Khamis, 28 September 2017

2:31-33 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 31-33.

وَعَلَّمَ آدَمَ الأسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَؤُلاءِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (٣١) قَالُوا سُبْحَانَكَ لا عِلْمَ لَنَا إِلا مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ (٣٢) قَالَ يَا آدَمُ أَنْبِئْهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ فَلَمَّا أَنْبَأَهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا كُنْتُمْ تَكْتُمُونَ (٣٣)

Allah s.w.t. berfirman,

"31. Dan Dia mengajarkan Adam nama-nama seluruhnya," 

Allah s.w.t. mengajarkan kepada Adam a.s. nama-nama seluruhnya. Dia mengkhususkan bagi Adam a.s. ilmu tentang nama-nama segala sesuatu, sedangkan para malaikat diperintahkan untuk bersujud kepada Adam. Dia menyebutkan dan mengemukakan kepada Adam a.s. nama segala sesuatu dengan namanya masing-masing satu kelompok demi kelompok, anak-anaknya, keturunannya, manusia, haiwan, malaikat, bintang-bintang, langit, bumi, zat, sifat, karakternya hingga nama angin yang keluar dari dubur.

"kemudian Dia mengemukakannya kepada para malaikat,"

Kemudian Allah s.w.t. mengemukakannya kepada para Malaikat. Dia membuktikan kelebihan Adam a.s. dalam hal ilmu. Kemudian Dia mengemukakan dan memperlihatkan semua makhluk yang diberi nama itu kepada para malaikat untuk menguji mereka.

"lalu berfirman, "Sebutkan kepadaKu nama-nama semua itu jika kalian orang-orang yang benar!""

Sebutkanlah kepadaKu nama benda-benda itu jika kalian yang benar! Para malaikat diperintahkanNya supaya menyebut nama benda-benda yang dikemukakan jika mereka lebih mengetahui atau lebih berilmu daripada Adam a.s., jika Allah s.w.t. tak perlu menjadikan seorang khalifah dimuka bumi, jika benar bahawa Bani Adam suka membuat kerosakan dan gemar mengalirkan darah di muka bumi dan jika para malaikat yang lebih layak menjadi khalifah di muka bumi daripada Adam a.s. dan keturunannya.

Jika Allah s.w.t. menjadikan selain para malaikat khalifahNya di muka bumi, nescaya dia dan keturunannya akan derhaka kepadaNya, lalu mereka membuat kerosakan dan mengalirkan darah. Tetapi jika Dia menjadikan para malaikat khalifah di muka bumi, nescaya mereka taat dan mengikuti semua perintahNya dengan mengagungkan dan menyucikanNya.

Para malaikat telah saksikan sendiri benda-benda yang Allah s.w.t. ketengahkan kepada mereka, tetapi mereka tidak mengetahui nama-namanya. Bererti mereka lebih tidak mengetahui semua hal yang belum diwujudkan.

"32. Mereka berkata, "Maha Suci Engkau,""

Para malaikat menjawab, "Mahasuci Engkau." Mahasuci Engkau dari sikap kami yang berani berbicara terhadap ucapanMu dan menyelisihi perintahMu. Kalimat subhanallah bermaksud pujian Allah kepada diriNya sendiri yang mengagungkanNya, menyucikanNya dan menjauhkanNya dari semua keburukan. Ia merupakan suatu kalimat yang disukai oleh Allah buat diriNya, dan Dia rela serta suka bila diucapkan.

"tidak ada pengetahuan bagi kami melainkan apa yang Engkau ajarkan pada kami."

Tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Para malaikat menyanjung Allah s.w.t. dengan menyucikan dan membersihkanNya dari semua pengetahuan yang dikuasai oleh seseorang dari ilmuNya. Hal itu tidak akan ada kecuali menurut apa yang dikehendakiNya. Mereka hanya mengetahui apa yang diajarkan oleh Allah s.w.t. kepada mereka.

"Sungguh Engkau Maha Mengetahui Maha Bijaksana."

Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Allah Maha Mengetahui segala sesuatu, termasuk perkara-perkara ghaib. Dia Maha Bijaksana dalam ciptaan dan urusanNya serta dalam mengajarkan segala sesuatu yang Dia kehendaki. Hanya Dialah yang memiliki kebijaksanaan dan keadilan yang sempurna.

Hikmah atau bijaksana ertinya adalah tepat, iaitu menempatkan sesuatu pada kedudukan yang layak. Jika samar bagi seorang hamba hikmah Allah menciptakan sesuatu atau memerintahkan sesuatu, maka kewajibannya adalah tunduk dan menerima.

"33. Dia berfirman, "Wahai Adam, beritahukanlah pada mereka nama-nama mereka.""

Allah s.w.t. berfirman, "Wahai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini." Adam a.s. menyebutkan nama-nama segala sesuatu yang telah diajarkan Allah s.w.t. kepadanya kepada para malaikat sehingga nama-nama yang tidak diketahui oleh para malaikat.

Keutamaan Adam a.s. kelihatan jelas oleh para malaikat kerana Beliau telah menyebutkan nama segala sesuatu yang telah diajarkan Allah s.w.t. kepadanya, sedangkan para malaikat tidak mempunyai ilmu tentangnya.

"Maka setelah dia beritahukan pada mereka nama-nama mereka, Dia berfirman, "Bukankah Aku telah mengatakan kepada kalian sesungguhnya Aku, Aku mengetahui rahsia langit dan bumi." 

Setelah diberitahukan Adam a.s. kepada para malaikat nama-nama benda itu, Allah berfirman, "Bukankah sudah Kukatakan kepada kalian, bahawa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi."

Allah s.w.t. menegaskan bahawa Dirinya lebih mengetahui hal yang samar dan ghaib bagi mereka baik di langit maupun di bumi. Rahsia atau ghaib adalah yang tidak kita ketahui dan tidak dapat kita saksikan. Maka Dia lebih mengetahui yang nampak atau kelihatan. Sedangkan selainNya tidak mengetahuinya.

"dan Aku mengetahui apa yang kalian tampakkan dan apa yang kalian sembunyikan."

Aku mengetahui apa yang kalian lahirkan dan apa yang kalian sembunyikan? Allah s.w.t. mengetahui apa yang diucapkan melalui lisan dan apa yang disembunyikan di dalam diri. Dia mengetahui rahsia sebagaimana Dia mengetahui hal-hal yang zahir. Rahsia dan terang-terangan bagiNya sama saja, tidak ada bedanya, semuanya Dia ketahui. Maka tiada sesuatupun yang tersembunyi bagiNya.

Dia mengetahui apa yang mereka nyatakan atau lahirkan melalui lisan mereka iaitu, “Mengapa Engkau hendak menjadikan khalifah di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan mengalirkan darah?”

Dia mengetahui ucapan yang mereka sembunyikan sesama mereka iaitu, “Tidak sekali-kali Tuhan kita menciptakan suatu makhluk kecuali kita lebih alim dan lebih mulia daripadanya."

Dia mengetahui sifat atau perasaan takabur, tinggi diri, menentang Allah dalam perintah-perintahNya dan tidak mahu taat kepadaNya, yang tersembunyi dibalik hati iblis yang pada asalnya adalah dari kalangan malaikat juga.

Oleh kerana para malaikat tidak mengetahui nama-nama benda-benda itu, bererti mereka tidak mempunyai ilmu. Allah s.w.t. hanya bermaksud menjadikan manusia agar membuat kerosakan dibumi. Hal itu sudah Dia ketahui dan telah berada di dalam pengetahuanNya.

Akan tetapi, Dia menyembunyikan dari mereka suatu hal, iaitu bahawa Dia hendak menjadikan dibumi itu orang-orang yang derhaka kepadaNya dan orang-orang yang taat kepadaNya. Sedangkan para malaikat belum mengetahui dan belum mengerti hal ini.

Apabila mereka melihat ilmu yang telah dianugerahkan Allah kepada Adam a.s., akhirnya mereka mengakui kelebihan Adam a.s. atas diri mereka. Mereka mengetahui bahawa Allah s.w.t. mengutamakan Adam a.s. atas diri mereka dalam hal ilmu dan kemuliaan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...