Khamis, 7 Disember 2017

70:19-35 Tafsir Surah Al Ma’arij, ayat 19-35.

إِنَّ الإنْسَانَ خُلِقَ هَلُوعًا (١٩) إِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزُوعًا (٢٠) وَإِذَا مَسَّهُ الْخَيْرُ مَنُوعًا (٢١)  إِلا الْمُصَلِّينَ (٢٢) الَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلاتِهِمْ دَائِمُونَ (٢٣) وَالَّذِينَ فِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ مَعْلُومٌ (٢٤) لِلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ (٢٥) وَالَّذِينَ يُصَدِّقُونَ بِيَوْمِ الدِّينِ (٢٦) وَالَّذِينَ هُمْ مِنْ عَذَابِ رَبِّهِمْ مُشْفِقُونَ   (٢٧) إِنَّ عَذَابَ رَبِّهِمْ غَيْرُ مَأْمُونٍ (٢٨) وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ (٢٩) إِلا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ (٣٠) فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ (٣١)وَالَّذِينَ هُمْ لأمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ (٣٢) وَالَّذِينَ هُمْ بِشَهَادَاتِهِمْ قَائِمُونَ (٣٣) وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلاتِهِمْ يُحَافِظُونَ (٣٤)أُولَئِكَ فِي جَنَّاتٍ مُكْرَمُونَ (٣٥)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan perihal manusia, sifat yang menjadi tabiat asal manusia dan watak-watak buruk yang telah menjadi pembawaannya.

"19. Sungguh manusia diciptakan keluh kesah." 

Manusia dijadikan bersifat halu'. Mereka bertabiat resah gelisah, suka mengeluh lagi bakhil dan kedekut. Sifat halu' itu adalah,

"20. Apabila menimpanya kesusahan, berkeluh kesah." 

Apabila dia ditimpa musibah seperti kesusahan, kemiskinan, penyakit, kehilangan dan sebagainya, dia mengeluh, sangat takut dan berputus asa dari mendapat kebaikan sesudah musibah yang menimpanya. Dia tidak bersikap sabar dan ridha kepada taqdir Allah.

"21. Dan apabila menimpanya kebaikan, sangat kikir." 

Apabila mendapat mendapat nikmat dari Allah s.w.t. seperti harta dan kesenangan, dia menjadi sangat bakhil kedekut terhadap orang lain, tidak mahu menunaikan hak Allah yang ada padanya, tidak mahu menginfakkan harta yang Allah berikan kepadanya dan tidak bersyukur kepada Allah atas nikmat-nikmatNya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sifat terburuk yang ada pada diri seorang lelaki ialah kikir yang keterlaluan dan sifat pengecut yang parah."

Demikianlah tabiat manusia yang tidak dilengkapi iman dan pendidikan. Pembawaannya menyandang sifat-sifat yang buruk dan tercela. Namun, ajaran Islam mengatasinya.

"22. Kecuali orang-orang yang solat." 

Mereka adalah orang-orang yang mengerjakan solat. Orang-orang mukmin dipelihara oleh Allah, diberiNya taufik, diberiNya petunjuk dan dimudahkanNya jalannya kepada kebaikan.
Apabila mendapatkan kebaikan, maka mereka bersyukur kepada Allah. Mereka menginfakkan sebahagian dari rezeki yang Allah berikan, dan apabila mereka mendapatkan kesusahan, maka mereka bersabar dan mengharap pahala.

"23. Orang-orang yang mereka atas solat mereka terus menerus." 

Tetap mengerjakan solat bermaksud tetap setia menunaikan solat diwaktunya masing-masing, mengerjakan yang wajib-wajibnya, memenuhi syarat dan penyempurnanya. Mereka bukanlah orang yang meninggalkan solat, jarang-jarang atau kurang mengerjakannya.

Menurut pendapat yang lain, tetap mengerjakan solatnya bermaksud mereka mengerjakan solatnya dengan tenang dan khusyuk. Menurut pendapat yang lain lagi, apabila mereka mengerjakan suatu amal kebaikan, maka mereka menetapinya dan mengukuhkannya.

"24. Dan orang-orang yang pada harta mereka, hak tertentu." 

Mereka menyediakan pada harta-hartanya bahagian-bahagian tertentu untuk zakat dan sedekah.

"25. Bagi orang yang meminta dan yang tidak meminta." 

Mereka memberikan bahagian-bahagian yang disediakan itu kepada orang-orang yang memerlukan pertolongan, iaitu orang-orang miskin yang meminta dan orang-orang miskin yang menahan diri daripada meminta.

"26. Dan orang-orang yang mempercayai dengan hari pembalasan." 

Mereka beriman kepada apa yang Allah s.w.t. dan RasulNya beritakan, iaitu adanya hari kiamat, kebangkitan, penghisaban dan pembalasan. Mereka meyakininya dan mempersiapkan diri untuk menghadapinya dengan mengerjakan amalnya sebagaimana orang yang mengharapkan pahala dan takut akan siksaan.

"27. Dan orang-orang yang mereka dari azab Tuhan mereka takut." 

Mereka takut dan ngeri terhadap azab Allah s.w.t. Oleh kerana itu, mereka menjauhi segala yang dapat membuat mereka diazab.

"28. Sesungguhnya azab Tuhan mereka, tidak merasa aman." 

Orang-orang yang mengetahui akan perintah Allah s.w.t. tidak pernah merasa aman dari kedatangan azabNya kecuali hanya bila mendapat jaminan keamanan dari Allah s.w.t. Sememangnya tidak patut bagi seorang pun merasa aman terhadapnya.

"29. Dan orang-orang yang mereka bagi kemaluan mereka memelihara." 

Mereka mengekangnya dari melakukan hal yang diharamkan baginya dan menjaganya dari meletakkannya bukan pada tempat yang diizinkan oleh Allah s.w.t.

Oleh kerana itu, mereka tidak meletaknya di tempat yang haram seperti zina, liwat (homoseks), meletaknya di dubur atau ketika isteri haidh dan sebagainya. Mereka juga meninggalkan perkara-perkara haram yang akan mendorong mereka berbuat keji.

"30. Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau apa yang dimiliki tangan kanan mereka," 

Hamba sahaya adalah hamba belian yang mereka dapat dalam peperangan dengan orang kafir, bukan hamba belian yang mereka dapat di luar peperangan.

Dalam peperangan dengan orang-orang kafir, wanita-wanita yang ditawan biasanya dibahagi-bahagikan kepada kaum muslim yang ikut dalam peperangan itu. Namun kebiasaan ini bukanlah suatu yang diwajibkan. Imam boleh melarangnya.

"maka sungguh mereka tidak tercela." 

Mereka itu dalam hal ini tidaklah tercela.

"31. Maka barang siapa mencari di belakang itu, maka mereka itu mereka orang-orang yang melampaui batas." 

Barang siapa mencari di luar atau selain isterinya dan hambanya, seperti melakukan zina, homoseks, lesbian dan sebagainya, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas kerana mencari yang haram dan meninggalkan yang halal.

Ayat ini juga menunjukkan haramnya nikah mut’ah (kontrak), kerana keadaan wanitanya bukan isteri yang dimaksudkan dan bukan juga hamba.

"32. Dan orang-orang yang mereka bagi amanah mereka dan janji mereka memelihara." 

Mereka memelihara amanat-amanat yang dipikulnya, melaksanakan kewajibannya dan berusaha memenuhinya. Amanah di sini adalah amanah antara seorang hamba dengan Tuhannya seperti beban (kewajiban) agama dan beban-beban yang menjadi tanggung jawabnya yang tersembunyi yang hanya diketahui oleh Allah seperti titipan, maupun amanah antara seorang hamba dengan hamba yang lain baik dalam hal harta maupun sesuatu yang dirahsiakan.

Mereka menunaikan atau tidak menyalahi janjinya, baik janji antara dia dengan Allah s.w.t., maupun janji antara dia dengan hamba-hamba Allah. Penunaian janji ini akan ditanya kelak di akhirat.

"33. Dan orang-orang yang mereka dengan kesaksian mereka menegakkan." 

Semasa mereka menjadi saksi, mereka bersikap berhati-hati dalam bersaksi, bersaksi seperti yang mereka ketahui, memberikan keterangan dengan benar lagi adil, tidak menambahi, tidak mengurangi, tidak menyembunyikan sesuatu, tidak memihak kepada kerabat, teman dan sebagainya. Mereka lakukannya mencari keridhaan Allah s.w.t.

"34. Dan orang-orang yang mereka atas solat mereka memelihara." 

Memelihara solat bermaksud melaksanakannya pada waktunya, memenuhi rukunnya, memenuhi syaratnya, mengerjakan yang wajib dan sunnahnya.

"35. Mereka itu dalam syurga orang-orang yang dimuliakan." 

Mereka yang demikian sifatnya ditempatkan kekal di dalam Syurga, diberikan penghormatan, dimuliakan dengan berbagai macam kenikmatan dan kesenangan syurgawi.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...