Khamis, 28 September 2017

2:35-39 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 35-39.

وَقُلْنَا يَا آدَمُ اسْكُنْ أَنْتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ وَكُلا مِنْهَا رَغَدًا حَيْثُ شِئْتُمَا وَلا تَقْرَبَا هَذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنَ الظَّالِمِينَ (٣٥) فَأَزَلَّهُمَا الشَّيْطَانُ عَنْهَا فَأَخْرَجَهُمَا مِمَّا كَانَا فِيهِ وَقُلْنَا اهْبِطُوا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ وَلَكُمْ فِي الأرْضِ مُسْتَقَرٌّ وَمَتَاعٌ إِلَى حِينٍ (٣٦) فَتَلَقَّى آدَمُ مِنْ رَبِّهِ كَلِمَاتٍ فَتَابَ عَلَيْهِ إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ (٣٧) قُلْنَا اهْبِطُوا مِنْهَا جَمِيعًا فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِنِّي هُدًى فَمَنْ تَبِعَ هُدَايَ فَلا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلا هُمْ يَحْزَنُونَ (٣٨) وَالَّذِينَ كَفَرُوا وَكَذَّبُوا بِآيَاتِنَا أُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (٣٩)

Allah s.w.t. berfirman,

"35. Dan Kami berfirman, "Wahai Adam, tinggallah kamu dan isterimu syurga, dan makanlah kalian berdua darinya nikmat sebagaimana kalian berdua sukai,""

Allah s.w.t. berfirman, "Wahai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik di mana saja yang kalian sukai." Allah s.w.t. menganugerahkan Adam a.s. dan Hawa kehormatan dan diperbolehkan bagi mereka syurga untuk tempat tinggalnya di mana saja yang dikehendakinya. Mereka boleh memakan makanan yang disukai dengan leluasa, iaitu dengan senang hati, berlimpah dan penuh dengan kenikmatan.

Konteks ayat menunjukkan penciptaan Hawa terjadi sebelum Adam a.s. masuk syurga. Adam a.s. ditimpa rasa mengantuk. Kemudian Allah s.w.t. mengambil salah satu dari tulang iga (rusuk) sebelah kirinya dan menambal tempatnya dengan daging, sedangkan Adam masih tetap dalam keadaan tidur, belum terbangun.

Lalu Allah s.w.t. menjadikan tulang iganya itu isterinya Hawa, seorang wanita yang sempurna agar Adam a.s. merasa tenang hidup dengannya. Ketika tidur dicabut darinya dan Adam a.s. terbangun, ia melihat Hawa berada di sampingnya. Allah s.w.t. mengahwinkannya dan menjadikan rasa tenang dan tenteram dalam dirinya.

Namun ada yang berpendapat penciptaan Hawa terjadi sesudah Adam a.s. ditempatkan di dalam syurga. Maka Adam a.s. berjalan di dalam syurga dengan perasaan kesepian kerana tiada teman hidup yang membuat dia merasa tenang dan tenteram dengannya.

Kemudian Allah s.w.t. menciptakan Hawa dari tulang iga Adam semasa Beliau sedang tidur. Dinamakan Hawa kerana dia dijadikan dari sesuatu yang hidup.

Kebanyakan ulama berpendapat bahawa syurga yang ditempati oleh Adam a.s. adalah syurga yang di langit. Namun, ada yang berpendapat bahawa syurga tersebut ada di bumi.

"dan janganlah kalian berdua mendekati ini pohon, maka kalian berdua menjadi termasuk orang-orang yang zalim."

Tetapi janganlah kalian berdua dekati pohon ini, yang menyebabkan kalian berdua termasuk orang-orang yang zalim. Di dalam syurga Allah a.s. melarang Adam a.s. dan Hawa memakan buah dari suatu pohon.

Pohon yang terlarang itu tidak dapat dipastikan jenisnya secara tertentu, kerana Allah s.w.t. tidak memberikan suatu dalil pun bagi hamba-hambaNya mengenai jenis pohon ini, baik di dalam Al Qur'an maupun di dalam sunnah yang sahih.

Namun para ulama berbeda pendapat mengenai jenis pohon ini. Ada pula yang mengatakan bahawa pohon tersebut adalah pohon gandum, pendapat yang lain mengatakan pohon anggur, dan pendapat yang lainnya lagi mengatakan pohon tin.

Mendekati pohon itu bagi Adam a.s. dan Hawa merupakan kemaksiatan sehingga mereka akan tergolong orang-orang yang melanggar perintah Allah.

Hal ini merupakan pilihan dari Allah s.w.t. dan sengaja dijadikanNya sebagai ujian buat Adam a.s. atau kerana hikmah yang kita tidak mengetahuinya.

"36. Maka menggelincirkan mereka berdua syaitan darinya," 

Lalu keduanya digelincirkan oleh syaitan dari syurga itu. Syaitan di sini bermaksud iblis. Syaitan menggelincirkan, menjauhkan atau memperdayakan Adam a.s. dan Hawa dengan tipu daya dan bisikan syaitan.

Sebahagian ulama mengatakan bahawa Iblis memang dilarang masuk syurga jika memasukinya secara baik-baik. Jika dia memasukinya dengan mencuri-curi dan menyusup dengan cara yang hina, tiada yang mencegahnya.

Kerana itu, ada sebahagian dari mereka yang mengatakan sebagaimana apa yang disebut di dalam kitab Taurat, bahawa iblis masuk ke dalam syurga melalui mulut ular yang ia masuki terlebih dahulu (lalu ular itu masuk ke dalam syurga).

Menurut sebahagian ulama, iblis menggoda Adam dan Hawa dari luar pintu syurga. Sebahagian yang lainnya mengatakan bahawa iblis menggoda keduanya dari bumi, sedangkan keduanya masih berada di dalam syurga di langit.

Akhirnya mereka memakan buah pohon yang dilarang itu. Maka semua pakaiannya tertanggal darinya, dan yang mula-mula kelihatan dari bahagian anggota tubuhnya adalah kemaluannya. Ketika Adam a.s. melihat aurat tubuhnya, maka Beliau berlari di dalam syurga dan rambutnya tersangkut pada sebuah pohon. Lalu Allah s.w.t. memanggilnya, "Hai Adam, apakah engkau lari dariKu?" Adam a.s. berkata, "Wahai Tuhanku, aku tidak lari, tetapi aku merasa malu."

"lalu Allah mengeluarkan keduanya dari apa yang keduanya di dalamnya," 

Keduanya dikeluarkan dari keadaan semula. Akibatnya Adam a.s. dan Hawa dikeluarkan dari semua kenikmatan, kemewahan dan kemuliaan hidup dalam syurga, seperti pakaian, tempat tinggal yang luas, rezeki yang berlimpah, dan kehidupan yang selesa, disebabkan pohon tersebut.

Adam a.s. hanya tinggal di dalam syurga antara waktu solat Asar hingga tenggelamnya matahari. Ada yang mengatakan hanya selama sesaat di siang hari. Satu saat tersebut sama lamanya dengan 130 tahun hari-hari dunia.

"dan Kami berfirman, "Turunlah kalian! Sebahagian kalian bagi sebahagian yang lain musuh,"

Allah s.w.t. memerintahkan mereka turun dari syurga ke dunia. Adam a.s. dan keturunannya akan menjadi musuh bagi Iblis dan keturunannya. Musuh tentu akan berusaha sekuat tenaga menimpakan madharat kepada musuhnya, mendatangkan keburukan dengan berbagai cara dan menghalanginya dari mendapat kebaikan. Maka waspadalah kalian terhadap syaitan.

"dan bagi kalian di bumi tempat tinggal dan kesenangan sampai waktu yang ditentukan."

Bagi kalian ada tempat kediaman di bumi dan kesenangan hidup sampai waktu yang ditentukan. Di bumi itu ada tempat tinggal, rezeki, dan ajal bagi kalian. Ilaa hiin bermaksud waktu yang terbatas dan yang telah ditentukan, kemudian terjadilah kiamat. Dunia yang kalian tempati itu bukanlah tempat tinggal yang sesungguhnya. Kalian hidup di dunia hanya sementara sebagai ladang beramal menuju akhirat.

Maka mereka diturunkan ke bumi. Adam a.s. diturunkan di Dahna, salah satu wilayah di India. Lalu Adam a.s. menaburkan dedaunan yang digenggamnya itu. Maka tumbuhlah pepohonan yang wangi baunya. Itulah asal mula wewangian dari India itu. Sesungguhnya Adam a.s. menggenggamnya hanya terdorong oleh rasa penyesalannya kerana ia dikeluarkan dari syurga.

Ada yang menceritakan bahawa Adam a.s. diturunkan di daerah Dahna, yang terletak di antara Mekah dan Taif. Ada yang mengatakan bahawa Adam a.s. diturunkan di Safa. Ada yang mengatakan bahawa Hawa diturunkan di Jeddah. Ada juga yang mengatakan bahawa Hawa diturunkan di Marwah. Ada yang mengatakan bahawa Iblis diturunkan di Dustamisan yang terletak beberapa batu dari kota Basrah, sedangkan ular diturunkan di Asbahan.

Adam a.s. diturunkan, sedangkan kedua tangannya diletakkan pada kedua lututnya seraya menundukkan kepalanya. Iblis diturunkan, sedangkan jari jemari tangannya ia satukan dengan yang lainnya seraya mengangkat kepalanya ke langit.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sebaik-baik hari yang terbit matahari padanya adalah hari Jumaat. Pada hari Jumaat Adam diciptakan, pada hari Jumaat pula ia dimasukkan ke dalam syurga, dan pada hari Jumaat pula ia dikeluarkan darinya."

Kesalahan yang telah dilakukan oleh Adam a.s. itu adalah sesuatu yang Allah s.w.t. takdirkan atas dirinya sebelum Beliau diciptakan. Allah s.w.t. telah memastikan terhadap diri Adam a.s. bahawa Beliau akan melakukan hal itu. Adam a.s. bertanya bagaimana jika Beliau memohon ampun dariNya, bertaubat dan berjanji akan memperbaiki dirinya. Maka Allah s.w.t. berjanji jika demikian, Dia kelak akan memasukkan Adam a.s. ke syurga.

"37. Maka menerima Adam dari Tuhannya beberapa kalimat, maka Dia menerima taubat atasnya." 

Kemudian Adam a.s. menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Tentang beberapa kalimat (ajaran-ajaran) dari Allah yang diterima oleh Adam sebahagian ahli tafsir mengertikannya dengan kata-kata untuk bertaubat.

Menurut suatu pendapat, ayat ini merupakan tafsir dan penjelasan dari ayat lainnya, iaitu firmanNya, "Keduanya berkata, "Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi."" (Al A'raf 7:23)

"Sungguh Dia, Dia Maha Penerima Taubat Maha Penyayang."

Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. Taubat dariNya ada dua; diberiNya taufiq (dorongan) untuk bertaubat dan diterimaNya taubat seseorang ketika telah terpenuhi syarat-syaratnya. DiberiNya taufiq untuk bertaubat termasuk kasih sayangNya sebagaimana diajarkanNya kepada Adam kalimat untuk bertaubat.

Allah s.w.t. mengampuni semua dosa, menerima taubat orang yang bertaubat dan kembali kepadaNya. Demikianlah sebahagian dari kelembutan Allah kepada makhlukNya dan kasih sayangNya kepada hamba-hambaNya.

"38. Kami berfirman, "Turunlah kalian darinya semuanya." Kemudian jika datang kepada kalian dariKu petunjuk,"

Dikeluarkanlah Adam a.s. dari syurga ke dunia kerana hanya melakukan satu dosa. Manusia ditawan oleh iblis ke dunia. Maka tiadalah yang dialami selain kesusahan dan kesedihan sebelum dikembalikan ke tempat dahulu dikeluarkan.

Allah s.w.t. memberikan peringatan kepada Adam a.s. dan isterinya serta iblis ketika mereka diturunkan dari syurga. Kelak Allah s.w.t. akan menurunkan petunjuk kepada jin dan anak cucu Adam a.s., iaitu para rasul dan kitab-kitab.

"maka siapa yang mengikuti petunjukKu, maka tidak ada rasa takut kepada mereka, dan mereka tidak bersedih hati."

Barang siapa yang mahu beriman kepada rasul tersebut, beriman kepada kitab yang dibawanya dan menjadikannya sebagai petunjuk, membenarkan berita yang mereka sampaikan, mengikuti perintah dan menjauhi larangannya, nescaya mereka tidak sesat di dunia dan tidak celaka di akhirat. Mereka akan memperoleh petunjuk, kebahagiaan dan keamanan yang sempurna di dunia dan akhirat.

Khuatir itu terjadi kerana sesuatu yang tidak disukainya mungkin menimpanya di masa mendatang. Tidak ada kekhuatiran atas diri mereka dalam menghadapi nasib di hari akhirat nanti. Kesedihan terjadi kerana sesuatu yang tidak disukai telah menimpa di masa lalu. Mereka juga tidak akan bersedih hati terhadap perkara-perkara duniawi yang telah luput dari mereka.

"39. Dan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu penghuni api neraka, mereka di dalamnya kekal." 

Lafaz "as hab" jamak dari kata sahib yang ertinya "kawan", iaitu mereka itu kawan-kawan neraka yang selalu bersama dengannya sebagaimana bersamanya seseorang dengan kawannya. Mereka kekal di dalamnya, tiada jalan keluar bagi mereka dari neraka kerana mereka menjadi penghuni yang abadi.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Adapun ahli neraka yang menjadi penghuni tetapnya, maka mereka tidak pernah mati di dalamnya, tidak pula hidup (kerana mereka selamanya di azab terus-menerus). Tetapi ada beberapa kaum yang dimasukkan ke dalam neraka kerana dosa-dosa mereka, maka mereka benar-benar mengalami kematian; dan apabila mereka sudah menjadi arang, maka baru diizinkan beroleh syafaat."

Manusia dan jin terbahagi dua, ada yang berbahagia dan ada yang celaka. Telah disebutkan sifat golongan yang berbahagia dan golongan yang celaka serta amalan yang menjadi sebabnya. Jin dan manusia juga sama dalam hal pahala dan siksa serta dalam hal kewajiban menjalankan perintah dan menjauhi larangan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...