Isnin, 8 Januari 2018

30:54-60 Tafsir Surah Ar Rum, ayat 54-60.

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ ضَعْفٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ ضَعْفٍ قُوَّةً ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ قُوَّةٍ ضَعْفًا وَشَيْبَةً يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ وَهُوَ الْعَلِيمُ الْقَدِيرُ (٥٤) وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ يُقْسِمُ الْمُجْرِمُونَ مَا لَبِثُوا غَيْرَ سَاعَةٍ كَذَلِكَ كَانُوا يُؤْفَكُونَ (٥٥) وَقَالَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَالإيمَانَ لَقَدْ لَبِثْتُمْ فِي كِتَابِ اللَّهِ إِلَى يَوْمِ الْبَعْثِ فَهَذَا يَوْمُ الْبَعْثِ وَلَكِنَّكُمْ كُنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ (٥٦) فَيَوْمَئِذٍ لا يَنْفَعُ الَّذِينَ ظَلَمُوا مَعْذِرَتُهُمْ وَلا هُمْ يُسْتَعْتَبُونَ (٥٧) وَلَقَدْ ضَرَبْنَا لِلنَّاسِ فِي هَذَا الْقُرْآنِ مِنْ كُلِّ مَثَلٍ وَلَئِنْ جِئْتَهُمْ بِآيَةٍ لَيَقُولَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا إِنْ أَنْتُمْ إِلا مُبْطِلُونَ (٥٨) كَذَلِكَ يَطْبَعُ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِ الَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ (٥٩) فَاصْبِرْ إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ وَلا يَسْتَخِفَّنَّكَ الَّذِينَ لا يُوقِنُونَ (٦٠)

Allah s.w.t. berfirman mengingatkan manusia akan peringkat-peringkat keadaan yang telah dilaluinya dalam penciptaannya.

"54. Allah yang menciptakan kalian dari keadaan lemah," 

Asal mulanya manusia itu berasal dari tanah liat, kemudian dari air mani yang hina, kemudian menjadi 'alaqah, kemudian menjadi segumpal daging, kemudian menjadi tulang yang dilapisi dengan daging, lalu ditiupkan roh ke dalam tubuhnya. Setelah itu dia dilahirkan dari perut ibunya dalam keadaan lemah, kecil dan tiada kekuatan.

"kemudian Dia menjadikan setelah lemah kuat," 

Kemudian dia semakin membesar dan kekuatannya bertambah sedikit demi sedikit. Dia melalui usia kanak-kanak, baligh, remaja, dewasa dan usia seorang bapa, di mana keadaan zahir dan batinnya telah sempurna.

"kemudian menjadikan setelah kuat lemah dan beruban." 

Kemudian sedikit demi sedikit dia menjadi lemah kembali dan menua. Keinginan, pergerakan dan kekuatannya mulai berkurang. Rambutnya putih beruban, sifat-sifat lahiriah dan batinnya juga berubah.

"Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki." 

Dia menciptakan dan melakukan apa yang dikehendakiNya. Dia mengatur hamba-hambaNya menurut apa yang dikehendakiNya sesuai kebijaksanaanNya.

"Dan Dia Maha Mengetahui Maha Kuasa." 

Luasnya ilmuNya, besarnya kemampuanNya dan sempurnanya hikmahNya. Dia memperlihatkan kekurangan hamba-hambaNya bahawa kekuatan mereka diliputi oleh dua kelemahan; iaitu ketika kecil dan ketika sudah tua.

Jika bukan kerana penguatan dari Allah, tentu dia tidak akan sampai pada usia kuat dan memiliki kemampuan. Jika kekuatannya semakin bertambah dan tidak semakin berkurang, tentu dia akan bersikap sombong, melampaui batas dan berbuat yang semena-mena.

Hanya Dialah yang memiliki kemampuan yang sempurna dan sentiasa kekal. Dia menciptakan segala sesuatu dan mengatur segala urusan tanpa merasa lemah dan letih.

Allah s.w.t. berfirman menceritakan perihal kebodohan orang-orang kafir di dunia dan akhirat. Semasa di dunia, kebiasaan mereka adalah menyembah berhala-berhala. Semasa di akhirat, mereka melakukan kebodohan yang besar juga.

"55. Dan pada hari terjadi kiamat, bersumpah orang-orang yang berdosa, tidaklah mereka tinggal melainkan sesaat."

Pada hari ketika terjadinya Kiamat, orang-orang kafir bersumpah dengan menyebut nama Allah, mereka mengingkari perkara yang dapat dirasakan, bahawa mereka hanya tinggal dalam kubur sebentar saja. Mereka bermaksud bahawa mereka tinggal di dunia hanya sebentar saja.

Dengan alasan tersebut mereka bermaksud agar hujah tidak dapat ditegakkan terhadap mereka dan bahawa mereka tidak diberi kesempatan untuk beralasan. Mereka mengajukan uzur mereka agar permohonan maaf mereka diterima.

"Demikianlah mereka dipalingkan." 

Mereka sentiasa dipalingkan dari memperkatakan yang benar oleh fahaman sesatnya. Begitu juga semasa mereka di dunia, sentiasa dipalingkan dari kebenaran dan berkata dusta. Mereka mendustakan perkara hak yang dibawa oleh para rasul. Seorang hamba nanti akan dibangkitkan menurut pegangannya sampai dia mati.

"56. Dan berkata orang-orang yang diberi ilmu dan keimanan," 

Mereka adalah para ulama dari kalangan orang-orang mukmin. Allah s.w.t. mengurniakan kepada mereka ilmu dan keimanan. Mereka tahu yang hak dan mengutamakannya kerana keimanan mereka.

Mereka berkata yang benar. Ucapan mereka sesuai dengan kenyataan dan sejalan dengan keadaan mereka. Maka para ulama itu menjawab orang-orang kafir itu sebagaimana mereka telah menegakkan hujah Allah atas orang-orang kafir ketika di dunia,

"Sungguh kalian tinggal menurut ketetapan Allah sampai hari berbangkit." 

Sesungguhnya kamu telah tinggal dalam kubur menurut ketetapan Allah, iaitu qadha’ dan qadarNya untuk kamu sejak kamu diciptakan sampai ke hari kiamat. Ia telah tertulis di dalam kitab Allah dan kitab catatan amal perbuatanmu.

"Maka ini hari berbangkit, akan tetapi kalian, kalian adalah tidak mengetahui." 

Inilah hari kebangkitan yang dijanjikanNya itu. Akan tetapi kamu dari dahulu lagi semasa kamu di dunia tidak mahu mengetahui kebenarannya. Padahal pada waktu itu kamu masih berpeluang kembali dan bertaubat.

Biasanya dalam waktu itu manusia sedar, berfikir dan bersikap bijaksana. Oleh kerana kamu tidak mengetahui dan tidak meyakininya, maka kamu ingkarinya dan kamu mendustakannya.

"57. Maka pada hari itu tidak memberi manfaat orang-orang yang zalim permintaan uzur mereka, dan mereka tidak diberi kesempatan bertaubat." 

Pada hari kiamat itu tidak berguna lagi bagi mereka sebarang alasan dan permintaan maaf dari mereka untuk membela apa yang telah mereka lakukan dan untuk mereka melepaskan diri. Mereka juga tidak akan diberi peluang untuk kembali ke dunia dan memohon keredaan Allah.

"58. Dan sungguh Kami telah membuat bagi manusia dalam ini Al Qur’an dari segala perumpamaan." 

Allah s.w.t. telah jelaskan perkara yang hak kepada manusia kerana perhatianNya, rahmatNya, kelembutanNya dan bagusnya pengajaranNya kepada mereka. Dia telah mengemukakan kepada mereka berbagai kisah dan perbandingan di dalam Al Quran.

Semua perumpamaan itu adalah untuk mendekatkan perkara yang masih dalam bayangan akal dengan perkara yang nyata. Maka semakin jelaslah kebenaran, hakikat, perkara dapat diketahui dengan jelas, hujah menjadi tegak dan agar hati mereka tergerak untuk mengikutinya.

"Dan sungguh jika kamu datang pada mereka dengan suatu ayat, pasti akan berkata orang-orang yang kafir, "Tidaklah kalian kecuali orang-orang yang membuat kepalsuan.""

Apabila Nabi Muhammad s.a.w. membawa suatu mukjizat yang membuktikan kebenarannya, baik atas permintaan orang-orang yang kafir itu sendiri atau tidak, pasti mereka akan menuduh Beliau s.a.w. hanya membuat dakwaan palsu dan sihir, sedangkan mereka menyaksikannya.

Mereka hanya mahu membantah yang hak dan tetap tidak mahu beriman kepadanya. Yang demikian adalah akibat kezaliman dan kekafiran mereka, beraninya mereka kepada Allah dan kerana kebodohan mereka yang sangat, sehingga Allah mengunci mati hati mereka.

"59. Demikianlah Allah mengunci mati atas hati orang-orang yang tidak mengetahui." 

Mereka tidak mahu memahami dan tidak mahu menerima jalan kebenaran. Kerana itu hati mereka tidak dapat dimasuki kebaikan, tidak dapat mengenal hakikat segala sesuatu, bahkan melihat yang hak sebagai batil dan yang batil sebagai yang hak.

Allah s.w.t. berirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"60. Maka bersabarlah, sesungguhnya janji Allah benar" 

Bersabarlah kamu dalam menghadapi sikap mereka yang berpaling, ingkar dan menentang itu. Janganlah hal itu menghalangimu dari menjalankan tugasmu. Tetap teguhlah kamu melaksanakan perintahNya, berdakwah kepada mereka dan menyebarkan risalah Allah yang dipercayakan kepadamu.

Sesungguhnya risalah yang kamu bawa itu adalah perkara hak yang tiada keraguan padanya. Janganlah kamu menyimpang dari satu-satunya jalan yang mengandungi hidayah itu. Amal mu tidak akan sia-sia, bahkan akan akan memperolehnya secara sempurna.

Allah s.w.t. pasti akan menunaikan janjiNya untuk menolongmu dalam menghadapi mereka dan menjadikan kesudahan yang baik hanya bagi kamu dan orang-orang yang mengikutimu di dunia maupun di akhirat. Maka akan ringan segala derita yang kamu hadapi dan semua kesusahan akan menjadi mudah.

"dan janganlah sekali-kali menggelisahkanmu orang-orang yang tidak meyakini." 

Janganlah kamu resah gelisah kerana mereka yang tidak meyakini kebenaran ayat-ayat Allah yang kamu sampaikan itu. Iman dan keyakinan mereka lemah, kerana itu akal dan kesabarannya lemah. Apabila iman dan keyakinan kamu kuat, maka akalmu juga kuat dan kamu akan mudah bersabar.

Selesai tafsir surah Ar Rum dengan pertolongan Allah dan taufiqNya, wal hamdulillahi rabbil ‘aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...