وَالَّذِينَ يَرْمُونَ أَزْوَاجَهُمْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُمْ شُهَدَاءُ إِلا أَنْفُسُهُمْ فَشَهَادَةُ أَحَدِهِمْ أَرْبَعُ شَهَادَاتٍ بِاللَّهِ إِنَّهُ لَمِنَ الصَّادِقِينَ (٦) وَالْخَامِسَةُ أَنَّ لَعْنَةَ اللَّهِ عَلَيْهِ إِنْ كَانَ مِنَ الْكَاذِبِينَ (٧) وَيَدْرَأُ عَنْهَا الْعَذَابَ أَنْ تَشْهَدَ أَرْبَعَ شَهَادَاتٍ بِاللَّهِ إِنَّهُ لَمِنَ الْكَاذِبِينَ (٨) وَالْخَامِسَةَ أَنَّ غَضَبَ اللَّهِ عَلَيْهَا إِنْ كَانَ مِنَ الصَّادِقِينَ (٩) وَلَوْلا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ وَأَنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ حَكِيمٌ (١٠)
Hilal ibnu Umayyah datang dari kebunnya di waktu Isya. Dia mendapati isterinya sedang berzina dengan Syarik ibnu Sahma. Dia melihat dengan dua mata kepalanya, mendengar dengan kedua telinganya dari pemandangan yang disaksikannya itu dan dia tidak dapat mengusik lelaki itu.
Pada keesokan harinya Hilal melaporkan perbuatan isterinya dengan Syarik ibnu Sahma di hadapan Nabi s.a.w. Beliau s.a.w. tidak suka mendengar berita itu. Maka Beliau s.a.w. memerintahkan Hilal mendatangkan empat orang saksi lelaki atau punggung (belakang badan) nya terkena hukuman had dan kesaksiannya tidak akan diterima lagi di kalangan orang ramai.
Hilal berkata, "Wahai Rasulullah, apabila seseorang di antara kita melihat isterinya berbuat serong dengan seorang lelaki, apakah dia harus pergi untuk mencari saksi?" Maka Nabi s.a.w. bersabda, "Kemukakanlah buktimu. Jika tidak, maka hukuman dera menimpa punggungmu."
Hilal berkata, "Demi Tuhan yang mengutusmu dengan hak, sesungguhnya saya berkata dengan sebenar-benarnya, dan sungguh Allah pasti akan menurunkan sesuatu yang membebaskan punggungku dari hukuman dera."
Rasulullah s.a.w. hendak memerintahkan agar menjatuhkan hukuman dera terhadap Hilal. Turunlah Jibril a.s. membawa firmanNya kepada Nabi s.a.w. Allah s.w.t. menurunkan ayat li'an yang menerangkan hukum dan jalan keluar bagi para suami yang menuduh isterinya berzina, sedangkan dia sukar untuk membuktikannya.
"6. Dan orang-orang yang menuduh isteri-isteri mereka, dan tidak ada bagi mereka saksi-saksi kecuali diri mereka sendiri,"
Para suami yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak mempunyai empat orang saksi untuk mengesahkan tuduhannya itu. Mereka bersendirian ketika menyaksikan perbuatan keji isterinya.
Hendaknya suami melakukan li’an terhadap isterinya seperti yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. Iaitu dengan menghadapkan isterinya kepada hakim, lalu dia melancarkan tuduhannya terhadap isterinya di hadapan hakim.
"maka kesaksian seorang dari mereka empat sumpah dengan Allah, sungguh dia termasuk orang-orang yang benar."
Hendaklah si suami bersumpah dengan nama Allah bahawa sesungguhnya dia benar dalam tuduhannya kepada isterinya sebanyak empat kali sebagai ganti kepada empat orang saksi yang diperlukannya. Allah s.w.t. menyebut syahadah (kesaksian) kerana ia menduduki kedudukan para saksi.
"7. Dan yang kelima; bahawasanya laknat Allah atasnya, jika dia termasuk orang-orang yang berdusta."
Dalam persaksian yang kelima hendaklah si suami bersumpah bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika dia berdusta. Masalah ini dalam fiqih dikenal dengan Li'an. Dengan cara seperti ini, si suami terlepas dari had qadzaf (hukuman menuduh).
Kebanyakan suami tidak akan membuka aib keluarganya dan menuduh isterinya berzina, kerana tuduhannya akan mengotori dirinya juga, kecuali apabila dia benar dalam tuduhannya, menyaksikan perbuatan isterinya itu, memiliki hak di sana, takut dinisbatkan anak kepadanya padahal bukan anaknya dan sebagainya.
Apabila si suami telah menyatakan sumpah li'annya itu, maka isteri yang dituduhnya berzina itu tercerai darinya secara ba'in. Maka bekas isterinya itu haram baginya untuk selamanya. Si suami melunasi mahar isterinya, sedangkan bekas isterinya itu dikenai hukuman zina.
"8. Dan menghindarkan darinya hukuman jika dia bersaksi empat sumpah dengan nama Allah, sungguh dia termasuk orang-orang yang berdusta."
Bagi menghindarkan isterinya dari hukuman had zina, hendaklah dia mengucapkan sumpah Li’an juga. Hendaklah si isteri bersumpah atas nama Allah sebanyak empat kali bahawa suaminya yang menuduh itu benar-benar telah berdusta dalam tuduhannya. Si isteri dihindarkan dari had kerana persaksian suaminya dilawan dengan persaksiannya yang sama kuat.
"9. Dan yang kelima; bahawasanya murka Allah atasnya jika dia termasuk orang-orang yang benar."
Dalam persaksian yang kelima hendaklah si isteri bersumpah menyebutkan hak dirinya dengan bersumpah bahawa kemurkaan Allah akan menimpanya jika suaminya berkata benar. Ghadab bermaksud murka.
Si isteri juga mengetahui kebenaran dari apa yang dituduhkan oleh suaminya terhadap dirinya. Orang yang dimurkai oleh Allah ialah seseorang yang mengetahui kebenaran, tetapi berpaling darinya.
Allah s.w.t. amat belas kasihan dalam menetapkan hukum syariat bagi makhlukNya. Dia memberikan jalan keluar dan pemecahan dari kesempitan yang mengimpit diri mereka.
Setelah wahyu selesai diturunkan, maka Nabi s.a.w. mengirimkan utusan untuk memanggil Hilal dan isterinya. Rasulullah s.a.w. membacakan ayat-ayat tersebut kepada keduanya dan memberitahukan bahawa azab akhirat jauh lebih keras daripada azab dunia.
Hilal berkata, "Demi Allah, wahai Rasulullah, sesungguhnya ayat ini benar menceritakan perihalnya." Isteri Hilal berkata membela diri, "Dia bohong."
Rasulullah s.a.w. memerintahkan Hilal bersumpah dengan nama Allah, bahawa sesungguhnya dirinya benar dalam dakwaannya sebanyak empat kali. Maka Hilal menyatakan sumpah li'annya sebanyak empat kali.
Pada sumpahnya yang kelima, dikatakan kepada Hilal agar dia bertaqwa kepada Allah, kerana sesungguhnya azab dunia lebih ringan daripada azab akhirat. Peristiwa itu dapat memastikan azab atas dirinya. Maka Hilal tanpa ragu-ragu mengucapkan sumpahnya yang kelima, bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika dia berdusta.
Nabi s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah mengetahui bahawa salah seorang di antara kamu berdua dusta, maka adakah yang mahu bertaubat di antara kamu berdua?"
Rasulullah s.a.w. memerintahkan isteri Hilal berdiri dan bersumpah dengan nama Allah, bahawa sesungguhnya suaminya berdusta dalam tuduhan zina yang dia lancarkan terhadap dirinya sebanyak empat kali. Maka isteri Hilal menyatakan sumpah tersebut sebanyak empat kali.
Pada sumpahnya yang kelima, dikatakan kepadanya agar dia bertaqwa kepada Allah, kerana sesungguhnya azab dunia jauh lebih ringan daripada azab akhirat. Peristiwa itu dapat memastikan azab atas dirinya.
Isteri Hilal berhenti, diam dan menundukkan kepalanya sejenak. Orang ramai menyangka bahawa dia akan mundur dan mengakui perbuatannya secara jujur. Tetapi dia berkata, "Aku tidak akan mempermalukan kaumku di masa mendatang." Maka dia tekad meneruskan sumpah kelima, bahawa murka Allah akan menimpa dirinya jika suaminya benar.
Rasulullah s.a.w. menceraikan mereka berdua dan memutuskan bahawa anaknya kelak tidak boleh dinisbatkan kepada ayahnya dan tidak boleh disebut anak zina. Orang yang menuduh ibunya sebagai pezina atau anaknya sebagai anak zina akan dikena hukuman had.
Rasulullah s.a.w. memutuskan bahawa dia tidak berhak mendapat rumah tempat tinggal dan nafkah dari Hilal, kerana mereka dipisahkan tanpa melalui proses talak dan bukan kerana suaminya meninggal dunia.
"10. Dan kalau tidak kurnia Allah atas kalian dan rahmatNya, dan bahawa Allah Maha Penerima Taubat Maha Bijaksana."
Kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kalian dan kalaulah tidak kerana Dia Maha Penerima taubat lagi Maha Bijaksana, tentulah kalian akan berdosa dan mengalami kesusahan yang sukar diatasi dalam urusan-urusan kalian.
Dia menerangkan betapa buruknya perbuatan zina dan menuduh orang lain berzina. Doa buruk tentu akan menimpa orang yang berdusta di antara dua orang yang melakukan li’an. Allah Maha Penerima Taubat hamba-hambaNya, walaupun hal itu sesudah sumpah yang berat.
Dia Mahabijaksana dalam menetapkan syariat, perintah dan laranganNya. Hukum yang khusus berkenaan suami isteri ini sangatlah diperlukan. Dia juga mensyariatkan taubat dari dosa besar ini dan dosa besar lainnya.
Nabi s.a.w. bersabda, “Perhatikanlah oleh kalian wanita itu, jika anaknya lahir dalam keadaan bermata jeli (seperti bercelak), besar punggungnya dan berbetis padat, maka bayi itu adalah hasil hubungannya dengan Syarik ibnu Sahma."
Kemudian dia melahirkan anak dengan ciri-ciri seperti yang dikatakan oleh Nabi s.a.w. Beliau bersabda, "Seandainya tidak ada ketentuan dari Kitabullah, tentulah aku dan dia (isteri Hilal) berada dalam suatu keadaan (ada urusan)."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan