Sabtu, 13 Januari 2018

37:83-99 Tafsir Surah As Saffat, ayat 83-99.

وَإِنَّ مِنْ شِيعَتِهِ لإبْرَاهِيمَ (٨٣) إِذْ جَاءَ رَبَّهُ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ (٨٤) إِذْ قَالَ لأبِيهِ وَقَوْمِهِ مَاذَا تَعْبُدُونَ (٨٥) أَئِفْكًا آلِهَةً دُونَ اللَّهِ تُرِيدُونَ   (٨٦) فَمَا ظَنُّكُمْ بِرَبِّ الْعَالَمِينَ (٨٧) فَنَظَرَ نَظْرَةً فِي النُّجُومِ (٨٨) فَقَالَ إِنِّي سَقِيمٌ (٨٩) فَتَوَلَّوْا عَنْهُ مُدْبِرِينَ (٩٠) فَرَاغَ إِلَى آلِهَتِهِمْ فَقَالَ أَلا تَأْكُلُونَ (٩١) مَا لَكُمْ لا تَنْطِقُونَ (٩٢) فَرَاغَ عَلَيْهِمْ ضَرْبًا بِالْيَمِينِ (٩٣) فَأَقْبَلُوا إِلَيْهِ يَزِفُّونَ (٩٤) قَالَ أَتَعْبُدُونَ مَا تَنْحِتُونَ (٩٥) وَاللَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ (٩٦) قَالُوا ابْنُوا لَهُ بُنْيَانًا فَأَلْقُوهُ فِي الْجَحِيمِ (٩٧) فَأَرَادُوا بِهِ كَيْدًا فَجَعَلْنَاهُمُ الأسْفَلِينَ (٩٨) وَقَالَ إِنِّي ذَاهِبٌ إِلَى رَبِّي سَيَهْدِينِ (٩٩)

Allah s.w.t. berfirman,

"83. Dan sungguh dari golongannya Ibrahim." 

Ibrahim a.s. adalah termasuk pemeluk agama Nuh a.s. Keduanya sama dalam keimanan kepada Allah, pokok-pokok agamanya, ajarannya, tuntunannya dan sunnahnya, walaupun jarak zaman antara keduanya berjauhan.

"84. Ketika datang Tuhannya dengan hati yang selamat." 

Ingatlah ketika Ibrahim a.s. datang kepada Allah s.w.t. dengan hati yang suci. Hati yang suci bermaksud mengikhlaskan hati kepada Allah dengan sesungguhnya, hati yang selamat dari syirik, syak (keraguan), syubhat dan syahwat yang menghalangi untuk memandang jernih kebenaran serta mengamalkannya.

Hatinya bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, mengetahui bahawa Allah adalah hak (benar), meyakini bahawa hari kiamat pasti akan tiba, bahawa Allah akan membangkitkan orang-orang yang telah mati dan hatinya tidak pernah melaknat.

Jika hati seorang hamba sudah bersih dan baik, maka anggota badannya juga bersih dan baik. Oleh kerana itulah, Beliau menasihati manusia kerana Allah dan Beliau mulai dengan orang yang terdekatnya, iaitu bapanya kemudian kaumnya.

"85. Ketika dia berkata kepada bapanya dan kaumnya, "Apakah yang kalian sembah?""

Ingatlah ketika Ibrahim a.s. memprotes penyembahan mereka kepada berhala dan tandingan-tandingan Allah yang mereka ada-adakan itu. Pertanyaan ini bermaksud mengingkari dan membuat mereka menerima hujah.

"86. Apakah kebohongan tuhan-tuhan selain Allah kalian menghendaki?" 

Patutkah kalian menyembah tuhan-tuhan selain Allah, yang sebenarnya bukan tuhan dan tidak layak diibadahi, kerana kalian memutar belitkan kebenaran semata-mata (bukan kerana benarnya)?

"87. Maka apakah anggapan kalian dengan Tuhan semesta alam?" 

Bagaimanakah dugaan kalian terhadap apa yang akan Dia lakukan terhadap kalian bila kalian menjumpaiNya kelak, sedangkan kalian telah menyembah selainNya? Takutlah kalian dengan siksaanNya jika kalian tetap dengan perbuatan syirik itu.

Kaum Ibrahim a.s. adalah orang-orang yang biasa mempelajari ilmu nujum. Maka pada suatu hari mereka semua berkumpul di tempat perayaan mereka. Ketika mereka hendak keluar dari tempat peribadatan mereka yang penuh dengan berhala itu, mereka berkata kepada Ibrahim a.s., “Keluarlah bersama kami.”

"88. Maka dia memandang pandangan pada bintang-bintang." 

Ibrahim a.s. memandang ke arah langit, berfikir merenungkan sesuatu, atau mengalihkan perhatian mereka terhadap dirinya. Lalu Beliau merebahkan dirinya.

"89. Lalu dia berkata, "Sungguh aku orang yang sakit.""

Ibrahim a.s. mengatakan bahawa Beliau sedang sakit dan lemah terkena penyakit ta’un, lalu Beliau menatapkan pandangannya ke arah langit.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Ibrahim a.s. tidak pernah berdusta kecuali dalam tiga perkara; dua di antaranya dalam membela Zat Allah, iaitu ucapannya, "Sesungguhnya aku sakit, " dan perkataannya, "Sebenarnya patung yang besar itulah yang melakukannya.” Dan perkataannya tentang isterinya Sarah, "Dia adalah saudara perempuanku.”"

"90. Maka mereka berpaling darinya membelakangi." 

Kaumnya takut terhadap pengidap penyakit ta’un kerana takut ketularan. Mereka menyangka bahawa Ibrahim a.s. benar-benar sedang sakit, lalu mereka lari meninggalkannya sendirian. Waktu itu tercapailah keinginan Ibrahim a.s. untuk bersendirian bersama berhala-berhala itu.

"91. Lalu dia pergi kepada berhala-berhala mereka," 

Ibrahim a.s. bangkit dan memasuki tempat berhala-berhala mereka dengan cepat dan sembunyi-sembunyi. Beliau mendapati berhala-berhala itu diletakkan di dalam sebuah ruangan besar. Bertentangan dengan pintu ruangan itu terdapat berhala yang besar, di sampingnya terdapat berhala yang lebih kecil daripadanya, kemudian di sampingnya lagi ada berhala lainnya yang lebih kecil lagi. Begitulah seterusnya sampai pada pintu ruangan tersebut.

"lalu dia berkata, "Apakah kalian tidak makan?""

Ibrahim a.s. mengejek berhala-berhala itu kerana di tangan berhala-berhala itu diletakkan berbagai macam makanan dan korban. Tujuan mereka ialah bila mereka kembali dari tempat perayaannya, bererti sembahan-sembahan mereka telah memberkati makanan dan korban tersebut. Kemudian mereka memakannya.

Ibrahim a.s. bertanya lagi,

"92. Mengapa bagi kalian, kalian tidak menjawab?" 

Berhala-berhala itu juga tidak mampu berkata-kata. Jika demikian, sangat tidak layak sekali sesembahan seperti ini disembah. Ia lebih lemah daripada haiwan yang masih boleh makan dan bersuara.

"93. Lalu dia pergi kepada mereka pukulan dengan tangan kanan." 

Ibrahim a.s. memukul dengan kuat berhala-berhala itu dengan tangan kanannya. Semuanya hancur berkeping-keping kecuali berhala yang paling besar. Beliau sengaja membiarkannya agar mereka bertanya kepadanya.

Ketika mereka kembali ke tempat peribadatan mereka, mereka mencari-cari berita tentang siapa yang melakukannya. Lalu di antara mereka ada yang berkata, "Kami dengar ada seorang pemuda yang mencela berhala-berhala ini yang bernama Ibrahim.” Mereka berkata, "Bawalah dia dengan cara yang dapat dilihat orang ramai, agar mereka menyaksikan."

"94. Maka mereka menghadap kepadanya bergegas." 

Mereka bergegas datang beramai-ramai ke tempat Ibrahim a.s. untuk mencaci maki perbuatannya itu. Beliau telah bersedia untuk mengecam dan mencela perbuatan mereka. Mereka bertanya, "Kamukah yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami, wahai Ibrahim?"

Ibrahim a.s. menjawab, "Sebenarnya patung yang besar itulah yang melakukannya, maka tanyakanlah kepada berhala itu, jika mereka dapat berbicara." Maka mereka kembali sedar dan berkata, "Sesungguhnya kamu sekelian adalah orang-orang yang menganiaya (diri sendiri)."

Kepala mereka tertunduk. Namun mereka kembali membangkang, "Sesungguhnya kamu telah mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berbicara." Ibrahim a.s. menjawab mereka.

"95. Dia berkata, "Apakah kalian menyembah apa yang kalian pahat?""

Tidak sepatutnya kalian menyembah patung-patung yang kamu pahat sendiri itu dan meninggalkan beribadah kepada Allah s.w.t.

"96. Dan Allah menciptakan kalian dan apa yang kalian kerjakan." 

Dialah yang menciptakan kalian dan hasil kerja kalian. Amal manusia juga makhluk ciptaanNya. Maka sepatutnya kalian hanya menyembah Allah s.w.t.

Ketua-ketua mereka tidak mampu lagi menyangkal hujah yang dikemukakan Ibrahim a.s. Maka mereka beralih menyerang Beliau dengan tangan dan kekuatan mereka, iaitu membunuhnya dengan pembunuhan yang sadis.

"97. Mereka berkata, "Bangunkan untuknya suatu bangunan, lalu lemparkan dia dalam api yang menyala-nyala.""

Mereka membina sebuah tempat pembakaran yang besar. Mereka letak kayu bakar di bawahnya dan mereka nyalakan api. Ketika api telah membesar dan menjulang tinggi, maka mereka campakkan Ibrahim a.s. ke dalamnya.

"98. Maka mereka menghendaki dengannya tipu daya," 

Mereka bermaksud memperdayai Ibrahim a.s. dan melakukan angkara yang menyakitinya. Mereka menyangka bahawa dengan membakar Beliau, kebenaran akan dikalahkan.

"lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang hina." 

Allah s.w.t. jadikan mereka orang-orang yang terkebawah dan tidak berjaya maksudnya. Dia menggagalkan tipu daya mereka dengan menjadikan api itu dingin. Dia menolong kekasihNya Ibrahim a.s. dari kejahatan kaumnya, memenangkannya atas mereka dan meninggikan hujahnya.

Ibrahim a.s. keluar dari api itu dengan selamat. Beliau merasa putus asa setelah melihat kaumnya tidak dapat lagi diharapkan keimanannya, padahal mereka telah menyaksikan mukjizat-mukjizat yang besar. Beliau tidak nampak kebaikan pada mereka.

"99. Dan berkata, "Sungguh aku pergi kepada Tuhanku, Dia akan menunjukiku.""

Aku mesti meninggalkan kalian dan pergi menghadap kepada Tuhanku. Dia akan menunjukkan aku kepada sesuatu yang memberi kebaikan bagiku, baik bagi agamaku maupun duniaku.

Maka Ibrahim a.s. berhijrah dari negeri kafir menuju ke negeri yang suci, iaitu Syam. Di sana Beliau dapat beribadah kepada Allah dan berdakwah.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...