Khamis, 28 September 2017

2:34 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 34.

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلائِكَةِ اسْجُدُوا لآدَمَ فَسَجَدُوا إِلا إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ (٣٤) 

Allah s.w.t. memerintahkan Malaikat Jibril turun ke bumi untuk mengambil tanah liat. Tetapi bumi berkata, "Aku berlindung kepada Allah dari kamu agar kamu tidak mengurangiku atau membuatku menjadi buruk." Maka Malaikat Jibril kembali tanpa mengambilnya, dan ia berkata, "Wahai Tuhanku, sesungguhnya bumi meminta perlindungan kepadaMu," maka Aku beri dia perlindungan.

Lalu Allah s.w.t. mengutus Malaikat Mikail, dan bumi meminta perlindungan darinya pula, maka Ia memberinya perlindungan. Akhirnya Malaikat Mikail kembali dan mengatakan seperti apa yang dikatakan oleh Malaikat Jibril.

Pada akhirnya Allah mengirimkan malaikat maut, dan bumi meminta perlindungan darinya, tetapi malaikat maut berkata, "Dan aku pun berlindung kepada Allah bila aku kembali, sedangkan perintah Allah belum aku laksanakan." Lalu ia mengambil tanah secara rawak dari berbagai tempat di muka bumi, lalu ia mencampurkannya, ada yang merah, ada yang putih, dan ada yang hitam. Kerana itu, keturunan Adam bermacam-macam warna kulitnya.

"34. Dan ketika Kami firmankan kepada para malaikat, "Bersujudlah kalian kepada Adam,""

Allah s.w.t. berfirman kepada para malaikat, "Sujudlah kalian kepada Adam." Dia memberikan penghormatan yang besar buat Adam a.s. dan dapat dilimpahkan kepada keturunannya. Dia memerintahkan kepada para malaikat supaya bersujud kepada Adam a.s. kerana taat kepada perintahNya.

Sujud ini merupakan penghormatan dan salam serta memuliakan Adam a.s., bukan sebagai sujud memperhambakan diri, kerana sujud memperhambakan diri itu hanyalah semata-mata kepada Allah s.w.t. Di kalangan umat-umat terdahulu, hal ini diperbolehkan, tetapi bagi umat Muhammad s.a.w. hal ini telah dimansukh.

Allah s.w.t. berfirman kepada para malaikat, "Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah. Maka apabila telah Kusempurnakan kejadiannya dan Kutiupkan padanya roh (ciptaan)Ku; maka hendaklah kalian bersujud kepadanya."

Allah menciptakan Adam dengan tangan kekuasaanNya sendiri agar iblis tidak takabur terhadapnya dan dapat dikatakan, "Apakah kamu berani takabur kepada orang yang Kujadikan dengan tangan kekuasaanKu sendiri, sedangkan Aku sendiri tidak takabur terhadapnya kerana menciptakannya sebagai manusia."

Allah s.w.t. menciptakan Adam a.s. dalam bentuk seorang lelaki yang berperawakan sangat tinggi lagi berambut lebat, seakan-akan sama dengan pohon kurma yang rendang. Jasad Adam a.s. didiamkan tergeletak selama empat puluh tahun sejak hari diciptakan, iaitu hari Jumaat. Kemudian para malaikat melintasinya dan mereka terkejut tatkala melihatnya. Yang paling terkejut di kala melihatnya ialah iblis.

Iblis selalu melintasinya, mendatanginya dan memukulnya, maka keluarlah bunyi dari tubuh Adam seperti bunyi tembikar yang dipukul. Iblis mengatakan, "Untuk tujuan apakah kamu diciptakan?" Lalu ia masuk dari mulut dan keluar dari duburnya.

Kemudian iblis berkata kepada para malaikat, "Janganlah kalian takut kepada makhluk ini, kerana sesungguhnya Tuhan kalian Mahaperkasa, sedangkan makhluk ini berongga. Jika aku dapat menguasainya, nescaya dia benar-benar akan kubinasakan."

Sampailah waktu peniupan roh yang dikehendaki oleh Allah. Ketika roh mulai ditiupkan padanya dan roh masuk mulai dari kepalanya, maka Adam a.s. bersin, lalu para malaikat berkata, "ucapkanlah Alhamdulillah." Maka Adam a.s. mengucapkan Alhamdulillah (Segala puji bagi Allah). Allah s.w.t. menjawabnya, "Semoga Tuhanmu mengasihani kamu."

Ketika roh sampai pada kedua matanya, maka Adam a.s. dapat melihat syurga. Ketika roh sampai pada perutnya, timbullah selera makannya, lalu ia melompat sebelum roh sampai pada kedua kakinya kerana tergesa-gesa ingin memetik buah syurga. Akan tetapi Adam a.s. belum mampu berdiri. Manusia telah dijadikan bertabiat tergesa-gesa, terburu-buru, tidak mempunyai kesabaran dalam menghadapi kesukaran dan juga kedukaan.

"lalu mereka bersujud kecuali iblis. Ia enggan dan sombong," 

Maka sujudlah semua malaikat kepada Adam a.s. kecuali iblis; ia enggan dan takabur. Iblis menolak, tidak mahu ikut bersama-sama para malaikat yang sujud. Iblis adalah 'Azazil yang telah disebutkan sebelumnya. Ia menyombongkan diri, membangkang dan takabur. Iblis dengki terhadap Adam a.s. kerana kehormatan yang telah diberikan oleh Allah s.w.t. kepada Adam.

Allah s.w.t. berfirman kepada iblis, "Mengapa kamu tidak mahu bersujud kepada makhluk yang Kuciptakan dengan tangan kekuasaanKu sendiri, ketika Kuperintahkan kamu melakukannya?" Iblis menjawab, "Aku berasal dari api, sedangkan dia dari tanah. Aku lebih baik daripada dia, aku tidak akan bersujud kepada manusia yang Engkau ciptakan dari tanah liat."

Hal tersebut merupakan permulaan dosa besar, iaitu takabur iblis (musuh Allah) kerana tidak mahu sujud kepada Adam a.s. Lalu Allah s.w.t. berfirman kepadanya, "Turunlah kamu dari syurga itu, kerana tidak layak bagi kamu berlaku takabur di dalamnya; maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina."

Sifat takabur, kekufuran dan keingkaran di dalam hatinya telah mengakibatkan dirinya terusir dan dijauhkan dari rahmat Allah dan dari sisiNya. 'Azazil menjadi iblis sesudah peristiwa tersebut.

Di sebutkan di dalam sebuah hadis sahih, "Tidak dapat masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat sifat takabur sekalipun seberat biji sawi."

"dan ia termasuk orang-orang yang kafir."

Adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir. Orang-orang kafir bermaksud orang-orang yang membangkang, ingkar kepada Allah dan derhaka kepada perintahNya. Mereka belum diciptakan oleh Allah saat itu, tetapi baru ada jauh sesudah masa itu. Akhirnya mereka akan dibakar oleh api.

Menurut ilmu Allah, iblis tergolong ke dalam orang-orang yang kafir. Iblis sejak ia diciptakan oleh Allah ditakdirkan berbuat kekufuran dan kesesatan, tetapi beramal seperti para malaikat. Kemudian Allah menjadikannya sesuai dengan apa yang telah ditetapkanNya sejak mula, iaitu kafir.

Jadilah iblis termasuk golongan orang-orang yang kafir kerana menolak untuk bersujud. Iblis menerima celaan kerana menentang perintah Allah. Maka Allah s.w.t. mengutuknya menjadi syaitan yang laknat.

Setelah Allah s.w.t. selesai dari urusanNya mencaci iblis dan mengusirnya dari syurga, lalu Allah kembali kepada Adam a.s. dan mengajarkan kepadanya ilmu tentang nama-nama segala sesuatu.

Kemudian Allah s.w.t. mengemukakan semua makhluk yang diberi nama itu kepada para malaikat untuk menguji mereka. Mereka diperintahkan supaya menyebutkan nama benda-benda itu. Tetapi para malaikat tidak mengetahuinya.

Allah s.w.t. memerintahkan kepada Adam a.s. supaya memberitahukan kepada para malaikat nama-nama benda itu. Maka Adam a.s. menyebutkan nama segala sesuatu yang telah diajarkan Allah s.w.t. kepadanya, sedangkan para malaikat tidak mempunyai ilmu tentangnya.

Setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu, Allah s.w.t. menegaskan bahawa Dia mengetahui rahsia langit dan bumi. Dia juga mengetahui apa yang mereka lahirkan dan apa yang mereka sembunyikan.

Apabila mereka melihat ilmu yang telah dianugerahkan Allah kepada Adam a.s., akhirnya mereka mengakui kelebihan Adam a.s. atas diri mereka. Mereka mengetahui bahawa Allah s.w.t. mengutamakan Adam a.s. atas diri mereka dalam hal ilmu dan kemuliaan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...