Rabu, 10 Januari 2018

34:10-14 Tafsir Surah Saba’, ayat 10-14.

وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُدَ مِنَّا فَضْلا يَا جِبَالُ أَوِّبِي مَعَهُ وَالطَّيْرَ وَأَلَنَّا لَهُ الْحَدِيدَ (١٠) أَنِ اعْمَلْ سَابِغَاتٍ وَقَدِّرْ فِي السَّرْدِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ (١١) وَلِسُلَيْمَانَ الرِّيحَ غُدُوُّهَا شَهْرٌ وَرَوَاحُهَا شَهْرٌ وَأَسَلْنَا لَهُ عَيْنَ الْقِطْرِ وَمِنَ الْجِنِّ مَنْ يَعْمَلُ بَيْنَ يَدَيْهِ بِإِذْنِ رَبِّهِ وَمَنْ يَزِغْ مِنْهُمْ عَنْ أَمْرِنَا نُذِقْهُ مِنْ عَذَابِ السَّعِيرِ (١٢) يَعْمَلُونَ لَهُ مَا يَشَاءُ مِنْ مَحَارِيبَ وَتَمَاثِيلَ وَجِفَانٍ كَالْجَوَابِ وَقُدُورٍ رَاسِيَاتٍ اعْمَلُوا آلَ دَاوُدَ شُكْرًا وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ (١٣) فَلَمَّا قَضَيْنَا عَلَيْهِ الْمَوْتَ مَا دَلَّهُمْ عَلَى مَوْتِهِ إِلا دَابَّةُ الأرْضِ تَأْكُلُ مِنْسَأَتَهُ فَلَمَّا خَرَّ تَبَيَّنَتِ الْجِنُّ أَنْ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ الْغَيْبَ مَا لَبِثُوا فِي الْعَذَابِ الْمُهِينِ (١٤)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan tentang nikmat agama dan dunia yang telah Dia kurniakan kepada hamba dan rasulNya Daud a.s.,

"10. Dan sungguh Kami berikan Daud dari Kami kurnia." 

Allah s.w.t. telah memberi kepada Daud a.s. keutamaan yang jelas, iaitu kenabian, kitab, ilmu yang bermanfaat, amal yang soleh, kerajaan yang kukuh dan bala tentera yang berperalatan lengkap lagi banyak bilangannya.

Allah s.w.t. juga telah memberi suara yang bagus, indah dan merdu kepada Daud a.s. Keistimewaan ini belum pernah Dia berikan kepada seorang pun.

Allah s.w.t. berfirman,

"Wahai gunung! Bertasbihlah bersamanya, dan burung-burung." 

Allah s.w.t. memberi keistimewaan kepada Daud a.s. dengan memerintahkan benda-benda mati dan makhluk hidup saling bersahut-sahutan untuk bertasbih berulang-ulang bersama-sama Beliau atau menjawab tasbih Beliau menurut caranya masing-masing.

Maka apabila Daud a.s. bertasbih berulang-ulang, bergembiralah semuanya kerana mendengar suaranya. Maka gunung-gunung pun ikut bertasbih bersamanya dan semua burung yang terbang terhenti lalu menjawab tasbihnya dengan berbagai bahasa.

Apabila Daud a.s. membaca kitab Zabur, semua haiwan liar berkumpul kepadanya, sehingga Beliau dapat memegang lehernya kerana mereka menjadi jinak. Suaranya seakan-akan suara buluh perindu. Beliau dianugerahi tujuh puluh suara buluh perindu di kerongkongnya. Syaitan membuat seruling dan alat muzik tiup lainnya berdasarkan nada suara yang dikeluarkan oleh Daud a.s.

Daud a.s. keluar menyamar, lalu Beliau menanyakan kepada kafilah-kafilah yang datang tentang dirinya sendiri. Maka setiap orang dari mereka memuji ibadah dan tindakannya. Allah s.w.t. mengutus malaikat dalam rupa seorang lelaki. Kemudian ia dijumpai oleh Daud a.s., lalu Beliau menanyakan kepadanya soalan yang biasa dikemukakan kepada orang lain.

Malaikat itu menjawab, "Dia adalah seorang yang paling baik buat dirinya sendiri dan buat orang lain, cuma seandainya suatu pekerti itu tidak ada di dalam dirinya, tentulah dia adalah seorang yang kamil (sempurna)." Daud a.s. bertanya, "Pekerti apakah itu?" Malaikat menjawab, "Dia makan dan menafkahi anak-anaknya dari harta kaum muslim (baitul mal)."

Maka pada saat itu juga Nabi Daud a.s. menghadapkan diri kepada Tuhannya sambil berdoa, semoga Dia mengajarkan kepadanya suatu pekerjaan yang dilakukan tangannya sendiri sehingga menjadi orang yang berkecukupan dan dapat membiayai anak-anak dan keluarganya.

"dan Kami lunakkan untuknya besi." 

Ini adalah antara keutamaan yang Allah s.w.t. berikan untuk Daud a.s. Beliau tidak perlu memasukkan besi ke dalam tungku api dan tidak memerlukan palu untuk membentuknya. Beliau hanya memintal besi dengan tangannya seperti memintal kapas untuk menjadi benang. Besi di tangannya seperti adunan. Allah s.w.t. mewahyukan kepada Daud a.s.,

"11. Agar buatlah baju besi yang besar" 

Allah s.w.t. mengajarkan Daud a.s. cara membuatnya. Beliaulah orang yang mula-mula membuat baju-baju besi yang dianyam, luas dan labuh. Sebelum itu baju besi hanya dibuat dalam bentuk lempengan-lempengan.

"dan ukurlah tenunan," 

Allah s.w.t. mengajarkan Daud a.s. cara mengukur anyamannya supaya jalinannya sekadar yang dikehendaki. Paku lingkaran besi atau gelang besi yang dipakai sebagai anyaman baju besi itu hendaklah berukuran sedang. Jika kecil akan longgar dan jika besar akan haus.

"dan kerjakanlah amal soleh." 

Allah s.w.t. telah melimpahkan nikmatNya kepada kamu, keluargamu dan umatmu. Maka bersyukurlah kalian. Gunakanlah nikmat-nikmat yang telah diberikan oleh Allah s.w.t. untuk mengerjakan amal soleh. Perbaikilah amal kalian dan jagalah ia dari hal yang merosakkannya.

"Sungguh aku dengan apa yang kalian kerjakan Maha Melihat." 

Allah s.w.t. sentiasa mengawasi kalian. Dia melihat dan mengetahui semua perbuatan dan ucapan kalian. Tidak ada sesuatu pun yang samar bagiNya. Maka hendaklah kalian sentiasa merasakan pengawasan dari Allah.

Daud a.s. dikenali sebagai pembuat baju besi yang tekun dan kuat bekerja. Setiap hari Beliau membuat baju besi lalu menjualnya. Sepertiga dari hasil penjualan itu Beliau sedekahkan, sepertiga untuk keperluan hidup keluarga dan anak-anaknya dan sepertiga untuk Beliau sedekahkan setiap hari sementara baju besi lain disiapkan.

Allah s.w.t. berfirman menyebutkan keutamaan putera Daud a.s., iaitu Sulaiman a.s.,

"12. Dan untuk Sulaiman angin, perjalanannya di waktu pagi sebulan dan perjalanan di waktu petang sebulan." 

Allah s.w.t. kurniakan kepada Sulaiman a.s. kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya. Dia tundukkan angin hingga menerbangkan hamparan permadani Sulaiman a.s. Angin itu berhembus mengikuti perintahnya, dapat membawanya bersama apa yang dibawanya.

Sulaiman a.s. berangkat di pagi hari dengan mengenderai permadani terbangnya dari Dimasyq ke Astakhr dan makan siang di situ. Pada petang harinya Beliau bertolak dari Astakhr ke Kabil dan menginap di situ.

Jarak antara Dimasyq dan Astakhr dapat ditempuh selama sebulan bagi orang yang memacu unta yang cepat, dan jarak antara Astakhr ke Kabil juga sebulan. Bahkan perjalanan yang jauh hanya ditempuh dalam waktu sebentar. Dalam sehari Beliau dapat menempuh jarak perjalanan yang biasa memakan masa dua bulan.

"Dan Kami alirkan untuknya sumber cairan tembaga." 

Allah s.w.t. tundukkan dan alirkan bagi Sulaiman a.s. matair dari tembaga. Dia mudahkan segala sebab untuk menghasilkan barang-barang dari tembaga seperti bejana dan lain-lain. Tembaga itu ada di Yaman.

Semua peralatan yang dibuat oleh manusia berasal dari bahan baku yang dikeluarkan oleh Allah s.w.t. untuk Sulaiman a.s. Tembaga itu dicairkan untuknya hanya selama tiga hari.

"Dan sebahagian dari jin ada yang bekerja di hadapannya dengan izin Tuhannya." 

Sebahagian dari jin ada yang ditundukkan untuk untuk melakukan pekerjaan-pekerjaan berat di bawah kekuatan dan kekuasaan yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada Sulaiman a.s., sehingga mereka tidak menderhakai perintahnya.

"Dan barang siapa yang menyimpang di antara mereka dari perintah Kami, Kami rasakannya dari azab api yang menyala-nyala."

Sesiapa dari jin itu yang menyeleweng dari perintahNya dan memberontak dari ketaatan, Allah s.w.t. akan merasakannya pukulan dari azab yang membakarnya.

"13. Mereka bekerja untuknya apa yang dikehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi dan patung-patung," 

Para jin itu sentiasa bekerja keras untuk Sulaiman a.s. Mereka membuat apa saja yang Beliau kehendaki. Di antaranya membina bangunan-bangunan yang tinggi dan patung-patung yang dibuat dari tembaga, tanah liat atau kaca.
Ketika itu membuat patung tidak haram. Adapun dalam syariat Nabi Muhammad s.a.w. hal itu diharamkan dengan tegas kerana ia membawa kepada kesyirikan.

"dan piring-piring seperti kolam dan periuk-periuk yang tidak bergerak." 

Para jin membina untuk Sulaiman a.s. pinggan-pinggan hidangan yang besarnya seperti kolam tempat penampungan air untuk makan, kerana Beliau memerlukan yang tidak diperlukan selain Beliau. Mereka juga membina periuk-periuk yang sangat besar, yang terletak tetap di atas tungkunya dan tidak dipindah-pindahkan kerana sangat berat.

Allah s.w.t. telah melimpahkan nikmatNya kepada Daud a.s., keluarganya dan isteri-isterinya. Nikmat itu mengena kepada semuanya, dan maslahatnya kembali kepada mereka semua. Dia berfirman memerintahkan kepada mereka,

"Bekerjalah, hai keluarga Daud, bersyukur." 

Beramallah kalian wahai keluarga Daud sebagai ungkapan rasa syukur kepada Allah s.w.t. atas pemberian yang telah dilimpahkan Allah kepada kalian untuk kepentingan agama dan dunia kalian.

Bersyukur melalui niat (hati) adalah mengakui nikmat Allah, menerima kerana perlu kepadaNya, mengalihkannya untuk ketaatan kepada Allah dan menjaganya dari mengalihkan untuk maksiat. Bersyukur melalui perbuatan adalah dengan bertakwa kepada Allah, mengerjakan solat, puasa dan semua amal kebaikan (soleh) yang dilakukan kerana Allah s.w.t. Bersyukur melalui lisan adalah syukur yang paling utama iaitu membaca Hamdalah.

Begitulah cara keluarga Daud a.s. bersyukur kepada Allah s.w.t. Daud a.s. telah membahagi-bahagi tugas solat kepada keluarganya, anak-anaknya dan isteri-isterinya. Setiap saat, baik di waktu malam atau siang, ada seseorang dari keluarganya yang sedang berdiri menunaikan solat, sehingga rahmat berlimpahan kepada mereka.

"Dan sedikit dari hamba-hambaKu yang bersyukur."

Kebanyakan hambaNya tidak berterima kasih kepada Allah s.w.t. atas nikmat yang diberikanNya. Daud a.s. berkata, "Ya Tuhanku, bagaimanakah saya harus bersyukur kepadaMu, sedangkan bersyukur itu sendiri adalah merupakan nikmat dariMu?" Maka Allah s.w.t. berfirman, "Sekarang kamu telah bersyukur kepadaKu kerana kamu telah mengetahui bahawa nikmat itu dariKu."

Makhluk jin menipu manusia dengan memberitahukan bahawa mereka mengetahui yang ghaib dan mengetahui hal-hal yang tersembunyi. Maka Allah s.w.t. berkehendak memperlihatkan kepada hamba-hambaNya kedustaan dakwaan mereka. Dia berfirman menceritakan perihal kewafatan Sulaiman a.s.

"14. Maka ketika Kami telah menetapkan atasnya kematian," 

Allah s.w.t. telah menetapkan bahawa Sulaiman a.s. wafat ketika solat di mihrabnya dalam keadaan berdiri tegak sambil bertopang pada tongkatnya. Tetapi Allah s.w.t. menyembunyikan kematian Sulaiman a.s. terhadap makhluk jin.

"tidak ada yang menunjukkan pada mereka atas kematiannya kecuali rayap memakan tongkatnya."

Allah s.w.t. mengirimkan anai-anai masuk dan memakan bahagian dalam tongkat Sulaiman a.s. Jin terus bekerja keras di hadapan Sulaiman a.s. seperti biasa sambil memandang ke arahnya dengan sangkaan bahawa Beliau masih hidup dan mereka merasa takut kepadanya. Sulaiman a.s. dalam keadaan begitu selama lebih kurang satu tahun.

"Maka ketika dia telah tersungkur, menjadi jelas jin bahawa sekiranya mereka mengetahui yang ghaib, mereka tidak tetap dalam siksa yang menghinakan." 

Maka rapuhlah tongkat itu dan tidak mampu lagi menyangga tubuh Sulaiman a.s. Akhirnya jasad Sulaiman a.s. tersungkur ke tanah. Pada saat itu barulah disedari bahawa Beliau telah wafat. Ketika jin melihat peristiwa itu, maka mereka bubar dan pergi.

Ternyatalah kepada golongan jin dan manusia bahawa sebenarnya makhluk jin itu tidak mengetahui yang ghaib. Seandainya mereka mengetahui yang ghaib, tentulah tidaklah tersembunyi bagi mereka tentang wafatnya Sulaiman a.s., tentu mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam pekerjaan yang berat untuk kepentingan Sulaiman a.s.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...