala sesuatu yang akan terjadi.

"Dan Kami menakuti mereka, tetapi tidak menambah mereka kecuali kederhakaan yang besar." 

Allah s.w.t. menakut-nakutkan orang-orang kafir dengan banyak ayat (tanda kekuasaanNya), ancaman, siksaan dan pembalasan. Tetapi yang demikian itu hanya membuat mereka semakin tenggelam dalam kederhakaan, kekafiran dan kesesatan. Hal seperti ini merupakan penghinaan Allah s.w.t. terhadap mereka.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...