Khamis, 28 September 2017

2:30 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 30.

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لا تَعْلَمُونَ (٣٠)

Allah s.w.t. menceritakan perihal anugerahNya kepada Bani Adam, iaitu sebagai makhluk yang mulia; mereka disebutkan di kalangan makhluk yang tertinggi, iaitu para malaikat sebelum mereka diciptakan. Untuk itu, Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"30. Dan ketika berfirman Tuhan kamu kepada para malaikat," 

Ingatlah wahai Muhammad dan ceritakanlah hal ini kepada kaummu. Ketika Allah s.w.t. telah selesai dari menciptakan apa yang Dia sukai, lalu Dia berkuasa di 'Arasy. Allah s.w.t. menciptakan malaikat dari nur pada hari Rabu dan menciptakan jin dari lidah api yang paling hujungnya bila menyala pada hari Khamis.

Makhluk yang mula-mula menghuni bumi sebelum Adam a.s. diciptakan adalah makhluk Jin Banul Jan dalam tenggang masa dua ribu tahun. Mereka menimbulkan kerosakan di bumi dan mengalirkan banyak darah. Suatu kaum dari makhluk jin itu kafir dan membangkang. Sebahagian dari mereka membunuh sebahagian yang lain.

Allah s.w.t. menjadikan iblis sebagai raja atau pemimpin para malaikat di kawasan antara langit dan bumi, iaitu di langit dunia dan di bumi. Iblis memiliki empat buah sayap. Pada mulanya iblis bernama `Azazil. Ada yang mengatakan nama asalnya adalah Al Haris. Ia sangat kuat ijtihadnya dan paling banyak ilmunya.

Iblis itu asalnya dari golongan jin. Tetapi ia dapat menyerupai dan dapat melakukan hal-hal yang dilakukan oleh para malaikat. Kerana itulah iblis dimasukkan ke dalam khitab para malaikat. Ia termasuk dari kalangan suatu kabilah jenis malaikat yang terhormat dan paling disegani yang dikenal dengan nama makhluk jin. Sesungguhnya iblis dinamakan `jin' kerana ia ditugaskan menjaga syurga.

Maka Allah s.w.t. mengirimkan Iblis bersama bala tentera dari kalangan para malaikat turun ke bumi memerangi jin. Iblis mengatakan, "Tidak sekali-kali Allah memberiku tugas ini melainkan kerana aku mempunyai kelebihan di atas para malaikat."

Mereka mengejar jin sampai ke pulau-pulau yang ada di berbagai lautan dan sampai ke puncak-puncak gunung. Iblis bersama para pengikutnya berjaya berjaya melakukan tugas tersebut dengan menumpaskan makhluk jin. Para malaikat berkata sesama mereka, "Allah tidak akan menciptakan makhluk yang lebih mulia dan lebih alim di sisiNya daripada kami."

Hal tersebut mendorong iblis bersikap bongkak, takabur, besar kepala dan tinggi diri. Iblis mengatakan, "Aku telah melakukan sesuatu hal yang belum pernah dilakukan oleh sesiapa pun."

Allah s.w.t. melihat sifat takabur dan tinggi diri yang tersimpan di dalam diri iblis itu, sedangkan para malaikat tidak mengetahui hal itu. Setiap makhluk mendapat ujian untuk taat kepada Allah s.w.t., termasuklah langit dan bumi. Di waktu itu bumi tidak ada makhluknya. Maka mereka diuji oleh Allah s.w.t. Dia berfirman kepada para malaikat,

"Sesungguhnya Aku menjadikan di bumi khalifah." 

Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi. Allah s.w.t. akan menciptakan di bumi seorang khalifah. Makhluk ini akan menghuni, membangun, mengelola dan memberlakukan perintah-perintah Allah di bumi. Sebahagian mereka menggantikan sebahagian yang lain silih berganti, abad demi abad, dan generasi demi generasi.

Para malaikat bertanya, "Wahai Tuhan kami, siapakah khalifah tersebut?" Allah s.w.t. memberitahukan kepada para malaikat bahawa khalifah itu adalah Adam a.s., orang-orang yang menempati kedudukannya dalam ketaatan kepada Allah, melerai persengketaan di antara manusia, berkedudukan menggantikan diriNya dalam memutuskan hukum secara adil di kalangan makhlukNya dan melarang perbuatan-perbuatan yang diharamkan serta dosa-dosa.

Maka malaikat berkata, "Wahai Tuhan Kami, apakah yang terjadi pada khalifah itu?" Allah s.w.t. menjawab, "Kelak dia mempunyai keturunan yang suka membuat kerosakan di muka bumi, saling mendengki dan sebahagian mereka membunuh sebahagian yang lain."

Apabila di muka bumi terdapat makhluk, nescaya makhluk itu akan suka menimbulkan kerosakan padanya dan suka mengalirkan darah tanpa alasan yang dibenarkan, hal itu bukan berasal dari khalifah-khalifahNya.

Para malaikat beriman kepada Allah s.w.t., lalu Dia mengajarkan kepada mereka suatu ilmu dan menyembunyikan ilmu yang lain dari mereka yang hanya diketahuiNya. Allah s.w.t. menjadikan dalam hati para malaikat bahawa hal tersebut akan terjadi sejak penciptaan Adam a.s.

"Mereka berkata, "Apakah Engkau akan menjadikan di dalamnya orang yang merosak di dalamnya dan menumpahkan darah?""

Para malaikat berkata, "Mengapa Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah?" Mereka ingin meminta maklumat, pendapat, petunjuk, penjelasan dan hikmah disebalik penciptaan manusia.

Mereka bukanlah menentang atau memprotes Allah s.w.t., bukan juga dengki terhadap manusia. Mereka tidak pernah mendahului firman Allah s.w.t., iaitu tidak pernah menanyakan sesuatu kepadaNya yang tidak diizinkan bagi mereka mengemukakannya.

Berdasarkan ilmu atau pengetahuan yang diajarkanNya kepada mereka, di antara manusia akan ada orang-orang yang suka membuat kerosakan di muka bumi dan mengalirkan darah, sama seperti yang telah dilakukan oleh makhluk jin sebelumnya. Para malaikat merasa aneh mengapa manusia menderhaka terhadap Allah s.w.t., padahal Dialah Yang menciptakan mereka.

Menurut pengetahuan mereka, tiada suatu perbuatan pun yang lebih dibenci oleh Allah selain dari mengalirkan darah dan membuat kerosakan di muka bumi. Membuat kerosakan adalah berbuat maksiat dan menumpahkan darah adalah berbunuhan.

"Dan kami bertasbih dengan memujiMu dan kami menyucikan namaMu bagiMu." 

Padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau. Jika hikmahNya agar Dia disembah, maka para malaikat sentiasa bertasbih, bertahmid dan bertaqdis kepada Allah. Mereka sentiasa taat, takut, ikhas, solat, beribadah, mencintai, memuji, mengagungkan, membesarkan, menyucikan, menisbatkanNya kepada suatu hal dari sifat-sifatNya dan membersihkanNya dari hal-hal yang dinisbatkan oleh golongan kafir kepadaNya.

Mereka tidak pernah berbuat maksiat terhadap Allah dan tidak pernah melakukan sesuatu yang tidak Dia sukai. Mereka tidak pernah melakukan kerosakan dan mengalirkan darah. Mereka menyucikan diri dari akhlak buruk dan mengisi diri dengan akhlak mulia.

Zikir yang dipilih oleh Allah s.w.t. buat para malaikatNya iaitu Subhanallah wa bihamdihi (Mahasuci Allah dengan segala pujiNya)." Pada malam Rasulullah s.a.w. diisrakan, Beliau mendengar suara tasbih di langit yang tertinggi mengatakan, "Subhanal 'aliyyil A’la subhanahu wa ta'ala (Mahasuci Tuhan Yang Maha Tinggi atas segalanya, Mahasuci Dia dan Maha Tinggi)."

Para malaikat bermaksud memohon kepada Allah untuk menghuni bumi sebagai ganti dari Bani Adam. Mereka sebenarnya tidak mengetahui keadaan yang mereka sebut itu. Ucapan mereka itu hanya sebatas sangkaan mereka.

"Dia berfirman, "Sesungguhnya Aku, Aku mengetahui apa yang tidak kalian ketahui.""

Tuhan berfirman, "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kalian ketahui.” Allah s.w.t. mengetahui hikmah yang terinci dan dalam pada penciptaan manusia. Dia mengetahui yang nampak maupun yang tersembunyi.

Sedangkan para malaikat itu tidak mengetahuinya. Dia mengetahui kemaslahatan yang jauh lebih kuat dalam penciptaan manusia daripada kerosakan-kerosakan itu. Kebaikan yang muncul dari manusia lebih banyak daripada keburukan.

Termasuk di antara hal yang hanya ada di dalam pengetahuan atau ilmu Allah s.w.t. ialah bahawa kelak di kalangan khalifah tersebut terdapat para nabi, para rasul, para siddiqin, para syuhada, kaum yang soleh, ahli ibadah, ahli zuhud, para wali, orang-orang bertakwa, para muqarrabin, para ulama yang mengamalkan ilmunya, orang-orang yang khusyuk, orang-orang yang cinta kepada Allah s.w.t. lagi mengikuti jejak rasul-rasulNya dan para penghuni syurga.

Demikian itu agar ayat-ayatNya nampak jelas bagi makhlukNya serta dapat dilakukan ibadah yang tidak boleh dilakukan oleh selain kalangan manusia seperti jihad dan sebagainya.

Manusia akan diuji ketaatannya kepada Allah s.w.t. dengan kecenderungan yang ada dalam diri mereka ke arah kebaikan dan keburukan, begitu juga agar semakin jelas mana waliNya dan mana musuhNya, siapa yang berhak menempati syurgaNya dan siapa yang berhak menempati nerakaNya, agar nampak jelas kurnia dan keadilanNya, dan agar kelihatan jelas apa yang disembunyikan oleh Iblis berupa keburukan serta hikmah-hikmah lainnya.

Hal tersebut pasti terjadi di kalangan manusia, walaupun para malaikat tidak diberi tahu mengenainya; dan sebahagian dari apa yang para malaikat kemukakan kepadaNya menunjukkan rasa taat mereka kepadaNya.

Keberadaan para malaikat pada tempatnya lebih maslahat dan lebih layak bagi mereka. Keberadaan iblis di antara para malaikat dan keadaan penciptaan ini tidaklah sebagaimana yang mereka gambarkan itu.

Kemudian Allah s.w.t. memerintahkan malaikat turun ke bumi untuk mengambil tanah liat dan membawanya naik. Allah s.w.t. memberitahu kepada para malaikat bahawa Dia akan menciptakan manusia dari tanah.

Dia memerintahkan kepada para malaikat apabila telah kejadiannya disempurnakan dan ditiupkan padanya roh (ciptaan)Nya; maka hendaklah mereka bersujud kepadanya.

Kemudian Allah s.w.t. meniupkan padanya sebahagian dari roh (ciptaan)Nya. Maka bersujudlah semua malaikat kepada Adam a.s. kecuali iblis. Ia enggan sujud kepada Adam a.s. kerana merasa dirinya lebih baik daripada Adam a.s. Lalu Allah s.w.t. mengusirnya turun dari syurga.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...