Sabtu, 6 Januari 2018

26:105-122 Tafsir Asy Syu’ara, ayat 105-122.

كَذَّبَتْ قَوْمُ نُوحٍ الْمُرْسَلِينَ (١٠٥) إِذْ قَالَ لَهُمْ أَخُوهُمْ نُوحٌ أَلا تَتَّقُونَ (١٠٦) إِنِّي لَكُمْ رَسُولٌ أَمِينٌ (١٠٧) فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطِيعُونِ    (١٠٨) وَمَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ إِنْ أَجْرِيَ إِلا عَلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ (١٠٩) فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطِيعُونِ (١١٠) قَالُوا أَنُؤْمِنُ لَكَ وَاتَّبَعَكَ الأرْذَلُونَ (١١١) قَالَ وَمَا عِلْمِي بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (١١٢)إِنْ حِسَابُهُمْ إِلا عَلَى رَبِّي لَوْ تَشْعُرُونَ (١١٣) وَمَا أَنَا بِطَارِدِ الْمُؤْمِنِينَ (١١٤) إِنْ أَنَا إِلا نَذِيرٌ مُبِينٌ (١١٥) قَالُوا لَئِنْ لَمْ تَنْتَهِ يَا نُوحُ لَتَكُونَنَّ مِنَ الْمَرْجُومِينَ (١١٦) قَالَ رَبِّ إِنَّ قَوْمِي كَذَّبُونِ (١١٧) فَافْتَحْ بَيْنِي وَبَيْنَهُمْ فَتْحًا وَنَجِّنِي وَمَنْ مَعِيَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ (١١٨) فَأَنْجَيْنَاهُ وَمَنْ مَعَهُ فِي الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ (١١٩) ثُمَّ أَغْرَقْنَا بَعْدُ الْبَاقِينَ (١٢٠) إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَةً وَمَا كَانَ أَكْثَرُهُمْ مُؤْمِنِينَ (١٢١) وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ (١٢٢)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan kisah tentang hamba dan rasulNya Nuh a.s. Beliau adalah rasul pertama yang diutus oleh Allah untuk penduduk bumi setelah berhala dan tandingan-tandingan disembah-sembah oleh para penduduknya.

Maka Allah s.w.t. mengutus Nuh a.s. sebagai orang yang mencegah mereka melakukan hal tersebut dan sebagai pemberi peringatan terhadap azabnya yang keras.

"105. Telah mendustakan kaum Nuh para rasul." 

Tetapi mereka membantah dan tidak percaya kepada Beliau. Bahkan mereka tetap pada perbuatannya yang jahat, iaitu penyembahan mereka kepada berhala-berhala di samping Allah s.w.t.

Kaum Nuh disebut mendustakan para rasul kerana mendustakan seorang rasul bererti mendustakan semua rasul. Seruan mereka semua sama, iaitu mengajak kepada tauhid dan menjauhi syirik.

"106. Ketika berkata kepada mereka saudara mereka Nuh, "Mengapa tidak kalian bertakwa?"" 

Takutlah kalian kepada kemurkaan Allah. Patuhilah perintahNya, iaitu menyembah hanya kepadaNya saja. Jauhilah kalian laranganNya, iaitu dengan meninggalkan sesembahan selainNya yang selama ini kalian sembah.

Nuh a.s. adalah saudara senasab mereka. Allah s.w.t. mengutus rasul yang sama nasabnya dengan kaumnya agar mereka merasa tidak segan mengikutinya, dan kerana mereka mengetahui siapa Beliau, sehingga tidak perlu mengkaji lebih lanjut tentang peribadinya.

"107. Sungguh aku kepada kalian rasul yang terpercaya." 

Nuh a.s. adalah utusan Allah yang diutus khusus kepada mereka. Sepatutnya mereka menerima risalah Beliau, beriman kepadanya, serta bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana telah mengkhususkan kepada mereka rasul yang mulia.

Peribadinya yang dipercayai menghendaki Beliau tidak berkata-kata tentang Allah tanpa ilmu, tidak menambah dan tidak mengurangi wahyu yang diwahyukan kepadanya. Sepatutnya mereka membenarkan Beliau dan menaati perintahnya.

"108. Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku." 

Takutlah kalian kepada kemurkaan Allah. Patuhilah perintahNya dan jauhilah laranganNya. Taatlah kalian kepada perintah dan laranganku, kerana aku adalah orang yang dipercayai.

"109. Dan tidak aku minta kepada kalian atasnya dari upah." 

Aku tidak pernah dan tidak sekali-kali akan meminta imbalan dari kalian atas jasaku menyampaikan dari Tuhanku dan ajakan-ajakanku kepada kalian, sehingga kalian merasa terbeban.

"Tidaklah upahku kecuali atas Tuhan seluruh alam." 

Imbalan atau balasanku hanyalah terserah kepada Allah, Tuhan sekelian alam. Aku tidak meminta imbalan dari kalian agar aku dekat denganNya dan agar tersimpan pahalaku disisiNya. Aku hanya ingin memberi kebaikan kepada kalian dan agar kalian menempuh jalan yang lurus.

"110. Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku." 

Takutlah kalian kepada kemurkaan Allah. Patuhilah perintahNya dan jauhilah laranganNya. Sesungguhnya telah jelas dan nyata bagi kalian kebenaranku, seruanku dan kejujuranku dalam apa yang diutuskan oleh Allah kepadaku dan dipercayakanNya kepadaku.

"111. Mereka berkata, "Apakah kami akan beriman kepada kamu, dan mengikuti kamu orang-orang yang hina?""

Mereka membantah tidak mahu beriman, tidak mahu mengikuti dan menentang Nuh a.s. dengan penentangan yang batil, sesat dan tidak sesuai, iaitu kerana orang-orang yang mengikuti dan membenarkan Beliau adalah orang-orang yang mereka pandang hina.

Demikian itu kerana kesombongan dan kebodohan mereka terhadap hakikat yang sebenarnya. Jika mereka bermaksud mencari yang hak, sedangkan mereka masih ragu-ragu, tentu mereka akan meminta penerangan dan bukti tentang kebenaran yang Beliau bawa.

Para pengikut Nuh a.s. sebenarnya orang-orang yang mulia, manusia-manusia pilihan, berakal cerdas dan berakhlak tinggi. Sedangkan merekalah yang sebenarnya hina, iaitu orang yang mencabut fungsi akalnya, sehingga menganggap baik menyembah batu, ridha sujud kepada yang lebih lemah darinya, berdoa kepada yang tidak mampu berbuat apa-apa dan menolak seruan para rasul, insan yang kamil (manusia yang sempurna).

"112. Dia berkata, "Dan tidaklah ilmuku dengan apa yang mereka kerjakan?""

Tidak ada kaitannya pengetahuanku dengan pangkat dan pekerjaan mereka. Tidak ada pengetahuanku tentang apa yang mereka lakukan. Tiada sesuatu pun yang mengharuskan diriku agar mereka mengikutiku.

Seandainya mereka berada dalam urusan yang biasa mereka lakukan, maka bukanlah merupakan suatu keharusan bagiku mengorek dan meneliti serta menyelidiki perihal mereka. Sesungguhnya tugasku hanyalah menerima pembenaran mereka kepadaku dan aku serahkan rahsia mereka kepada Allah s.w.t.

"113. Tidaklah hisab mereka kecuali atas Tuhanku, jika kalian menyedari." 

Sebenarnya amal perbuatan mereka dan perhitungannya hanya terserah kepada Tuhanku. Ia adalah urusan Allah. Aku hanyalah menyampaikan. Kalaulah kalian menyedari dan memahaminya, tentu kalian tidak berkata demikian.

Seakan-akan mereka meminta agar Nuh a.s. mengusir orang-orang yang mereka anggap hina itu dari sisinya, lalu mereka baru mahu mengikutinya. Mereka merasa dirinya adalah orang-orang besar. Tetapi Nuh a.s. menolak dan tidak mahu memenuhi permintaan mereka. Beliau berkata,

"114. Dan tidaklah aku mengusir orang-orang yang beriman." 

Aku sekali-kali tidak akan mengusir orang-orang yang beriman daripada bercampur-gaul denganku. Aku tidak berhak menghalau mereka, bahkan mereka berhak mendapat penghormatan, baik dengan sikap maupun ucapan.

"115. Tidaklah aku kecuali pemberi peringatan yang nyata." 

Sesungguhnya aku hanyalah seorang rasul yang diutus sebagai pemberi amaran yang jelas nyata, penyampai dari Allah dan berusaha memberikan nasihat kepada semua.

Barang siapa yang mahu taat, mengikuti dan membenarkanku, maka dia termasuk golonganku. Aku juga merupakan bahagian darinya, baik dia orang yang lemah ataupun mulia, dan baik dia seorang yang terhormat ataupun hina.

Nuh a.s. tinggal lama di kalangan mereka seraya menyeru mereka untuk menyembah Allah siang dan malam, baik secara sembunyi-sembunyi maupun secara terang-terangan.

Setiap kali Beliau menyeru mereka untuk menyembah Allah, sikap mereka semakin nekad dalam kekafirannya, semakin sengit penolakan mereka terhadap seruannya dan mereka semakin menjauh. Bahkan mereka mengancam Beliau.

"116. Mereka berkata, "Sungguh jika tidak kamu berhenti wahai Nuh, pasti kalian menjadi termasuk orang-orang yang dirajam.""

Mereka mengugut Nuh a.s. bahawa jika Beliau tidak mahu berhenti daripada mendakwahi mereka dan tidak berhenti menyiarkan agamanya itu, mereka akan melemparinya dengan batu sampai mati.

Mereka balas nasihat yang begitu tulus dari Nuh a.s. dengan balasan yang sangat buruk. Maka pada saat itulah Nuh a.s. berdoa kepada Allah untuk kebinasaan mereka, iaitu dengan suatu doa yang diperkenankan oleh Allah s.w.t.

"117. Dia berkata, "Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah mendustakanku.""

"118. Maka putuskanlah antara aku dan antara mereka keputusan, dan selamatkanlah aku dan orang yang bersamaku dari orang-orang yang beriman." 

Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah mendustakan aku. Maka berilah keputusan antara aku dengan mereka dengan hukuman tegas yang menegakkan yang benar dan melenyapkan yang salah, dan selamatkanlah aku dan orang-orang yang beriman bersama-sama denganku.

"119. Maka Kami selamatkan dia dan orang yang bersamanya dalam perahu yang penuh muatan." 

Kemudian Allah s.w.t. selamatkan Nuh a.s. bersama semua pengikutnya di dalam kapal yang sarat dengan muatan. Al masyhun bermaksud penuh dengan muatan barang dan berbagai macam binatang yang dimuat di dalamnya, masing-masing jenis satu jodoh.

"120. Kemudian Kami tenggelamkan sesudah itu orang-orang yang tinggal." 

Setelah menyelamatkan mereka, Allah s.w.t. tenggelamkan semua orang yang kafir dan menentang perintah Nuh a.s.

"121. Sungguh pada yang demikian benar-benar ayat, dan tidak ada kebanyakan mereka beriman." 

Selamatnya Nuh a.s. dan para pengikutnya dan binasanya orang-orang yang mendustakannya itu benar-benar terdapat tanda kekuasaan Allah. Ia juga benar-benar terdapat tanda yang menunjukkan kebenaran rasulNya, apa yang mereka bawa dan batilnya apa yang dipegang oleh musuh-musuh mereka yang mendustakan. Tetapi kebanyakan manusia tidak mahu beriman.

"122. Dan sesungguhnya Tuhanmu, benar-benar Dia Maha Perkasa Maha Penyayang." 

Dengan keperkasaanNya, Dia mengalahkan musuh-musuhNya, Dia menenggelamkan mereka dengan banjir yang besar. Dia Maha Penyayang terhadap wali-waliNya. Dia telah menyelamatkan Nuh a.s. dan para pengikutnya yang terdiri dari orang-orang beriman.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...