Jumaat, 1 September 2017

21:85-86 Tafsir Surah Al Anbiya, ayat 85-86.

وَإِسْمَاعِيلَ وَإِدْرِيسَ وَذَا الْكِفْلِ كُلٌّ مِنَ الصَّابِرِينَ (٨٥) وَأَدْخَلْنَاهُمْ فِي رَحْمَتِنَا إِنَّهُمْ مِنَ الصَّالِحِينَ (٨٦)

Allah s.w.t. berfirman,

"85. Dan Ismail," 

Ingatlah kisah Ismail ibnu Ibrahim a.s. Beliau adalah seorang rasul dan nabi, nenek moyang orang-orang Arab Hijaz. Beliau adalah seorang yang benar janjinya. Apabila Beliau berjanji sesuatu hal atau menetapkan suatu nazar akan mengerjakan suatu ibadah kepada Allah s.w.t., Beliau pasti menunaikannya dan mengerjakannya dengan sempurna.

Ismail a.s. pernah menjanjikan kepada seseorang akan bertemu dengannya di suatu tempat. Maka Ismail a.s. datang ke tempat itu, sedangkan lelaki yang berjanji dengannya tadi lupa kepada janji Ismail. Maka Ismail tetap berada di tempat itu dan menginap hingga keesokan harinya.

Maka pada keesokan harinya lelaki itu datang dan berkata kepadanya, "Tidakkah engkau tinggalkan tempat ini?" Ismail a.s. menjawab, "Tidak." Lelaki itu berkata, "Sesungguhnya saya lupa kepada janjimu." Ismail a.s. berkata, "Aku tidak akan meninggalkan tempat ini sebelum kamu datang kepadaku."

Ketika Ibrahim a.s. diwahyukan melalui mimpinya agar menyembelih anaknya sendiri, Ismail a.s. Beliau berkata kepada bapanya, "Wahai bapaku! Laksanakanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah kepadamu. Insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar." Maka Ismail a.s. membenarkan apa yang diucapkan itu.

Ismail a.s. adalah orang yang sabar dalam menjalankan ketaatan kepada Allah s.w.t. dengan mengerjakan solat dan menunaikan zakat. Beliau juga memerintahkan kepada keluarganya untuk mengerjakan ketaatan kepada Allah s.w.t. Beliau adalah seorang yang diridhai di sisi Allah s.w.t.

"dan Idris," 

Ingatlah kisah Idris a.s. Beliau adalah keturunan keenam dari Nabi Adam a.s., putera kepada Yarid bin Mihla'iel bin Qinan bin Anusy bin Syith bin Adam a.s. Idris a.s. adalah seorang tukang jahit. Setiap kali menusukkan jarumnya, Beliau membaca Subhanallah (Mahasuci Allah). Setiap harinya tiada seorang pun di muka bumi saat itu yang beramal lebih baik dan lebih utama daripadanya.

Idris a.s. adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi. Allah s.w.t. telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi. Ada yang mengatakan Idris a.s. diangkat ke langit dan tidak mati, perihalnya sama dengan pengangkatan Isa a.s.

Ada yang mengatakan Beliau diangkat ke langit yang keempat. Pada malam Rasulullah s.a.w. menjalani isra, Beliau bersua dengan Idris a.s. di langit yang keempat.

Ada yang mengatakan Beliau diangkat ke langit yang keenam dan wafat di tempat itu. Idris a.s. ingin tahu berapa lama lagi masa yang tersisa dari ajalnya, dengan maksud akan menambah amalnya. Beliau berkata kepada malaikat yang terdekat dengannya, "Mahukah engkau menanyakan hal itu kepada malaikat maut?"

Maka Malaikat yang terdekat dengan Idris a.s. menanyakannya kepada malaikat maut. Malaikat maut menjawab.”Saya tidak tahu, nanti saya akan lihat dahulu." Malaikat maut melihat buku catatannya, kemudian berkata, "Sesungguhnya kamu menanyakan kepadaku tentang seorang lelaki yang tiada tersisa bagi ajalnya selain dari sekelip mata." Lalu malaikat maut memandang ke arah bawah kedua sayapnya, tiba-tiba ia melihat Idris a.s. telah dicabut nyawanya, sedangkan malaikat maut itu tidak menyedari bahawa dirinya telah mencabutnya.

Ada juga yang mengatakan Idris a.s. diangkat ke syurga.

"dan Zulkifli." 

Ingatlah kisah Zulkifli a.s. Nama sebenarnya ialah Basyar ibnu Ayyub a.s. Raja Rom iaitu Ilyasa' a.s. ketika itu sudah tua, Beliau berkata, “Sekiranya aku mengangkat seorang lelaki sebagai penggantiku untuk mengatur orang ramai, dia mahu bekerja untuk mereka selama hidupku, aku akan melihat apa yang bakal dilakukannya."

Maka Beliau mengumpulkan orang ramai dan berkata, “Siapakah yang bersedia menerima tiga tugas dariku, maka aku akan mengangkatnya sebagai penggantiku. Iaitu dia mesti berpuasa di siang harinya, berdiri (solat) di malam hari dan tidak boleh marah.”

Seorang lelaki yang dipandang hina oleh mata manusia berdiri dan berkata, “Saya.” Ilyasa' a.s. bertanya, “Mampukah kamu berpuasa di siang hari, berdiri di malam hari, dan tidak boleh marah?" Lelaki itu menjawab, “Ya.” Maka Ilyasa' a.s. menyuruh orang ramai kembali pada hari itu.

Pada hari selanjutnya, Ilyasa' a.s. mengucapkan kata-kata yang sama. Tiada seorang pun yang menjawabnya. Lelaki itu berdiri lagi dan berkata, "Saya sanggup." Maka Ilyasa' a.s. mengangkatnya sebagai pemimpin penggantinya.

Iblis berkata kepada para syaitan, "Kalian mesti menggoda si Fulan." Tetapi syaitan-syaitan itu tidak mampu menggodanya. Akhirnya Iblis berkata kepada para syaitan, "Biarkanlah, dia adalah bahagianku."

Iblis datang dalam rupa seorang yang sangat tua lagi miskin semasa lelaki itu merebahkan dirinya di tempat tidurnya di tengah hari untuk berehat sebentar. Padahal lelaki itu tidak tidur di malam dan siang hari kecuali waktu itu saja. Orang tua itu mengetuk pintu. Lelaki itu bertanya, "Siapakah Anda?" Orang tua itu menjawab, "Saya orang lanjut usia yang teraniaya."

Maka lelaki itu bangun dan membukan pintu. Lalu orang tua itu mengadukan masalahnya, "Sesungguhnya antara diriku dan kaumku ada suatu persengketaan. Mereka menganiaya diriku dan melakukan ini dan ini terhadap diriku." Orang tua itu memanjangkan pembicaraannya hingga waktu tidur lelaki itu sudah habis.

Lelaki itu berkata, "Datanglah kamu semasa aku berada di majlisku. Maka aku akan membelamu agar kamu dapat mengambil hakmu." Lelaki itu berangkat menuju ke tempat peradilan, duduk dan menunggu orang tua itu. Tetapi dia kelihatan. Maka lelaki itu membuka persidangannya untuk orang lain.

Pada keesokan harinya lelaki itu memutuskan peradilan di antara orang ramai sambil menunggu orang tua itu. Tetapi dia tidak kelihatan juga. Lelaki itu kembali ke rumahnya untuk berehat di siang hari.

Semasa dia merebahkan diri di tempat tidurnya, tiba-tiba orang tua itu datang mengetuk pintu. Lelaki itu bertanya, "Siapakah Anda?" Orang tua itu menjawab, "Saya orang tua yang teraniaya." Lelaki itu membuka pintu dan berkata, "Bukankah telah kukatakan kepadamu, datanglah kamu ke majlis peradilanku."

Orang tua itu berkata, "Sesungguhnya mereka adalah kaum yang paling jahat. Jika mereka mengetahui bahawa kamu bersedia menegakkan keadilan untukku tentu mereka akan mengatakan, "Kami akan memberikan kepadamu hakmu." Tetapi bila engkau pergi, mereka akan mengingkarinya." Lelaki itu berkata, “Pergilah kamu. Datanglah semasa aku berada di majlis peradilanku." Waktu tidur siangnya telah berlalu.

Lelaki itu pergi ke majlis peradilan dan menunggu kedatangan orang tua itu, tetapi ia tidak kelihatan. Lelaki itu kembali dan sangat mengantuk. Maka dia memerintahkan kepada sebahagian keluarganya, "Janganlah kamu biarkan seorang pun mendekati pintu ini. Aku akan tidur, kerana aku sangat mengantuk."

Maka pada saat itulah orang tua itu datang. Maka penjaga pintu berkata kepadanya, "Menjauhlah kamu, menjauhlah kamu!" Orang tua itu berkata, "Aku telah datang kepadanya kemarin, dan telah kuceritakan kepadanya tentang masalahku."

Penjaga pintu berkata, "Tidak, demi Allah, dia telah memerintahkan kepada kami agar tidak membiarkan seorang pun mendekati pintu rumahnya." Penjaga pintu membuat orang tua itu keletihan. Ia nampak ada celah pada pintu itu. Maka orang tua itu menyelinap melaluinya dan berada di dalam rumah. Ia mengetuk pintu dari dalam.

Maka lelaki itu terjaga dan berkata kepada penjaga pintunya, "Bukankah aku telah perintahkan kepadamu?" Penjaga pintu menjawab, "Kalau dari pihakku, demi Allah, telah kulakukan pencegahan. Sekarang cuba lihat darimana dia datang?" Lelaki itu bangun menuju ke pintu, dan melihat ia masih terkunci seperti sebelumnya. Anehnya, orang tua itu berada di dalam rumah bersamanya.

Maka lelaki itu faham, lalu berkata, "Musuh Allah?!" Orang tua itu menjawab, "Ya, engkau telah membuatku keletihan. Segala usaha untuk membuatmu marah telah kulakukan, tetapi tidak membawa hasil apa-apa."

Maka sejak itu lelaki tersebut digelar Zulkifli, kerana Beliau bersedia menanggung suatu tugas, benar-benar menunaikan dan memenuhinya. Zulkifli a.s. bersedia berpuasa di siang hari, melakukan qiyamullail di malamnya dan tidak marah.

Beliau memberikan jaminan kepada kaumnya, bahawa Beliau sanggup menangani urusan kaumnya, mengatur mereka, serta memutuskan di antara sesama mereka dengan adil dan bijaksana. Maka Beliau mampu melaksanakan semua itu dengan baik.

Ayat ini menunjukkan Zulkifli a.s. adalah seorang nabi kerana nama Beliau disebutkan bersama para nabi. Namun, ada yang berpendapat bahawa Beliau hanyalah seorang lelaki yang soleh, raja yang adil, bijaksana lagi jujur, bukan seorang nabi. Hanya Allah lah yang mengetahui kebenarannya.

"Semuanya termasuk orang-orang yang sabar." 

Sabar ada tiga jenis: sabar dalam menjalankan ketaatan kepada Allah, sabar dalam menjauhi larangan Allah, dan sabar terhadap taqdir Allah yang terasa pedih. Seorang hamba tidak berhak digelar sabar secara sempurna sebelum memenuhi tiga jenis sabar ini. Para nabi disebut sebagai orang-orang yang sabar kerana mereka telah memenuhi ketiganya.

"86. Dan Kami masukkan mereka dalam rahmat Kami. Sesungguhnya mereka termasuk orang-orang yang soleh." 

Para nabi disifatkan dengan kebaikan kerana kesolehan hati mereka yang dipenuhi ma’rifatullah dan kecintaan kepadaNya, kesolehan lisan mereka dengan basah menyebut namaNya, dan kesolehan anggota badannya kerana sibuk mengerjakan ketaatan kepada Allah dan menjaga dirinya dari maksiat.

Kerana kesabaran dan kebaikan mereka, Allah s.w.t. masukkan dengan rahmatNya dan menjadikan mereka bersama saudara-saudara mereka dari para rasul serta memberikan pahala di dunia dan akhirat. Pahala mereka adalah dengan disebut tinggi namanya di alam semesta serta disebut baik sekali oleh orang-orang setelahnya. Maka hal itu sudah cukup sebagai kemuliaan dan ketinggiannya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...