Ahad, 7 Januari 2018

28:56-59 Tafsir Surah Al Qasas, ayat 56-59.

إِنَّكَ لا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ (٥٦) وَقَالُوا إِنْ نَتَّبِعِ الْهُدَى مَعَكَ نُتَخَطَّفْ مِنْ أَرْضِنَا أَوَلَمْ نُمَكِّنْ لَهُمْ حَرَمًا آمِنًا يُجْبَى إِلَيْهِ ثَمَرَاتُ كُلِّ شَيْءٍ رِزْقًا مِنْ لَدُنَّا وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لا يَعْلَمُونَ (٥٧) وَكَمْ أَهْلَكْنَا مِنْ قَرْيَةٍ بَطِرَتْ مَعِيشَتَهَا فَتِلْكَ مَسَاكِنُهُمْ لَمْ تُسْكَنْ مِنْ بَعْدِهِمْ إِلا قَلِيلا وَكُنَّا نَحْنُ الْوَارِثِينَ (٥٨) وَمَا كَانَ رَبُّكَ مُهْلِكَ الْقُرَى حَتَّى يَبْعَثَ فِي أُمِّهَا رَسُولا يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِنَا وَمَا كُنَّا مُهْلِكِي الْقُرَى إِلا وَأَهْلُهَا ظَالِمُونَ (٥٩)

Abu Talib, bapa saudara Rasulullah s.a.w. adalah orang yang melindunginya, membantunya, berdiri di pihaknya dan mencintainya dengan kecintaan yang sangat. Namun, kecintaan Abu Talib kepada Beliau s.a.w. hanyalah secara naluri, bukan secara syar'i.

Ketika Abu Talib menjelang ajalnya, Rasulullah s.a.w. datang. Beliau s.a.w. mendapati Abu Jahal ibnu Hisyam dan Abdullah ibnu Abu Umayyah ibnul Mugirah ada di sisi Abu Talib. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, "Wahai pakcik(ku), ucapkanlah, "Tidak ada Tuhan selain Allah," iaitu suatu kalimat yang dengannya kelak aku akan membelamu (bersaksi) di hadapan Allah!"

Maka Abu Jahal dan Abdullah ibnu Abu Umayyah berkata, "Hai Abu Talib, apakah kamu tidak suka dengan agama Abdul Muttalib?" Rasulullah s.a.w. terus-menerus menawarkan hal itu kepada Abu Talib, tetapi keduanya selalu menentangnya dengan kalimat itu terhadap Abu Talib.

Abu Talib menolak untuk mengucapkan kalimat "Tidak ada Tuhan selain Allah." Dia mengatakan bahawa dia tetap berada pada agama orang-orang tua. Perkataan terakhir yang diucapkan Abu Talib ialah bahawa dirinya berada pada agama Abdul Muttalib.

Takdir telah mendahuluinya dan nyawanya telah meregang, sedangkan dia masih tetap berada di dalam kekafirannya. Maka Allah s.w.t. menurunkan ayat kepada RasulNya, Nabi Muhammad s.a.w.,

"56. Sungguh kamu tidak dapat memberi petunjuk siapa yang kamu sukai," 

Kamu tidak akan dapat memberikan hidayah taufiq (untuk menerima dan mengikuti Islam) kepada siapa pun, termasuk orang yang paling kamu cintai. Masalah petunjuk bukanlah merupakan urusan kamu.

Sesungguhnya tugasmu hanyalah menyampaikan. Kamu hanya dapat memberi hidayah irsyad (menunjukkan dan memberitahukan mana yang hak dan mana yang batil, mana jalan yang lurus dan mana jalan yang bengkok).

"akan tetapi Allah memberi petunjuk orang yang Dia kehendaki," 

Hidayah taufiq berada di Tangan Allah s.w.t. Hanya Dia yang berkuasa menunjuki siapa yang Dia kehendaki menurut undang-undang peraturanNya sehingga dia mahu menempuhnya. BagiNya hikmah yang tak terperikan dan hujah yang mengalahkan.

"dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." 

Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesuai, berhak dan ada persediaan untuk diberikan hidayahNya untuk memeluk Islam. Dia juga mengetahui siapa yang tidak sesuai dan tidak berhak mendapat hidayahNya sehingga Dia biarkannya sesat. Hanya bagi Allahlah hikmah yang sempurna.

Allah s.w.t. berfirman menceritakan alasan sebahagian kaum Quraisy dan penduduk Mekah yang kafir, mendustakan dan tidak mahu mengikuti jalan petunjuk kepada Rasulullah s.a.w.

"57. Dan mereka berkata, "Jika Kami ikuti petunjuk bersama kamu, kami diusir dari negeri kami.""

Mereka takut bahawa jika mereka mengikuti petunjuk yang Beliau s.a.w. sampaikan, bererti mereka menentang orang-orang Arab musyrik yang ada di sekitar mereka yang memusuhi dan menyelisihi Beliau s.a.w. Maka mereka akan diganggu, diperangi, ditawan, dibunuh, dirampas harta mereka dan diusir dari tempat mereka berada, sedangkan mereka tiada kemampuan.

Buruknya sangkaan mereka kepada Allah. Mereka menyangka bahawa Allah tidak akan memenangkan agamaNya serta meninggikan kalimatNya. Mereka menyangka bahawa orang-orang yang mendustakan berada di atas orang-orang yang beriman. Mereka menyangka bahawa yang batil akan mengalahkan yang hak.

Alasan yang mereka kemukakan itu adalah dusta dan tidak benar sama sekali. Tidak sepatutnya mereka berkata begitu. Allah s.w.t. berfirman menjawab ucapan mereka, menjelaskan keadaan mereka secara khusus daripada yang lain dan kelebihan yang Dia berikan kepada mereka.

"Dan apakah tidak Kami meneguhkan bagi mereka tanah suci yang aman," 

Sesungguhnya Allah menempatkan mereka di negeri yang aman dan tanah suci yang besar, yang sejak mula lagi telah aman. Tempat tersebut dikunjungi oleh ramai orang, dihormati oleh orang yang dekat maupun jauh, dan penduduknya tidak dikecohkan, sedangkan tempat-tempat yang lain di sekeliling mereka diliputi ketakutan dari berbagai sisi, penduduknya tidak aman dan tenteram.

"didatangkan kepadanya buah-buahan segala sesuatu rezeki dari sisi Kami?" 

Didatangkan ke tempat itu segala jenis hasil tanaman dari daerah sekitarnya sebagai pemberian rezeki bagi mereka dari Allah. Begitu juga barang dagangan dan keperluan lainnya.

Maka bagaimanakah tanah suci ini menjadi tanah yang aman bagi mereka, padahal mereka kafir dan syirik, sedangkan bagi kaum yang beriman dan mengikuti jalan yang benar menjadi kota yang tidak aman bagi mereka?

"Akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui." 

Allahlah yang telah menjadikan semua nikmat yang sempurna itu. Mereka berkata begitu kerana mereka tidak memikirkannya, tidak mengetahuinya dan tidak bersyukur. Sepatutnya mereka puji dan syukuri Tuhan mereka, mengikuti Rasulullah s.a.w., tidak mendustakannya dan tidak bersikap sombong atas nikmat Allah itu.

Demikian itu agar keamanan dan rezeki yang banyak itu menjadi sempurna, keamanan tidak menjadi ketakutan, mulia tidak menjadi hina, dan kaya tidak menjadi miskin. Ingatlah tindakanNya terhadap umat-umat terdahulu.

"58. Dan berapa banyak Kami telah binasakan dari suatu negeri bersenang-senang kehidupannya;" 

Banyak negeri yang penduduknya telah Allah s.w.t. berikan rezeki, kesenangan dan kemewahan yang berlimpah. Tetapi mereka dilalaikan oleh semua yang diperolehnya. Mereka membangga diri, melampaui batas, jahat, lagi ingkar kepada nikmat-nikmat Allah itu sehingga mereka tidak beriman kepada para rasulNya.

"maka itulah tempat kediaman mereka tidak didiami setelah mereka, kecuali sedikit" 

Lalu Allah s.w.t. membinasakan mereka, menghilangkan kesenangan itu dan menimpakan hukuman. Tempat kediaman mereka tiada lagi kelihatan bekasnya dan tidak didiami lagi setelah mereka. Generasi setelah mereka pun takut menempatinya kecuali sekadar melintas saja.

"Dan Kami, Kami ahli waris." 

Allah s.w.t. menjadikannya sebagai sisa-sisa yang tiada lagi penduduknya. Kembalilah ia kepada Allah, pemiliknya yang hakiki.

Allah s.w.t. berfirman menceritakan tentang hikmah, rahmat dan keadilanNya.

"59. Dan tidak ada Tuhan kamu membinasakan negeri-negeri, hingga Dia mengutus di ibu kotanya seorang rasul dia membacakan atas mereka ayat-ayat Kami;" 

Allah s.w.t. tidak akan membinasakan suatu umat pun yang berbuat aniaya kepadaNya, iaitu yang kafir dan berbuat maksiat kecuali setelah Dia mengutuskan para rasul untuk menegakkan hujahNya kepada mereka.

Dia mengutus para rasul di pusat kota kerana ia sering didatangi manusia. Penduduknya tidak terlalu kolot. Berita di sana mudah tersiar ke berbagai daerah sehingga firmanNya sampai kepada orang yang dekat maupun jauh.

Lalu para rasul itu akan membacakan kepada mereka ayat-ayat keteranganNya yang menunjukkan benarnya apa yang mereka bawa, benarnya seruan mereka dan memberikan peringatan kepada mereka sebelum azab datang.

"dan tidak Kami membinasakan negeri; kecuali dan penduduknya melakukan kezaliman." 

Allah s.w.t. juga tidak akan membinasakan mana-mana negeri, kecuali setelah penduduknya berlaku zalim dengan kekafiran dan kemaksiatan lagi berhak mendapatkan hukuman. Kesimpulannya, Allah s.w.t. hanya mengazab seseorang kerana kezalimannya dan setelah ditegakkan hujjah kepadanya.َ

Nabi yang ummi iaitu Muhammad s.a.w. yang diutus dari Ummul Qura (Mekah) adalah utusan bagi penduduk semua kota, baik dari kalangan bangsa Arab maupun selain Arab. Mekah merupakan kota yang paling dahulu. Semua kota menginduk kepadanya.

Kerana itulah kenabian dan kerasulan ditutup oleh Beliau s.a.w., tiada nabi dan tiada rasul lagi sesudahnya, bahkan syariatnya tetap berlaku sepanjang masa sampai hari kiamat.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...