Ahad, 10 Disember 2017

2:183-185 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 183-185.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (١٨٣) أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ (١٨٤) شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (١٨٥)

Ketika Rasulullah s.a.w. tiba di Madinah, Beliau berpuasa tiga hari setiap bulannya, juga puasa 'Asyura. Kemudian Allah s.w.t. berfirman,

"183. Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kalian berpuasa" 

Allah s.w.t. memerintahkan orang-orang mukmin dari kalangan umat ini berpuasa, iaitu menahan diri dari makan, minum dan berjima' dengan niat yang ikhlas kerana Allah s.w.t.

"sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kalian" 

Umat-umat sebelum kalian juga telah diwajibkan berpuasa. Diwajibkan atas mereka apabila mereka solat malam hari lalu tidur, maka diharamkan atasnya makan, minum dan bersetubuh dengan isteri sampai waktu yang sama pada esok malamnya.

Puasa termasuk syari'at yang tidak dimansukh kerana maslahatnya yang begitu besar bagi manusia. Ia masih terus berlangsung sejak zaman Nabi Nuh a.s., kaum Ahli Kitab sehinggalah ke zaman kalian.

Dengan demikian, kalian mempunyai teladan dalam berpuasa. Hal ini memberikan semangat kepada kalian dalam menunaikan kewajiban ini dengan lebih sempurna berbanding orang-orang sebelum kalian.

Puasa dapat membersihkan, menyucikan dan membebaskan jiwa dan tubuh dari endapan-endapan yang buruk dan akhlak-akhlak yang rendah.

"agar kalian bertakwa." 

Puasa merupakan sebab terbesar untuk memperoleh ketakwaan. Di dalam puasa seseorang meninggalkan hal-hal yang disukainya seperti makan, minum dan berjima'. Apabila dia dihadapkan perbuatan maksiat yang disukai hawa nafsunya, maka dia mampu menahan dirinya.

Puasa merupakan tameng (perisai) dan peredam bagi seseorang dari perbuatan maksiat. Ia dapat melemahkan syahwat yang menjadi sumber maksiat. Puasa mempersempitkan jalan-jalan atau ruang gerak syaitan, iaitu tempat peredaran darah.

Orang yang berpuasa biasanya banyak menjalankan ketaatan dan maksiatnya berkurang.

Orang yang berpuasa melatih dirinya agar merasa diawasi Allah s.w.t. Ketika puasa, ia meninggalkan apa yang diinginkan oleh hawa nafsunya padahal dia mampu kerana mengetahui bahawa dirinya diawasi Allah s.w.t.

Orang yang kaya ketika merasakan pedihnya rasa lapar, membuat dirinya merasakan derita orang-orang fakir dan miskin. Hal ini akan membuatnya ingin bersedekah kerana telah merasakan derita orang-orang fakir dan miskin.

Maka orang yang berpuasa dapat bertakwa kepada Allah s.w.t. dengan menjalankan perintahNya dan menjauhi laranganNya. Kemudian Allah s.w.t. berfirman menjelaskan hukum puasa menurut apa yang berlaku di masa permulaan Islam.

"184. Beberapa hari yang tertentu," 

Puasa yang diwajibkan itu ialah dalam hari-hari tertentu yang telah dimaklumi, iaitu tiga hari setiap bulan. Demikian itu agar tidak berat dikerjakan dan agar tubuh tidak menjadi lemah dalam menunaikannya. Maka orang yang sihat lagi mukim yang hendak berpuasa, dia boleh berpuasa.

"Maka barang siapa yang dia di antara kalian sakit atau dalam perjalanan," 

Jika kalian sakit atau dalam musafir, kalian dibolehkan berbuka puasa kerana puasa itu akan memberatkan kalian.

"maka sejumlah pada hari-hari yang lain." 

Maka sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Iaitu kemudian wajiblah kalian berpuasa, menggantinya atau mengqadanya sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain.

Pada permulaan diwajibkan puasa, para sahabat belum terbiasa berpuasa sehingga terasa berat oleh mereka. Maka Allah s.w.t. memerintahkan secara bertahap.

"Dan atas orang-orang yang mereka berat menjalankannya fidyah," 

Wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya membayar fidyah. Orang yang berat menjalankannya adalah orang yang sihat lagi mukim, tetapi berat menjalankan puasa, orang tua yang lemah dan tidak mampu berpuasa, orang yang sakit berat, orang yang sangat tua dan perempuan yang hamil atau menyusui yang mengkhuatirkan kesihatan dirinya atau kesihatan anaknya.

Maka mereka boleh memilih antara berpuasa atau berbuka puasa dan membayar fidyah. Fidyah itu wajib dibayar untuk setiap hari yang ditinggalkan. Ia adalah sebagai ganti atau penebus puasa yang ditinggalkannya.

"memberi makan seorang miskin." 

Membayar fidyah itu adalah dengan memberi makan seorang miskin sebanyak satu mud (satu kaupan tangan orang dewasa) makanan asasi tempatan, untuk sehari puasa yang ditinggalkan.

"Maka barang siapa yang mengerjakan kebaikan, maka dia lebih baik baginya." 

Barang siapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Iaitu jika kalian dengan sukarela membayar fidyah atau memberi makan lebih dari seorang miskin untuk setiap hari yang ditinggalkan, maka hal itu lebih baik bagi kalian.

"Dan bahawa kalian berpuasa lebih baik bagi kalian jika kalian mengetahui."

Walaupun demikian, berpuasa itu lebih baik dan lebih utama bagi kalian daripada kalian membayar fidyah atau memberi makan orang miskin, jika kalian mengetahui.

Mereka tetap dalam keadaan demikian hingga Allah s.w.t. menurunkan firmanNya menasakh ibadah puasa itu.

"185. Bulan Ramadhan, yang diturunkan di dalamnya Al Qur'an" 

Bulan Ramadan adalan bulan yang di dalamnya diturunkan permulaan Al Quran yang agung. Allah s.w.t. juga telah menurunkan kitab-kitabNya kepada para nabi sebelum Nabi Muhammad s.a.w. pada bulan Ramadan.

Lembaran-lembaran Nabi Ibrahim a.s. diturunkan pada permulaan malam Ramadan, kitab Taurat diturunkan pada tanggal enam Ramadan, kitab Zabur diturunkan pada tanggal dua belas Ramadan, kitab Injil diturunkan pada tanggal tiga belas atau lapan belas Ramadan dan Al Qur'an mula diturunkan pada tanggal dua puluh empat Ramadan.

Adapun lembaran-lembaran atau suhuf, kitab Taurat, Zabur, dan Injil, masing-masing diturunkan kepada nabi yang berkenaan secara sekaligus. Lain halnya dengan Al Qur'an, diturunkan sekaligus hanya dari tempat asalnya, Baitul 'Izzah atau Lauhul Mahfuz ke langit dunia pada pertengahan bulan Ramadan, iaitu di malam Lailatul Qadar, malam penuh kemuliaan dan keberkatan.

Setelah itu Al Qur'an diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. secara beransur-ansur dan bertahap selama dua puluh tahun atau lebih sesuai dengan kejadian-kejadiannya dan untuk menjawab perkataan manusia dalam bulan dan hari yang berbeda-beda. Ada yang diturunkan pada bulan Syawal, Zul Qa'dah, Zul-Hijjah, Muharram, Safar dan ada yang diturunkan dalam bulan Rabi'.

Al Qur'an ini tidak diturunkan sekaligus supaya hati Beliau s.a.w. menjadi kuat dengannya. Allah s.w.t. membacakannya kelompok demi kelompok. Setiap kali orang-orang kafir datang membawa perumpamaan atau sesuatu yang ganjil untuk mendebat Beliau s.a.w., Allah s.w.t. datangkan kepadanya jawaban, penjelasan yang paling benar dan paling baik.

Sesungguhnya Allah s.w.t. berfirman kepada NabiNya menurut apa yang dikehendakiNya. Allah s.w.t. memuji Al Qur'an yang diturunkan olehNya.

"sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan dari petunjuk" 

Al Qur'an menjadi petunjuk bagi hati hamba-hambaNya yang beriman kepadanya, membenarkannya dan mengikutinya. Ia menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu. Ia adalah hujah-hujah yang jelas, nyata dan terang bagi orang yang memahami dan memikirkannya. Ia membuktikan kebenaran apa yang dibawanya.

"dan Furqan." 

Al Qur'an menjadi pembeda antara yang hak (benar) dengan yang batil (salah), yang halal dengan yang haram, hidayah dengan kesesatan dan jalan petunjuk dengan jalan yang keliru.

"Maka barang siapa yang menyaksikan dari kalian bulan, maka hendaklah dia berpuasa." 

Kerana itu, barang siapa di antara kalian hadir di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu. Orang yang mampu, sihat lagi mukim di tempat tinggalnya dan menyaksikan hilal (anak bulan) atau mengetahui masuknya bulan Ramadan, diwajibkan berpuasa selama sebulan pada bulan Ramadhan itu.

Sebuah hadis mengatakan, "Barang siapa yang puasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan ridha Allah, nescaya diampuni baginya semua dosanya yang terdahulu."

"Dan barang siapa yang dia sakit atau dalam perjalanan, maka sejumlah pada hari-hari yang lain." 

Barang siapa sakit atau dalam perjalanan, maka sebanyak hari yang ditinggalkannya, pada hari-hari yang lain. Allah s.w.t. memberi keringanan kepada orang yang sakit dan orang yang dalam musafir. Mereka boleh berbuka puasa, tetapi mereka wajib mengqadanya sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain pada bulan selain bulan Ramadan.

"Allah menghendaki bagi kalian kemudahan, dan tidak menghendaki bagi kalian kesukaran." 

Allah menghendaki kemudahan bagi kalian, dan tidak menghendaki kesukaran bagi kalian. Hal ini adalah kemudahan dan keringanan bagi kalian sebagai rahmat dari Allah s.w.t. buat kalian yang sedang sakit atau dalam musafir.

"Dan agar kalian mencukupkan hitungan" 

Supaya kalian mencukupkan bilangannya. Dia memerintahkan kalian untuk mengqadainya agar kalian menyempurnakan bilangan puasa sebulan Ramadan kalian.

"dan hendaklah mengagungkan Allah atas apa yang Dia memberi petunjuk pada kalian," 

Hendaklah kalian mengagungkan dan membesarkan Allah kerana kalian telah mendapat petunjukNya, agar kalian ingat kepada Allah di saat ibadah kalian selesai, iaitu dengan bertakbir pada Hari Raya Aidil Fitri.

"dan agar kalian bersyukur."

Kalian telah mengerjakan apa yang diperintahkan Allah, iaitu taat kepadaNya dan mengerjakan semua yang difardukanNya, meninggalkan semua apa yang diharamkanNya dan memelihara batasan-batasanNya. Maka hendaklah kalian bersyukur terhadap nikmat hidayah, taufiq dan kemudahanNya yang diberikan kepada kalian.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...